Nuffnang

Suara Sri Andalas

Posted by Tanpa Nama | Posted on 3:39 PTG

Suara Sri Andalas


Pilihanraya DUN Selangor tidak serentak dengan PRU13

Posted: 12 Sep 2012 02:00 AM PDT

Pilihan raya bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor akan dijalankan secara berasingan daripada pilihan raya umum - memecahkan tradisi lama dalam sejarah pilihan raya Malaysia.

Majlis Presiden Pakatan Rakyat membuat keputusan itu dalam mesyuaratnya hari ini, dengan memetik "masalah yang tidak dapat diselesaikan" pada senarai pemilih di negeri itu yang dikatakan termasuk ribuan pengundi yang diragui.

Majlis itu juga mungkin mempertimbangkan permohonan Pulau
Pinang untuk mengadakan pilihan raya DUN berasingan, kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, mereka bersetuju dengan pandangan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk tidak mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan pilihan raya nasional kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gagal membersihkannya.

Menurut Anwar, terdapat ratusan ribu pengundi yang diragui yang berdaftar di Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur) dan Pulau Pinang, dan pihaknya memandang berat perkara itu kerana SPR gagal memberi reaksi.

Di Kelantan, kata Setiausaha Agung PAS , Datuk Mustafa Ali, menteri besar telah bersetuju untuk mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan pilihan raya umum akan datang.

"Bagi Kedah, kita belum mendapat maklum balas daripada menteri besar," katanya.

Sumber: Malaysiakini

Penswastaan KTMB: Tambang Naik, Faedah Kakitangan Bakal Terjejas

Posted: 12 Sep 2012 01:45 AM PDT

SHAH ALAM, 12 SEPT : Pengguna perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bakal berhadapan kenaikan harga tambang perjalanan sekiranya penswastaan kepada Malaysian Mining Corporation Berhad (MMC) berlaku.

Perkara ini dinyatakan oleh Presiden Kesatuan Kakitangan KTMB, Abdul Razak Md Hassan yang membantah pengambilalihan KTMB kepada syarikat yang dikawal oleh Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Jelasnya, rakyat sudah pasti akan menerima kesan pengambilalihan memandangkan setakat ini tambang perjalanan KTMB merupakan paling murah berbanding dengan pengangkutan awam lain seperti LRT dan Monorail.

"Adakah tambang ini tidak dinaikkan? Bagaimana pula dengan kargo? Jadi inilah implikasi kepada pengguna," katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli sebelum ini mendedahkan usaha menyerahkan operasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kepada MMC.

Rafizi mendakwa usaha ini satu percubaan untuk membentuk sistem monopoli dalam operasi pengangkutan awam dan industri logistik.

Selain itu, Abdul Razak berkata pengambilalihan ini akan menyebabkan kakitangan KTMB bakal kehilangan beberapa faedah.

Menurutnya, faedah kakitangan KTMB hampir dilucutkan semasa syarikat itu diambilalih oleh Marak Unggul Sdn Bhd dari tahun 1997 sehingga tahun 2002.

"Pengalaman dengan Marak Unggul, kakitangan terpaksa buat kerja-kerja yang bukan bidang spesifikasi kerja.

"Kedua, cubaan menarik beberapa keistimewaan syarat-syarat pekerja keretapi. Ketiga faedah hospital, di mana sebelum itu kos perubatan ditanggung sepenuhnya oleh KTMB."

Dakwa Abdul Razak, Marak Unggul cuba meletakkan had RM 1,000 terhadap kos perubatan hospital.

Abdul Razak berkata, usaha untuk mengurangkan faedah kakitangan KTMB gagal apabila Menteri Sumber Manusia, Tan Sri Lim Ah Lek campurtangan.
Akhirnya pengambilalihan Marak Unggul dibatalkan pada 2002 dan Kerajaan Pusat mengambil kembali KTMB.

Ujar beliau lagi, perkara ini tidak mustahil berlaku seperti di dalam kes pengambilalihan Proton oleh DRB-Hicom, sebuah lagi syarikat yang dikuasai Syed Mokhtar.

