Jumaat, 31 Mei 2013

N50 Dun Sri Muda

N50 Dun Sri Muda


Portfolio Penerangan Diwujudkan - TSKI

Posted: 30 May 2013 09:18 PM PDT

KLANG 30 MEI : Portfolio Penerangan diwujudkan bagi memastikan rakyat Selangor mendapatkan maklumat tepat dan jelas mengenai segala program yang dirangka Kerajaan Negeri menerusi hebahan media.

MB exco baruMenurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim langkah ini mengambil pengajaran ketika pentadbiran penggal pertama lalu ,biarpun banyak program dijalankan seperti agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) namun ia tidak sampai kepada rakyat secara menyeluruh.

"Oleh sebab itu salah satu tugas portfolio ini ialah memberikan penerangan yang lebih tepat, jelas dan terus kepada rakyat.

"Ini akan kita bincangkan supaya sebarang maklumat dan komunikasi kepada rakyat dapat dilaksanakan melalui pelbagai usaha seperti hebahan melalui TVSelangor, radio dan semua media," katanya dalam sidang media selepas majlis angkat sumpah exco Kerajaan Negeri di Istana Alam Shah di sini hari ini.

 Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri komited meneruskan agenda MES dalam penggal terbaru ini di mana kekayaaan negeri diagihkan kepada rakyat.

Menurutnya, beliau dan barisan exco yang baru dilantik menerima segala nasihat DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan akan memastikan kesinambungan pentadbiran bersih dan telus yang ditunjukkan Kerajaan Negeri  sepanjang lima tahun lalu.

'Kepada rakan yang baru dilantik, saya yakin mereka mampu memberikan komitmen yang tinggi terhadap bidang tugas yang diamanahkan demi meneruskan kecemerlangan kerajaan Selangor," katanya.

Antara muka baru dilantik adalah Adun Sabak, Sallehen Mukhyi selaku Exco Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa; Adun Kota Alam Shah, V Ganapathi Rao (Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin dan Adun Sementa, Dr Daroyah Alwi (Kesihatan,
 Pembangunan Usahawan serta Sains, Teknologi dan Inovasi.

Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) kini disandang Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh Tseow Suan dan Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai Timbalan Speaker DNS.
Bekas Speaker DNS, Datuk Teng Chang Kim yang juga Adun Sungai Pinang dilantik Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan.

Selain itu, Menteri Besar turut memegang portfolio Kewangan, Pembangunan Tanah & Pengurusan Sumber Alam (Pemutihan Kilang Haram), Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (Pelaburan, Pembangunan Desa dan Pelancongan) serta Jawatankuasa Adat Melayu.

selangorku

Tahniah Kepada Kesemua EXCO Selangor yang Diberi Kepercayaan Meneruskan Kecemerlangan

Posted: 30 May 2013 09:14 PM PDT



KLANG, 30 MEI: Sepuluh pemimpin Pakatan Rakyat (PR) selamat mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor.

Kerajaan Selangor mencatat sejarah sebagai negeri pertama yang mempunyai Speaker wanita dengan perlantikan Adun Subang Jaya Hannah Yeoh di dalam jawatan itu.

Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji Serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor berlangsung di hadapan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Balairong Seri, Istana Alam Shah Klang di sini.

Perlantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor dibuat berdasarkan formula 4-3-3 yang menyaksikan enam daripada mereka terdiri Exco berbangsa Melayu sementara empat Bukan Melayu.

Kesemua mereka telah mendapat perkenan Sultan Selangor sebelum mengangkat sumpah hari ini.
Dua minggu lalu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sekali lagi dipilih menjadi Menteri Besar Selangor untuk penggal kedua bagi menerajui pentadbiran Negeri Selangor.

Berikut merupakan bidang kuasa dan portfolio yang dipertanggungjawabkan untuk sesi pentadbiran tahun 2013-2018:

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim 
– Kewangan, Pembangunan Tanah dan Pengurusan Sumber Alam, Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES) dan Jawatankuasa Adat Melayu.

