. |
Qazaf.....Tuduhan Zina dan Liwat - Hukuman Ke Atas Yang Melakukan Qazaf = Siri Akhir Posted: 03 May 2011 11:26 PM PDT Hukuman ke Atas Orang Yang Melakukan Qazaf (Menuduh Zina atau Liwat) Nas dan ijtihad para ulama yang berlandaskan ruh syariat Allah yang maha adil, menunjukkan bahawa tuduhan yang menjatuhkan maruah seseorang seperti tuduhan zina dan liwat tidak harus dipermudah-mudahkan. Untuk membuat tuduhan itu, wajiblah mempunyai alasan dan hujah yang kukuh. Perkara-perkara yang diwajibkan ke atas pihak yang berkenaan supaya dilaksanakan ketika melakukan sesuatu tuduhan, membuktikan bahawa kewajipan memelihara maruah juga menjadi tanggungjawab kerajaan setelah ditegaskan bahawa ianya adalah kewajipan individu. Kesalahan tuduhan zina dan liwat amat besar, sehingga ia dimasukkan ke dalam jenayah yang dikenakan hukuman keras dan ditetapkan sendiri hukumannya oleh Allah SWT secara nas di dalam Al-Quran. Di akhirat pula ia dikira sebagai dosa besar yang disediakan azab yang pedih kepada pelakunya, sekiranya dia tidak bertaubat dan meminta maaf daripada mangsa tuduhan atau tidak menerima tindakan undang-undang Islam oleh pihak yang berkenaan. Hukuman di dunia Hukuman di dunia yang wajib dijatuhkan ke atas penjenayah qazaf oleh kerajaan Islam ditetapkan oleh Allah di dalam al-Quran. Firman Allah (al-Nur: 4) yang bermaksud: "Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik."
Hukuman terhadap penjenayah qazaf di dunia ialah: 1. Disebat sebanyak 80 kali sebatan mengikut cara Islam. Bukannya sebatan seperti yang diamalkan sekarang. Iaitu dengan alat yang sederhana dan cara pukulan yang sederhana. Tidak dibenarkan mengangkat alat sebatan lebih tinggi daripada kepala dan sebatan itu tidak boleh menyebabkan kulit dan daging terkoyak. Orang yang disebat pula hendaklah berada dalam keadaan kesihatan yang baik dan memakai pakaian yang bersopan serta disaksikan oleh orang ramai. 2. Dihukum menjadi fasik dengan tidak diterima penyaksiannya dalam segala urusan, sama ada di mahkamah, ketika berjual beli, perkahwinan, melihat anak bulan Ramadan, Syawal dan lain-lain.
Hukuman di Akhirat: Firman Allah (al-Nur: 23-24) yang bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang yang menuduh perempuan-perempuan (dan lelaki-lelaki) yang terpelihara kehormatannya, yang tidak terlintas memikirkan sebarang kejahatan, lagi yang beriman akan dilaknat (oleh Allah) di dunia dan di akhirat dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang besar. Pada hari lidah mereka dan tangan mereka serta kaki mereka menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, tentang segala yang mereka lakukan." Hukuman pada hari kiamat nanti lebih adil dan bijaksana. Allah Yang Maha Mengetahui tidak menghukum dengan sifat mengetahui-Nya sahaja, tetapi perbicaraan akan di ulang semula di mahkamah-Nya dengan bukti-bukti yang lebih terperinci. Ketika itu, anggota badan manusia, tangan dan kaki mereka akan menjadi saksi. Di samping itu terdapat catatan para malaikat, iaitu makhluk Allah yang paling baik dan suci, yang nalurikan dengan sifat sentiasa taatkan perintah Allah dan tidak sekali kali menderhakai-Nya. Mereka akan dikerah untuk menjadi saksi sehingga mulut para pembohong dan pendakwa yang pandai mengubah kata dan meminda catatan tidak mampu lagi untuk memutarbelitkan kenyataan yang sebenar.- tajdid_ Tulisan ini dipetik daripada buku "Qazaf: Mangsa Fitnah" (Jabatan Penerangan dan Penyelidikan PAS Pusat, 2001) tulisan Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Buku bersifat kontemporari ini diharap dapat merungkaikan persoalan berhubung tuduhan liwat dan qazaf yang dikategorikan sebagai jenayah hudud dalam sistem perundangan Islam. HD – 170708 |
You are subscribed to email updates from . To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan