Khamis, 14 Julai 2011

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Guan Eng: IGP Benar MP Lawat Wakil Rakyat Sg Siput

Posted: 14 Jul 2011 01:00 AM PDT

KUALA LUMPUR, 14 Julai — Polis membenarkan ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat melawat wakil rakyat Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar di Bukit Aman esok susulan permintaan dibuat kelmarin, kata Lim Guan Eng hari ini.

Setiausaha Agung DAP berkata, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar telah memberi kebenaran kepada tiga ahli Parlimen untuk melawat Jeyakumar di ibu pejabat polis di Bukit Aman.

Lim membuat permohonan selepas sembilan ahli Parlimen tidak dibenarkan bertemu dengan wakil rakyat penggal pertama itu, yang kini ditahan di bawah Ordinan Darurat, di Institut Jantung Negara.

"Saya telah mengemukakan permohonan kepada Tan Sri Ismail untuk melawat YB Dr Michael Jeyakumar (gambar) pada 12 Julai, beliau membalas surat pada 13 Julai (semalam) dan memberitahu bahawa YB Dr Michael Jeyakumar telah pun keluar dari Institut Jantung Negara.


"Dalam suratnya, Tan Sri Ismail juga mengatakan bahawa pihak polis membenarkan lawatan ke atas YB Dr Michael Jeyakumar di Bukit Aman," katanya.

Jeyakumar telah dibenarkan keluar IJN petang semalam dan masih ditahan polis bersama lima pemimpin Parti Sosialis Malaysia yang lain.

Lawatan ke atas beliau akan diadakan esok, kata Lim dalam satu kenyataan pagi ini.

Bagaimanapun lawatan terhad kepada tiga ahli Parlimen sahaja, kata Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Sehubungan itu, ahli Parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang dari DAP, Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) dan R Sivarasa (PKR-Sivarasa) akan melawat Jeyakumar.



Sumber: The Malaysian Insider

Sebelas Doktor Sahkan 2 Hospital Diserang

Posted: 13 Jul 2011 07:22 PM PDT

Sekumpulan doktor kanan dan pakar perubatan telah mengeluarkan kenyataan membidas kerajaan berhubung 'serangan polis' ke atas peserta perhimpunan BERSIH 2.0 Sabtu lalu di dua buah hospital.

Sehubungan itu, dalam satu kenyataan media yang dihantar kepada Malaysiakini lewat hari ini, doktor berkenaan yang bertugas di Hospital Tung Shin dan Hospital Bersalin Cina di Jalan Pudu berkata mereka akan mengemukakan afidavit bagi menyokong hujah bahawa hospital diserang.

Mereka mendakwa tindakan polis pada Sabtu lalu jelas mencabul pengiktirafan antarabangsa apabila hospital sebagai tempat santuari diserang.

Malah menurut sebeles doktor berkenaan, semasa peperangan hospital juga tidak akan diserang tetapi dalam kes di Malaysia, polis memasuki bangunan hospital bagi mencari peserta yang melarikan diri daripada tembakan gas pemedih mata dan pancutan air berkimia.

"Apa yang paling memeranjatkan dan disaksikan ramai bahawa serangan yang tidak diprovokasi itu berlaku di kawasan hospital dan beberapa peserta masuk ke hospital bagi mencari perlindungan daripada tembakan gas pemedih mata dan pancutan meriam air," kata mereka.

Ini adalah reaksi pertama oleh sekumpulan pakar perubatan berikutan penafian pihak polis dan kerajaan bahawa tidak ada gas pemedih mata dilontarkan ke perkarangan hospital berkenaan pada 9 Julai lalu.
Isnin lalu, menteri kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata polis tidak menembak gas pemedih mata dan meriam air ke arah Hospital Tung Shin ketika menyuraikan perhimpunan BERSIH 2.0.

Katanya, dakwaan yang berlegar di media internet berhubung tembakan ke arah hospital itu adalah tidak benar.

Liow juga berkata sebenarnya polis menembak gas pemedih mata itu ke arah jalan besar dan asap berkenaan mungkin dibawa angin ke arah hospital berkenaan.

Beberapa rakaman video dan gambar yang dikemukakan terus diperlekehkan oleh kerajaan termasuk anggota jemaah menteri.

Menurut kesebelas-sebelas doktor berkenaan, pihak berkuasa tanpa rasa malu terus menafikan serangan itu di sebalik pelbagai bukti yang dikemukakan dan ramai saksi yang tampil membuat pengakuan.

Kenyataan media itu ditandatangani oleh Datuk Dr Musa Nordin, Dr Sheikh Johari Bux, Dr Ng Kwee Boon, Dr Ng Swee Choon, Dr Jeffrey Abu Hassan, Dr David Quek, Dr Mary Cardozo, Dr Ahmad Farouk Musa, Dr Mazeni Alwi, Datin Low Low Paik See dan Dr Steve Wong.

