Selasa, 24 Julai 2012

Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim


BERSIH : Najib, Hishammuddin Didesak Mohon Maaf

Posted: 23 Jul 2012 11:54 PM PDT

 KeadilanDaily

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mendesak Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memohon maaf secara terbuka kepada rakyat kerana mengatakan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) adalah pertubuhan 'haram'.

"Jika kedua-dua mereka menghormati undang-undang dan Perlembagaan Negara, maka tindakan memohon maaf secara terbuka kepada rakyat adalah sesuatu yang wajar dan sangat dialukan.

"Jika di negara maju dan bertamadun, pemimpin yang melakukan kesilapan terhadap rakyat tampil mohon maaf secara terbuka bahkan ada meletak jawatan demi menjaga integriti serta reputasi kerajaan dan imej negara," kata Timbalan Ketua Penerangannya, Najwan Halimi dalam kenyataan.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membatalkan pengisytiharan Hishammuddin dan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 1 Julai tahun lalu bahawa gabungan itu adalah pertubuhan haram dan menyalahi undang-undang.

Sementara itu, Kelab Penyokong Anwar Ibrahim (AIC) yang senada dengan AMK turut menuntut Hishamuddin dan kerajaan membuat permohonan maaf berikutan tindakan terhadap peserta Bersih.

"AIC Malaysia merasakan Hishammuddin seharusnya bersama-sama kerajaan Malaysia memohon maaf atas kesilapan pengisytiharan itu, dan juga tindakan ganas serta tidak masuk akal terhadap pertubuhan, peserta dan rakyat yang menyokong Bersih 2.0 termasuk mereka yang menyertainya pada 9 Julai.

"Justeru tidak ada alasan lebih konkrit serta ruang untuk berdolak-dalik atas ketidak upayaan Hishammuddin yang bukan sahaja gagal menangani tuntutan rakyat dengan baik, malah bertindak sebaliknya dengan mentakrifkan pertubuhan Bersih 2.0 sebagai haram serta melabel jutaan rakyat yang mendukung tuntutan itu dengan pelbagai istilah negatif," kata Presidennya, Saifuddin Shafi Muhammad.

Katanya, demi menjaga nama baik beliau, Hishammuddin harus tampil berdepan rakyat supaya tidak timbul kebencian melampau terhadapnya.

"Tidak perlulah menyemarakkan permusuhan dengan rakyat yang jelas telah lebih matang dan berani untuk menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap sebarang bentuk penindasan.

"Mungkin inilah juga peluang terbaik kerajaan Barisan Nasional dan Hishammuddin untuk mengotakan slogan Janji Ditepati, dengan mengangkat aspirasi rakyat kembali kepada tempatnya," kata Saifuddin.

Mahkamah Putuskan BERSIH Entiti Yang Sah

Posted: 23 Jul 2012 11:43 PM PDT

Malaysiakini

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membatalkan pengisytiharan Menteri Dalam Negeri pada 1 Julai tahun lepas bahawa Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) adalah sebuah pertubuhan ‘haram’.

Hakim Datuk Rohana Yusof dalam penghakimannya pagi ini berkata BERSIH telah berjaya membuktikan kesnya dalam mencabar pengisytiharan kerajaan bahawa ia sebuah pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Oleh itu, katanya, mahkamah membenarkan permohonan BERSIH, dengan tiada perintah tentang kos.

Empat belas jawatankuasa pemandu BERSIH yang diketuai oleh Datuk S Ambiga telah menamakan menteri dalam negeri, ketua polis negara dan kerajaan sebagai responden.

Pada 1 Julai tahun lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah mengisytiharkan gabungan itu sebagai haram, sejurus sebelum perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai.

Dalam penghakiman 30-muka surat itu, hakim menyentuh sejarah permohonan yang mencabar keputusan Hishammuddin mengisytiharkan gabungan NGO itu sebuah pertubuhan haram.

Walaupun perisytiharan itu dibuat, tambahnya, pihak berkuasa masih terus bertemu dengan pegawai BERSIH.

“Terdapat rundingan antara pemohon dan responden (kerajaan) mengenai lokasi perhimpunan pada 9 Julai,” katanya.

“Ada majlis mengadap ( Yang di-Pertuan Agong oleh) pemohon
pertama (pengerusi bersama BERSIH Datuk S Ambiga, kanan) dan tiada celaan terhadap BERSIH (dalam menjalankan) aktiviti (perhimpunan 9 Julai 2011) seperti yang dijadualkan.”

Mahkamah telah mengambil notis kehakiman bahawa Hishammuddin telah membuat suatu pernyataan awam untuk membenarkan perhimpunan BERSIH 3.0 diadakan pada 28 April tahun ini.

Peguam Kanan Persekutuan Azizan Md Arshad, yang mewakili responden, berkata Peguam Negara akan diberi taklimat dan untuk arahan selanjutnya.

Azizan serta Peguam Kanan Persekutuan Shamsulbol Hassan, mendakwa bahawa keputusan mahkamah itu menjadikan BERSIH balik ke peringkat asalnya (perlu didaftarkan).

Bagaimanapun, peguam BERSIH, K Shanmuga – yang tampil bersama peguam Tommy Thomas dan Honey Tan – berkata keputusan itu bermakna gabungan itu adalah sah di sisi undang-undang.

“… Keputusan menteri dalam negeri adalah tidak rasional kerana, setelah mengisytiharkannya sebagai satu ancaman kepada keselamatan negara, beliau dan pihak berkuasa telah bertemu dengan pegawai BERSIH,” kata Shanmuga.

Ambiga tidak hadir di mahkamah kerana beliau di luar negara.

Pengerusi bersama BERSIH yang juga Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said (kiri), ketika ditemui di luar mahkamah berkata: “Proses perundangan ini sepatutnya tidak dijalankan kerana ia membuang masa, tenaga dan dana am.

“Proses ini menyebabkan orang ramai khuatir untuk sokong BERSIH. Org ramai harus ingat bahawa kerajaan masih
menggambarkan BERSIH sebagai “kotor” di mana perdana menteri telah menyatakan BERSIH telah membahayakan kuota haji yang diberikan oleh Kerajaan Arab Saudi

“Kami ingin mengingatkan semua pihak bahawa Hakim Datuk Rohana Yusof telah pun melihat percanggahan dalam tindakan pihak berkuasa (apabila) dalam perbicaraan (pada) 26 Jun, kenapa kerajaan layan permintaan BERSIH untuk adakan perhimpunan tersebut (walaupun ia telah diisytiharkan sebagai haram),” tambahnya.

Tiada ulasan:

Nuffnang