Iskandar Abdul Samad
 – Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peeroka Bandar.

Dr Ahmad Yunus Hairi
– Exco Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam.

Dr Halimah Ali 
– Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan.

Sallehin Mukhyi 
– Exco Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa.

Ean Yong Hian Wah 
– Exco Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Kampung Baharu dan Pemutihan Kilang Haram.

Ganabathi Rao Veraman
– Exco Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin.

Datuk Teng Chang Khim
– Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan.

Dr Rodziah Ismail
– Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita.

Dr Daroyah Alwi 
– Exco Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi dan Inovasi.

Elizabeth Wong Keat Ping 
– Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar.

Hannah Yeoh 
– Speaker Dewan Negeri Selangor.

Nik Nazmi Nik Ahmad 
– Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor.

selangorku

Sidang DUN Selangor 28 Jun- TSKI

Posted: 29 May 2013 09:04 PM PDT



KLANG: Selangor akan memulakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) penggal pertama pada 28 Jun ini dan upacara pembukaan akan dirasmikan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, bagi pelantikan rasmi Adun Subang Jaya Hannah Yeoh sebagai Speaker dan Timbalannya Nik Nazmi Nik Ahmad (Adun Seri Setia), upacara angkat sumpah akan diadakan pada 21 Jun depan.

Manakala bagi jawatan Pegawai Perhubungan Politik (political liaison) yang akan diberikan kepada Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail, beliau berkata pihaknya masih meneliti proses lantikan tersebut dan akan memutuskannya dalam masa terdekat

Beliau turut mengarahkan Exconya supaya mengisytiharkan harta masing-masing sebelum sidang DUN bermula, sama seperti yang dilakukannya dalam pentadbiran negeri penggal lalu.
"Setiap penambahan aset semasa Exco itu bertugas juga perlu dilaporkan  termasuk Exco lama dan baru," katanya dalam sidang media selepas istiadat Angkat Sumpah Jawatan Dan Aku Janji Ahli Majlis di Istana Alam Shah disini hari ini.

Mengenai isu air, beliau berkata pihaknya telah menghantar surat rasmi kepada Menteri Air, Tenaga dan Teknologi Hijau, Datuk Maximus Ongkili bagi mengadakan perbincangan lanjut untuk memuktamadkan proses penstrukturan air kepada rakyat Selangor dan Lembah Klang.
Turut diberi keutamaan adalah menaik taraf jalan raya melalui Ops Tampal Jalan dengan membelanjakan RM120 juta untuk membaiki 2.7 juta meter persegi termasuk menampal lubang pada harga RM35 setiap meter persegi.


Destinasi pelaburan utama

Sementara itu, Abdul Khalid dalam ucapan Majlis Angkat Sumpah Jawatan dan Menyimpan Rahsia sebagai Exco dihadapan Sultan Selangor pagi tadi, pihaknya berjanji untuk berusaha mengekalkan kedudukan Selangor sebagai destinasi pelaburan utama para pelabur dari dalam mahupun luar negara.

"Di bawah pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Tuanku, negeri Selangor berjaya mencapai tahap negeri maju dan dengan restu Duli Yang Maha Mulia Tuanku patik hamba tua bertekad untuk meneruskan kecemerlangan Selangor selaku penyumbang utama terhadap pembangunan dan pendapatan negara Malaysia.

"Hanya dengan kedudukan dan tahap pencapaian sedemikian, maka seluruh rakyat Tuanku dapat sama menikmati limpahan pembangunan serta dapat meningkatkan kualiti kehidupan mereka," katanya.

Adun Pelabuhan Klang itu juga berikrar untuk terus berusaha mencari jalan meningkatkan pendapatan rakyat terutama di kawasan luar bandar dan dipinggir bandar agar mereka dapat menikmati kehidupan yang "serba ada" sekaligus dapat merapatkan jurang dengan penduduk di kawasan bandar.

"Tiada gunanya jika negeri Selangor bergelar negeri maju sedangkan sebilangan penduduk, terutama penduduk luar bandar masih tercicir dalam hal menikmati kemajuan di negeri ini," katanya.

fmt

Pecat Ahli PKR Bertanding Calon Bebas

Posted: 28 May 2013 09:00 PM PDT

 

PETALING JAYA - Parti wajar mengenakan tindakan tegas terhadap ahli-ahli PKR yang merajuk tidak dicalonkan sebagai calon dan bertindak menamakan diri sebagai calon bebas pada PRU13.

Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei berkata, pucuk pimpinan parti disarankan memecat dan bertindak tegas terhadap ahli parti yang merajuk kerana tidak dipilih sebagai calon.

"Dah tak terpilih, calon itu menamakan diri sendiri sebagai calon bebas seperti yang berlaku di Hulu Selangor.

"Parti mesti ambil tindakan tegas, selayaknya pecat ahli seperti ini," katanya dalam perbahasan Kongres Nasional Keadilan ke-9 2012, di sini, semalam.

Sementara itu, Shuhaimi turut mencadangkan kepada pimpinan PKR agar mengenakan tindakan tegas terhadap ahli parti yang tidak berdisiplin dan menyalah gunakan kedudukan di dalam parti.

"Ini menyentuh kepada keingkaran ahli-ahli PKR yang mengetepikan keputusan parti yang telah diputuskan dalam mesyuarat, kongres dan sebagainya tidak dipatuhi oleh segelintir mereka yang diberi tanggungjawab untuk dilaksanakan.

"Yang lebih buruk, ada yang mengabaikan keputusan penting. Disarankan mereka yang diberi amanah melaksanakan keputusan penting tetapi tidak dilakukan, mesti tertakluk kepada hukuman atau denda ditetapkan parti.

Shuhaimi berkata, bukan sahaja perlu berdisiplin malah disiplin terhadap mereka yang menyalah gunakan kedudukan dalam parti.

Mengulas perkara lain, Shuhaimi sekali lagi bertegas menyarankan supaya Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai individu bertanggungjawab mempertimbangkan ahli PKR yang mempunyai potensi untuk diangkat atau dilibatkan dalam mana-mana syarikat berkaitan kerajaan negeri.

"PKR  sudah 15 tahun diasaskan dan lima tahun di Selangor, dua penggal diberi tanggung jawab maka saya fikir kita sudah cukup bersedia untuk masuk mana-mana GLC atau pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membanteras penyelewengan dan ketirisan yang tidak selari dengan polisi parti," katanya.

sinarharian

Misi & Visi ADUN Sri Muda Selepas PRU-13

Posted: 27 May 2013 08:48 PM PDT




Makalah ini merupakan kesinambungan kepada "Mengenali DUN dan ADUN Sri Muda" (Free Malaysia Today, 18 Februari 2013) dan "Jom Ubah Taman Sri Muda" (Free Malaysia Today, 12 Mac 2013). Sekurang-kurangnya boleh dijadikan rujukan silang dan indeks prestasi utama (KPI).

Sebagai pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Muda dan penduduk di Taman Sri Muda, Shah Alam sejak tahun 2000, tentulah saya tidak mahu Mat Shuhaimi Shafiei "berehat" selepas mendapat kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Hasil pengiraan undi pada 5 Mei 2013 menunjukkan bahawa beliau mendapat 27,488 undi sementara Mohd Raof Mokhtar mendapat 14,978 undi (majoriti 12,510 undi). Seorang lagi calon yang tidak pernah saya temui/kenali, Ramaswree Duraisamy, berjaya mendapat 242 undi tetapi tetap hilang wang deposit.

Saya bertemu Shuhaimi di Restoran Sri Mayuri, Taman Sri Muda pada petang 23 Mei 2013 untuk minum teh dan berbual tentang perancangan beliau bagi DUN Sri Muda berikutan kejayaan mendapatkan mandat lebih besar daripada pengundi dalam PRU-13.

Politikus berumur 45 tahun itu melihat peningkatan majoriti sebagai bukti bahawa pengundi mahu menunjukkan "kuasa rakyat" (people's power atau The Third Force) sambil menghantar isyarat yang jelas kepada Kerajaan Pusat supaya jangan mengabaikan pengundi di kawasan bandar dan separa bandar.

Sambil menyifatkan kejayaan ini sebagai "kemenangan bergaya", Shuhaimi berkata, peningkatan majoriti daripada 5,984 undi pada PRU-12 (8 Mac 2008) kepada 12,510 undi pada PRU-13 (5 Mei 2013) menunjukkan bahawa beliau perlu bekerja lebih keras untuk memenuhi harapan tinggi yang diletakkan oleh para penduduk pelbagai kaum dan agama di DUN Sri Muda.

Dalam perbualan kami, saya turut bertanya sama ada peningkatan undi pada kali ini datang daripada pengundi muda (Saluran 5, 6 dan 7) atau pengundi lama (Saluran 1, 2 dan 3). Maklumat ini pasti boleh membantu untuk "membaca" harapan penduduk sekitar DUN Sri Muda.

"Kebanyakan Saluran 1 (warga emas) di kawasan kampung menunjukkan peningkatan sokongan dalam bentuk undi. Di saluran anak muda pula, bagi kawasan bandar, majoriti mengundi saya. Tetapi di kawasan kampung dan luar bandar, nampaknya sokongan kurang sedikit daripada pengundi muda," Shuhaimi berkongsi analisis yang dilakukan berdasarkan data dan fakta.

Pengundi muda (khususnya pengundi kali pertama) di kawasan kampung dan pinggir bandar didapati menggunakan konsep "warisan" dalam memutuskan calon atau parti yang mahu diundi. Maknanya, ibu, bapa, ahli keluarga atau saudara-mara terdekat mereka memegang jawatan dalam parti politik tertentu.

"Misalnya, anak atau menantu yang merupakan pengundi kali pertama memilih untuk mengundi atas dasar sentimen keluarga. Hasil penelitian mendapati bahawa trend seperti itu hanya berlaku di kawasan kampung, bukan di kawasan bandar," bapa kepada empat anak itu menghuraikan.


Visi lima tahun

Kalau diperhatikan, terdapat 80 saluran pengundi muda di kawasan bandar dalam DUN Sri Muda semasa PRU-13. Shuhaimi hanya tewas di 17 saluran berkenaan. Maknanya, sokongan anak-anak muda adalah lebih daripada dua pertiga.

Persoalan seterusnya yang amat wajar dikemukakan adalah mengenai perancangan ADUN berkenaan bagi tempoh lima tahun akan datang.

"Menjadi visi saya untuk meletakkan perbezaan antara kawasan bandar (taman) dan luar bandar (kampung) pada suatu garis pemisah yang paling tipis," katanya sambil menghuraikan mengenai pelbagai projek pembangunan prasarana yang sudah mula dirancang.

Dalam jangka masa panjang, ADUN yang selalu turun padang itu berharap dapat merealisasikan impian melihat perkhidmatan oleh kerajaan tempatan yang memberi tumpuan kepada semua kawasan; bandar mahu pun kampung.

Untuk makluman, DUN Sri Muda terbahagi kepada daerah Petaling dan Klang; selain terletak di bawah pentadbiran tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandar Raya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ). Maka, bukan mudah untuk menyelaraskan kesemuanya bagi memastikan mutu perkhidamatan PBT yang seimbang dan setara.

Walau bagaimanapun, Shuhaimi tetap optimis dalam impian berkhidmat kepada penduduk mengikut kemampuan dan bidang kuasa. Sebagai permulaan, beliau antara lain sedang berusaha mengenal pasti padang atau kawasan tanah lapang di Kampung Jalan Kebun untuk dijadikan tempat menganjurkan majlis perkahwinan.

