Nurul Izzah Anwar |
Posted: 28 May 2012 03:26 AM PDT KENYATAAN MEDIA Isu Perumahan Penjawat Awam Keadilan memandang serius kecenderungan Kerajaan Barisan Nasional yang sejak mutakhir ini menggubal dasar–dasar jangka pendek yang nampak lunak dan mesra Rakyat pada mulanya tetapi sebenarnya indah khabar dari rupa, bersifat sementara dan tidak menangani sebarang permasalahan secara tuntas. Pendedahan Cuepacs bahawa lebih kurang 60% penjawat awam berpendapatan bulanan di bawah RM3,000 di seluruh negara khususnya di Lembah Kelang tidak mampu memiliki rumah sendiri merupakan satu lagi bukti jelas kegagalan Kerajaan Barisan Nasional merangka dasar-dasar jangka panjang yang boleh menjamin kesejahteraan Rakyat terutamanya berkait kediaman berkualiti. Sebagai salah satu kaedah untuk meningkatkan kemampuan para penjawat awam memiliki rumah sendiri, KEADILAN menuntut agar kadar faedah pinjaman perumahan bagi penjawat awam pada tahap 4% sekarang diturunkan segera sekurang-kurangnya kepada 2.5% hingga 3.5% sebagai permulaan. Julat ini selari dengan kadar faedah pinjaman perumahan yang dinikmati oleh staf institusi perbankan dan kewangan. Dengan pendapatan bulanan kekal di bawah RM3,000 biarpun sudah berpuluh tahun berkhidmat, maka tidaklah menghairankan jika kemampuan penjawat awam berpangkat rendah ini untuk memiliki rumah sendiri dengan kualiti yang memuaskan sangat terbatas dan hanya mampu menyewa atau hanya memiliki rumah kos rendah bertaraf Program Perumahan Rakyat Termiskin memandangkan kenaikan mendadak harga hartanah beberapa tahun kebelakangan ini. Kenaikan purata harga rumah di Malaysia pada tahun 2011 berdasarkan Indeks Harga Rumah ialah pada kadar 9.9% di mana kadar kenaikan adalah lebih tinggi di Lembah Kelang, yakni 12.2% bagi Kuala Lumpur dan 11.3% bagi Selangor. Akibatnya, Elaun Tetap Perumahan yang diberi masih tidak mencukupi untuk menampung kos pemilikan rumah kerana bebanan kos sara hidup keseluruhan yang ditanggung oleh penjawat awam berpendapatan rendah di kawasan bandar terutamanya di Lembah Kelang adalah berkali ganda lebih tinggi. Ini menyerlahkan lagi kegagalan skim "My First Home" yang diperkenalkan pada tahun 2011 kerana institusi kewangan tidak mungkin dapat memberikan pinjaman 100% kepada mereka yang bergaji bawah RM3,000. Sebagai ilustrasi, pinjaman bagi rumah berharga RM400,000, jika dibayar pada kadar 4.3% selama 30 tahun akan menyebabkan individu tersebut terpaksa membayar sebanyak RM1,780 sebulan, lebih separuh daripada pendapatan seseorang individu bergaji RM3,000 sebulan. Justeru, KEADILAN menggesa agar SSM bagi penjawat awam berpendapatan rendah diperhalusi lagi dengan sistem kenaikan gaji dan elaun yang lebih teratur dan mencerminkan realiti kenaikan harga keperluan asas, sekaligus meningkatkan peluang dan hak mereka untuk memiliki kediaman pada kualiti yang memuaskan. Malah, sebagai langkah lanjutan dalam usaha mengawal kenaikan mendadak harga rumah, KEADILAN menyarankan rundingan dengan pemaju perumahan diadakan untuk mencapai persetujuan mengawal margin keuntungan mereka dalam julat yang munasabah bagi segmen perumahan mampu milik dan kos sederhana. Yang membimbangkan, sehingga hari ini, kita masih belum mendengar sebarang khabar berita mengenai Suruhanjaya Mengkaji Skim Gaji dan Elaun Penjawat Awam yang dijanjikan oleh PM Najib pada 8 Mac 2012. Ketidakadilan dan kecenderungan berat sebelah jelas menjadi mercu tanda Kerajaan Barisan Nasional. Ambil perbandingan kenaikan gaji penjawat awam berlainan kategori dalam SBPA yang diumumkan pada bulan Februari 2012 (yang kemudiannya dibatalkan dan digantikan dengan SSM yang ditambahbaik) sebagai contoh. Dalam cadangan SBPA, penjawat awam tinggi sepatutnya menikmati kenaikan di antara RM30, 000 hingga RM40,000 sedangkan penjawat awam berpangkat rendah hanya dijangka menikmati kenaikan di antara RM10 hingga RM20. Kesibukan mengeluarkan kenyataan demi kenyataan bak silap mata ketika membuat pelbagai pengumuman yang pada mulanya kelihatan bernas tetapi akhirnya terbukti hanyalah janji kosong (penggabungan MAS-AirAsia yang gagal / ETP yang tidak dinikmati Rakyat kebanyakkan / "durian busuk" hasil penyenaraian FGVH / pembangunan semula Kg Baru yang bakal mengenepikan masyarakat Melayu bandar dan banyak lagi) hanya mencerminkan Kerajaan Barisan Nasional yang ketandusan idea dan hanya sibuk hendak mempertahankan kuasa dengan politik samseng seperti yang berlaku pada "Malam Berdarah Lembah Pantai". KEADILAN yakin bahawasanya Rakyat sudah mulai sedar bahawa selagi negara masih belum menikmati demokrasi sepenuhnya, selagi itu kerajaan tidak akan merasa perlu untuk menjaga hati, hak dan kepentingan Rakyat. Justeru, Rakyat wajib menuntut tiga perkara dasar agar kerajaan lebih memberi fokus terhadap Rakyat: Pertama, menjamin Pilihanraya Bebas dan Adil agar Rakyat menjadi tuan di bumi Malaysia di mana Rakyat akan menikmati pentadbiran kerajaan yang mewakili aspirasi Rakyat hasil daripada 'pertandingan politik' yang semestinya akan dinilai sebagai pilihan terbaik di peti undi; Kedua, melaksanakan Reformasi Parlimen di mana konsep penubuhan Jawatankuasa Tetap Parlimen di dalam bidang utama pentadbiran kerajaan termasuklah Perkhidmatan Awam yang dapat memantau dan menjadi timbang-tara bagi sebarang muslihat dan helah Kerajaan Pusat; Ketiga, membasmi rasuah dan ketirisan ekonomi agar pembinaan perumahan untuk Rakyat tidak perlu disengajakan mahal untuk keuntungan orang tengah atau menggunakan dana KWSP akibat kekurangan sumber kewangan kerajaan. Usaha murni ini juga memerlukan penjawat awam memainkan peranan beramanah melalui Akta Perlindungan Pemberi Maklumat dengan mendedahkan segala bentuk rasuah terutamanya dalam penganugerahan kontrak atau konsensi yang berat sebelah pada kos yang tidak berpatutan dan merugikan Rakyat serta sebarang dasar yang membahayakan kepentingan awam dan mengancam kedaulatan negara. Hanya dengan kerjasama semua pihak menuntut tiga perkara dasar negara demokrasi ini akan menjamin kepentingan semua pihak termasuklah memelihara hak dan kebajikan penjawat awam. YB Nurul Izzah Anwar |
You are subscribed to email updates from Nurul Izzah Anwar To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan