Isnin, 25 Jun 2012

.

.


Ribuan Hadir Di Himpunan Hijau Peringkat Negeri Melaka

Posted: 25 Jun 2012 01:00 AM PDT

Lebih kurang 10,000 orang penduduk Melaka telah hadir bagi menjayakan Himpunan Hijau Peringkat Negeri Melaka yang diadakan bermula petang semalam sehingga lewat tengah malam tadi bertempat di perkarangan Surau Ustaz Ali, Permatang Pasir, Alai Melaka.

Program dimulakan dengan Solat Asar berjemaah diikuti dengan program Xpresi Anak Muda Ke Putrajaya dengan konvoi motorsikal Alternative Riding Club (ARC), persembahan dari Hafiz Bandboyz dan ucapan pimpinan pemuda Pakatan Rakyat tempatan.

Turut hadir petang semalam ialah Pesuruhjaya PAS Negeri Adly Zahari serta Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat Khairul Faizi Ahmad Kamil.

Di majlis tersebut, Ameerah dan Briged Muslimat peringkat negeri Melaka telah dilancarkan.

Program diteruskan dengan Solat Maghrib, Solat Hajat & Munajat serta Solat Isya' berjemaah yang dipimpin oleh Ketua Dewan Ulamak Negeri Melaka, Ustaz Zulkifli Ismail.

Selepas itu, majlis ceramah perdana yang menampilkan ucapan dan amanat dari pimpinan Pakatan Rakyat serta wakil dari NGO Anti-Lynas yang tiba dari program Occupy Balok-Gebeng di Kuantan.

Turut berucap malam tadi ialah AJK PAS Pusat, Zulkifli Omar; Pesuruhjaya PAS Melaka, Adly Zahari; Pengerusi DAP Melaka, Goh Leong San; Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him; Naib Pengerusi PKR Melaka, Rajendran; Penolong Setiausaha PKR Melaka, Sdr Wahab Ibrahim dan Pengerusi Anti-Lynas, Wong Tack.

Himpunan bersejarah tersebut dilihat begitu berjaya kerana rakyat pelbagai bangsa telah turut hadir menjayakan majlis berkenaan.

Program tersebut juga telah disiarkan secara langsung ke seluruh dunia melalui channel TVPAS Melaka yang telah menarik lebih 1,600 penonton malam tadi.

Di majlis berkenaan, anak Melaka di perantauan (PERAWAN) telah menyampaikan sumbangan mereka bebentuk replika cek kepada Perhubungan PAS Negeri Melaka.

Majlis Himpunan Hijau juga menerima kejutan apabila Setiausaha Agong PAS, Dato' Mustafa Ali turut hadir memeriahkan majlis.

Beliau menekankan tentang betapa perlunya rakyat bangkit untuk menentang kezaliman yang diterajui oleh UMNO BN dengan mempastikan kemenangan Pakatan Rakyat di dalam pilihanraya akan datang ini.

UMNO terpaksa menangguhkan tarikh pilihanraya dari sebulan ke sebulan apabila mereka mendapati suasana kebangkitan rakyat kebelakangan ini tidak memihak kepada mereka.

Majlis turut diserikan dengan penampilan penyanyi Iwan Syahman yang menyampaikan lagu-lagu bermesej dakwah di majlis tersebut.

Di kemuncak acara, Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu telah menyampaikan ceramahnya dan beliau menyatakan bahawa orang Melayu selama ini diperbodohkan oleh UMNO dan masanya telah tiba untuk rakyat melakukan perubahan kepimpinan kerajaan pusat dan negeri.

Beliau menegaskan juga akan menyaman Utusan Malaysia kerana memfitnah beliau dalam isu Mat Indera tidak lama dulu.

"Mereka tuduh saya memfitnah Polis Bukit Kepong di bawah seksyen 500 Kanun Keseksaan, tapi peliknya pengadu kes tersebut seorang pesara Polis bernama Visvanathan mengaku bahawa laporan yang Polis yang belua buat tidak benar dan ada unsur fitnah".

Sementara itu, UMNO telah cuba untuk menganggu majlis Himpunan Hijau dengan mengadakan ceramahnya kira-kita 200 meter dari majlis anjuran PAS tetapi gagal untuk menarik pendengar. Mereka sekadar dapat membuat gangguan dengan menghalakan pembesar suaranya ke arah Himpunan Hijau namun tidak memberikan apa-apa kesan terhadap program Himpunan Hijau.

Briged Keselamatan Negeri Melaka bersama-sama Unit Amal telah menunjukkan tugas cemerlangnya mengawal keselamatan daripada sebarang provokasi di majlis berkenaan.






















Source: http://greenboc.blogspot.com/2012/06/bergambar-ribuan-hadir-di-himpunan.html

Kemenangan Ikhwanul Muslimin gunakan teknologi 1400 tahun lalu

Posted: 24 Jun 2012 09:49 PM PDT


KITA renungi bagaimana bermulanya perjuangan Ikhwan Muslimin yang diasaskan oleh Syeikh Hasan al-Banna di Mesir. Dalam keadaan ekonomi umat Islam pada masa itu yang amat menyedihkan, ditambah pula dengan kemiskinan yang merata, maksiat serta jenayah yang berleluasa, dan amalan Islam pula difokuskan kepada beberapa juzuk ibadah sedangkan tiada usaha yang serius untuk membebaskan umat Islam daripada gejala tersebut. Jika ada yang beramal dengan Islam sekalipun, mereka dilihat sebagai kelompok yang terpencil, dipandang rendah dan hina.
Tambahan pula, gerakan Kristian yang menular di kalangan umat Islam menjadikan Syeikh Hasan al-Banna mengambil peranan untuk melakukan perubahan besar dengan menubuhkan Ikhwan Muslimin. Tujuannya adalah untuk menyedarkan umat Islam yang tertanggal diri mereka semangat jihad, dikerumuni musuh Islam dan ditimpa penyakit wahn, iaitu cinta dunia dan takutkan kematian. Perubahan masyarakat dalam Ikhwan bermula dengan perubahan individu yang ditarbiah untuk mengembalikan kesedaran mereka untuk berjihad, berusaha untuk melakukan perubahan positif dalam masyarakat.
Jika kita melihat antara prinsip perubahan yang diketengahkan oleh Ikhwan Muslimin ialah "As-Solah Qobla Al-Islah", iaitu memperbaiki diri sebelum memperbaiki masyarakat. Mereka yang mampu memperbaiki dirinya, maka ia mampu melakukan Islah iaitu memperbaiki masyarakat di sekelilingnya. Untuk memperbaiki ummah kata Naib Mursyid Am Ikhwan Muslimin, Syeikh Jum'ah Amin, seseorang perlu menjadi abid dahulu, iaitu menghambakan diri kepada Allah subhanahu wataala dengan membanyakkan amal yang medekatkan diri dengan Allah subhanahu wataala.
"Jadilah kamu hamba (Allah) sebelum kamu menjadi pemimpin (ummah)," pesan Syeikh Jum'ah Amin.
Ikhwan Muslimin mengambil pendekatan tarbiah rabbaniyyah dengan cara mendidik ahlinya supaya rapat dengan Allah subhanahu wataala dengan membaca al-Quran satu juzuk sehari, istighfar 100 kali sehari, qiyamullail minimum dua rakaat, berzikir secara ma'tsur supaya lidah basah dengan mengingati dan mendekatkan diri kepada Allah subhanahu wataala. Mengambil kata-kata hikmah Saiyidina Abu Bakar radiallahuanhu kepada tentera Islam tentang rahsia kemenangan ke atas musuh iaitu "Sesungguhnya kamu tidak akan dapat kemenangan selagi mana kamu tidak dekat dengan Allah."
Usaha-usaha yang pernah dilakukan oleh Syeikh Hassan Al-Banna dalam membangunkan masyarakat antaranya dengan mengkaji cabaran, halangan dan masalah yang membelenggu ummah, mengkaji pengajaran sejarah Islam dan umat terdahulu dan mengkaji sejarah dan pengajaran gerakan kebangkitan di seluruh dunia. Al-Banna turut membahagikan masyarakat kepada empat golongan dengan pendekatan dakwah yang berbeza iaitu golongan yang percaya kepada kebenaran, golongan oportunis, golongan yang teragak-agak dan golongan yang menentang.
Kemenangan Presiden baru Mesir, Dr Mohammed Morsi yang mewakili Ikhwan Muslimin menjadi topik yang hangat di bicarakan seluruh dunia termasuk gerakan Islam di Malaysia. Kemenangan yang di peroleh Ikhwan Muslimin setelah 83 tahun memperjuangkannya perlu menjadi pencetus semangat buat seluruh gerakan Islam dunia yang lainnya.
Disebalik kemenangan Ikhwan Muslimin, kita melihat kemenangan itu bukan di raih hanya disebabkan kepakaran strategi politik semata-mata, tetapi pimpinan serta ahlinya sangat pemurah masanya dengan Allah subhanahu wataala dalam perjuangan mereka. Melihat kepada anggota Majlis Parlimen Mesir sekarang terhimpun di dalamnya, lebih dari 140 orang hafal al-Quran. Lebih dari 100 orang hafal dan menguasai 10.000 hadis. Lebih dari 180 orang hafal separuh al-Quran. Lebih dari 170 orang bergelar doktor pakar dari pelbagai bidang dan disiplin ilmu. Lebih dari 50 orang tidak memiliki kereta peribadi. Lebih dari 350 orang adalah bekas tahanan politik berkisar 6-10 tahun penjara dan 4 orang wanita yang bertudung kemas.
Jadi, apakah kekuatan atau teknologi yang Ikhwan Muslimin gunakan? Coretan sejarah Salahudin al-Ayubi juga memilih mereka yang bangun malam sebagai barisan mujahidin paling hadapan untuk menggempur musuh? Ataupun sehingga Umar Abd Aziz berkata, " Bagaimana mata ini dapat tertutup rapat dan tenteram sedangkan ia tak tahu di mana kelak ia akan kembali di antara dua tempat.." Teknologi ini telah wujud 1400 tahun yang lalu dan telah pun dibuktikan kemampuannya untuk menghasilkan superhuman yang mantap dari kaca mata Islam. Teknologi yang dimaksudkan ialah qiamullail.
Tahniah saya ucapkan di atas kemenangan calon Ikhwan Muslimin yang bertanding untuk Pilihanraya Presiden di Mesir . Semoga kemenangan Islam akan hadir di bumi Malaysia dengan kemenangan Parti Islam pada PRU-13 akan datang.
"Allah subhanahu wataala memberi rezeki kepada semua hambanya, tetapi Allah tidak memberi agama ini (untuk diperjuangkan) kepada sesiapa yang tidak dicintai-Nya."

MOHD YUSOF HADHARI
Mantan Ketua Penerangan GAMIS Malaysia

Tiada ulasan:

Nuffnang