Posted: 13 Jul 2011 05:02 AM PDT Kisah 709 seorang paderi: Air mata saya mengalir demi tanahair ini ps joeann | Jul 13, 2011 03:29:35 pm Saya seorang paderi, malah seorang paderi perempuan.
Walaupun saya tidak pernah menyertai perhimpunan sebelum ini, namun saya amat prihatin terhadap senario negara. Lebih-lebih lagi, negara kita seakan-akan keparahan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Kemarahan meruap-ruap dalam hati saya. Maka saya mula mempertimbangkan sama ada turun ke jalan raya atau tidak kali ini.
Demi masa depan negara, dan supaya saya tidak kesal kemudian, maka saya mengambil keputusan untuk turut serta. Ia berlaku dua minggu sebelum tarikh perhimpunan berlangsung. Hati saya tidak tenang sejak itu.
Saya meronta-ronta dalam hati saya. Ketakutan, kontradiksi bergelut dalam diri saya.
Ini kerana identiti saya. Sekumpulan artis berada di bawah jagaan saya. Mereka juga tersentuh dengan keadaan sedemikian, namun mungkin ada yang menganggap mereka tidak sesuai untuk hadir aktiviti sedemikian kerana identiti mereka sebagai orang awam. Dan mungkin ada yang menganggap saya sebagai seorang paderi, hanya perlu menasihat agar mereka berdoa dalam rumah.
Namun demikian, selain identiti sebagai artis, mereka adalah warga sivil negara ini juga, dan mereka bertanggungjawab untuk mempertahankan negara ini.
Air mata saya mengalir...
Dalam dilema sedemikian, saya berdiam diri ketika berdepan dengan mata mereka yang mahu mendapatkan jawapan daripada saya. Saya tidak menggalakkan secara langsung, tapi juga tidak menghalang secara terbuka. Di samping itu, saya mendidik mereka, berkongsi dengan mereka senario dalam negara kita. Apa itu BERSIH 2.0? Apakah lapan tuntutan tersebut? Apakah tujuan perhimpunan tersebut...
Saya berharap mereka akan memahami sepenuhnya, menggunakan kematangan diri untuk menilai dan membuat keputusan, sama ada hadir atau tidak.
Sehingga sehari sebelum perhimpunan, dua orang artis menyatakan keputusan mereka untuk menyertai. Dan saya pun mendedahkan hasrat saya untuk hadir. Mereka agak terkejut, kerana paderi yang tidak menunjukkan pendirian pada hakikatnya sudah bersedia untuk berdepan dengan apa yang mungkin berlaku.
Pada hakikatnya, saya bukannya berani, saya juga ketakutan.
Malam sebelum perhimpunan, hati saya tidak tenang. Tak lena tidur saya. Ketika saya berdoa untuk tanah air yang mana saya lahir dan membesar, air mata saya mengalir. Hati saya berat sekali.
Saya bangun dari tidur pada jam 5 pagi, 9 Julai. Saya bersembahyang, mendoakan agar perhimpunan aman ini berjalan dengan lancar.
Pelan A,B, C
Pada jam 9 pagi, saya bersarapan dengan dua orang artis, sambil berbincang bagaimana menembusi sekatan ke dalam bandar, malah kami mempunyai pelan A, B, dan C! Akhirnya kami mengambil pelan A, masuk ke bandar dengan kereta, dan pergi ke rumah seorang kawan yang berdekatan dengan Stadium Merdeka.
Tanpa diduga, polis memberi laluan kepada kami. Hallelujah! Tuhan mendengar doa kami!
Kami memasuki sebuah bandar yang sepi, lancar, dan dingin. Rasanya cukup pelik.
Orang ramai menyuntik semangat
Kami singgah di rumah kawan sehingga kira-kira jam 1 tengah hari, kemudian bertolak dengan resah dan gelisah. Kami tiba di bangunan Chan See Shu Yuen (bertentangan dengan Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor), mendapati jalan memasuki Stadium Merdeka telah disekat dengan dawai besi, dan beberapa orang polis, pemerhati dari Majlis Peguam berada di situ. Kami tidak nampak orang ramai di situ.
Kira-kira 20 minit kemudian, hujan turun dengan lebat. Pada ketika inilah kami nampak kumpulan orang berganding tangan berjalan dari arah Masjid Negara dan Jalan Petaling menuju ke arah kami. Walaupun orang tidak ramai di pihak kami, namun hati saya disuntik semangat setelah nampak mereka. Kami menyambut mereka dengan tepukan.
