Jumaat, 1 Jun 2012

Mohamad Taufek Abd Ghani

Mohamad Taufek Abd Ghani


Penduduk sudah hilang sabar

Posted: 01 Jun 2012 12:47 AM PDT


Pihak Berkuasa Tempatan harus mengkaji kesesuaian tapak pasar malam betul-betul di hadapan rumah penduduk setempat. Ianya bukan sahaja berlaku di Taman Bemban Jaya, malahan di Taman Kobena, Senawang dan beberapa taman perumahan lain. Apakah JKKK setempat lebih berkuasa dari PBT?

Penduduk sudah hilang sabar
1 Jun 2012

BEMBAN (Jasin) - Seramai tujuh keluarga di Taman Bemban Jaya di sini, hilang sabar berikutan pelbagai masalah yang terpaksa dihadapi setiap kali pasar malam beroperasi di halaman rumah mereka pada hujung minggu, sejak 17 tahun lalu.

Mereka mendakwa, pasar malam yang beroperasi setiap Ahad, bermula jam 3 petang hingga 10.30 malam itu menimbulkan banyak kesukaran seperti masalah parkir kereta, pencemaran dan kerosakan harta benda.

Seorang penduduk, Mukayi, 58, berkata, paling menyedihkan apabila mereka tidak boleh mengadakan sebarang majlis setiap Ahad berikutan masalah berkenaan.

"Saya terkilan kerana baru-baru ini, saudara mara dan kenalan terpaksa masuk menggunakan pintu belakang rumah untuk menghadiri majlis sembahyang mendiang suami saya kerana halaman rumah sudah sesak dengan peniaga dan pengunjung pasar malam.

"Kami tiada pilihan, melainkan terpaksa mengadakan apa sahaja majlis pada hari lain," katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, adik iparnya, Kalyani, 59, pula berkata, dia yang menghidap sesak nafas terpaksa menutup pintu dan tingkap kerana alahan terhadap habuk serta asap makanan yang di goreng peniaga di halaman rumahnya.

Menurutnya, kain yang disidai di ampaian juga terpaksa diangkat awal bagi mengelakkan bau minyak dan habuk.

"Longkang juga kotor kerana sisa makanan dibuang ke dalamnya. Saya juga terpaksa membasuh lantai dan tingkap rumah akibat dicemari minyak dan habuk," katanya.

Seorang lagi penduduk, R Machap, 39, berkata, dia menghadapi kesukaran untuk keluar dari rumah kerana jalan ditutup sebaik sahaja pasar malam dibuka.

Menurutnya, dia terpaksa keluar awal untuk menghantar anaknya ke kelas tambahan setiap Ahad, kerana jika terlewat, anaknya terpaksa ponteng sekolah.

"Saya juga terpaksa meletakkan kenderaan jauh dari rumah jika pulang dari menghantar anak atau ke mana mana kerana jalan penuh sesak dengan peniaga dan pengunjung," katanya.

Tan Soo Seng, 28, pula berkata, dia dan ahli keluarganya terpaksa meletakkan kenderaan di jalan besar atau laluan belakang rumah setiap kali pasar malam beroperasi.

"Malangnya, kereta pernah rosak kerana laluan belakang yang sempit dan kebanyakan penduduk melalui jalan berkenaan pada hari tersebut.

"Jika saya letakkan kenderaan di depan rumah, maka saya memang tidak boleh bergerak ke mana-mana hingga pasar malam tamat," katanya.

Menurutnya, dia bimbang sekiranya berlaku kecemasan membabitkan ahli keluarga.

"Ada juga terfikir mahu berpindah tetapi saya masih bersabar menunggu tindakan pihak berkenaan," katanya.

Menurut penduduk, telah banyak aduan dibuat kepada pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta pihak terlibat, namun sehingga kini tiada tindakan diambil sejak lebih 10 tahun lalu.

Tunggu masa untuk rebah

Posted: 01 Jun 2012 12:46 AM PDT


Benarkah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menghadapi kekangan peruntukan untuk membantu keluarga di bawah ini, dan masih ramai lagi yang menunggu permohonan mereka untuk diluluskan?

Tunggu masa untuk rebah
1 Jun 2012

PURUN (Seri Menanti) – Keadaan dinding yang reput dimakan anai-anai di ruang dapur rumah milik pasangan warga emas di Kampung Purun, dekat sini hanya menunggu masa untuk rebah sahaja.

Yusuf Chein, 82, berkata, apabila hujan lebat, isterinya, Azizah Mohd Ali, 69, terpaksa menadah air menggunakan besen hujan gara-gara bumbung dapur yang bocor dan usang.

Menurutnya, keadaan dapur yang tidak sempurna menyukarkan isterinya memasak dan membasuh pinggan.

"Hanya bahagian dapur sahaja yang terlalu usang dan kami bimbang sekiranya angin kuat, zink di dapur diterbangkan angin," katanya.

Yusuf berkata, dalam keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan dia terpaksa membuat permohonan kepada pihak berkenaan.

"Saya tidak bekerja, malah lebih malang lagi menghidap darah tinggi hingga diserangstrok separuh badan.

"Saya juga alami asma kronik sejak empat tahun lalu dan bergantung sepenuhnya kepada penggunaan pam setiap masa," katanya.

Malah katanya, dia juga mengalami masalah kabur penglihatan sebelan kanan namun masih dalam tempoh pemulihan.

"Saya sudah membuat pembedahan mata bagi menggantikan kanta mata di hospital.

"Dengan keadaan saya sebegini, saya tidak berdaya untuk membaiki rumah sendiri," katanya.

Manakala Azizah pula berkata, dia tidak dapat bekerja kerana terpaksa menjaga suaminya itu yang tidak mampu menguruskan diri termasuk ke bilik air.

Menurutnya, mereka kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.

"Wang itu digunakan untuk membeli barang keperluan rumah, ubat dan melakukan pemeriksaan setiap bulan.

"Jika diikutkan sememangnya ia tidak mencukupi. Ada anak, tetapi mereka juga perlu menampung perbelanjaan keluarga masing-masing," katanya.

Azizah, lantaran keperitan hidupnya itu dia nekad membuat permohonan bantuan membaiki rumah pada 2010, namun sehingga kini masih belum mendapat maklum balas.

"Memang ada orang datang melihat keadaan rumah tetapi sehingga ke hari ini masih tiada tindakan diambil.

"Saya sudah serik ke pejabat berkenaan. Mereka hanya memberitahu tiada peruntukkan tetapi sampai bila kami perlu menunggu?," katanya.

Sementara itu, kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (Dun) Seri Menanti berkata, permohonan sudah diterima dan kini dalam proses apabila permohonan tersebut dipanjangkan kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) melalui e-Kasih.

Difahamkan juga, buat masa ini,kekangan peruntukkan sememangnya berlaku tambahan pula masih ramai lagi yang menunggu permohonan mereka untuk diluluskan.

Blog Usahawan Negeri Sembilan

Posted: 31 May 2012 02:39 AM PDT


Kepada mereka yang berminat, sila layari http://usahawann9.blogspot.com

Diragut selepas sidai kain

Posted: 31 May 2012 02:11 AM PDT


Diragut selepas sidai kain
30 Mei 2012

Seorang warga emas terkejut dan trauma apabila dia menjadi mangsa samun di hadapan rumahnya sendiri ketika baru sahaja menyidai pakaian di Rumah Rakyat Chengkau, dekat sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 11.20 pagi itu, mangsa, Halifah Ghani, 60, didatangi seorang lelaki berusia awal 20-an dan berkulit hitam membonceng sebuah motosikal jenis Yamaha 125 bertanyakan arah jalan menuju ke Kuala Pilah, sementara seorang lagi menunggu di motosikal.

Menurutnya, dia kemudiannya bertanyakan kepada jirannya, Norhazira Zanior, 25, arah jalan berkenaan dan sebaik menoleh secara tiba-tiba lelaki berkulit hitam berkenaan terus menyentap gelang tangan emasnya yang dianggarkan bernilai RM6,000.

"Mak cik terkejut dan sempat menghalang budak lelaki berkenaan, namun dia memegang pergelangan tangan begitu kuat.

"Selepas gelang emas direntap, mak cik ditolak ke belakang dan dia bersama tiga lagi rakannya kemudiannya melarikan diri dengan motosikal jenis Yamaha 125 berwarna hitam serta merah," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Halifah berkata, dia sudah menetap di lokasi berkenaan sejak 30 tahun lalu dan kejadian berkenaan membabitkan samun pada waktu siang itu pertama kali berlaku sedangkan sebelum ini tiada kenderaan mahupun motosikal mencurigakan berlegar-legar di sini.

"Namun hari ini (semalam) makcik terperanjat dan tidak menyangka akan menjadi mangsa samun," katanya.

Sementara itu, Norhazira berkata, pada pagi kejadian, dia sememangnya sudah berasa tidak sedap hati dan duduk di hadapan pintu pagar sebelum kejadian samun berkenaan berlaku dalam sekelip mata.

Menurutnya, dia tidak sempat membantu Halifah walaupun sudah menjerit akibat risau melihat dua lagi rakan penyamun berkenaan yang menaiki sebuah lagi motosikal menunggu di belakang dan menunjukkan tanda isyarat supaya diam.

"Selepas penyamun berkenaan melarikan diri, saya bergegas mendekati mangsa untuk menenangkannya.

"Bagaimanapun saya hanya dapat mengecam jenis motosikal dan warnanya sahaja kerana nombor plat yang digunakan begitu kecil," katanya

Tiada ulasan:

Nuffnang