Tegas Abdul Razak, adalah lebih baik KTMB kekal dalam situasi sekarang atau dikembalikan kepada sektor awam agar tidak menjejaskan semua pihak.

Sumber: Selangorku

Kerajaan Negeri Sumbang USD50 Ribu Bina Hospital Gaza

Posted: 12 Sep 2012 01:30 AM PDT

SHAH ALAM 11 SEPT: Prihatin dengan nasib dan masa hadapan rakyat Palestin, Kerajaan Negeri Selangor menyumbang USD50,000 untuk membiayai pembinaan hospital di negara bergolak itu.

Sumbangan tersebut diserahkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kepada Menteri Kesihatan Gaza-Palestin, Dr Basem Naim dalam majlis makan malam sempena lawatan delegasi itu ke Selangor semalam.

Ketika mengalu-alukan kedatangan Dr Basem, Abdul Khalid dalam ucapannya berharap semuga sumbangan itu menjadi permulaan yang baik ke arah itu.

"Ini mungkin tidak banyak dan tidak meliputi sepenuhnya keperluan bangunan hosital yang lengkap, tetapi kita berharap ia akan memberi satu permulaan yang baik ke arah itu," katanya dalam majlis yang diadakan di Hadramot Restaurant, Hotel Concorde di sini.

Di samping berharap hubungan dua hala Selangor-Palestin dapat diperkukuhkan, Abdul Khalid juga menyatakan sokongan penuh terhadap usaha Kerajaan Palestin untuk membangunkan negaranya.

"Selangor menyokong usaha membangunkan Negara Palestin dan mengukuhkan hubungan dua hala serta membina masa depan yang lebih baik untuk semua rakyat Palestin," katanya lagi.

Sementara itu, Dr Basem pula berkata selain mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih, beliau turut melahirkan keyakinan masyarakat di Malaysia, khususnya di Selangor akan terus membantu untuk memenuhi dana pembinaan hospital di Palestin.

"Saya percaya sumbangan ini akan mendorong pihak di sini termasuk NGO (Pertubuhan Bukan Kerajaan) menyumbang untuk tujuan itu," katanya.

Beliau turut memberitahu, selain keperluan membina hospital, Kerajaan Palestin turut berhadapan dengan masalah membekalkan eletrik ke hospital-hospital yang menuntut kos tinggi.

Dalam majlis tersebut, turut mengiringi Dr Basem adalah, Pengarah Hospital Shifa, Palestin, Dr Manhat A.K Hasan.

Majlis yang dihadiri kira-kira 70 tetamu itu antaranya Exco-exco Negeri Selangor, Dr Halimah Ali, Dr Xavier Jayakumar, Rodziah Ismail, Dr Yaakob Sapari, Dr Ahmad Yunus Hairi, Ronnie Liu, Teresa Kok dan Setiausaha Agung Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abd Hamid.

Selain itu turut kelihatan dalam majlis sama, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad dan Adun Meru, Dr Rani Osman.

Sumber: Selangorku

Air Percuma : MB Tidak Halang Rakyat Bawa Ke Mahkamah

Posted: 11 Sep 2012 02:30 AM PDT

SHAH ALAM 11 SEPT : Kerajaan Negeri tidak menghalang sekiranya pengguna air di pangsapuri di negeri ini mahu memfailkan saman berhubung kegagalan menerima subsidi air percuma yang diberikan kepada semua rakyat.

Mengulas lanjut isu tuntutan saman yang difailkan oleh 711 pengguna air, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata ia merupakan satu kes percubaan yang akan memberikan pandangan mengenai kebajikan rakyat.

Katanya, dengan saman ini membolehkan Kerajaan Negeri mengetahui masih terdapat rakyat yang tidak menikmati air percuma kerana tidak mengikut syarat yang ditetapkan.

"Sekiranya seseorang tidak mengikut syarat-syarat yang ditetapkan ia boleh dibenarkan untuk menerima peruntukkan? itu pihak mahkamah boleh berikan jawapan.

"Penukaran meter pukal kepada meter individu tidak memerlukan kos yang tinggi, ia cuma memerlukan persetujuan daripada penghuni dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) setuju untuk membenarkan penukaran dilakukan," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, di SUK.

Sebelum ini, seramai 711 pengguna air memfailkan saman menuntut ganti rugi hampir RM500,000 terhadap tiga pihak termasuk Abdul Khalid, atas kegagalan menerima subsidi air percuma di bawah Skim Air Percuma yang dilaksanakan Kerajaan Negeri.

Semalam Abdul Khalid berkata Kerajaan Negeri sedia maklum bahawa pemberian percuma hanya diberikan kepada penghuni yang mempunyai meter individu.

"Oleh kerana itu, saya sudah memaklumkan bahawa penghuni supaya cepat menukarkan meter pukal kepada meter individu supaya dapat menikmati pemberian ini.

"Kadang-kadang sesetengah orang tidak faham mengenai perkara ini," katanya.

Sumber: Selangorku

LANGAT 2 : Jangan Salahkan Kerajaan Negeri Jika Perlaksanaan Tertunggak

Posted: 11 Sep 2012 02:00 AM PDT

SHAH ALAM 11 SEPT : Kerajaan Negeri mengeluarkan peringatan kepada mana-mana pihak yang ingin menyertai pembinaan loji rawatan air Langat 2 bahawa projek tersebut masih tidak mendapat kelulusan Selangor.

Oleh itu, pemaju, kontraktor, perunding dan sesiapa yang mengambil bahagian di dalam projek tersebut diingatkan supaya tidak menyalahkan kerajaan negeri apabila perlaksanaan projek itu tergugat.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Kerajaan Negeri masih mempunyai kuasa berhubung perlaksanaan projek tersebut walaupun Kerajaan Pusat mahu meneruskannya.

Kuasa Kerajaan Negeri antaranya meliputi kelulusan merancang dan memasuki tapak projek.

"Kita ingin mengingatkan kepada pemaju, kontraktor mahupun Kerajaan Pusat bahawa Kerajaan Negeri mempunyai tanggungjawab sepertimana yang dijamin Perlembagaan dan Kanun Tanah Negara.

"Kerajaan Negeri juga ingin mengingatkan bahawa Kerajaan Negeri akan menjaga tanggungjawab ini," jelasnya dalam satu sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco.

Peringatan itu dibuat susulan penyiaran iklan tender Langat 2 di laman web Syarikat Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) hari ini.

Tender tersebut dikeluarkan walaupun projek tersebut masih tidak mendapat persetujuan Kerajaan Negeri.

Abdul Khalid berkata Kerajaan Negeri akan mengeluarkan kenyataan undang-undang bagi menjelaskan tanggungjawab dan bidang kuasa Kerajaan Negeri mengenai projek ini.

"Mereka perlu sedar dan jelas tentang tanggungjawab dan tanggungan mereka akan beberapa perkara apabila berurusan atau berhadapan dengan Kerajaan Negeri," katanya.

Sementara itu, Exco Negeri, Dr Xavier Jayakumar berkata sesiapa yang menyertai projek tersebut harus berdepan dengan risiko akibat dari percanggahan pendirian Kerajaan Pusat dan Negeri.

"Andaikata mereka masih ingin menyertai tender, kemudian menang 'bidding' namun perlaksanaan tertunggak, jangan datang saman (Kerajaan Negeri).

"Kerana kita sudah memberi penjelasan dan peringatan berkenaan perkara ini," tegas beliau ketika ditemui.

Kerajaan Negeri sebelum ini tidak bersetuju dengan pembinaan Langat 2, dan mahu ia dirunding bersama dengan rancangan penstrukturan semula industri air Selangor.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah mengarahkan Peguam Negara untuk mengkaji cara meneruskan projek tersebut tanpa kelulusan Selangor.

Sumber: Selangorku

Comments posted (0)

YB BN

YB PAS

YB PKR

YB DAP