Isnin, 4 Julai 2011

Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim


PAS Menjunjung Kasih Titah Tuanku Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong

Posted: 04 Jul 2011 12:48 AM PDT

Parti Islam Se-Malaysia PAS menjunjung tinggi titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong pada hari Ahad 3 julai 2011 mengenai isu perhimpunan aman BERSIH 2.0 yang hangat diperkatakan pada waktu ini. Seluruh kepimpinan PAS merasa amat berbesar hati dengan keprihatinan dan perhatian yang diberikan oleh Seri Paduka Baginda Tuanku sebagai pelindung keluhuran perlembagaan negara dan lambang berdaulat negara kita ini.

Titah Seri paduka Baginda Tuanku bahawa dalam setiap permasalahan yang timbul, sebagai masyarakat yang bertamadun kita hendaklah mencari jalan penyelesaian secara rundingan dan tidak mengikut perasaan. Ini adalah amat tepat sekali dalam merungkai perkara yang dibangkitkan, iaitu pembaharuan terhadap keseluruhan sistem pilihanraya bagi menyuburkan demokrasi dalam negara kita ini.

Sehubungan dengan itu, maka PAS bersedia untuk menghantar wakil bersama dengan BERSIH 2.0 dan rakan politik dalam Pakatan Rakyat serta semua pihak yang cintakan keamanan untuk berunding dan seterusnya mengadap ke bawah Duli Seri Paduka Baginda Tuanku bagi menjelaskan kekeliruan yang timbul hasil dari liputan buruk yang dimainkan terhadap bantahan aman ini. Kesan dari salah faham initelah menimbulkan provokasi pihak tertentu yang memberi gambaran seolah-olah keadaan sudah tidak terkawal sehingga undang-undang negara juga sudah tidak dihormati lagi olehpihak berkuasa.

PAS percaya bahawa asas penyebab utama bantahan ini perlulah digali-selidik dengan hati terbuka dan penuh keikhlasan, terutamanya oleh pihak kerajaan yang memegang tampuk pemerintahan dalam negara kita pada ketika ini. Ini juga selari dengan titah Seri Paduka Baginda Tuanku supaya pihak kerajaan wajar untuk melaksanakan amanah dengan secara adil dan bijaksana. Tercetusnya idea bantahan ini adalah kerana terlalu banyak kelemahan dalam amalan pilihanraya di Malaysia dengan berlakunya penipuan, rasuah dan salah guna kuasa dan media secara tidak demokratik. Keadaan ini semakin buruk walaupun kita telah mencapai kemerdekaan lebih dari 50 tahun dan sudah dua belas kali pilihanraya umum diadakan. Sejak Sekian lama ini,kerajaan Barisan Nasional telah banyak menyalahgunakan kuasa mereka di atas nama demokrasi, walaupun negara-negara di seluruh dunia sudah banyak melakukan reformasi terhadap sistem pilihan raya dan demokrasi yang membawa kebaikan kepada seluruh rakyat.

Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang
Presiden Parti Islam Se-Malaysia
4 Julai 2011/ 2 Syaaban 1432 H

Kerajaan Boleh Dituduh Menentang Agong Jika Gagal Laksana Perlembagaan- Aziz

Posted: 03 Jul 2011 08:36 PM PDT

Keadilan Daily

Pakar Perlembagaan, Profesor Dr Abdul Aziz Bari berkata, kerajaan boleh didakwa menentang Yang Dipertuan Agong, sekiranya gagal melaksanakan perlembagaan yang antara lain menjamin pilihan raya bebas dan kebebasan berhimpun.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas titah khas Tuanku Mizan Zainal Abidin, berhubung perhimpunan aman Bersih, malam tadi.

"Kerajaan tidak boleh gunakan titah ini untuk kepentingan mereka. Begitu juga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Kalau mereka gagal lakukan apa yang  dikehendaki perlembagaan, mereka boleh dituduh menentang Agong," Ujar Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa itu.

Menurut Aziz, Titah baginda yang menyeru kedua pihak berunding untuk mencari jalan penyelesaian perlu difahami dalam konteks  yang terkandung dalam perlembagaan.

"Agong tidak menggelar himpunan Bersih haram, baginda cuma titah demo tidak semestinya cara terbaik.

"Dan saya fikir baginda juga mengingatkan kerajaan," Ujarnya dalam kenyataan khas kepada Keadilandaily.com.

Menurutnya, rakyat perlu akur bahawa baginda bertitah sebagai ketua negara dan dalam peranan itu, baginda tidak boleh menunjukkan sikap emosional.

"Mungkin ada bahagian titah itu yang kita tidak selesa tetapi kita harus letakkan diri kita di tempat baginda supaya faham kedudukan dan sensitiviti yang baginda perlu ambilkira.

"Perlu disedari apa yang dituntut bukan kepentingan Bersih tetapi kehendak dan semangat perlembagaan," ujarnya lagi.

Ketika ditanya kemungkinan berlakunya darurat, ekoran kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menyerahkan hal itu kepada polis minggu lalu, Aziz yakin perkara itu tidak akan berlaku.

"Darurat diisytihar oleh Agong selalunya atas nasihat kerajaan tetapi dalam senario sekarang, saya tak fikir kerajaan berani menasihatkan Agong isytihar darurat.

"Saya fikir ini peluang untuk Bersih mendesak tahanan dibebaskan serta merta. Begitu juga rampasan yang dibuat. Jika polis enggan mereka bukan sahaja melanggar perlembagaan malah engkar titah Agong," kata merujuk enam individu yang ditahan di bawah Ordinan Darurat baru-baru ini.

Kata Aziz, tindakan polis yang sewenangnya menangkap mereka, tidak selaras dengan kehendak perlembagaan.

"Alasan yang mereka berikan tidak masuk akal. Mereka kata mereka ikut undang-undang. Soalnya apakah semangat dan tujuan asal undang-undang itu mereka pertimbangkan?

"Ramai yang terpinga-pinga dengan penggunaan ordinan darurat, tuduhan komunis dan lain lain.

"Apalagi tahun lalu Hishamuddin sendiri mengatakan yang Malaysia tidak lagi berada dalam keadaan darurat.

"Pendeknya menteri dan polis tidak konsisten dalam hujah dan tindakan mereka," katanya.

Tiada ulasan:

Nuffnang