Selasa, 29 Mei 2012

.

.


Kenyataan Media Presiden PAS : Mengapa PAS bersama Bersih 1, 2 dan 3

Posted: 29 May 2012 02:10 AM PDT



Memilih pemimpin negara adalah amanah besar dalam Islam, yang disebut Ulil Amri. Al-Quran mengesahkan semua rasul menentang sekeras-kerasnya ajaran yang memartabatkan pemimpin kerajaan sehingga dianggap Maha Suci daripada segala kesalahan. Di zaman keemasan umat Islam menjadi kuasa besar dunia, setiap Uli al-Amri yang dinamakan Khalifah diharamkan bersikap Maha Suci seperti Tuhan Yang Maha Esa (Allah S.W.T)

Rasulullah S.A.W bersabda : "Ketaatan terhadap pemimpin hanya dalam perkara yang baik ". Ucapan ini adalah menafsirkan perintah Allah yang dihayati di masa baginda sendiri menjadi ketua negara dan wajib diikuti oleh umatnya.

Ucapan  Abu Bakar R.A apabila dipilih menjadi ketua negara selepas wafatnya Rasulullah S.A.W : "Wahai tuan-tuan ! saya telah dipilih menjadi pemimpin kamu, padahal saya bukannya orang yang terbaik di kalangan kamu. Sekiranya saya dalam keadaan yang baik tolonglah saya, sekiranya saya dalam keadaan yang buruk perbetulkan saya. Benar adalah amanah, bohong adalah khianat ......". Beginilah juga ucapan setiap pemimpin yang dilantik selepasnya.

Amalan sistem pemerintahan Islam yang dibukukan dan dicatit oleh para ulama Islam daripada semua mazhab menjadi kajian para orentalis. Kitab-kitab seperti Muqaddimah Ibn Khaldun, Ahkam Sultaniyyah, Adab al-Wazir dan lain-lain  diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa Eropah mempengaruhi perkembangan Demokrasi Moden yang diamalkan oleh negara Barat. Walaupun mereka menerima dengan fahaman sekularisme yang dianut, memisahkan politik daripada agama, namun pengaruh inilah yang mewujudkan sistem pilihanraya yang adil dengan memberi hak kepada rakyat menjadi hakim terhadap kerajaan dan para pemimpin kerajaan yang boleh dijatuhkan sekiranya berlaku kesilapan atau kelemahan dalam mentadbir negara, rakyat pula diberi hak dalam urusan pemerintahan secara beradab. Sistem yang adil ini menggantikan revolusi rakyat secara berdarah yang banyak berlaku seperti di England, Perancis dan lain-lain. Akhirnya terciptalah demokrasi moden dengan mewujudkan pilihanraya yang adil.

Bagi mewujudkan penghakiman yang adil oleh rakyat melalui pilihan raya, maka rakyat diberi kefahaman yang benar berkenaan pilihanraya. Mereka benar-benar  memahami hak  mereka dengan larangan tegas secara undang-undang terhadap ugutan, sogokan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Pihak media diletakkan sebagai saksi yang melaporkan semua pihak kepada rakyat yang menjadi hakim, samada pihak kerajaan yang dituduh atau pihak pembangkang yang menuduh. Pihak Suruhanjaya Pilihanraya adalah badan yang bebas bagi mengendalikan urusan pilihanraya mengikut sistem pemisahan kuasa di antara badan kehakiman, perundangan dan pentadbiran yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W ketika menegakkan negara contoh di Madinah.

Sistem ini diterima oleh semua parti Islam di seluruh dunia termasuk PAS, yang ditubuhkan  daripada gerakan tajdid dan islah kerana demokrasi moden menjadi medan  politik paling sesuai dengan Islam yang mengutamakan secara damai.  Keseluruhan negara Barat dan termasuk negara komunis sekarang telah berubah, menerima sistem demokrasi pilihanraya yang adil, sehingga tidak ada parti dan pemimpin kerajaan boleh mendabik dada bahawa mereka Maha Suci daripada segala sifat kekurangan dan tidak ada kesilapan langsung.

Sistem demokrasi moden ini menjadikan parti kerajaan dan pemimpinnya sentiasa berwaspada dan sedia ditolak dan dihukum oleh rakyat, maka berlakulah perlumbaan yang sihat bagi melakukan yang baik dan menolak yang munkar, menjadikan riadah yang menjadikan hak rakyat dan kerajaan sentiasa sihat, kerana silih berganti apabila berlaku setiap kelemahan dan para pemimpin sangat berhati-hati menunaikan amanah.

Di Amerika pernah dibatalkan kemenangan seorang presiden dalam peristiwa yang terkenal dengan nama skandal Water Gate. Di England  pula menjatuhkan kerajaan kerana skandal salah seorang menteri kabinetnya dengan pelacur yang berkait dengan perisikan negara asing. Di India membatalkan kemenangan seorang perdana menteri kerana menyalahgunakan jentera kerajaan dan banyak lagi. Di zaman kini banyak negara yang dibelenggu dengah sistem dictatorship terpaksa berubah kepada sistem demokrasi pilihanraya yang adil.

Negara kita Malaysia yang tercinta ini mengalami sistem demokrasi menuju ke arah yang lebih buruk dan memalukan. Surahanjaya Pilihanraya yang tidak bermaya untuk melakukan reformasi demokrasi yang sebenar kerana tidak diberi kuasa yang sebenar mengikut takrif demokrasi dan tidak berlaku pemisahan kuasa yang sebenar. Kedudukannya berada di bawah siapa parti yang memerintah mengikut arahan secara nyata dan sulit bagi mengekalkan sistem satu parti seperti negara komunis, secara agenda yang diatur begitu rupa. Media arus perdana sebelah pihak yang menutup minda rakyat mengetahui segala kelemahan kerajaan, seolah-olah  menjadikan kerajaan itu Maha Suci sepanjang hayat seolah-olah tidak ada ajal dan tidak ada hari kiamat. Daftar pengundi yang tidak masuk akal, seperti jumlah isi rumah laksana sebuah kampung dan  penduduk kampung yang ramai laksana satu daerah kerana terlalu gelojoh mangambil pengundi bagi menjamin kemenangan parti yang sedang memerintah walaupun sudah banyak senarai penyelewengan sehingga dilupai yang telah berlaku sebelumnya tanpa tindakan yag adil. Politik wang yang membarah ke dalam parti kerajaan dan masuk pula ke dalam rakyat, ke lapangan pilihanraya umum.

Semua yang berlaku adalah kemunkaran yang mencalarkan imej Islam yang menjadi agama negara mengikut perlembagaan dan banyak kemunkaran yang wajib dicegah dan kezaliman yang wajib disanggah.

PAS wajib menyampaikan risalah Islam kepada seluruh manusia dengan memberi kefahaman yang betul kepada penganut Islam dan memperkenalkan Islam kepada bukan Islam, bagi mengajak kepada makruf dan mencegah kemunkaran kerana Rasulullah S.A.W mewajibkan kepada setiap orang Islam menyampaikan mesej sebenar, menyatakan yang benar dan mencegah kemunkaran mengikut kemampuan masing-masing dengan tangan, lidah dan perasaan benci dalam hati. Demonstrasi aman yang menjadi salah satu daripada amalan demokrasi moden adalah salah satu cara menunjukkan kebencian dalam hati.

Rasulullah S.A.W mengizinkan para sahabatnya keluar beramai-ramai daripada persembunyian mereka di Makkah selepas Islamnya Hamzah dan Umar R.A bagi menunjukkan sikap mereka terhadap pemimpin Makkah yang zalim  secara terbuka dan aman tanpa senjata.

Ketika berada di Madinah dan telah wujud negara yang berkuasa, tiba-tiba Rasulullah S.A.W bersabda kepada para sahabatnya, menyebut  peristiwa lama berlaku sebelum dilantik manjadi Rasul: "Aku pernah dibawa oleh bapa-bapa saudaraku ke rumah Abdullah bin Judaan bagi mengadakan Halaf Fudul  (persefahaman dan kerjasama) bagi membela mereka yang dizalimi dan menentang mereka yang zalim secara bersama. Sekiranya perkara ini dibawa kepadaku sekarang nescaya aku menyertainya ".


Rasulullah menerima secara positif segala sifat yang baik secara fitrah yang ada dalam diri manusia termasuk bukan Islam, sehingga menghargai keluarga Hatim al-Toei  seorang pemimpin kabilah yang suka menolong dan meraikan tamu  di zaman jahiliyyah dan banyak lagi contoh yang lain.

Bersih adalah gabungan kerjasama NGO berbagai agama dan parti-parti politik pelbagai ideologi yang menganjurkan demonstrasi aman bagi membantah pilihanraya yang mengotorkan amalan Demokrasi di Malaysia, ramai kalangan mereka tidak terlibat secara langsung dalam pilihanraya, tetapi sifat fitrah manusia yang bencikan zalim, tipu dan lain-lain.

PAS berpendapat bahawa BN telah banyak menyeleweng daripada konsep demokrasi yang adil. UMNO sendiri telah lama merosakkan imej Islam. Ajaran Islam meletakkan politik adalah amanah  besar yang diamalkan para Rasul seluruhnya, tiba-tiba dikotori dengan banyak perkara yang memalukan, seperti menyalahgunakan kuasa secara penipuan dan zalim bukannya bertahan dengan akhlak yang mulia. Amanah politik dijadikan peluang mengumpul harta dan menaikkan pangkat, bukannya amanah yang wajib ditunaikan. Harta dan kuasa dijadikan senjata mengugut rakyat, laksana dajjal yang zahir di akhir zaman, menawarkan kesenangan untuk pengikutnya sahaja, sesiapa yang tidak mengikutnya menerima padah.

Akhirnya PAS wajib mencegah kemungkaran besar yang sedang berlaku ini, hujah lebih kuat lagi apabila membaca amanat Rasulullah S.A.W: "Sama ada kamu menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran atau berdiam diri, nescaya orang-orang yang jahat memerintah kamu, lalu orang-orang yang baik berdoa, tiba-tiba doanya tidak diperkenankan oleh Allah".  Sabdanya lagi: " Menyatakan yang benar kepada kerajaan yang zalim adalah jihad paling afdal ".


PAS tidak membenarkan para ulamanya menjadi syaitan bisu yang berdiam diri terhadap kebenaran di hadapan mata yang wajib ditegakkan dan kemunkaran nyata yang wajib ditegah, PAS tidak mengizinkan para ulamanya menjadi burung kakak tua yang bercakap hanya mengikut apa yang diajar oleh tuannya sahaja dan tidak mampu menilai sendiri.

Adapun alasan berlakunya kekacauan selepas itu, adalah disebabkan salah laku kerajaan terhadap perhimpunan aman, seperti melarang berhimpun di padang dataran merdeka yang menjadi tempat berhimpun dan provokasi pihak yang diadakan sendiri atau diizin oleh kerajaan sendiri. Sikap tidak adil melantik kumpulan penyiasat yang ditunjukkan oleh satu pihak kerajaan sahaja adalah cara yang tidak bermoral untuk menegakkan keadilan yang sebenar. Lebih tidak adil lagi apabila adanya tangkapan selepas bersurai dan menyeksa mereka yang ditangkap, dimaki hamun dan sebagainya.  Ini bukan cara yang bijak untuk mempertahankan kerajaan, bahkan cara menggali lubang sendiri untuk jatuh dengan cara memalukan. Bukan sahaja menjadi sunnah alam dan nas al-Quran dan hadith, serta doa mereka yang dizalimi pasti diperkenan Allah walaupun daripada seorang yang bukan Islam.

Akhirnya, kalau bangsa Melayu masih bersama UMNO yang tidak menegakkan Islam yang sebenar, berlakulah amaran Allah:
وَإِنْ تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَكُمْ ( 38
Maksudnya: Sekiranya kamu berpaling (tidak mahu menegakkan agama kamu) nescaya Allah menukarkan kaum lain, kemudian mereka tidaklah seperti kamu. (Surah Muhammad: 38)

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

Pas Tetap Dengan Pendirian “Perjuangkan Islam Dapat Pahala”

Posted: 28 May 2012 09:45 PM PDT




SHAH ALAM 28 MEI : Pemimpin Pas hari ini berkata bahawa parti itu tidak ada sebab untuk menarik balik pendiriannya bahawa sesiapa yang menyokong parti itu akan mendapat pahala.
Mereka berkata ini kerana PAS memperjuangkan Islam berpandukan Al-Quran dan Sunnah.

Ahli Majlis Syura Ulama Pas Ahmad Awang berkata badan itu telah memutuskan pendirian itu berdasarkan kaedah-kaedah syarak di dalam Al-Quran yang mengatakan sesiapa yang memperjuangkan Islam maka ganjaran pahala akan diberikan.
"Maka, jika dilihat dalam konteks negara Malaysia, kita boleh melaksanakan tugas itu melalui pilihanraya, jika mahu menyokong mestilah dengan cara mengundi."
Manakala Ketua Penerangan Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pendirian Pas selari dengan ketetapan hukum syarak.
"Jika kita menyokong perbuatan jahat kita turut akan mendapat dosa," katanya apabila dihubungi TVSelangor.

Mereka mengulas kenyataan Pengerusi Jawantankuasa Kerja, Himpunan Ulama Muda Malaysia (ILMU), Fathul Bari Mat Jahaya di dalam satu laporan akhbar pro-Umno hari ini.
Fathul mengatakan PAS perlu menarik balik 'fatwa' mengatakan individu yang mengundi PAS akan mendapat balasan syurga kerana ia ternyata terkeluar daripada ajaran Islam.
Akhbar pro-Umno tersebut juga mengeluarkan kenyataan dari seorang ulama Saudi Arabia yang menegaskan fatwa propaganda yang mengatakan seseorang itu akan masuk syurga jika mengundi parti tertentu adalah satu kejahilan, kebodohan dan kesesatan.

Kenyataan itu dikeluarkan ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram, Sheikh Dr. Sulaiman Saloomi.
Ahmad menambah, PAS tidak menjanjikan syurga kerana ianya hanya dijanjikan oleh Allah SWT.
"Kita cuma mengikut apa yang di dalam Al-Quran dan Hadis. Jika seseorang mendapat pahala, tidak mustahil dia akan mendapat ganjaran syurga seperti yang dijanjikan oleh Allah SWT," katanya.

Berkenaan kenyataan Sulaiman, Ahmad menyifatkan ulama tersebut seperti 'katak di bawah tempurung'.
Katanya, Sulaiman sepatutnya faham di Arab Saudi tidak sama dengan Malaysia kerana negara beliau mengharamkan parti politik dan pilihanraya.
"Jadi sesiapa ulama tidak kira dari negara mana sekali pun tidak boleh bercakap pasal politik Malaysia kerana setiap negara berbeza.
"Kita di Malaysia banyak parti politik yang memperjuangkan fahaman dan ideologi.
"Jadi beliau kena faham. Datang ke sini, tengok apa yang sebenarnya berlaku kerana beliau tidak berhak untuk mengeluarkan pendapat melainkan dia mengetahui.
"Ini menunjukkan kejahilan beliau," katanya.

Selain itu, Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abdul Rani Osman pula berkata jangan disebabkan terdesak dan menggelabah, Umno-BN terpaksa mencari orang lain untuk membantu mereka.
Katanya, PAS tidak akan bersengkokol dengan parti yang makan duit rakyat.
"Dari kecil lagi kita sudah diajar untuk memilih makanan yang halal, tetapi jika makanan itu dicuri ianya tetap haram.
"Begitu juga dengan pendirian PAS. Kita bukan menjanjikan syurga tetapi akan mendapat pahala jika menyokong perjuangan Islam. Itu sudah termaktub di dalam Al-Quran," katanya.

Source: http://www.selangorku.com/?p=8612&utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=pas-tetap-dengan-pendirian-perjuangkan-islam-dapat-pahala

Pembinaan Lebuh Raya Rakyat: KB - KK

Posted: 28 May 2012 09:33 PM PDT

Tahniah Rakyat Kelantan
Semalam satu lagi kejutan politik yang saya kira serius dilakukan oleh kerajaan Kelantan apabila Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah melakukan pecah tanah bagi merasmikan pembinaan lebuh raya sepanjang kira-kira 70km dari Kota Bharu ke Kuala Krai. Majlis itu berlangsung di Felcra Mek Nab, Machang Kelantan.

TMB Ahmad Yaacob menyerahkan derma bagi pihak Ladang Sungai Terah SB.
Dengan perlancaran itu kini terpacak satu lagi monumen politik di Kelantan. Rakyat Kelantan yang selamanya hidup berdikari tentulah bangga dengan apa yang berlaku itu.
 
Kerajaan Kelantan mengambil tanggungjawab dan usaha untuk membina lebuh raya di negeri itu bagi mengatasi kesesakan lalu lintas terutamanya pada musim perayaan. Selain itu pembinaan itu juga bagi menunjukkan kepada rakyat terutamanya para penuduh dan pendusta Umno kononnya Pas tidak inginkan pembangunan. Pembinaan itu di samping menjawab dan menyatakan hakikat sebenar ia juga mencabar Umno yang melaungkan untuk membangun Kelantan.

Pembinaan lebuh raya itu juga membuktikan kerajaan Kelantan komited dengan amanah dan tanggungjawab untuk rakyat negeri Kelantan. Signifikennya pula ia membuktikan bahawa kerajaan Pas Kelantan sedia menghadapi apa juga kesulitan dan membuka pintu korban untuk rakyat.  Dari sisi agama kaedah pembinaan lebuh raya itu ia memberi peluang kepada rakyat Kelantan khasnya dan orang ramai untuk menambahkan kebajikan.

Ada yang pesimis dengan usaha kerajaan Kelantan itu. Pihak Umno memberi gambaran negatif terhadap pembinaan lebuh raya itu yang mana tidak sepatutnya diperlakukan demikian. Baik Mustapa Mohamed atau Awang Adek Hussein patut menyokong usaha itu selepas mereka gagal untuk mempengaruhi Najib Razak supaya meneruskan projek yang telah diluluskan itu. Kalau pun tidak mahu menyokong mereka perlu mendiamkan diri tunggu dan lihat terlebih dahulu.

Malangnya beliau tidak bersikap positif dan seakan mahu mengejek usaha murni berkenaan. Tidak ada manfaat atau pun kebaikan kalau mereka berdua memandang kecil usaha berkenaan. Sekiranya kerajaan Pas Kelantan dapat menyiapkan dalam tempoh ditetapkan ia akan memberi pukulan maut kepada Umno. Saya yakin lebuh raya itu kalau dapat disiapkan ia akan menjadi mercutanda baru pemerintah Pas Kelantan.

Seperti mana saya sebut sebelum ini semua pihak hendaklah berganding bahu menjayakan projek berkenaan. Jangan melihat projek itu sebagai projek mainan individu tertentu sahaja. Ia perlu menganggap projek bernilai RM1.8 billion itu adalah projek raksasa bagi Pas Kelantan sepanjang ia memerintah selama 22 tahun. Juga jangan lihat ada udang di sebalik pembinaan itu tetapi cuba teduhkan hati dan lihat mantlamat utamanya. Udang-undang kecil di sebalik projek itu boleh diperjelaskan!

Tidak salah saya rasakan bagi mereka yang mengakui sayang, kasih dan menyanjungi Tok Guru Nik Aziz untuk sama-sama terlibat dalam pembinaan lebuh raya berkenaan. Para penyokong, peminat dan ribuan anak murid Tok Guru Nik Aziz di seantero dunia boleh menyatakan penglibatan mereka dengan pembinaan itu dengan pelbagai cara termasuklah menghulurkan sumbangan derma ikhlas.

Manakala bagi yang tidak berupaya, cukup setakat memberi tepokan dan sokongan moral, berdoa atau pun menguar-uarkan kepada rakyat mengenai pembinaannya yang dibuat atas titik peluh rakyat Kelantan sendiri. Seperti mana saya uar-uarkan dalam Fb saya malam tadi saya juga akan melancarkan kutipan derma dari kalangan rakan dan ahli Fb saya dengan syarat 100 orang menyatakan persetujuan. (Sila rujuk ke Fb saya).

Usaha ini bukan apa, bukan untuk mengenapkan RM1.8 billion itu, tetapi demi menunjukkan sokongan dan rasa bangga dengan sifat dan budaya orang Kelantan yang tidak pelahap kepada apa yang orang tidak beri dan rela berkorban untuk mengubahkan diri sendiri. Pastinya pembinaan lebuh raya rakyat (LRR) itu akan menjadi sebutan selamanya. Dan kalau boleh biarlah kita semua turut merasakan lebuh raya itu sebagai hak peribadi dengan derma yang tidak seberapa itu.

Sesungguhnya derma itu akan lebih bermakna daripada kita membayar tol setiap kali kita melalui lebuh raya di negara ini yang ada kalanya untuk satu perjalanan dari jarak tertentu kita kena korbankan sebanyak RM70.00.

Saya sangat berharap dan berdoa saya dan rakan-rakan Fb dan penjenguk blog Merah Tinta juga dapat memberi sumbangan dan menginfakkan beberapa sen duit kita untuk pembinaan lebuh raya itu. [wm.kl.9:14 am 29/05/12]

Source: http://msomelayu.blogspot.com/2012/05/pembinaan-lebuh-raya-rakyat-kb-kk.html

Tiada ulasan:

Nuffnang