Tiba-tiba saya menjadi cemas pula. Saya memanjangkan leher saya untuk melihat apa yang berlaku, walaupun dengan ini saya yang berteduh di bawah jambatan akan dibasahi hujan.
Namun, tiba-tiba mereka berhenti, dipercayai dihalang polis. Saya nampak ramai orang berganding tangan dalam air hujan yang mencurah. Hati saya panas, dan mengeluh, apa yang telah kita lakukan? Mengapa negara ini bertindak sedemikian terhadap rakyat jelatanya?
Sejenak kemudian, mereka bergerak lagi ke depan dengan perlahan-lahan, dan akhirnya berdiri di hadapan dawai besi. Kini, polis juga berganding tangan menjadi satu barisan, bersemuka dengan peserta demonstrasi. Jarak mereka adalah dekat, boleh menyentuh satu sama lain jika menghulurkan tangan. Mujur kedua-dua pihak berjaya mengawal diri, dan tidak berlaku kejadian yang tidak diingini.
Kawal diri
Pada ketika ini, hujan semakin lebat, semua orang basah kuyup dibuatnya. Namun kita terus melaungkan slogan. Ada yang memakaikan baju kuningnya. Kita hanya mahu menunjukkan kuasa rakyat.
Pada masa itu, saya berhubung dengan kawan saya yang berada di Hospital Tung Shin. Beliau berkata keadaan di sana sangat sengit. Gas pemedih mata dan meriam air berkimia dilepaskan. Saya amat gelisah dan tidak berhenti mendoa. Malah ada seketika kawan yang berada di hujung talian panggilan sana menjerit, kemudian talian putus. Hati saya menjunam, hanya mendoakan agar ini tidak berlaku apa-apa terhadapnya. Hati saya lega apabila beliau memanggil balik untuk melaporkan bahawa dirinya selamat.
Demikianlah yang berlaku di tempat saya berada pada 9 Julai. Hati saya terkapai-kapai. Cemas, lega, kemudian resah... Hanyut tenggelam mengikut perkembangan yang berlaku. Tiada rempuhan, tiada bahasa kesat dikeluarkan di tempat saya berkumpul, malah seorang pemimpin mengulangi peringatan bahawa perhimpunan ini adalah aman.
Ada masanya sesetengah yang berdoa, dan kami pun menyertai bersama. Biarlah kita serah kepada Tuhan untuk menentukan. Hati saya kembali damai. Semoga Tuhan bersama kita untuk berdepan dengan segala ini.
FRU muncul untuk menangkap orang ketika kami bersedia untuk bersurai. Keadaan menjadi cemas ketika itu. Artis saya menarik saya untuk menyeberangi jalan. Kasut saya rosak pada saat-saat itu. Tapi saya tidak peduli, berlari untuk meninggalkan tempat kejadian. Mujur kami tidak ditangkap. Tercungap-cungap kami dibuatnya. Perhimpunan BERSIH 2.0 berakhir dalam suasana cemas berbaur ghairah.
Hati saya masih tersentuh
Setelah kembali ke rumah, saya melayari laman internet. Gambar, tulisan, klip video yang dimuatnaikkan ke laman internet tetap menyentuh hati saya. Rupa-rupanya tempat saya berada kemungkinan tempat yang paling "aman". Tiada gas pemedih mata dan meriam air berkimia, dan tiada keganasan yang berlaku.
Namun, saya tetap marah apabila mendapati keganasan berlaku di tempat perhimpunan yang lain. Mereka hanyalah rakyat jelata tanpa senjata, mengapa dilayan sebegini? Apakah polis tidak mempunyai saudara-mara atau adik-beradik? Bagaimana mereka sampai hati untuk menggunakan kekerasan sedemikian?
Untuk saya, tujuan perhimpunan ini bukan sahaja menyedarkan masyarakat Malaysia, malah menarik tumpuan seluruh dunia. Ini perhimpunan aman, tiada kereta yang dibakar, tiada kedai yang dirompak, tiada seorang pun anggota polis dicederakan, tiada orang yang menangguk di air keruh. Yang ada semangat tolong-menolong ketika berdepan dengan serangan tanpa simpati. Kita mengawal diri dengan baik. Bukankah ini makna sebenarnya Satu Malaysia?
Sebagai seorang paderi, saya gembira apabila mengetahui ramai penganut kristian yang hadir dalam perhimpunan. Saya harap lebih ramai penganut kristian akan tampil ke depan, mencintai negara kita dengan tindakan kita!
Di sini saya ingin merakamkan penghargaan kepada dua orang artis yang bersama saya. Keberanian mereka, semangat patriotik mereka, telah diterjemahkan kepada tindakan, bersama menyaksikan sejarah ini. Semua pejuang yang berani, dari semua kaum, terima kasih kerana keberanian anda, membubuh tanda noktah yang sempurna dalam perhimpunan ini, semoga Tuhan memberkati anda semua! Baca: Catatan seorang peserta Cina: Saya rasa selamat bersama orang PAS
*Tulisan di atas disedut, disunting dan diterjemah daripada catatan seorang pembaca MerdekaReview, edisi bahasa Cina, yang menghadiri perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011. MerdekaReview akan memilih beberapa lagi tulisan untuk diterjemahkan, dan mengalu-alukan tulisan daripada pembaca. Sila email kepada editorial_bm@merdekareview.com. Terima kasih. |
Posted: 12 Jul 2011 05:01 AM PDT Catatan seorang peserta Cina: Saya rasa selamat bersama orang PAS Chen Shu Yong | Jul 12, 2011 06:36:14 pm ... Seorang pakcik yang berkopiah menuju ke arah saya, "Di manakah stadium?" Saya menuding jari ke depan. Lantas beliau berjalan ke arah sana, tanpa sebarang keraguan. Saya merasakan diri saya amat tidak berguna pada ketika itu. Mengapa tidak saya bertindak sebagaimana pakcik itu? Berarak adalah hak kita. Mengapa pula saya takut? Saya tetap berdiri di situ, menyaksikan bagaimana orang tua itu dihalang polis, dan kemudian beliau terus berjalan ke depan.
Kemudian saya berjalan, dan terserempak dengan seorang polis muda. Beliau bertanya untuk apa saya berada di situ, saya sekadar jawab, tak ada, cuma jalan-jalan. Beliau menunjuk ke arah Jalan Sultan, mengarahkan saya beredar dari situ, atau saya akan ditangkap. Saya tahu beliau cuba menakutkan saya. Masih awal lagi, saya tidak mahu timbul hal, maka saya pun beredar.
Saya nampak sekumpulan orang di kedai KL Commercial Book Co., semacam orang PAS, maka saya berjalan menuju ke arah mereka. Pada hakikatnya, saya amat yakin dengan mereka. Saya rasa diri saya berselindung di dalam kelompok mereka pada ketika itu. Ya, saya rasa sangat selamat.
Pada kira-kira jam 12.20 tengah hari, kelompok di sini hanya kira-kira 20 orang. Tiba-tiba kami dengar jeritan orang, dan kami bergegas ke situ dan mendapati kira-kira 2,000 orang. Mereka muncul entah dari mana, sungguh ajaib! Tapi kami masih menganggap bilangan ini terlalu sedikit!
Pada kira-kira jam 12.30 tengah hari, saya tak berapa ingat lagi. Kami nampak sekumpulan manusia menuju ke arah kami melalui Jalan Sultan, sambil melaungkan slogan. Bilangan mereka terlalu ramai berbanding kami. Ramai orang tua yang bertanya, PERKASA? Pemuda UMNO? Kami berdiri di situ dan memandang, gagal mendengar apakah yang dilaungkan.
Tiba-tiba, ada yang bertepuk tangan, berkata "Tengok, Cina ada, India ada, bukan PERKASA, bukan Pemuda UMNO, orang kita!" Kami bertepuk dengan gemuruh, berarak ke arah mereka untuk berkumpul bersama. Kami seolah-olah dapat membentuk pasukan kami, dan tidak lagi keseorangan atau kesepian.
"BERSIH! BERSIH! Hidup BERSIH!" Ribuan yang membanjiri Jalan Sultan. Orang berada di tengah dan di tepi jalan, warga tua dan warga muda. Maka kami terus berjalan, tidak memasuki jalan ke arah Stadium Merdeka. Saya sedar, bilangan kami masih tidak mencukupi. Kami menuju ke arah Pudu Raya, dan di situ telah dibanjiri lautan manusia yang lebih daripada 10 ribu.
