Rabu, 16 November 2011

ZULKIFLI BIN NOORDIN

ZULKIFLI BIN NOORDIN


DITIKAM BELAKANG!

Posted: 15 Nov 2011 07:15 PM PST

(Pak Yangoat ditangkap menikam belakang kaum Yangoat)

Salam 2 all.

Semalam semasa perbahasan peringkat jawatankuasa melibatkan Kementerian Pembangunan Wilayah Persekutuan & Kesejahteraan Bandar, isu berkaitan dengan pembangunan Kg. Baru Kuala Lumpur dan Perbadanan Pembangunan Kg. Baru (PPKB) yang baru diluluskan oleh Parlimen dibangkitkan.

Kebetulan teman punya hubungan baik dengan beberapa penduduk dan pemilik asal Kg. Baru. Teman terlibat secara aktif dengan isu pemilikan hartanah Kg. Baru ni sejak awal 1990an, samada kes perwarisan, kes penggadaian, kes penipuan ahli keluarga dan macam-macam lagi. Teman juga kerap mengadakan pertemuan, menghadiri dan mengadakan kuliah, ceramah dan lain-lain sekitar Kg. Baru.

Teman dapati ada usaha jahat oleh kumpulan tertentu untuk memperdaya dan membohongi segelintir penduduk dan pemilik tanah di Kg. Baru dengan fitnah kononnya PPKB ditubuhkan untuk merampas hak milik tanah daripada para pemilik. Ada juga kalangan pemilik yang terpengaruh dengan pembohongan dan fitnah ini, dan walaupun jumlahnya tidak ramai tetapi menjadi saperti "duri dalam daging" bagi majoriti pemilik yang mahukan pembangunan hartanah mereka!

Teman pelik dengan kaum yang tidak habis-habis dengan politik dualam, melakukan pembohongan dan putar-belit hanya untuk mendapat sokongan dan undi demi memenuhi nafsu serakah untuk berkuasa! Politik "matlamat menghalalkan cara" yang dipelopori oleh Machiavelli ini diperkudakan dengan begitu rakus sehingga teman rasa Machiavelli sendiri pun akan terkejut dengan sikap mereka.

Mereka mendakwa konon PPKB akan merampas hartanah pemilik Kg Baru, sedangkan hakikatnya PPKB ditubuhkan untu menjadi pemudahcara & fasilitator bagi pemilik tanah membangunkan tanah mereka. Contoh terbaik yang dapat dilihat ialah pembangunan tanah milik Zikay Holding dipersimpangan Masjid Jamek Kg. Baru.

Dengan bantuan dan memudahcara pihak berkuasa terutamanya DBKL, Zikay Holding kini sedang dalam proses membina sebuah menara dipanggil Mercu Zikay. Menara setinggi 40 tingkat ini mengandungi hotel 5 bintang, kondominium mewah dan sederhana serta mampu milik, ruang pejabat dan dewan.

Yang cantiknya pembangunan Mercu Zikay ini ialah, pemilik tanah tidak hilang tanah, malah kekal memilikinya dan mempunyai beberapa unit kondo disitu untuk keluarga dan lain-lain, dapat membuat pembangunan, ramai orang Melayu lain dapat berkongsi milik, dapat memberi peluang kerja kepada orang Melayu khususnya penduduk Kg. Baru, dan menjadikan Kg. baru berdaya saing dan setaraf dengan pembangunan dikawasan lain di bandaraya Kuala Lumpur ini.

Langsung tak timbul soal pemilik tanah Zikay ini kehilangan tanah. Bukan sahaja mereka kekal memiliki hartanah tersebut, malah nilai hartanah mereka akan naik berlipat kali ganda. Bak kata pepatah Melayu, "tak abis 7 keturunan makan yop!".

DAN YANG PALING HEBAT, PEMBANGUNAN INI DIMILIKI DAN DILAKSANAKAN SERATUS PERATUS OLEH ORANG MELAYU!

Tapi cuba kita lihat sebaliknya. Lihat apa terjadi kepada penduduk dan pemilik rumah pangsa PKNS Pusat Bandar Taman Keramat di Jalan Jelatek, Kuala Lumpur (lihat lapuran dibawah). Ini adalah kawasan yang sangat strategik, berdekatan dua stesyen LRT (Jelatek & Datuk Keramat). Tak sampai 10 minit ke KLCC. Kawasan Datuk keramat ini adalah kawasan penempatan hampir 100% orang Melayu. Rumah pangsa PKNS ini adalah dimiliki hampir 100% orang Melayu dari kalangan marhaen.

Hari ini, atas nama pembangunan, rumah pangsa ini diruntuhkan. Pemilik-pemilik sudah dikeluarkan dan mengosongkan rumah masing-masing. Bagi mereka yang enggan menyerahkan hakmilik, hartanah mereka dirampas dengan cara pengambilan wajib. Maka hilanglah satu lagi penempatan orang Melayu dipinggir Bandaraya Kuala Kuala Lumpur.

Kawasan ini akan dibangunkan dengan kediaman mewah, hotel mewah, pejabat dan pusat beli belah! Ia dibuka untuk pemilikan kepada semua bangsa dan kaum. Teman tidak menentang pemilikan hartanah oleh kaum lain, tetapi persoalan pokoknya mengapa kawasan penempatan Melayu menjadi mangsa! Mengapa tidak dibuat saperti yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan, dengan menubuhkan sebuah Perbadanan Pembangunan Datuk Keramat dengan tujuan membantu, memudahcara dan sebagai fasilitator kepada orang Melayu pemilik rumah pangsa tersebut membangunkan hartanah milik mereka.

