Isnin, 11 Jun 2012

Nurul Izzah Anwar

Nurul Izzah Anwar


Soalan-soalan Parlimen Penggal ke-5 Mesyuarat Kedua 2012

Posted: 11 Jun 2012 05:48 AM PDT

Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera…

Berikut adalah soalan-soalan yang saya bangkitkan di dalam Sesi Parlimen Mesyuarat ke-2 bagi Penggal ke-5 ini.

Soalan Jawab Lisan

1. Puan Nurul Izzah binti Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menyatakan tahap pelaksanaan Jawatankuasa Media yang dicadang oleh kerajaan. Adakah Jawatankuasa Media ini hanya akan ditubuhkan setelah pemansuhan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan digazet seperti permintaan industri media.

2. Puan Nurul Izzah binti Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Pengangkutan menyatakan kos perbelanjaan dan status prestasi sistem kawalan udara yang menggunakan sistem Human Machine Interface yang dinaik taraf oleh Advanced Air Traffic Systems (M) Sdn Bhd (AAT). Nyatakan samada sistem tersebut menepati piawai antarabangsa dan berjalan lancar.

3. Puan Nurul Izzah binti Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar menyatakan apakah perancangan jangka masa panjang Jalan Tun Sambathan di bawah projek Little India. Nyatakan juga tempoh pengekalan laluan bas menerusi Jalan Sultan Abdul Samad dan jumlah sekolah dan tempat-tempat ibadat yang terkesan.

4. Puan Nurul Izzah binti Anwar [Lembah Pantai] minta Perdana Menteri berapakah perbelanjaan pihak kerajaan dan Khazanah bagi kos juru runding dan butiran kos berkaitan untuk melaksanakan dan kemudian membubarkan kerjasama MAS-AirAsia

5. Puan Nurul Izzah binti Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Pelajaran menyatakan ;

a) berapakah jumlah graduan lepasan Sarjana Muda Pendidikan Islam (SMPI) ditawarkan penempatan di sekolah bagi sesi 2012

b) mengapakah Kementerian mengambil masa agak lama untuk penempatan graduan ini?

6. Puan Nurul Izzah binti Anwar [Lembah Pantai]  minta Perdana Menteri apa tindakan kerajaan berkenaan rekomendasi-rekomendasi SUHAKAM berkait 4 inkuiri tentang pengendalian perhimpunan aman. Nyatakan juga mengapa SUHAKAM tidak dipilih untuk menyiasat perhimpunan aman Bersih 3.0.

Soalan Bertulis

7. Puan Nurul Izzah binti Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar menyatakan jumlah surat tawaran Skim Pembiayaan Khas PPR-PA Fasa 1 yang telah diedar mengikut lokasi dan kawasan parlimen. Nyatakan juga jumlah yang menolak surat tawaran dan sebab-sebab yang diberikan.

8. Puan Nurul Izzah binti Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan penjelasan mekanisma pembayaran subsidi serta berapa jumlah subsidi gula, beras dan tepung  yang dibayar terus kepada pembekal. Nyatakan juga nama-nama pembekal dari 2008 hingga 2012.

9. Puan Nurul Izzah binti Anwar [Lembah Pantai] minta Perdana Menteri senarai penswastaan, kontrak yang diberikan kepada syarikat-syarikat berkaitan dengan Syed Mokhtar Al Bukhari 1998-2012?

10.  Puan Nurul Izzah binti Anwar [Lembah Pantai] minta Perdana Menteri menyatakan jumlah kes yang telah dimenangi dan juga yang gagal disabitkan pertuduhan melibatkan jenayah kolar putih dan rasuah oleh Jabatan Peguam Negara sejak 2002 hingga 2012. Nyatakan berapakah jumlah peratus ia berbanding keseluruhan kes yang didakwa.

Kenyataan Media: “Pulangkan Padang Kami”

Posted: 11 Jun 2012 02:11 AM PDT

KENYATAAN MEDIA

11 Jun 2012

UNTUK SEBARAN SEGERA

PULANGKAN PADANG KAMI

Saya rujuk laporan akhbar The Star "Chan Ah Tong field in Brickfields to make way for development" (11 Jun 2012) yang melaporkan padang Chan Ah Tong telah diberikan kepada Malaysian Resources Corp Bhd (MRCB) dalam satu pelan pertukaran penswastaan (privatization exchange plan).

Difahamkan bahawa padang Chan Ah Tong dan perumahan kerajaan di Jalan Chan Ah Tong, Lorong Chan Ah Tong, dan Jalan Rozario – yang lebih dikenali sebagai "100 Quarters" – akan dibangun semula oleh MRCB. Tanah ini diberi setelah MRCB melaksanakan projek Little India yang bernilai RM36.6 juta, pembangunan semula Pines Bazaar, dan pembinaan Ang Seng Development yang akan menempatkan kuarters kerajaan Kelas F yang baru bagi menggantikan kuarters di Jalan Rozario. Tanah seluas 214,630 kaki persegi (4.9 ekar) ini bernilai RM129 juta (penilaian 2011), dan anggaran nilai pembangunan kasar (gross development value) adalah RM1 bilion.

Untuk makluman semua, padang Chan Ah Tong merupakan antara kawasan terbuka terakhir yang boleh dinikmati penduduk sekitar Brickfields. Saya berharap agar padang tersebut akan dibaikpulih dan dipulangkan kepada penduduk setempat, sepertimana yang dijanjikan Datuk Bandar Tan Sri Ahmad Fuad dalam laporan StarMetro pada 29 November tahun lepas.

Setelah pembangunan Little India yang hingga ke hari ini masih dibelenggu masalah lalulintas yang tidak berkesudahan, penduduk Brickfields bakal kehilangan padang terakhir mereka serta dibelenggu pembinaan yang tak berkesudahan.

Saya turut risau nilai warisan perumahan "100 Quarters" ini akan lenyap dan terhapus, maka saya berharap model pembangunan yang diguna MRCB akan lebih berteraskan "adaptive-reuse" di mana struktur asal bangunan disimpan atau diubah sedikit bagi kegunaan yang baru, sepertimana dilakukan kepada bangunan-bangunan lama dan bersejarah di Singapura, Australia, dan Hong Kong.

Saya menggesa pihak MRCB untuk mempamerkan pelan rancangan pembangunan mereka bagi kawasan ini – termasuklah kajian impak lalulintas (traffic impact assessment) – agar penduduk setempat dapat memahami keadaan serta menyuarakan pendapat mereka mengenai pembangunan tersebut.

KEADILAN menyokong pembangunan, namun biarlah pembangunan itu mesra insan dan mendatangkan kebaikan terutamanya buat penduduk setempat.

Nurul Izzah Anwar

Ahli Parlimen Lembah Pantai, merangkap

Naib Presiden KEADILAN

Kenyataan Media: Penolakan Usul Tergempar Mengecewakan

Posted: 11 Jun 2012 02:11 AM PDT

KENYATAAN MEDIA
11 Jun 2012
UNTUK SEBARAN SEGERA

PENOLAKAN USUL TERGEMPAR MENGECEWAKAN – APA YANG TERSEMBUNYI?

Pada 30 Mei 2012 yang lalu, rakyat Malaysia telah dikejutkan dengan skandal penjualan dokumen sulit pertahanan negara, iaitu penilaian Tentera Laut Di-Raja Malaysia (TLDM) terhadap kapal selam kelas Scorpene, didakwa telah "dibeli" oleh sebuah syarikat pertahanan Perancis.

Laporan yang didedahkan oleh peguam Perancis, Joseph Breham, yang mewakili pertubuhan hak asasi manusia, SUARAM, mendakwa syarikat berkenaan telah membayar €36 juta (RM142 juta) kepada Terasasi (Hong Kong) Ltd, dikatakan untuk kerja-kerja “kejuruteraan komersial”. Dokumen rahsia oleh TLDM tersebut adalah satu penilaian untuk tempahan kapal selam berkenaan, yang merupakan laporan yang sangat sulit dan memungkinkan keselamatan pertahanan negara tergugat jikalau jatuh ke pihak musuh.

Oleh kerana pihak-pihak yang bertanggungjawab – termasuklah Dato' Sri Najib Razak, yang merupakan Menteri Pertahanan pada waktu itu – masih belum memberikan jawapan yang memuaskan mengenai hal ini, pada 7 Jun lalu saya telah memfailkan satu usul tergempar agar Dewan Rakyat dapat membincangkan hal penjualan rahsia pertahanan negara, yang merupakan satu tindakan khianat tertinggi terhadap kedaulatan dan kepentingan Malaysia.

Penolakan usul ini oleh Speaker pada pagi ini tidak memungkinkan perbahasan dilaksanakan bagi mendesak kerajaan Malaysia khususnya Perdana Menteri dan juga Menteri Pertahanan memberi penjelasan sebaiknya bagi membersihkan nama mereka, menjelaskan peranan Terasasi (Hong Kong) Limited yang selama ini tersorok daripada pengetahuan umum dan memperbaiki imej Malaysia yang tercalar angkara kontroversi ini.

Alasan yang digunapakai oleh Speaker menggunakan Peraturan Mesyuarat 23 1. (h): sesuatu pertanyaan itu tidak boleh dikeluarkan dengan tujuan hendak mendapat buah fikiran atau hendak mendapat penyelesaian berkenaan dengan perkara undang-undang yang belum menjadi masalah atau kerana hendak mendapat jawab dalam perkara yang dimisal-dimisalkan sahaja;

Jelas bahawa masalah yang menjadi persoalan dalam usul yang saya bawa ini bukan sekadar perkara undang-undang yang belum menjadi masalah ataupun perkara yang dimisal-misalkan sahaja. Masalah berkait dengan pembayaran komisyen bernilai Euro 36 juta oleh syarikat pertahanan Perancis Thint Asia kepada Terasasi (Hong Kong) Limited ini, yang mempunyai dua orang Pengarah iaitu Abdul Razak Baginda dan ayahnya Abdul Malim Baginda untuk sesalinan laporan penilaian rahsia Pertahanan Tentera Laut diRaja Malaysia. Maklumat ini kita perolehi menerusi Joseph Breham, peguam SUARAM yang merujuk kertas siasatan dokumen rampasan polis Perancis dan badan kehakiman Perancis.

Kedua, usul yang dibawa bukan sekadar untuk meminta buah fikiran daripada kerajaan, tetapi menuntut penjelasan, sehaluan dengan apa yang telah dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Malta Evarist Bartolo dalam sidang parlimen Malta 5 Jun lepas.

Ketiga, tanggungjawab kerajaan Malaysia tidak boleh dilangsaikan apabila dakwaan rasuah yang melibatkan pelbagai negara khusus dalam operasi anti rasuah yang melibatkan Malaysia-Perancis-Pakistan-Malta-Luxembourg dan Hong Kong. Tambahan lagi, Malaysia sudahpun meratifikasi konvensyen United Nations Convention Against Corruption. Justeru, Malaysia tidak boleh lari daripada tanggungjawab membantu membawa mereka yang bersalah ke muka pengadilan, lebih-lebih lagi dalam kontroversi pembayaran rasuah untuk pembelian senjata yang melibatkan Perdana Menteri kita sendiri.

Keempat, kenyataan Menteri Pertahanan yang disiarkan pada 8 Jun 2012 jelas menunjukkan wujudnya elemen yang mencurigakan bila beliau mengakui kewujudan dokumen pertahanan sulit dalam kenyataan berikut, walau pihak beliau tidak menerima sebarang maklumat berhubung penjualan dokumen rahsia:

" Bagaimanapun, memang ada dikesan maklumat itu keluar (dari Malaysia) namun kita sedang memantau perkembangannya."

Manakala yang paling parah, Perdana Menteri yang merupakan Menteri Pertahanan dalam penjualan kapal selam Scorpene masih membisu seribu bahasa.

Akhir kata, kami akan meneruskan usaha membawa isu penjualan rahsia kerajaan ini menerusi:

1) Laporan-laporan polis yang dibuat oleh Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dan Angkatan Muda KEADILAN Malaysia di seluruh Malaysia.

2) Memorandum yang disertai oleh Kelab Kebajikan Veteran & Pesara Tentera (KERABAT) dan Majlis Rundingan Keselamatan Keadilan menuntut penjelasan dan siasatan terhadap isu ini termasuk mengeluarkan KERTAS PUTIH kepada Perdana Menteri kerana jawapan Menteri Pertahanan tempoh hari bahawa siasatan akan hanya dibuat jika terbukti aktiviti menjual rahsia itu berlaku dan dalam nada yang sama pula mengatakan bahawa sudah pun dikesan maklumat itu telah dikeluarkan dan sedang dipantau; amat mengelirukan.

Mungkin dewan parlimen menolak usul ini tetapi saya percaya Perdana Menteri tidak akan menghampakan rakyat dan akan menjalankan tanggungjawab yang sewajarnya demi keselamatan negara termasuk keselamatan nyawa-nyawa anggota tentera dari diancam akibat angkara khianat menjual rahsia negara.

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai, merangkap Naib Presiden KEADILAN

Usul Tergempar Isu Komisen dan Penjualan Dokumen Rasmi Sulit Ditolak

Posted: 10 Jun 2012 11:13 PM PDT

Usul tergempar agar Kerajaan Malaysia dan Kementerian Pertahanan menjawab dakwaan penjualan dokumen rahsia berkaitan kapal selam Scorpene kepada syarikat pertahanan Perancis ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Datuk Seri Panglima Pandikar Amin Mulia.

Usul tergempar ini dibuat di bawah  Perintah Tetap 18(1) dan (2) pada Khamis lalu telah ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat hari ini di bawah Peraturan Mesyuarat 23(1)h.

Peguam Perancis Joseph Breham, yang mewakili NGO hak asasi manusia Suaram sebelum ini mendakwa, syarikat berkenaan membayar 36 juta euro (RM142 juta) kepada Terasasi (Hong Kong) Ltd, untuk kerja-kerja “kejuruteraan komersial”.

Breham berkata hakim siasatan Perancis yang menyiasat kes yang difailkan terhadap syarikat pembuat kapal Perancis DCNS, atas dakwaan rasuah, mahu tahu tujuan bayaran itu dan meminta laporan transaksi kewangan daripadanya.

Berikutan penolakan Usul ini, satu ucapan penangguhan akan dihantar kepada Speaker Dewan Rakyat bagi pihak Kementerian Pertahanan menjawab segala persoalan yang melingkari Isu Scorpene ini.

Scorpene: Kita tak berhenti di sini

Tiada ulasan:

Nuffnang