Khamis, 13 Jun 2013

:: cina islam | 2011 ::

:: cina islam | 2011 ::


Misteri dua kubur

Posted: 13 Jun 2013 01:46 AM PDT

4 Syaaban 1434 H. [MOD] -


Misteri dua kubur

Abdul Jalil (tengah) bersama dua rakannya cuba membaca tulisan tertera di kubur milik tentera British yang tidak dapat dikenalpasti.
KUALA TEMBELING - Dua kubur yang dipercayai milik tentera British di Kampung Pasir Tambang, dekat sini, menimbulkan tanda tanya penduduk mengenai sejarah yang berlaku di kawasan itu.

Pengerusi Pengusaha-pengusaha Pelancongan Taman Negara, Abdul Jalil Abd Rahman berkata, salah satu kubur itu milik Alfred Edward Cyrill Franklin yang lahir pada 18 Jun 1875 dan mati pada Mei 1915.

Menurutnya, sebuah lagi kubur yang berkemungkinan orang berpangkat dalam tentera British memandangkan keadaan kuburnya yang lebih besar dan terhormat tetapi tidak dapat dikenal pasti kerana tanda namanya sudah hilang.

"Dua kubur ini terletak di atas bukit di Kampung Pasir Tambang dan dalam kebun kelapa sawit penduduk. Keadaan kubur ini dilihat pada sebelum ini seperti dijaga kerana mempunyai pagar tetapi kini ia tidak lagi dijaga dengan baik dan dibiarkan di tengah hutan.

"Dalam hal ini kita minta mana-mana pihak termasuk pihak Muzium supaya dapat memelihara kembali kubur ini dan mencari apa sebenarnya sejarah yang berlaku hingga dua tentera ini ditanam di atas bukit ini," katanya kepada Sinar Harian.

Abdul Jalil berkata, kemungkinan dua tentera itu mati kerana berperang dengan penduduk kampung ketika itu.

Menurutnya, kawasan Kuala Tembeling ini kaya dengan pelbagai sejarah dan dua kubur ini boleh dijadikan salah satu kawasan pelancongan bagi memberi pengetahuan kepada orang ramai mengenai apa yang telah berlaku hingga dua tentera ini mati di kawasan ini.

"Kubur ini perlu dijaga semula dan penulisan sejarah yang berlaku perlu dipaparkan untuk pembacaan orang ramai. Kita mahu tahu apa sebenarnya yang berlaku.

"Secara tidak langsung ia dapat menaikkan lagi semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat untuk lebih menghargai nikmat keamanan negara dan mengingati pejuang negara yang bertempur demi kemerdekaan negara," katanya.

harakahdaily/-

Bekas Adun dilantik Speaker Dun Kelantan

Posted: 13 Jun 2013 01:44 AM PDT

4 Syaaban 1434 H. [MOD] -


KOTA BHARU: Bekas Adun Air Lanas, Ustaz Abdullah Ya'kub (gambar) hari ini mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan yang baru.

Manakala Adun Mengkebang, Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman pula dilantik sebagai Timbalan Speaker.

Nama kedua-duanya dicadangkan oleh Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, kemudian disokong Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah.

Majlis angkat sumpah itu bermula jam 9 pagi dengan bacaan doa diketuai Setiausaha Dewan, Muhammed Imran Mansoor.

Kemudian Abdullah mengangkat sumpah dan menandatangani watikah pelantikan sebagai anggota tambahan Dun Kelantan.

Beliau kemudian mengambil tempat di kerusi Speaker selepas dipakai jubah khas dan songkok oleh Menteri Besar.

Diikuti pula Abdul Latiff mengangkat sumpah dan dipakai jubah khas sebagai Timbalan Speaker.

Imran turut memberitahu pihaknya sebelum ini telah menerima perakuan untuk berkhidmat sebagai Speaker daripada Abdullah.

"Cadangan perbahasan pemilihan Speaker juga tidak dibenarkan selepas pihak Dewan hanya menerima seorang sahaja calon," katanya.

Selepas itu majlis angkat sumpah ahli-ahli Dewan dimulakan Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar dan anggota-anggota Exco.

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (PAS-Chempaka) mendahului mengangkat sumpah bagi penyokong kerajaan, manakala Datuk Nozula Mat Diah (BN-Paloh) pembangkang.

Zulkifli Ali (BN-Selising) merupakan ahli Dewan terakhir mengangkat sumpah hari ini.

Bagaimanapun sebelum itu Speaker mengumumkan tiga ahli Dewan tidak hadir atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Mereka iaitu Datuk Husam Musa (PAS-Salor), Datuk Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Wakaf Bharu) dan Datuk Seri Mustapa Mohamed (BN-Air Lanas).

Abdullah turut merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Menteri Besar dan kerajaan negeri di atas penghormatan diberi sehingga dilantik sebagai Speaker.

"Oleh itu saya berharap mendapat kerjasama sepenuh ahli-ahli Dewan bagi melancarkan perjalanan persidangan setiap kali diadakan," katanya.

Turut menyaksikan majlis bersejarah itu anggota parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan, anggota parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

harakahdaily/-

PAS kedah fokus penyusunan semula parti

Posted: 13 Jun 2013 01:43 AM PDT


4 Syaaban 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: PAS Kedah sedang memberi tumpuan kepada persiapan mesyuarat agung tahunan di peringkat cawangan dan kawasan yang tentunya akan memberi fokus kepada penyusunan semula parti di semua peringkat.


Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, setiap cawangan dan kawasan akan menyusun semula jawatankuasa memandangkan tahun ini merupakan tahun pemilihan.

"Tahun ini tahun pemilihan jadi mungkin akan ada perubahan kepimpinan di cawangan dan kawasan.

"Mesyuarat agung di peringkat cawangan dan kawasan akan selesai pada September ini dan fokusnya sudah tentulah kepada penyusunan semula parti," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Bagi peringkat PAS cawangan, tarikh yang ditetapkan bagi mengadakan mesyuarat agung tahunan adalah bermula 25 Mei sehingga 15 Julai manakala peringkat kawasan pula 12 Ogos hingga 30 September.

Peringkat dewan-dewan negeri pula, tarikh muktamar tahunan yang ditetapkan adalah bermula 1 hingga 31 Oktober ini.

Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga, PAS Kedah akan mengadakan pertemuan dengan jentera parti yang baru bagi mengumpulkan idea untuk memantapan gerak kerja PAS di negeri itu.

"Selesai semua mesyuarat agung, kita akan adakan pertemuan untuk sesi sumbang saran idea-idea baru bagi PAS Kedah," katanya.

Tambah beliau juga, mesyuarat agung juga akan membincangkan post mortem kekalahan PAS di Kedah.

Bagamanapun katanya, keputusan keseluruhan post mortem akan diketahui dalam masa empat bulan lagi selepas jawatankuasa post-mortem pilihan raya peringkat negeri ditubuhkan Mei lalu.

Jawatankuasa itu dipengerusikan Timbalan Yang Di-Pertua (YDP) PAS Sg. Petani Sobri Osman manakala timbalannya Dr Hayati Othman yang juga Timbalan YDP PAS Pendang.
harakahdaily/-

Majistret Baling nyaris maut

Posted: 13 Jun 2013 01:28 AM PDT

4 Syaaban 1434 H. [MOD] -


Majistret Baling nyaris maut

Keadaan kenderaan Mohd Faiz.
Majistret Baling nyaris maut

Keadaan kenderaan Mohd Khairul.
KUALA KETIL - Majistret Mahkamah Baling, Mohd Khairul Hafizuddin Ramli nyaris maut dalam kemalangan di Kilometer 26.1 berdekatan Ladang Kim Seng, Kuala Ketil kira-kira jam 8 pagi, semalam.

Kejadian dipercayai berlaku setelah kenderaan yang dipandunya bertembung dengan sebuah kereta lain dari arah bertentangan ketika melalui jalan yang berselekoh di kawasan itu.

Seorang lagi pemandu merupakan anggota polis iaitu Lans Koperal, Mohd Faiz Mohd Shukri yang dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Baling.

Pertembungan itu mengakibatkan kenderaan yang dinaiki Mohd Khairul berpusing beberapa kali dan kedua kenderaan itu remuk teruk.

Bagaimanapun, kedua mereka hanya mengalami kecederaan ringan di beberapa anggota badan dan hanya mendapat rawatan sebagai pesakit luar.

Difahamkan, Mohd Khairul dalam perjalanan ke Kuantan, Pahang atas urusan kerjanya manakala Mohd Faiz dalam perjalanan ke tempat kerjanya di IPD Baling.

Timbalan Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Abdul Rahim Abdullah mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, pihaknya tidak menolak kemungkinan punca kemalangan adalah disebabkan laluan yang berselekoh selain jalan yang licin akibat hujan.


sinar/-

Anak muda dominasi Black505 Kelantan

Posted: 13 Jun 2013 01:23 AM PDT

4 Syaaban 1434 H. [MOD] -



KETEREH: Paling ramai anak-anak muda yang memenuhi setiap ruang padang Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam malam tadi. Mereka tanpa mengira jantina memakai baju hitam.

Sepanjang jalan menuju ke padang produk baju Blackout505 digantung di bawah khemah bagi menunggu pelanggan. Suasana seperti pasar malam yang menawarkan pelbagai jenama bertulis Blackout 505.

Gadis-gadis juga tidak ketinggalan mengenakan lilitan kepala yang bertulis perkataan Blackout 505.

"Sama seperti di tempat-tempat lain apabila puluhan ribu hadir pada perhimpunan aman itu bagi membantah penyelewengan yang berlaku pada pilihan raya umum baru-baru ini.

"Kalau kita tidak berusaha untuk mengubahnya selagi itulah kepincangan dalam pilihan raya terus berlaku," kata anggota parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul.




Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu pula menjelaskan perhimpunan itu bukan untuk mengguling kerajaan, seperti didakwa sesetengah pihak sebelum ini.


(Para pemimpin yang hadir di pentas utama)

"Tak kan pula orang ramai yang hadir dengan tangan tangan kosong kalau betullah mereka hendak guling kerajaan.

"Perhimpunan aman ini diadakan bagi menjaga hak rakyat. Kita tidak mahu pada masa akan datang ada kertas undi ditemui di ladang kelapa sawit," katanya.

Menurutnya juga kaedah undi awal yang diperkenalkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ternyata memberi keutungan besar kepada Umno dan BN.

Hadir sama malam tadi Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob; Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa; Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusoff.

Selain itu Kasturi Patu mewakili DAP; Presiden R, Nazri Deraman; Penyelaras OKU Bangkit, Muhamad Faizal Che Yusoff; aktivis pelajar,

Safwan Anang, Leman Raja Lawak, Chekgu Bard dan wakil-wakil rakyat Kelantan.

Ramai juga anak-anak muda masyarakat Cina dan India yang hadir.

Husam berkata, penipuan dan penyelewengan menghalang Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya pada pilihan raya umum lalu.

Menurutnya, sebabkan itulah ramai rakyat hadir pada perhimpunan tersebut bagi meluahkan rasa tidak senang kepada SPR dan kerajaan BN.

"Semangat anak-anak muda cukup luar biasa sekali. Ini berlaku di seluruh negara apabila mereka beramai-ramai menyertai perhimpunan seperti ini," kata Anwar.


harakahdaily/-

Cuti 30 Jun: Terima kasih kerajaan Kelantan

Posted: 13 Jun 2013 01:15 AM PDT


4 Syaaban 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Memahami jiwa rakyat Kelantan yang amat meminati bola sepak, kerajaan PAS Kelantan mengumumkan cuti peristiwa pada 30 Jun ini sempena Perlawanan Akhir Piala FA.


Cuti itu bagi memastikan peminat bola sepak di negeri itu selamat kembali selepas menonton perlawanan akhir antara Kelantan dan Johor Darul Takzim di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Usaha kerajaan Kelantan itu, bagi Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan ianya satu penghargaan yang besar buat rakyat negeri itu khususnya peminat bola sepak.

Timbalan Presidennya, Mahizi Mahmud berterima kasih kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob kerana memberi cuti pada hari Ahad kepada penyokong bola sepak agar mereka mempunyai masa yang cukup untuk rehat sebelum bertolak pulang.

"Harap penyokong Kelantan jangan hendak cepat untuk balik, ambil masa dan tenaga supaya perjalanan kita lancar, dan kita tidak mahu apa-apa kecelakaan berlaku semasa datang dan pulang nanti," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau percaya ramai di kalangan penyokong bola sepak Kelantan telah berkira-kira untuk mengambil cuti pada hari Ahad selepas perlawanan, bagaimanapun keputusan kerajaan itu amatlah dialu-alukan.

Mahizi turut berharap agar Menteri Besar bersama-sama hadir ke perlawanan akhir itu nanti sebagai memberi sokongan moral kepada pemain-pemain The Red Warrios.

Terdahulu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata mesyuarat Exco kerajaan negeri memutuskan 30 Jun cuti peristiwa setelah mengambil kira cuti berkenaan tidak akan menjejaskan operasi pentadbiran kerajaan dan swasta di Kelantan. 

Pertemuan Kelantan dan Johor DT itu dijadualkan bermula 8.45 malam pada 29 Jun ini di Stadium Nasional Bukit Jalil. 

