Sabtu, 20 Julai 2013

DUN BUKIT PAYONG

DUN BUKIT PAYONG


PRK Kuala Besut : Surau dikunci, rencatkan kemeriahan Ramadhan :

Posted: 20 Jul 2013 03:34 AM PDT


Kuala Besut : Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) hari ini kesal dengan kejadian mengunci surau yang berlaku di Kampung Alur Mujur, Kampung Lampu yang menyebabkan kesukaran jemaah terutama bagi jemaah-jemaah luar Kuala Besut bagi melakukan solat berjemaah.
Disebalik anjuran rasulullah s.a.w bagi umat Islam memakmurkan masjid dalam bulan Ramadhan, ada pihak yang melakukan perkara sebaliknya.
Menurut Setiausaha DUPP Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali, DUPP sangat kecewa dengan kejadian tersebut yang mana sepatutnya dalam hal memakmurkan rumah Allah semua pihak perlu mengenepikan sentimen politik.
"Surau itu sudah ditinggal agak lama, tetapi malangnya ada pihak telah mengunci surau tersebut (apabila ada aktiviti).
Dengan tujuan yang kita nampak ialah untuk menghalang ia dihidupkan dan dimakmurkan dengan sebaiknya.
Jadi perkara ini sangat mengecewakan kita kerana dalam perkara memakmurkan rumah Allah s.w.t tidak patut ada sentimen politik, (bahkan) kita patut berpakat ramai-ramai memakmurkannya," ujar beliau kesal.
Beliau yang pergi sendiri melihat keadaan surau tersebut, memaklumkan bahawa beliau tidak dapat masuk kerana surau tersebut berkunci.
Jelas beliau lagi, hal ini seperti  menghalang orang ramai untuk beribadat dalam rumah Allah seperti contoh yang disebutkan dalam surah al-Baqarah mengenai orang yang dilabelkan zalim oleh Allah apabila menghalang orang dari menyebut nama Allah di dalam rumah Allah.
"Bagi saya tindakan mengunci surau tak patut berlaku apatah lagi dalam keadaan sekarang kempen PRK yang semua pihak perlu makmurkan surau dengan kehadiran ramai masyarakat seluruh Malaysia datang bertumpu di Kuala Besut," kata beliau lagi.
Dr. Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus merayu agar pihak yang mengunci surau tersebut agar membukanya kembali dan mengenepikan sentimen politik, dengan harapan agar surau itu akan menjadi makmur selepas ini dan seterusnya.
Mengulas isu yang sama, Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) Ustaz Nik Zawawi Nik Salleh surau itu sebenarnya dibina secara gotong royong oleh masyarakat setempat.
Ia kemudiannya diambilalih oleh pihak tertentu dan semenjak pengambilalihan itu, surau tersebut menjadi mati (dari aktiviti-aktiviti keagamaan).
Beliau yang juga mantan Adun Kuala Besut turut mengkritik pihak yang terang-terang menggunakan masjid bagi tujuan politik pihak tertentu, dan dalam masa yang sama menghalang pihak lain dari menggunakan masjid atas alasan masjid tidak boleh dijadikan tempat berpolitik.
Sambil memberi contoh kejadian yang berlaku di Masjid Pengkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Gong Kedak, beliau memberitahu Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Abdul Aziz telah dihalang untuk masuk ke dalam masjid walaupun untuk  mengerjakan solat.
Tetapi dalam masa yang sama ada pemimpin dari Umno dibenarkan membuat program di dalam masjid-masjid di sekitar Kuala Besut.
Walaubagaimanapun beliau memuji sikap staf-staf TUDM yang begitu perihatin dengan perkembangan ini dan berharap mereka mengekalkan sikap profesional mereka terutama sebagai anggota kerajaan yang tidak memihak.
DUPP juga dalam sidang media yang sama, mengumumkan satu program Solat Hajat Perdana Dan Munajat yang akan diadakan pada Selasa 23 Julai 2013 jam 3.30 pagi di Masjid Haji Yaakob, Kampung Tok Saboh, Kuala Besut.
Program anjuran DUPP itu bertujuan bagi memohon kemenangan dalam PRK ini, bukan hanya diadakan di Kuala Besut tetapi di seluruh negara.
Sehubungan dengan itu, Dr Khairuddin menyeru agar semua ahli-ahli serta penyokong-penyokong PAS walau di mana juga berada, agar turut melakukan solat hajat serta munajat bagi memohon kemenangan PAS di PRK Kuala Besut.
"Kita yakin bahawa tidak cukup kita hanya menyediakan persiapan-persiapan fizikal dan berkempen mengajak rakyat semaksima yang mungkin (untuk tarik undi) tetapi yang lebih penting hubungan kita dengan Allah untuk mendapatkan kemenangan," kata beliau.

Tiada ulasan:

Nuffnang