Isnin, 3 September 2012

Khalid Samad

Khalid Samad


Kenyataan Yang Menzahirkan Kerunsingan

Posted: 03 Sep 2012 07:47 AM PDT

Suasana dan perkembangan politik dewasa ini sememangnya amat mencabar sehingga ramai pimpinan UMNO/BN sendiri yang menyatakan bahawa PRU ke 13 ini bakal menjadi PRU yang paling sengit yang pernah dihadapi oleh UMNO/BN. Ini sudah pasti menjadikan pimpinan utama runsing dan tidak nyenyak tidur. Di antara yang paling gusar sudah pasti Tun Dr Mahathir!

SYAITAN YANG DIKENALI

Mungkin inilah sebabnya mengapa beliau telah mengeluarkan beberapa kenyataan yang kurang bijak seperti peribahasa Inggeris yang berbunyi "The Devil you know is better than the Angel you don't" atau "Syaitan yang anda kenali adalah lebih baik dari Malaikat yang anda tidak kenal". Walaupun saya faham bahawa penggunaan istilah 'Syaitan dan 'Malaikat' adalah merupakan kiasan semata-mata, tetapi hakikatnya ianya tetap merupakan pengakuan bahawa kerajaan UMNO/BN, dalam konteks ucapan Dr Mahathir, adalah kerajaan yang penuh dengan kejahatan dan penyelewengan. Itulah sebabnya dikiaskan dengan Syaitan walaupun bukan secara literal merupakan Syaitan. Hanya 'bagaikan Syaitan!

Pada masa yang sama, kerajaan PR pula dikiaskan dengan 'Malaikat'. Ini juga merupakan pengakuan oleh Tun Dr Mahathir akan imej dan reputasi baik yang ada pada PR berbanding dengan UMNO/BN. Walaupun PR bukan 'Malaikat' secara literalnya, iaitu makhluk yang dijadikan Allah tanpa nafsu dan mentaati Allah dalam setiap amalannya, namun PR dikiaskan sebagai Malaikat di atas sebab reputasi dan imej baiknya.

Setelah membuat pengakuan sebegini, maka pengajaran yang ingin disampaikan ialah bahawa kerajaan BN yang diakui jahat itu dikenali rakyat. Maka rakyat tahu tahap dan setakat mana ianya jahat dan oleh itu boleh bersedia untuk menghadapi kejahatan tersebut. Sedangkan, PR yang kelihatan baik, rakyat belum tahu lagi hati budinya yang sebenar! Setakat ini nampak baik, tetapi rakyat tidak kenal PR dan oleh itu mengambil risiko besar sekiranya menyerahkan kuasa pemerintahan pusat pada PR! Inilah mesej yang ingin disampaikan Tun.

Hakikatnya, adalah tidak benar bahawa rakyat tidak kenal PR dan parti politik yang menjadi sebahagian anggotanya. Begitu juga dengan para pemimpin yang menerajuinya. Parti politik yang menganggotai PR telah lama bergerak dikalangan rakyat sepertimana juga pemimpin mereka. Rakyat telah mengenali kami semua lebih-lebih lagi apabila PR diberi peluang memerintah beberapa negeri untuk tempoh 5 tahun bagi Selangor, Kedah dan Pulau Pinang dan Kelantan selama 22 tahun. Malahan Perak yang diperintah selama 11 bulan juga telah memberi rakyat peluang untuk mengenali PR Perak.

Oleh itu rakyat sememangnya boleh membuat pilihan atas dasar tahu dan kenal. Maka, pengajaran yang hendak disampaikan tidak releven sama-sekali. Tetapi pengakuan Tun bahawa UMNO/BN 'bagaikan Syaitan dan PR 'bagaikan Malaikat' adalah amat sangat dihargai.

Peribahasa Inggeris ini dari sudut semangatnya adalah teramat sangat negatif. Walaupun ianya merupakan nasihat supaya jangan terlalu gopoh menyerahkan amanah kepada orang yang tidak dikenali walaupun dia kelihatan baik demi menggantikan orang yang dikenali yang mempunyai kekurangan, namun ianya agak keterlaluan. Sekiranya sesebuah masyarakat bersikap sebegini, takut kepada perubahan dan ingin terus kekal dengan 'yang dikenali' walaupun jelas banyak kekurangan, maka masyarakat tersebut akan pasti terkongkong dan tidak mampu maju kepada keadaan yang lebih baik. Usaha untuk mencari yang lebih baik akan tersekat dengan keinginan untuk mengekalkan yang lama yang dikenali.

Mungkin atas sebab keyakinan inilah UMNO/BN menjadi pengamal rasuah yang tegar! Masa sudah tiba untuk rakyat Malaysia membuktikan bahawa mereka adalah rakyat yang akan berpuas hati dengan hanya yang terbaik dan tidak akan sanggup lagi menerima lanun dan yang 'bagaikan Syaitan' sebagai pemimpin.

PR TIDAK LAYAK KE PUTRAJAYA

Satu lagi kenyataan kelakar Tun Dr Mahathir ialah PR tidak layak untuk ke Putrajaya kerana bukan mereka yang membinanya! Aduhai... nampak sangat ketandusan modal sehingga mengeluarkan hujjah Maharaja Lawak sebegini!

Hakikatnya, walaupun Putrajaya dibina oleh kerajaan BN tidak bererti ianya milik BN. Ianya dibina dengan duit rakyat! Maka jika rakyat sudah tidak mahu serahkan amanah pemerintahan kepada BN dan minta BN keluar untuk diserah pula kepada PR, maka BN perlu keluar sahajalah!

Kegusaran dan kerunsingan semakin jelas kelihatan dipihak UMNO/BN. Kemungkinan PR memerintah di Putrajya semakin cerah dan ini hanya menambahkan kegusaran mereka. Lagi banyak Tun Dr M bercakap, lagi menguntungkan PR. Terima kasih Tun.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Pijak Gambar Pemimpin Negara Perbuatan Melampau

Posted: 02 Sep 2012 06:19 PM PDT

Bersama ini disertakan teguran dan kritikan yang dibuat oleh pimpinan UMNO/BN berhubung peristiwa memijak gambar DS Najib oleh beberapa peserta 'Janji Bersih' pada malam 30hb Ogos. PAS sememangnya menganggap ianya tindakan liar yang tidak menepati politik Islam yang seharusnya menunjukkan contoh dan akhliak yang tinggi. Kami menyeru semua ahli, penyokong dan pengikut PAS dan parti-parti politik PR supaya jangan terikut-ikut dengan corak politik tidak berakhlak yang ditaja oleh UMNO/BN. Mereka bukan guru kami dan oleh itu budaya politik samseng dan tidak berakhlak itu perlu dijauhi sekiranya kita ingin membawa perubahan dan perbezaan. Bersama ini turut disiarkan gambar-gambar penyokong UMNO memijak gambar saya, DSAI, LGE dan TS Abd Khalid Ibrahim yang telah berlaku jauh lebih awal tanpa apa-apa teguran oleh pimpinan UMNO. Jangan kita terikut dengan cara-gaya mereka.

Kenyataan pimpinan UMNO yang jelas hipokrit adalah seperti berikut:-

Tindakan segelintir pihak memijak gambar (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor) disifatkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai tindakan melampau bagi menyemai bibit kebencian terhadap pemimpin negara.

Sehubungan itu, beliau berkata polis akan menyiasat perkara itu dan seterusnya menyerahkan kepada pihak pendakwaan dan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

"Politik kebencian itu satu perkara yang cukup merbahaya dalam masyarakat majmuk berbilang kaum dan agama," kata Hishammuddin, yang juga Naib Presiden Umno, kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Pengkalan Chepa di sini, Sabtu.





Hishammuddin berkata perkara seumpama itu perlu ditangani dengan bijak dan cepat supaya ia tidak dieksploitasi pihak tertentu.

Selain memijak gambar pemimpin pada Himpunan Janji Bersih di Dataran Merdeka ketika sambutan ambang merdeka sempena Hari Kemerdekaan ke-55, ada peserta membawa 'bendera baharu' yang disifatkan ramai pihak sebagai tidak menghormati kedaulatan negara.

Hishammuddin berkata apa yang dilakukan pihak berkenaan juga dibimbangi boleh menjurus kepada keadaan negara menjadi huru-hara, dan menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi mengenai soal keselamatan negara.

Berita ihsan UTUSAN, gambar sekadar hiasan dari sekitar Internet.
-Pejabat YB Khalid Samad-

Berkaitan: Pijak Gambar Pemimpin Mendukacitakan (TG Nik Aziz)

Tiada ulasan:

Nuffnang