Kelantan adalah juara bertahan dan ini adalah kali ketiga pasukan 'The Red Warriors' melangkah ke peringkat akhir Piala FA dalam tempoh empat tahun

harakah/-

Harga kereta turun: Laporan Utusan tipu, kata PKR

Posted: 13 Jun 2013 01:03 AM PDT


4 Syaaban 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Penafian oleh syarikat pengeluar kereta terhadap laporan Utusan kononnya berlaku penurunan harga kereta oleh kerajaan BN,  memperlihatkan akhbar Umno itu 'cuba menipu', kata Nik Nazmi Nik Ahmad.


Pengarah Komunikasi PKR itu berkata, episod memalukan ini mendedahkan betapa terdesaknya Umno BN di dalam berhadapan dengan kempen #TurunkanHargaKereta Pakatan.

"Justeru, laporan Utusan bahawa 10 model kereta telah mencatatkan penurunan harga adalah suatu percubaan terdesak untuk memperbodohkan rakyat. Kedua-dua Volkswagen dan Peugeot sudah menafikan dakwaan tersebut. Portal berita Malaysian Insider turut mendedahkan dakwaan pengurangan harga Honda Jazz Hybrid juga tidak benar.

"Sekali lagi, Utusan menunjukkan betapa akhbar yang suatu ketika dahulu menjadi mendepani kewartawanan Melayu kini menjadi simbol etika kewartawanan yang pincang di dalam usahanya untuk menjaga kepentingan politik pemiliknya, Umno," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas laporan Utusan Malaysia sebelum ini kononnya kerajaan BN telah menurunkan harga kereta-kereta sehingga 11 peratus sejak Januari tahun ini sebagai sebahagian daripada pelaksanaan manifesto. 

Menurut beliau lagi, apabila Pakatan mula-mula melancarkan kempen #TurunkanHargaKereta, Umno BN mendakwa bahawa mustahil untuk melaksanakannya di atas pelbagai alasan, termasuk untuk melindungi pembuat kereta tempatan dan kehilangan hasil kerajaan. 

Namun katanya, hujah itu dengan mudah dijawab Pakatan dengan penjelasan bahawa skim ini melibatkan penurunan harga secara beransur-ansur untuk semua pembuat kereta. 

Kemudiannya, selepas manifesto Pakatan dilancarkan, Umno BN pula meniru dengan menyertakan penurunan harga kereta di dalam janji mereka dengan tekad menyemak semula Dasar Automotif Negara untuk menurunkan harga kereta antara 20 hingga 30 peratus dan meningkatkan daya saing kereta-kereta nasional. 

Tetapi kata Nik Nazmi, kerajaan gagal memberikan butir-butir bagaimana mereka merancang untuk melaksanakan dasar ini tanpa mengurangkan duti eksais, dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datu Seri Mustapa Mohamed menyatakan matlamat ini akan dicapai dengan 'bersandarkan kuasa pasaran'.

"Utusan mestilah memohon maaf segera kepada semua rakyat Malaysia di samping pembuat-pembuat kereta di atas berita ini," Katanya.
harakahdaily/-

Benarkah peg penyiasat tunggal EAIC terlibat kes Beng Hock?

Posted: 13 Jun 2013 12:55 AM PDT


4 Syaaban 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri diminta berterus terang dan segera mengesahkan sama ada pegawai penyiasat tunggal EAIC, Mohd Nadzri Ibrahim, adalah pegawai sama yang terlibat dalam kes kematian Teoh Beng Hock. 


(Kematian Teoh Beng Hock tidak selesai hingga kini)

"Dan sekiranya ya, beliau harus dilucutkan daripada semua siasatan kes-kes kematian dalam tahanan," kata  dua ahli Parlimen DAP dalam kenyataan mereka hari ini.

Ini adalah kenyataan kedua daripada dua ahli Parlimen DAP,  Zairil Khir Johari dan Steven Sim berkaitan isu ini.

Sebelum ini, kedua-duanya mendedahkan kemungkinan Mohd Nadzri, satu-satunya pegawai penyisat yang ada di bawah Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) juga orang yang sama terlibat dengan kes Beng Hock.

Mereka bimbang kalau-kalau Mohd Nadzri adalah pegawai SPRM yang turut menyiasat Teoh beng Hock yang didapati mati terjun dari bangunan SPRM Shah Alam sebelum ini.

"Kini sudah 24 jam kami mendedahkan kemungkinan besar bahawa pegawai penyiasat tunggal Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang juga seorang ahli pasukan petugas yang telah ditubuhkan untuk menyiasat kes-kes kematian dalam tahanan merupakan pegawai penyiasat sama yang telah menyoal siasat Teoh Beng Hock sejurus sebelum kematian beliau. 

"Sekiranya benar, persoalan timbul bagaimana mungkin pegawai tersebut, Mohd Nadzri Ibrahim, ditugaskan untuk menyiasat kes-kes kematian dalam tahanan sedangkan beliau sendiri pernah terlibat dalam kes yang serupa?" kata kenyataan mereka berdua hari ini.

Malah, kata mereka, Majlis Peguam pernah menyarankan agar siasatan lanjutan dijalankan ke atas Mohd Nadzri atas penglibatannya dalam kes tersebut.

Namun begitu, sehingga sekarang tiada lagi jawapan daripada Perdana Menteri atau EAIC. 

"Kami menggesa sekali lagi agar Datuk Sri Najib Razak memberi penjelasan segera memandangkan EAIC adalah sebuah agensi di bawah kelolaan Jabatan Perdana Menteri. 

"Kegagalan untuk mengesahkan identiti pegawai tersebut akan merosotkan lagi keyakinan awam terhadap EAIC," kata mereka.

Pendedahan ini adalah tambahan kepada kritikan-kritikan terhadap EAIC daripada pelbagai pihak, termasuk mantan Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid yang baru-baru ini telah mempersoalkan kegunaan serta kemampuan EAIC. 

Menurutnya, setelah menelan belanja RM14 juta selama dua tahun sejak 2009, EAIC hanya berjaya mengeluarkan dua amaran dan satu tindakan disiplin dalam tempoh masa tersebut.


(Zairil dan Steven Sim...dua ahli parlimen DAP)

Menurut Tun Hamid, sebanyak 347 aduan telah diterima di mana hanya 60 telah dimajukan untuk siasatan lanjutan. Daripada jumlah ini, hanya tiga yang disiasat penuh, dan akhirnya dua kes telah ditutup atas sebab pendakwaan dua kali atau "double jeopardy" sementara satu telah dirujuk kepada lembaga disiplin Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

Pun begitu, Ketua Pegawai Eksekutif EAIC Nur Afizah Hanum sendiri telah mengakui bahawa beliau tidak tahu sama ada tindakan disiplin tersebut telah pun dikenakan terhadap pegawai yang berkenaan.

"Hakikatnya, EAIC adalah umpama harimau yang tidak bertaring. Walaupun diwujudkan sebagai pengganti kepada Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) yang telah disarankan oleh Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja Tun Dzaiddin pada tahun 2005, EAIC hanya mempunyai kuasa menyiasat dan memberi cadangan. 

"Tanpa apa-apa kuasa penguatkuasaan, jelas EAIC tidak diambil serius. Ini sudah pun terbukti dengan prestasi yang sangat menghampakan sejak penubuhannya," dakwa kedua-dua ahli parlimen itu.

Akibatnya, kata mereka, agensi-agensi penguatkuasa di negara ini seperti SPRM dan PDRM sudah menjadi leka dan tidak mengikuti Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) yang betul apabila kes-kes kematian dalam tahanan semakin meningkat dengan sembilan kematian bagi tahun ini dan empat dalam tempoh dua minggu yang lepas. 

Tambahan pula, dengan kemungkinan besar bahawa pegawai penyiasat tunggal EAIC mungkin terlibat dalam kes kematian Teoh Beng Hock, keyakinan awam terhadap agensi-agensi penguatkuasa sudah hampir hilang sama sekali.

"Justeru, tidak ada jalan lain melainkan menggantikan EAIC yang bukan sahaja tidak bertaring tetapi sudah jelas gagal dan hilang integriti dengan penubuhan IPCMC yang benar-benar berkuasa dan berupaya untuk mengambil tindakan penguatkuasaan termasuk menyiasat, menggantung tugas dan memecat anggota-anggota penguatkuasa yang didapati bersalah," kata mereka.

Pada masa yang sama, lantikan anggota-anggota IPCMC harus dilakukan secara telus dan bebas melalui jawatankuasa pilihan khas Parlimen yang mempunyai keanggotaan adil daripada kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang. 

IPCMC juga perlu bebas daripada campur tangan badan Eksekutif dan bukannya diletakkan di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri seperti EAIC pada masa kini.

Akhir sekali, kerajaan harus menubuhkan sebuah mahkamah koroner yang bebas dan profesional serta menggunakan tatacara antarabangsa untuk menyiasat kes-kes kematian luarbiasa termasuk kematian dalam tahanan, tambah mereka.

Tindakan-tindakan drastik dan tegas harus diambil sekiranya kerajaan ingin mengelak berlakunya lagi kematian dalam tahanan serta memulihkan imej dan keyakinan awam terhadap agensi-agensi penguatkuasa negara kita, kata kenyataan itu lagi


harakahdaily/-

Tiada ulasan:

Nuffnang