"Kalau kita mampu menyediakan ruang meletak kereta bagi tetamu, ruang untuk menjamu selera dan pentas khas bagi acara, maka pasti dapat menyelesaikan masalah penduduk pelbagai kaum pada setiap kali muncul musim perkahwinan atau apa-apa sambutan yang memerlukan ruang yang luas bagi tetamu yang ramai," politikus yang berasal dari Bagan Serai, Perak itu menceritakan dengan penuh praktikal.

Cadangan beliau mungkin kelihatan "kecil" pada pandangan sesetengah pihak tetapi saya menganggapnya sebagai usaha murni dan penting yang sebenarnya mampu menyelesaikan pelbagai masalah serta mengurangkan beban penduduk berpendapatan rendah. Malah, tapak berkenaan boleh dijadikan lokasi aktiviti kemasyarakatan yang mampu memupuk perpaduan dan semangat muhibah.
"Satu lagi perkara penting yang saya titik beratkan adalah pembangunan belia-belia kampung. Dalam PRU-13, saya nampak sendiri sebilangan remaja dan belia dipergunakan ahli politik tertentu yang tandus idea. Saya dimaklumkan oleh sekumpulan remaja bawah umur 18 tahun bahawa mereka dibayar upah RM50 untuk mengelilingi pekan, kampung dan bandar sambil menunggang motosikal, mengibarkan bendera parti politik dan berkempen.

"Amat malang bahawa mereka tidak diberikan peluang pendidikan atau kesedaran politik yang betul. Hal ini merugikan masa depan remaja terbabit kerana mereka adalah bakal pengundi pada PRU-14. Maka, saya bercadang mengadakan program kesedaran khas melibatkan golongan belia dan remaja," katanya yang mengakui golongan muda sebagai modal insan dan aset penting negara.


Memenuhi KPI


Dalam pada itu, ada dua perancangan jangka pendek Shuhaimi bagi DUN Sri Muda. Pertama, pembinaan pasar baru di Taman Sri Muda dilaksanakan segera selepas menyelesaikan "masalah birokrasi yang luar biasa" sejak lima tahun lalu.

ADUN itu mengakui bahawa memang amat menyedihkan kerana masalah birokrasi sepatutnya tidak berlaku selepas Pakatan Rakyat (PR) membentuk Kerajaan Negeri Selangor pada Mac 2008.

Perancangan kedua adalah untuk berbincang dengan Exco Belia (yang baru) supaya sekitar 300 Penggerak Belia Tempatan (PeBT) di 12 PBT diberikan ruang dan peluang melaksanakan aktiviti melibatkan golongan belia. Usaha memperkasa PeBT haruslah selaras dengan keinginan golongan belia tempatan serta memberi "kuasa" kepada mereka sendiri membuat keputusan.

Shuhaimi yang tinggal di Taman Mewah Jaya, Klang menekankan pentingnya aktiviti riadah, konvoi, futsal, kembara dan sebagainya bagi mengisi masa lapang golongan belia dan remaja.

"Selaras dengan itu juga, sebuah gelanggang futsal dan dewan sukan akan dibina di sebelah stesen minyak (Petronas) di Taman Sri Muda. Saya juga menerima baik cadangan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang mahu menggunakan ruangan berhampiran Kawasan Rukun Tetangga (Zon B) untuk dijadikan laman budaya bagi mengendalikan aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya melibatkan khalayak pelbagai kaum di sekitar Taman Sri Muda," katanya.

Saya percaya bahawa pengundi dan penduduk di DUN Sri Muda akan memantau segala usaha dan aktiviti Shuhaimi dengan penuh teliti bagi memastikan mandat yang diberikan kepada beliau dalam PRU-13 adalah "berbaloi".

Berdasarkan rekod cemerlang beliau sejak 2008, saya optimis bahawa politikus ini akan mampu memenuhi KPI dan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk. Jika tidak, beliau berdepan risiko kehilangan undi saya pada PRU-14. Ini bukanlah ugutan tetapi peringatan mewakili pengundi dan bakal pengundi.

fmt

Tiada ulasan:

Nuffnang