"Adalah menjijikkan pihak berkuasa yang diamanahkan tanggungjawab kepolisian menjaga negara dan melindungi mereka yang lemah, tanpa rasa malu menafikan perbuatan mereka secara umum, di sebalik kejadian itu disokong banyak gambar, video dan pengakuan saksi termasuk pemerhati berkecuali," kata mereka.

Doktor-doktor itu berkata mereka tidak berhasrat menyertai polemik selepas perhimpunan itu, tetapi sebahagian daripada mereka yang sedang bertugas ketika kejadian, bersedia memberi keterangan bersumpah, jika diperlukan bagi memberitahu apa yang sebenarnya berlaku.

Mereka juga mengingatkan pemegang jawatan awam untuk menunaikan tanggungjawab mereka dengan "integriti moral, maruah, dan penuh ketelusan".

"Kegagalan mereka untuk berbuat demikian akan menimbulkan keraguan orang ramai terhadap kecekapan dan kredibiliti mereka dan juga merosakkan imej orang-orang di pejabat awam," kata mereka.


Sumber: Malaysiakini

Selangor Bangun ‘Workfare Information System’

Posted: 13 Jul 2011 02:00 AM PDT

SHAH ALAM 13 JULAI – Selari dengan dasar kerajaan "Dari kebajikan kepada berdikari" (Wellfare to workfare), kerajaan Selangor akan membangunkan satu sistem yang dikenali sebagai "Workfare Information System" untuk memberi fokus kepada golongan rakyat miskin atau asnaf bagi menjana ekonomi dengan memberikan bantuan serta peluang pekerjaan dan perniagaan dengan bimbingan khusus dari kerajaan negeri.

Menjawab pertanyaan mulut daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sijangkang Dr Ahmad Yunus Hairi tentang status terkini perancangan sistem tersebut, Exco Kerajaan Negeri Selangor Rodziah Ismail menjelaskan keutamaan akan diberikan kepada golongan-golongan terpinggir, pekerja kurang mahir dan berpendapatan rendah untuk menjana ekonomi sendiri melalui bantuan modal asas dan latihan yang disediakan.

Ujar Rodziah, melalui penceburan dalam bidang-bidang tertentu, mereka akan dapat menjana serta mempertingkatkan pendapatan sendiri supaya taraf hidup mereka berubah dari semasa ke semasa selain berupaya menjalani kehidupan sama seperti warga Selangor yang lain.

Selain itu menurut beliau dengan adanya sistem ini, maklumat-maklumat graduan dari keluarga miskin yang merupakan rakyat Selangor dapat dikumpulkan.

"Kerajaan negeri akan memberi fokus kepada graduan yang berminat untuk menceburi bidang keusahawanan yang akan diberikan bimbingan, latihan dan kemahiran melalui program mentor-mentee bagi membaiki diri mereka untuk mempunyai kesungguhan yang tinggi, berdaya saing dan mempunyai sikap jati diri yang positif.

Kursus-kursus motivasi juga akan diberikan kepada mereka bagi mengubah minda mereka supaya lebih berwawasan dan menjadikan mereka berupaya membina hala tuju kehidupan ke arah positif," katanya.

Jelas Rodziah, sistem maklumat Workfare ini juga akan membangunkan satu pangkalan data bersepadu yang akan mengintegrasikan maklumat berkaitan bantuan kerajaan negeri Selangor yang telah disalurkan kepada rakyat bagi merancang, melaksana dan memantau program kemiskinan tanpa ada pertindihan bantuan.

Beliau berkata, perolehan dan peruntukan kos untuk membangunkan sistem tersebut diluluskan Perbendaharaaan Negeri Selangor dan Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi dengan kerjasama Bahagian Teknologi Maklumat dalam proses mengumpulkan data-data daripada kesemua agensi kerajaan yang telah dikenalpasti.

"Kita juga mendapatkan maklumat dan membuat beberapa sesi lawatan kepada agensi-agensi yang terlibat secara langsung dalam memberikan bantuan dan menyediakan keperluan sistem dan seterusnya membuat perolehan pembangunan sistem secara tender terbuka," ujar beliau.

Menurut Rodziah, sistem ini akan dilaksanakan secara web-based iaitu mewujudkan satu portal khusus yang memberi bantuan kepada rakyat Selangor dan boleh diakses mana-mana agensi atau jabatan atau Pusat Khidmat Dun yang diberi kebenaran untuk mengakses maklumat ini oleh kerajaan negeri seperti mana sistem Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Rodziah berkata, ianya boleh dijadikan perancangan agensi untuk menyalurkan bantuan dan memudahkan Pusat Khidmat Dun serta agensi pemberi bantuan memilih penerima bantuan kemiskinan atau memberi mereka dana untuk menceburi bidang perniagaan atau keusahawanan dalam mempertingkatkan taraf hidup.


Sumber: TVSNEWS

Belum Ada Syarikat 'Penyelamat' Hospital

Posted: 13 Jul 2011 01:30 AM PDT

Usaha mencari kontraktor baru bagi 'menyelamatkan' pembinaan Hospital Shah Alam terus buntu dengan kali ini Kementerian Kewangan dan Jabatan Kerja Raya (JKR) tidak bersependapat dengan kontraktor pilihan masing-masing.

Bulan lalu, kementerian berkenaan menolak cadangan JKR bagi melantik sebuah syarikat tempatan Gadang Engineering (M) Sdn Bhd bagi menerusi projek yang terbelangkai itu.

Gadang adalah kontraktor utama kerajaan dan telah membida projek awam bernilai RM2 bilion pada tahun lalu sahaja.

"Permohonan JKR bagi melantik Gadang ... tidak diluluskan. Pendirian Kementerian Kewangan sebelum ini kekal," kata kementerian itu dalam sepucuk surat bertarikh 17 Jun yang sesalinannya diperolehi oleh Malaysiakini.

Surat itu ditandatangani oleh seorang pegawai tinggi kementerian berhubung permohonan JKR bertarikh 2 Jun itu.

Sebelum ini, kementerian juga menolak permohonan syarikat lain pilihan JKR selepas mengadakan tender semula.

Pada surat bertarikh 17 Jun, kementerian meminta proses tender tertutup diulang semula dan dimasukkan nama dua lagi syarikat yang dibenarkan untuk membida.

Dua syarikat itu adalah - GMH Healthcare Sdn Bhd dan Frontier Structure Sdn Bhd - mereka adalah subkontractor asal projek ini sebelum masalah pembayaran menyebabkan pembinaan hospital itu tersekat.

Kontraktor utama bagi projek terbelangkai ini adalah Sunshine Fleet Sdn Bhd. Namun syarikat itu gagal menyelesaikan kerja-kerja binaan setelah menghadapi masalah membayar subkontraktornya. Ini menyebabkan kontrak Sunshine Fleet ditamatkan.


Sumber: Malaysiakini

Candlelight Vigil PSM 6 - Dr Jeyakumar Pesan Terus Berusaha Demi Rakyat

Posted: 12 Jul 2011 08:55 AM PDT

Bukit Aman, 12 Julai 2011 - Candlelight Vigil, perhimpunan protes terhadap penahanan enam aktivis PSM diteruskan lagi pada malam ini. Dr Xavier Jayakumar dan pemimpin Pakatan Rakyat turut hadir.

Jumlah yang hadir protes secara aman terhadap pihak berkuasa dan menyatakan sokongan terhadap mereka yang ditahan cukup memberangsangkan dengan kehadiran dari segenap lapisan masyarakat.

Pesanan daripada Dr Michael Jeyakumar Devaraj, Ahli Parlimen Sungai Siput yang ditahan disampaikan oleh salah seorang yang sempat melawat beliau di Institut Jantung Negara sebelum datang berhimpun.

Semasa dilawat, beliau kelihatan semakin pulih dan Dr Jeyakumar berpesan supaya pemimpin-pemimpin yang diberi amanah oleh rakyat supaya terus berusaha dan bekerja demi rakyat.

Seperti biasa, pihak polis berada berhampiran memerhatikan gerak-geri para peserta perhimpunan.







Exco Selangor: Pengambilalihan Pembersihan Awam Untuk Jimat Kos PBT

Posted: 12 Jul 2011 02:00 AM PDT

SHAH ALAM 12 JULAI - Kerajaan negeri berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat menjimatkan kos selepas mengambilalih pengurusan pembersihan awam daripada Alam Flora kerana PBT tidak perlu membayar komisyen kepada orang tengah seperti pihak Alam Flora.

Menurut Exco Kerajaan Tempatan, Kajian & Penyelidikan Ronnie Liu Tian Khiew berkata kerajaan negeri mengarahkan agar semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya mengambil alih kerja-kerja pemerbersihan awam yang sebelum ini dikendalikan oleh Alam Flora Sdn Bhd (AFSB).

"Hal ini berikutan kerana terdapat banyak aduan yang diterima daripada orang awam terhadap perkhidmatan yang diberikan oleh Alam Flora.Sehubungan dengan itu pihak konsesi PBT terpaksa menanggung hutang berikutan daripada masalah berkenaan," jelas Ronnie di Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor di sini.

Tambah Ronnie ,kerajaan negeri berharap dengan perubahan ini prestasi pembersihan awam dan kos kecekapan dapat dipertingkatkan.

"Berdasarkan daripada mesyuarat yang telah diadakan, setiap PBT menyatakan kemampuan bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan awam berkenaan.

Walaubagaimanapun, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) menyatakan bahawa mereka menghadapi masalah kekangan kewangan untuk melaksanakannya," jelas Ronnie.

Tiada ulasan:

Nuffnang