Selasa, 29 Mei 2012

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Barisan Nasional Memajakkan Tanah Rezab Melayu Ke Pasaran Saham

Posted: 28 May 2012 08:00 AM PDT

Perjanjian pajakan tanah di antara Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGV) dan FELDA bertarikh 1 November 2011 memberikan kuasa dan hak milik kepada FGV untuk mengusahakan tanah-tanah yang kini dimiliki oleh FELDA mengikut syarat-syarat perjanjian.

Sejumlah 847,362 ekar tanah yang kini diuruskan oleh Felda Plantations Sdn Bhd terlibat di dalam urusan pajakan ini, yang menjadi syarat utama proses penyenaraian FGV ke Bursa. Tanpa tanah-tanah ini, penyenaraian tersebut akan gagal.

KEADILAN boleh mengesahkan bahawa kami telah mendapat salinan penuh perjanjian dan senarai tanah-tanah yang terlibat. Semakan kami menunjukkan bahawa dari sejumlah 847,362 ekar tanah yang dipajakkan ini, sejumlah 105,382 ekar adalah tanah-tanah yang telah diwartakan sebagai Tanah Rezab Melayu di seluruh negara.

Ini menimbulkan persoalan serius mengenai status tanah-tanah ini kerana tindakan memajakkan tanah-tanah ini kepada FGV boleh melanggar matlamat pewartaan Tanah Rezab Melayu.  Kedudukan FGV selepas ini tidaklah boleh dikira sebagai sebuah syarikat yang berstatus Bumiputra kerana jumlah pegangan saham Bumiputra tidak dapat disahkan. Setakat ini, peneroka Felda hanya diperuntukkan 2.5% dari jumlah pegangan saham sementara kakitangan Felda pula hanyalah 3%.

Selebihnya melibatkan badan-badan lain yang dijemput masuk oleh Tan Sri Isa Samad, termasuklah Louis Dreyfus sebuah syarikat antarabangsa yang dikuasai keluarga Yahudi terkenal dari Perancis.

Oleh yang demikian, Dato' Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Isa Samad wajar menjelaskan kepada rakyat kenapakah tanah-tanah berstatus rezab Melayu ini turut dipajakkan ke FGV yang disenaraikan di pasaran saham? Apakah jaminan bahawa tanah-tanah ini akhirnya tidak bertukar tangan atau pembangunannya tidak bertentangan dengan semangat pewartaan Tanah Rezab Melayu yang digubal hampir 100 tahun yang lalu?

KEADILAN juga menyeru supaya setiap Kerajaan Negeri di Semenanjung yang terbabit menolak sebarang usaha untuk membatalkan status Tanah Rezab Melayu yang melibatkan tanah 105,382 ekar ini.

Kami menunggu maklumbalas Dato' Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Isa Samad sebelum memberikan lebih banyak maklumat mengenai Tanah Rezab Melayu seluas 105,382 ekar ini.

MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
28 MEI 2012

Dr Xavier : Pakatan Membawa Komuniti India Keluar Dari Estet

Posted: 28 May 2012 12:00 AM PDT

SHAH ALAM, 28 MEI : Dalam jangkamasa lima ke 10 tahun akan datang, label "warga estet" tidak boleh lagi dipakai untuk rakyat Malaysia berketurunan India yang menetap di Selangor.

Ini kerana, jika usaha Kerajaan Selangor Pakatan Rakyat berterusan, taraf kehidupan masyarakat India kelas bawahan akan meningkat sampai mereka berhijrah keluar dari ladang-ladang kelapa sawit dan getah.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata perubahan dalam kehidupan masyarakat India amat ketara sejak Pakatan mengambil tampok pentadbiran negeri.

"Masih ada yang bekerja di ladang tetapi semakin kurang. Mereka hanya tinggal di situ tetapi bekerja di kawasan luar.

"Perkembangan ini akan terus berlaku dalam tempoh lima ke 10 tahun yang mana kaum India tidak akan lagi dianggap masyarakat ladang.

"Di Selangor kita akan lihat perubahan ini dengan ia semakin kurang mengikut peredaran masa," katanya di dalam satu wawancara dengan TVSelangor.

Taraf hidup komuniti India yang semakin baik disebabkan penekanan kepada pendidikan oleh pentadbiran Pakatan.

Melalui strategi ini, anak pekerja ladang yang semakin berpendidikan akan mecari kerja di luar estet dan akan membawa keluar ibu bapa mereka yang masih tinggal di situ.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri telah menyalurkan RM 4 juta untuk pembangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh Selangor.

Selain itu RM6 juta telah diberikan untuk rumah ibadat bukan Islam termasuk kuil-kuil Hindu.

"SJKT dan kuil Hindu adalah dua institusi yang rapat dengan masyarakat India maka kita beri penekanan terhadap pembangunannya.

"Di Selangor terdapat 97 SJKT dan kita beri bantuan kepada semua sekolah ini melalui PIBG dan pengelola sekolah.

"Bila kita mula mentadbir negeri, ada antara SJKT yang kerusi meja pun tiada, makan di kantin pun terpaksa bersila.

"Sepatutnya dalam abad ke 21 ini keadaan sebegini tidak wujud lagi," ujarnya.

Dr Xavier berkata, penambahbaikan infrastruktur SJKT menyumbang kepada peningkatan pencapaian akademik pelajar India.

Sebagai contoh, sejak tahun lalu, pencapaian pelajar India dalam UPSR meningkat dari 30 ke 50.2 peratus.

Katanya, bantuan kelas tambahan, makanan dan minuman percuma serta pengangkutan bas untuk menghadiri kelas membolehkan anak komuniti India dapat mengikuti pelajaran dengan lebih baik dan sempurna.

"Untuk terus membela kaum India, kita juga telah memulakan kelas komputer di kira-kira 40 SJKT supaya semua pelajar boleh belajar dan mahir di dalam bidang teknologi maklumat.

"In bermula dari Tahun 1 hingga 6. Ini semua tambahan kepada program meningkatkan taraf hidup mereka," katanya.

Beliau berkata, dari lebih lima juta rakyat Selangor, hanya 13 peratus iaitu kira-kira 600 ribu adalah masyarakat India. Dari jumlah ini, 30 peratus adalah dari kalangan berpendapatan rendah.


Sumber: Selangorku

Tiada ulasan:

Nuffnang