SEBALIKNYA MENGAPA UNDANG-UNDANG DIGUNAKAN UNTUK MERAMPAS HARTANAH MILIK ORANG MELAYU KONON ATAS NAMA PEMBANGUNAN!

Dan dari segi politiknya, siapa sebenarnya ynag menggunakan undang-undang untuk merampas tanah orang Melayu didalam Bandaraya Kuala Lumpur? Apakah kaum ini boleh dipercayai untuk menyelesaikan masalah yang sekian lama dihadapi oleh orang Melayu Kg. Baru?

Apapun, hakikatnya ialah orang Melayu pemilik rumah pangsa PKNS Pusat Bandar Taman Keramat telah hilang pemilikan hartanah mereka. Mereka merasakan telah teraniaya, kerana bukan sahaja mereka tidak dibantu membangunkan tanah mereka, malah undang-undang diguna untuk merampas tanah mereka. Ada antara mereka adalah penyokong Pakatan pembangkang dalam pilihanraya lepas. Kini mereka merasa telah dikhianati, "ditikam dari belakang!".

Sama saperti penduduk Kg. Buah Pala di Pulau Pinang. Orang yang berjanji kepada mereka bukan kepalang orang, ketua pembangkang sendiri. "Beri kami undi, bila kami memerintah sahaja, dalam seminggu kami akan beri pemilikan tanah ini kepada kamu" begitu janji manis ditabur kepada kaum India penduduk Kg. Buah Pala. Abis madu sepah dibuang.

Sebaik menang sahaja, jangankan hakmilik, tanah mereka dirampas dan mereka dihalau keluar. Jentolak dihantar untuk meruntuhkan rumah para penduduk. Teman teringat lagi tangisan dan rintihan penduduk waktu itu yang langsung tidak dikasihani. Mereka dikhianati. Mereka ditikam "dari belakang". Kini baru mereka sedar.

Teman berharap rakyat Malaysia, termasuk bangsa Melayu umat Islam membuka mata melihat gelagat politik dua alam yang penuh dengan pembohongan dan putar-belit yang dimainkan oleh pembangkang. Mereka akan tabur apa sahaja janji pemanis mulut penyedap telinga hanya untuk mendapat undi. Kelak nanti bila mereka mendapat undi dan sokongan, mereka akan khianati dan "menikam dari belakang".

Kata pepatah Inggeris, "you get what you vote for". "Kamu akan mendapat apa yang kamu sokong". Kamu sokong pengkhianat dan "penikam belakang", itulah nanti yang akan kamu dapat. Tepuk dada tanyalah otak sendiri yop!

Adios amigos, grasias senor.

Zulkifli Bin Noordin
Rabu
20 ZulHijjah 1432
16 Nov 2011

######################

KUALA LUMPUR 15 Nov. - Pemilik rumah pangsa Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Pusat Bandar Taman Keramat di Jalan Jelatek di sini kesal dengan tindakan Kerajaan Negeri Selangor menggunakan Akta Pengambilan Tanah untuk 'merampas' hak mereka.

Mengibaratkan tindakan itu seperti menikam dari belakang, mereka mendakwa tindakan itu diambil bagi menidakkan hak pemilik untuk mendapat pampasan yang sudah dipersetujui.

Wakil penduduk, Fadhilah Saharin, 38, berkata, 14 pemilik unit rumah dan kedai yang enggan menerima pampasan yang ditawarkan dahulu diarahkan keluar dari premis mereka pada Oktober lalu.

Katanya, apa yang mengecewakan adalah kerajaan Selangor memberikan pampasan yang tidak setimpal iaitu RM130,000 kepada rumah dua bilik dan RM155,000 bagi kedai satu bilik.

Pampasan yang ditawarkan oleh PKNS sebelum ini adalah antara RM250,000 dan RM500,000.

"Kita sifatkan ini menikam dari belakang kerana enam bulan sebelum itu, perbincangan telah dibuat dan PKNS telah bersetuju untuk membayar pampasan sebanyak RM350,000 bagi rumah dan sedang berbincang mengenai jumlah pampasan untuk kedai.

"Tetapi pihak terbabit kemudiannya menggunakan kerajaan negeri dan kuasa di bawah Akta Pengambilan Tanah untuk mengambil premis kami secara paksa," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Fadhilah berkata, penduduk terpaksa akur dengan tindakan itu dan menerima pampasan tersebut tetapi dalam masa yang sama akan terus menuntut pampasan yang setimpal.

Ini kerana, katanya, sejak 2010, penyenggaraan flat itu tidak dijaga sehingga pemilik terpaksa hidup dalam keadaan rumah yang bocor serta sampah yang tidak dikutip walaupun membayar yuran penyenggaraan RM15 sebulan.

Kawasan tapak flat kos rendah seluas 2.4 hektar itu akan dibangunkan dengan projek Datum Jelatek yang bertujuan menukar kawasan hartanah itu menjadi lebih moden.

Projek bernilai RM1.2 bilion itu akan mengandungi kawasan kediaman mewah, bangunan pejabat, pusat beli-belah dan hotel.

Tiada ulasan:

Nuffnang