Abang saya menghantar sms kepada saya, memberitahu bahawa pasukan di Hotel Hilton telah mula bertolak. Dengan serta-merta saya berkongsi maklumat ini dengan orang yang berada di sisi saya.
Kira-kira jam 1 tengah hari, kami nampak satu pasukan yang lebih besar, kemas susunannya berarak dari arah Hospital Tung Shin. Kemudian, muncul lagi satu pasukan dari Kota Raya. Tidak berhenti kami bertepuk tangan. Kami menjerit sepuas-puasnya. Saya nampak ramai yang menakung air di matanya. Saya amat terharu. Saya kini berada di tengah-tengah belasan, malah puluhan ribu orang. Saya tidak kesepian, kami tidak kesepian!
Terharu kerana dibantu orang yang saya tidak kenal langsung!
Kami berkumpul di depan Menara MayBank. Saya tak dengar apa yang diucap pemidato. Tapi saya hanya seorang penyokong. Saya hanya menyorak bersama kelompok manusia, bertepuk tangan apabila semua orang berbuat demikian.
Kemudian saya mendapati trak FRU. Seorang warga tua, mungkin dari PAS, memesan agar saya undur dahulu. Tidak lama kemudian, FRU melepaskan gas pemedih mata, dan meriam air kimia yang berwarna biru. Saya rasa macam tersengit. Baunya sangat tidak menyenangkan. Orang di sisi saya (sahabat dari kaum lain) menuangkan air ke atas kepala saya. Ada seorang yang menyapu minyak angin di bawah kelopak mata saya. Ada pula yang memberi garam kepada saya.
Saya teringat, air mata saya mengalir pada ketika itu bukan disebabkan gas pemedih mata, tetapi mengalir kerana terharu dengan bantuan yang dihulurkan oleh orang-orang yang saya tak kenal ini.
Pada ketika itu saya nampak polis, kononnya, menangkap orang ramai di depan Menara MayBank. Ramai yang memanjat ke atas di cerun pada mulanya, kemudian mereka melompat dari tembok yang tinggi. Saya sangat marah ketika itu, kerana saya nampak ramai wanita dan warga tua. Dan mereka yang kononnya polis itu dicemuh dalam hati saya, "Bukan manusia!"
Saya berehat seketika. Saya menjangkakan bahawa orang ramai akan menuju ke Jalan Sultan. Maka, saya berjalan dahulu ke arah sana. Apabila berdekatan dengan KFC, hujan mulan turun. Seorang peserta yang tua berkata kepada saya, "Komunis pun tak macam ini!" Saya tercengang seketika, gagal memberi apa-apa jawapan.... Matlamat sama.. Pada sebelah malam, saya dimaklumkan bahawa kawan dari kaum Melayu amat terharu dengan kehadiran kami. Mereka berkata, "Itu kebanggaan kami apabila kamu muncul bersama. Kamu duduk belakang sikit, biar kami yang hadapi peluru (gas pemedih mata) dan keganasan di depan!"
Nota: Akhirnya saya sedar, mengapa saya berselindung dalam kelompok orang PAS. Mereka membuktikan dengan tindakan mereka, itu yang membuatkan saya terharu dan berasa selamat. Lain kali, saya tetap akan bersama mereka, berada di garis depan, untuk menghadapi peluru (gas pemedih mata) dan keganasan.
Terima kasih, sahabat semua. Walaupun kita tidak berkenalan, tapi matlamat kita sama. Dan ini hanya boleh dirasai mereka yang hadir dalam perhimpunan.
Saya menyeru agar lebih ramai bangkit dari tidur, dan mereka yang sudah sedar, biarlah bertindak. Baca: Kisah 709 seorang paderi: Air mata saya mengalir demi tanahair ini |
Posted: 11 Jul 2011 05:07 AM PDT PAS desak Ketua Polis Negara dan Timbalannya letak jawatan PAS | Jul 11, 2011 11:43:44 am PAS mengecam tindakan melampau yang diambil oleh pihak polis dalam menangani isu perhimpunan aman BERSIH 2.0, dan sudah terbukti aman 9 Julai 2011 yang lalu.
