Khalid Samad |
Bacaan Al-Quran Sepanjang RamaDhan Posted: 24 Jul 2012 08:12 AM PDT Setiap malam RamaDhan ramai dari kalangan ummat Islam akan terlibat dengan amalan Tadarrus Al-Quran. Secara umumnya diusahakan 1 atau 1.5 Juz semalam supaya pada akhir bulan RamaDhan, di khatam Al-Quran secara beramai-ramai. Amalan ini telah lama dipraktikkan dan amat gembira melihat, tahun demi tahun, jumlah yang menyertai kumpulan khatam Quran ini semakin ramai. Sehubungan dengan itu, saya ingin memetik satu atau dua ayat dari setiap Juz yang kita baca setiap malam untuk renungan bersama. Ini bertujuan agar kita semua memberi perhatian kepada apa yang dibaca, dari segi maksud serta pengajarannya dan ianya dapat dikongsi bersama untuk diambil iktibar. Namun saya tidak bercadang membentangkan tafsiir yang panjang lebar terhadap ayat pilihan, hanya sekadar tumpuan kepada maksud dan pengajaran umum yang boleh kita perolehi darinya. Untuk malam ini, kita imbas kembali kepada juz 1 dan ayat-ayat yang bermaksud; "Dan mereka mengatakan: Kami tidak akan disentuh api neraka, kecuali untuk beberapa hari sahaja. Katakan: Adakah kamu telah menerima janji dari Allah, lalu Allah tidak akan memungkiri janjiNya, atau kamu berkata tentang Allah dalam hal-hal yang tidak kamu ketahui?" Ayat ini ditujukan kepada orang-orang ahlul kitab, khususnya Yahudi, yang beranggapan mereka dijamin Syurga. Mereka menganggap Syurga hak mereka atas sebab mereka dilahirkan sebagai Yahudi dan menganut agama nenek moyang mereka. Sedangkan mereka tidak mengikhlaskan diri mereka kepada Allah dan tidak juga mengabdikan diri kepadaNya. Ini merupakan penyakit yang sama yang melanda ummat Islam dewasa ini. Ummat Islam beranggapan Syurga hak mereka walaupun mereka engkar terhadap segala perintah Allah! Ada yang tidak solat, puasa atau membayar zakat namun apabila ditanya mereka akan menjawab, saya orang Islam!" Yalah tu, 'Islam Baka'! "Apakah kamu percaya kepada sebahagian isi kitab dan tidak percaya kepada sebahagian yang lain? Tidak ada pembalasan untuk mereka yang berbuat begitu di antara kamu selain dari kehinaan dalam kehidupan dunia ini dan di hari akhirat, mereka dikembalikan kepada seksaan yang amat dahsyat.."Ini juga merupakan sejenis penyakit yang telah merebak di kalangan ummat Bani Israel (Yahudi) yang didedahkan oleh Al-Quran. Malangnya, penyakit yang sama turut melanda ummat Islam! Maka tidak hairanlah sekiranya akibatnya, iaitu kehinaan di atas muka bumi, turut menimpa ummat Islam di seluruh dunia ketika ini. Oleh itu, bersamalah kita manfaatkan bulan RamaDhan ini dengan menambah ilmu dan amalan kita supaya akhirnya akan terbentuk sebuah ummat yang berani dan kuat. WaLlahu 'Alam KHALID SAMAD |
You are subscribed to email updates from Khalid Samad To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan