Khamis, 14 Jun 2012

Nurul Izzah Anwar

Nurul Izzah Anwar


Persoalan Kecacatan Sistem Radar & Pemberian Tender Terus Bernilai RM280 Juta

Posted: 14 Jun 2012 07:24 AM PDT

KENYATAAN MEDIA 14 JUN 2012

Kementerian Pengangkutan dalam jawapan Parlimen kepada soalan saya semalam telah menyatakan bahawa sistem kawalan udara yang menggunakan Human Machine Interface (HMI) “berada di tahap yang baik” dan “memenuhi piawai dan amalan International Civil Aviation Organization (ICAO) dan berjalan dengan lancar”.

Malangnya, jawapan pendek ini langsung tidak menjawab persoalan-persoalan yang ditimbulkan dalam sidang media di hadapan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) di Subang pada 8 Jun 2012 yang lalu:

1)   Seperti yang saya telah maklumkan dalam sidang media Jumaat lalu, kontrak untuk perbaiki sistem kawalan udara ini telah diberi kepada syarikat SELEX Sistemi Integrati dan Advanced Air Traffic Systems (M) Sdn Bhd secara “tender rundingan tertutup. Apakah alasan pihak Kementerian Pengangkutan serta DCA yang membolehkan sistem yang cukup mustahak ini diberikan sebegini, dan adakah menjadi norma bagi sesuatu projek dianugerahkan kepada keluarga Menteri?

2)    Surat bertarikh 4 Januari 2012 dari sebelas orang termasuk timbalan-timbalan pengarah pengawal trafik udara di Pusat Kawalan Trafik Udara Nasional (NATCC) yang telah menyuarakan rasa kecewa mereka terhadap ketiadaan maklum balas dari pihak berkuasa tentang kecacatan-kecacatan dan kekurangan-kekurangan dalam sistem yang diperguna. Sudahkah surat ini dijawab DCA?

3)     Apakah langkah-langkah yang telah diambil pihak DCA untuk perbaiki masalah-masalah kecacatan sistem seperti yang telah kami dedahkan dalam dokumen berjudul "Certificate of Practical Completion' dengan no kontrak: DCA/TAD/R/10/2009BP ? Jika langkah-langkah telah diambil, saya gesa samada pihak DCA ataupun syarikat terbabit untuk menunjukkan surat yang membuktikan langkah-langkah tersebut telah diambil dan benar-benar mengatasi masalah-masalah yang dialami.

4)    Sekiranya kecacatan-kecacatan dan kekurangan-kekurangan ini telah diperbaiki, bilakah pihak DCA akan mengadakan audit International Civil Aviation Organization untuk membuktikan keberkesanan sistem tersebut?

Nurul Izzah Anwar

Ahli Parlimen Lembah Pantai, merangkap

Naib Presiden KEADILAN

 

KDN harus kaji semula pengagihan kekuatan kakitangan dalam PDRM

Posted: 14 Jun 2012 07:15 AM PDT

Kenyataan akhbar Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat di Lobi Parlimen pada 14 Jun 2012

KDN harus kaji semula pengagihan kekuatan kakitangan dalam PDRM

Kami terkejut bahawa soalan parlimen Ahli Parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong berkenaan pengagihan kakitangan dalam PDRM telah ditolak oleh Kementerian Dalam Negeri.

Soalan Liew adalah seperti berikut:

“Tuan Liew Chin Tong [Bukit Bendera] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan statistik terperinci kekuatan polis beruniform dari 2001, 2002, 2003, 2004, 2005, 2006, 2007, 2008, 2009, 2010, 2011, 2012

a) pecahah Jabatan KDN/KA, mengikut pasukan atau kompnen seperti PGA, PGK, Marin, PSP, unit udara dan sebagainya, dan

b) pecahan Jabatan Siasatan Jenayah, Cawangan Khas, Jabatan Pengurusan dan Jabatan Siasatann Jenayah Perdagangan mengikut tugas.

Setiausaha Dewan Rakyat Datuk Roosme Binti Hamzah dalam suratnya memaklumkan bahawa mengikut Peraturan 23 (1) (f) “sesuatu pertanyaan itu tidak boleh meminta keterangan berkenaan dengan apa-apa perkara rahsia.”

Sebenarnya, statistik terperinci pernah dikemukakan dalam Laporan Suruhanjaya Diraja Tun Dzaiddin pada tahun 2005. Statistik sedemikian juga terdapat dalam Anggaran Belanjawan tahunan.

Tetapi, isu pokoknya, pembaharuan PDRM telah lama diwarwarkan sejak hujung tahun 2003 semasa mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi memulakan tempoh kuasa beliau. Banyak daripada 125 cadangan-cadangan Suruhanjaya Diraja Dzaiddin diketepikan.

Kekurangan iltizam politik ini telah mengakibatkan keadaan jenayah kian bertambah dan  ketenteraman awam diancam. Pada masa yang sama, kebanyakan kekuatan tenaga polis diagihkan ke tugas-tugas politik untuk menjaga kepentingan Barisan Nasional dan bukan keselamatan rakyat jelata.

Menurut satu laporan dikeluaran oleh think tank Research for Social Advancement (REFSA) yang berdasarkan statistiknya atas Anggaran Belanjawan tahunan dan jawapan Parlimen, jumlah polis pada tahun 2010 adalah 106,079.

Kalau semua tenaga ini ditugaskan untuk membanteras jenayah, nisbah polis-penduduk adalah 1: 270, nisbah yang agak memuaskan.

Tetapi, sebenarnya, 53,323 orang polis atau 51% berada dalam pengurusan dan logistik. Tambahan pula, 5,102 orang polis ditempatkan dalam Cawangan Khas; 14,551 dalam Pasukan Gerakan Am, yang ditubuhkan untuk melawan komunis dalam hutan dan sudah tidak relevan sekarang.

Yang paling relevan dan amat diperlukan sekarang ialah menyiasat dan membanteras jenayah seperti rompak, culik, rogol, curi, serangan seks dan berbagai lagi yang membimbangkan orang awam. Tetapi hanya 9,335 anggota polis atau 9 % ditempatkan dalam Jabatan Siasatan Jenayah.

Kami menyeru Kementerian Dalam Negeri supaya cadangan-cadangan Sdr. Wong Chin Huat, seorang mangsa jenayah pada Sabtu minggu lepas, dikaji dengan teliti.

Cadangan-cadangan beliau adalah berikut:

1) Mengurangkan tenaga polis dalam Cawangan Khas dan Pasukan Gerakan Am. Kekuatan polis haruslah di tumpuhkan dalam Jabatan Siasatan Jenayah dan pasukan-pasukan “core” yang ditugaskan untuk membanteras jenayah.

2) Dalam jangka panjang, kerajaan negeri perlulah diberikan kuasa untuk mengurus polis tempatan dengan polis persekutuan yang menumpuhkan jenayah transnational dan nasional seperti pemerdagangan manusia (human trafficking), dadah dan ancaman penganas.

3) Kementerian Dalam Negeri harus membenarkan permintaan penubuhan unit-unit Polis Bantuan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

 Liew Chin Tong                                              Nurul Izzah Anwar

Ahli Parlimen Bukit Bendera                    Ahli Parlimen Lembah Pantai

Suruhanjaya Siasatan Diraja Mengenai Pendatang Haram

Posted: 14 Jun 2012 07:04 AM PDT

KENYATAAN BERSAMA
SURUHANJAYA SIASATAN DIRAJA MENGENAI PENDATANG HARAM

1.  Pendatang tanpa izin begitu lama menjadi masalah dalam negara terutamanya di Sabah setelah hampir empat dekad lamanya.

2.  Mereka menjadi senjata politik dalam tahun 1980an berikutan bilangan sebegitu ramai pendatang didaftarkan sebagai pemilih.

3.  Peningkatan mendadak pendatang asing pada penghujung tahun 80an dan 90an mengakibatkan perubahan besar demografi khasnya di Sabah. Dipercayai daripada 3.3 juta penduduk di Sabah, hampir satu juta adalah pendatang atau satu pertiga daripada jumlah penduduk Sabah.

4.  Terdapat dakwaan meluas bahawa parti-parti komponen Barisan Nasional mendaftarkan bilangan besar pendatang di bawah projek rahsia yang diberi nama kod "Projek IC".

5.  Mantan Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad dikaitkan secara langsung dalam operasi rahsia ini yang bertujuan untuk memastikan penguasaan Barisan Nasional pimpinan UMNO.

6.  Kebanjiran para pendatang telah mengakibatkan ketegangan dalam masyarakat. Ia menjadi bertambah parah akibat sikap tak acuh Kerajaan BN, kecuaian penguatkuasaan undang-undang dan rasuah yang berleluasa dalam agensi-agensi kerajaan. Gesaan kepada suatu siasatan menyeluruh telah disuarakan oleh pihak Pembangkang dan juga kalangan anggota parti-parti BN.

7.  Sejak 2009 lagi Pakatan Rakyat menggesa Kerajaan supaya menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan DiRaja (Royal Commission of Inquiry – RCI) untuk menangani masalah-masalah berkaitan imigresen di Sabah. Tuntutan ini telah dimaktubkan sebagai satu daripada 10 perkara utama dalam program 100 hari Buku Jingga. Parti-parti politik Sabah seperti UPKO, PBS, SAPP dan sebagainya turut menyuarakan dengan tegas mengenai keperluan penubuhan RCI.

8.  Kerajaan BN pimpinan UMNO sebenarnya tiada kesungguhan untuk menyelesaikan isu kebanjiran pendatang tanpa izin kerana mereka lemah dan mudah diperalatkan untuk mengundi BN.

9.  UMNO pimpinan Perdana Menteri Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak masih berdalih untuk melantik RCI meskipun terdapat gesaan daripada parti-parti komponen BN di Sabah. Pemimpin-pemimpin Sabah yang tertentu mendakwa bahawa Kabinet telah bersetuju secara prinsip sejak tahun lepas. Namun, pengumumannya ditangguhkan berkali-kali.

10.  Menjelang pilihan raya umum (PRU13), BN mula menyedari kegelisahan meluas kalangan penduduk Sabah terhadap isu ini, lalu BN tiada punyai pilihan kecuali terpaksa tunduk melayani tuntutan rakyat.  Sejak Februari, Perdana Menteri menyatakan hasrat menubuhkan RCI. Bagaimanapun, tiada butir-butir lanjut diumumkan dan alasannya adalah kerana Kerajaan masih mengkaji terma-terma rujukannya (Terms of Reference).

11.  Kami percaya bahawa isu ini telah sampai ke kemuncaknya dan perpecahan BN Sabah tidak dapat dielakkan lagi sekiranya ia tidak diselesaikan. Justeru, pengumuman terkini Perdana Menteri pada 1 Jun 2012 berhubung penubuhan RCI adalah merupakan satu langkah terakhir untuk mengelakkan BN Sabah dari kehancuran.

12.  RCI yang diumumkan itu tidak lebih berupa gimik pilihan raya untuk membohongi pengundi-pengundi Sabah. Hakikatnya tidak ada komitmen yang tulus ikhlas untuk menyelesaikan krisis kebanjiran pendatang. Tumpuan RCI seolah-olah hanya terhad kepada fenomena pendatang tanpa izin sahaja, tetapi tidak menyentuh pihak yang bertanggungjawab atas masalah pendatang dan fakta-fakta sejarah.

Justru, kami juga tidak yakin bahawa rupabentuk RCI yang diumumkan Kerajaan BN akan diperkukuhkan dengan mandat yang cukup lagi mencakupi untuk mencari penyelesaian muktamad terhadap masalah pendatang di Sabah.

Mengapa tiada tindakan ke atas Musa Aman?

Posted: 14 Jun 2012 06:32 AM PDT

KENYATAAN MEDIA
14 Jun 2012

MENGAPA TIADA TINDAKAN KE ATAS MUSA AMAN?

Setelah dikejutkan dengan skandal RM250 juta NFC dan jualan rahsia pertahanan negara dalam kes Scorpene, rakyat Malaysia dikejutkan sekali lagi oleh skandal rasuah yang maha besar. Kali ini, perlakuan rasuah didakwa dilakukan salah seorang pemimpin kanan Barisan Nasional di Sabah, iaitu tidak lain dan tidak bukan Ketua Menteri Sabah sendiri, Datuk Seri Musa Aman.

Laman web "Sarawak Report" dalam beberapa artikel sejak bulan April 2012 telah mendedahkan Datuk Seri Musa secara sistematik merompak harta pusaka rakyat Sabah sejak tahun 1996 dengan mengaut keuntungan haram melalui rasuah jualan balak.

Dalam satu artikel bertarikh 10 Jun 2012, "Sarawak Report" telah mempamerkan dokumen-dokumen yang mendedahkan Datuk Seri Musa telah menyimpan wang haram yang dianggar melebihi USD90 juta di bank-bank di Hong Kong dan Zurich.

Kami difahamkan bahawa kes tersebut telah disiasat badan anti-rasuah di Hong Kong iaitu Independent Commission Against Corruption (ICAC), yang menyatakan bahawa Datuk Seri Musa telah menggunakan sistem "money-laundering" melalui beberapa ajen – termasuklah Michael Chia dan peguam Richard Barnes – serta akaun-akaun di luar negara untuk cuba menyembunyikan identiti beliau.

Pada masa yang sama, "Sarawak Report" turut mendedahkan terdapat usaha melengahkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas kes rasuah ini yang dilakukan oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail. Untuk makluman semua, Tan Sri Abdul Gani Patail juga mempunyai pertalian persaudaraan dengan Datuk Seri Musa Aman.

Maka KEADILAN menggesa pihak-pihak bertanggungjawab memberi penjelasan berkaitan hal-hal yang berikut:

1) Demi membuktikan sama ada dakwaan "Sarawak Report" adalah benar atau tidak, Datuk Seri Musa Aman wajib membuat deklarasi aset sepenuhnya dalam masa yang terdekat, termasuklah segala aset dan harta yang disimpan dalam semua akaun-akaun bank di luar negara di atas nama beliau ataupun ahli-ahli keluarga terdekat.

2) SPRM wajib perjelas status siasatan ke atas Datuk Seri Musa Aman, sama ada pihak ICAC ada meminta bantuan siasatan di bawah "Mutual Assistance in Criminal Matters Act (2002)" berkaitan kes rasuah ini, serta apakah tindakan lanjut pihak SPRM berkaitan skandal ini.

3) Tan Sri Abdul Gani Patail wajib menjawab dakwaan bahawa beliau telah melengahkan siasatan SPRM sama ada secara langsung ataupun tidak, hingga mengakibatkan pihak ICAC tidak dapat mengambil tindakan terhadap Datuk Seri Musa.

4) Difahamkan siasatan terhadap bank UBS AG, yang didakwa membantu menyalurkan wang haram ("money-laundering") Datuk Seri Musa, akan bermula di Switzerland – mengapa Kerajaan Malaysia kelihatan seperti enggan melaksanakan sebarang tindakan undang-undang berkaitan dakwaan rasuah Datuk Seri Musa Aman?

YB Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Lembah Pantai merangkap Naib Presiden KEADILAN
YB Tian Chua, Ahli Parlimen Batu merangkap Naib Presiden KEADILAN
YB Sivarasa Rasiah, Ahli Parlimen Subang merangkap Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN
Darrell Leiking, Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN

Tiada ulasan:

Nuffnang