Tindakan ganas dan melampau polis langsung tidak mencerminkan slogan mereka Mesra, Cekap dan Betul - jauhlah lagi terpesong dengan piagam pelanggan mereka, Tegas, Adil dan Berhemah. Polis sepatutnya menjaga keselamatan rakyat dan bukannya menyebabkan mereka cedera secara sengaja.
Kebiadaban anggota polis dan FRU dapat dilihat dengan jelas dari beberapa rakaman video rakyat yang dirakamkan oleh pelbagai sumber samada peserta BERSIH 2.0 ataupun media antarabangsa telah membuktikan kegagalan mereka dalam menjamin keselamatan rakyat.
Dalam perhimpunan aman BERSIH 2.0, langsung tiada kejadian ganas oleh para peserta sebagaimana yang cuba digembar-gemburkan media arus perdana sebelum ini.
Oleh itu, kezaliman dan keganasan polis yang menggunakan gas pemedih mata atau tembakan air asid sepatutnya tidak berlaku, kerana tiada langsung sebab untuk mereka menggunakannya.
Dengan pelbagai gambar dan video yang terpapar, kenyataan songsang Ketua dan Timbalan Ketua Polis yang kononnya polis diserang and diprovokasi menyebabkan mereka terpaksa bertindak, hanya dapat berfungsi untuk mendedahkan pembohongan beliau sendiri.
PAS mengecam keras tindakan biadab polis ini sehingga menyebabkan kematian seorang peserta saudara Baharuddin Ahmad dan puluhan lagi yang cedera semata-mata tindakan ganas mereka. Ratusan yang tercedera kerana dipukul, disepak dan diheret ke dalam trak adalah pandangan jijik anggota keselamatan, yang tidak sepatutnya berlaku.
PAS mendesak agar Ketua dan Timbalan Ketua Polis meletakkan jawatan dan dihadapkan ke tribunal di atas jenayah yang dilakukan.
PAS juga mengucapkan syabas kepada setiap peserta BERSIH 2.0 kerana kini kuasa sekarang di tangan anda.
Andaikan 50,000 dan setiap seorang menyebarkan pengalaman BERSIH 2.0 mereka kepada 10 seorang - maka 500,000 rakyat akan terasa - dengan 500,000 setiap seorang berkongsi lagi dengan 5 orang - maka hasilnya 2.5 juta rakyat yang tidak dapat bersama dapat merasai bagaimana kita semua bersatu sebagai rakyat Malaysia pada 9 Julai yang lepas.
Dengan perkongsian sedemikian, kita akan sedar bahawa permainan politik yang cuba gempar-gemburkan bahawa rakyat Malaysia berpecah hanyalah taktik licik UMNO-Barisan Nasional untuk mengekalkan kuasa mereka.
PAS juga ingin mengulangi peringatannya kepada Pakatan Rakyat bahawa sokongan rakyat terhadap BERSIH 2.0 dan kecaman mereka terhadap keganasan yang digunakan kerajaan UMNO Barisan Nasional terhadap penyokong BERSIH 2.0 bukanlah petanda sokongan rakyat kepada kita.
Rakyat menyokong BERSIH 2.0 hanya semata-mata untuk memastikan undi-undi mereka tidak di"offset"kan secara tidak sah oleh pengundi hantu, pengundi pos yang tidak sah dan juga memastikan mereka mendapat maklumat yang tepat sebelum mengambil keputusan untuk mengundi siapa-siapa.
Lapan tuntutan BERSIH 2.0 adalah untuk memastikan wakil yang dipilih menang nanti di pilihanraya akan datang betul-betul adalah pilihan rakyat dan bukannya pilihan parti pemerintah yang memanipulasi sistem pilihanraya negara untuk kekal berkuasa.
Pakatan Rakyat juga tidak harus terlalu yakin bahawa dengan pilihanraya yang lebih bersih, kita bakal dapat menewaskan UMNO-Barisan Nasional. Rakyat yang menyokong BERSIH 2.0 tetap tidak akan mengundi kita sekiranya prestasi kita lemah dan tidak dapat memberikan keyakinan kepada mereka untuk menerajui negara.
PAS juga merakam takziah kepada keluarga Saudara Baharuddin Ahmad, di atas kemalangan yang menimpa beliau.
Semoga tragedi ini akan menyemarakkan kebangkitan rakyat bagi menukarkan kerajaan yang zalim ini.
*Kenyataan media oleh Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar kiri) selaku Ketua Penerangan PAS Pusat. |
Posted: 11 Jul 2011 05:00 AM PDT Video menunjukkan gas pemedih ditembak ke hospital MerdekaReview | Jul 11, 2011 04:38:26 pm Sama ada gas pemedih mata ditembak ke dalam perkarangan hospital, ketika perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011, kini menjadi pertikaian. Tidak kurang gambar dan video dimuatnaik ke laman internet, untuk menyanggah "penafian" kerajaan dan polis.
Amaran keras diulangi dari bibir Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein pada hari ini, bahawa tindakan akan diambil ke atas media yang membuat tuduhan tanpa asas. Seorang pembaca MerdekaReview memuatnaikkan satu klip video yang panjang 41 saat, untuk membuktikan bahawa gas pemedih mata sememangnya ditembak ke dalam perkarangan Hospital Bersalin Cina.
Pembaca ini menyedari bahawa terdapat gambar dan klip video yang telah dimuatnaik ke laman internet, menunjukkan bagaimana gas pemedih mata itu ditembak ke dalam perkarangan hospital. Beliau pada ketika itu berada di tempat yang agak tinggi, dalam perkarangan Hospital Bersalin Cina, yang bersebelahan dengan Hospital Tung Shin.
Beliau sempat merakamkan secara jelas bagaimana gas pemedih mata ditembak ke dalam perkarangan Hospital Bersalin Cina, dan mengambil keputusan untuk berkongsi klip video ini, agar membuktikan kerajaan dan polis berbohong dalam hal ini.
Selain ini, beberapa gambar telah dimuatnaik ke laman internet untuk membuktikan bahawa meriam air ditembak ke arah Hospital Tung Shin. Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyelar kerajaan semalam kerana hospital tidak akan menjadi sasaran serangan, walaupun ketika dalam peperangan.
Ketua Polis Negara Ismail Omar menafikan bahawa polis menembak gas pemedih mata ke dalam hospital, mendakwa bahawa ia sekadar "khabar angin", dalam satu sidang media yang diadakan pada petang 9 Julai, selepas perhimpunan BERSIH 2.0 bersurai. |
Posted: 09 Jul 2011 05:05 AM PDT Gelombang BERSIH 2.0 gagal disekat MerdekaReview | Jul 09, 2011 06:52:42 pm Penangkapan 1,667 orang dalam satu perhimpunan massa semestinya satu rekod baru yang dicipta,kerajaan Najib Razak, malah beberapa pimpinan utama Pakatan Rakyat termasuk Anwar Ibrahim, Khalid Samad (ahli parlimen Shah Alam) tercedera semasa polis menyuraikan perhimpunan dengan melepaskan gas pemedih mata, di KL Sentral. Terbaru, seorang peserta yang berusia 59 tahun meninggal dunia kerana sesak nafas disebabkan terhidu gas pemedih. 【Baca: Peserta perhimpunan meninggal kerana sesak nafas terhidu gas pemedih】
Hampir semua tokoh utama dalam PAS dan PKR ditangkap, seperti Abdul Hadi Awang, Mohamad Sabu, Azmin Ali, Tian Chua, Fuziah Salleh, Mahfuz Omar, Salahuddin Ayub dan lain-lain. Pengerusi BERSIH 2.0 Ambiga Sreenevasan yang disenarai sebagai 91 orang yang dilarang masuk ke beberapa kawasan di Kuala Lumpur hari ini, juga ditangkap. Senarai ini sudah cukup untuk menjelaskan sikap kerajaan dan strategi polis untuk berdepan dengan perhimpunan ini.
Meskipun dijadualkan secara rasmi di Stadium Merdeka pada jam 2 petang, namun perarakan bermula dengan lebih awal, memandangkan penangkapan telah dimulakan sejak awal pagi lagi. Kira-kira 1,000 orang mengiringi pemimpin PAS Hatta Ramli, untuk berarak dari lorong berhampiran Masjid Jamek, menuju ke Menara MayBank, pada kira-kira 12.50 tengah hari.
Kemuncak: 50 hingga 60 ribu orang
Kumpulan manusia ini semakin mengembang saiznya sepanjang perarakan, dan mereka singgah di depan Menara MayBank berhampiran Pudu Raya. Dua kumpulan lagi, satu dari Pudu Raya dan satu lagi dari Jalan Petaling, bertemu dengan kelompok manusia di Menara MayBank, pada kira-kira jam 1 petang.
Hatta Ramli terus berucap, menyeru mereka yang masih mempunyai T-shirt kuning BERSIH 2.0 untuk memakai baju tersebut. Sebelum ini, polis menangkap mereka yang berpakaian kuning di sekitar pusat bandar, sejak awal pagi, malah mereka yang tidak berpakaian kuning juga ditangkap.
Lautan manusia mencecah antara 50,000 hingga 60,000 pada kemuncaknya, walaupun pihak polis hanya menganggarkan 5,000 hingga 6,000 orang. Pada masa yang sama, satu perhimpunan dengan ribuan orang juga diadakan di sekitar KLCC. Jika dijumlahkan secara keseluruhannya, bilangan orang yang menyertai perhimpunan BERSIH 2.0 boleh dikatakan lebih besar daripada perhimpunan BERSIH pada 10 November 2007. Malah, apa yang menarik, lebih ramai peserta Cina dan India, yang rata-rata dari golongan muda terlibat dalam perhimpunan ini, berbanding perhimpunan pada tahun 2007.
Gas pemedih mata dan meriam air berkimia
Polis dan FRU tiba di Menara MayBank pada kira-kira jam 1.30 petang. Meriam air berkimia dan gas pemedih mata ditembak secara bertalu-talu ke arah peserta perhimpunan. Sekumpulannya berlari ke arah Jalan Petaling, dan satu lagi kumpulan berlari menuju ke arah Pudu. Tangkapan dilakukan, tahanan digari dengan tali plastik, malah kekerasan digunakan sehingga terdapat tahanan yang berdarah di bahagian kepalanya.
Pemerhatian wartawan mendapati sesetengah anggota FRU menembak gas pemedih secara mendatar menghala ke kelompok manusia, dan bukannya menghala ke atas jika diikut peraturan. Angin yang berbaur dengan gas pemedih menyebar secara luas dalam masa yang singkat apabila helikopter terbang dengan lebih rendah ketika itu.
Kelompok orang kemudian berlari ke arah Hospital Tong Shin, dan sesetengah pula berlari untuk berkumpul di sekitar Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor. Bekas Naib Presiden PKR Sivarasa Rasiah dan Timbalan Setiausaha Agong Ngeh Koo Ham cuba berunding dengan pihak polis. Menurut Sivarasa Rasiah, pihaknya meminta polis membuka Jalan Sultan, supaya peserta boleh bersurai secara aman, dan permintaan ini disetujui peserta perhimpunan.
Bagaimanapun, polis akhirnya tidak bersetuju dengan cadangan tersebut, malah Sivarasa Rasiah diheret oleh polis. Polis melepaskan meriam air, dan peserta perhimpunan melarikan diri ke dalam hospital. Polis kemudiannya masuk ke dalam hospital untuk menangkap peserta perhimpunan.
Dengan ini, polis semakin menguasai keadaan di depan Hospital Tong Tsin, selepas menguasai kawasan di Menara MayBank pada kira-kira jam 2.30 petang. Peserta perhimpunan bersurai secara aman pada kira-kira jam 4 petang.
Tiada molotov cocktail
Meskipun dikhabarkan bahawa ada orang yang akan menggunakan senjata dan molotov cocktail untuk mencetuskan huru-hara, namun ramalan ini tidak "menjadi kenyataan". Sebagaimana yang diperhatikan wartawan, ada peserta perhimpunan yang menghulurkan garam kepada anggota polis, sebagai penawar apabila terkena gas pemedih mata.
Malah, mengikut pengamatan wartawan, peserta perhimpunan yang dibasahi air kimia dan gas pemedih, masih beratur untuk membeli air di sesetengah kedai, yang berniaga hari ini. Tiada huru hara yang berlaku, dan tiada serangan keganasan terhadap polis. Sebaliknya, polis ditemui memukul dan menyepak peserta perhimpunan yang telah ditahan.
Khairy ditangkap
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin yang mengepalai perhimpunan PATRIOT, juga ditangkap polis. Perhimpunan PATRIOT yang bermula dari Jalan Bukit Bintang, menarik penyertaan kira-kira 500 orang sebagaimana yang dilaporkan.
Di samping itu, tiada yang menyahut seruan Presiden PERKASA Ibrahim Ali untuk "bersiar-siar" di Taman Titiwangsa, menurut laporan Bernama. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan