Rabu, 25 April 2012

Nurul Izzah Anwar

Nurul Izzah Anwar


Menjawab Isu Surat Pengesahan Pengundi

Posted: 25 Apr 2012 01:19 AM PDT

KENYATAAN MEDIA
25 April 2012
UNTUK SEBARAN SEGERA

Saya merujuk laporan media berkaitan isu surat pengesahan status pengundi yang dikeluarkan Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai baru-baru ini.

Tuduhan UMNO Lembah Pantai bahawa pejabat saya telah mengedar surat maklumat palsu berhubung status daftar pemilih adalah suatu pertuduhan liar dan tidak berasas. Saya menyelar tindakan UMNO Lembah Pantai yang sering mengganggu tugasan saya sebagai Ahli Parlimen, seperti tindakan mereka menangkap petugas pejabat saya yang melakukan culaan undi atas alasan yang tidak munasabah pada bulan yang lalu.

Untuk makluman semua, pejabat saya sedang melakukan kajian mendalam mengenai status pengundi di Lembah Pantai setelah dimaklum tentang nama mereka yang telah hilang dari daftar pemilih; termasuk makluman tentang Ho Heng Tong, 53, yang telah hilang dari daftar pemilih Subang setelah disenaraikan sebagai “meninggal dunia” oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Liau Kok Fah, ahli jawatankuasa Bersih 2.0, dimana JPN telah mengatakan yang beliau telah “mati” pada tahun 1970an walaupun jelas beliau masih lagi hidup.

Surat yang dimaksudkan hanya memaklumkan pengundi bahawa berdasarkan kajian pejabat saya, nama mereka sudah hilang daripada daftar pemilih bagi kawasan parlimen Lembah Pantai. Surat tersebut juga jelas menyatakan bahawa kemungkinan besar nama-nama itu hilang disebabkan perkara-perkara yang sah, lalu dibuang daripada daftar pemilih atas sebab-sebab termasuk kematian dan pemindahan yang tulen. Tetapi, jika ada pemilih yang mendapati nama telah hilang tanpa pengetahuan mereka, maka mereka boleh merujuk pejabat saya untuk tindakan lanjut.

Saya merujuk kepada tiga maklumbalas yang saya terima daripada pengundi, di mana salah seorang mengakui nama yang tertera di dalam daftar pemilih, iaitu Rajah a/l Periasamy, yang menggunakan alamat beliau terkini, sebenarnya tidak wujud. (Lampiran 1)

Saya juga menjemput pengundi-pengundi yang nama mereka didapati sudah dikeluarkan daripada daftar pemilih sedangkan mereka masih menetap di kediaman yang sama membawa aduan kepada pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

Sekali lagi saya menyelar tindakan UMNO Lembah Pantai ini yang menghalang usaha seorang Ahli Parlimen menjalankan tugas dengan bertanggungjawab. Seharusnya semua pihak, termasuklah UMNO Lembah Pantai, bekerjasama dengan Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai demi membantu SPR membuat semakan daftar pemilih.

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai

Negara Dunia Pertama: Protes itu Patriotik

Posted: 25 Apr 2012 01:03 AM PDT

Perbezaan negara dunia pertama dan ketiga terletak pada dua sistem kenegaraan iaitu demokrasi atau otokrasi.

Demokrasi memudahkan hak rakyat menilai 'tawaran politik' yang berbeza melalui media bebas dan juga ruang berdebat yang luas. Demokrasi melalui pilihanraya telus lagi adil memudahkan hak memilih sebuah kerajaan untuk mewakili kepentingan rakyat. Selain itu demokrasi juga memudahkan suara rakyat di dengar termasuk membantah melalui protes.

Sebaliknya sebuah Otokrasi menyekat rakyat daripada menilai sesuatu 'tawaran politik' berbeza melalui sekatan saluran media dan propoganda hitam mengawal jiwa rakyat dengan ketakutan hilang kuasa atau kebencian sesuatu pihak. Hak rakyat memilih kerajaan melalui pilihanraya disekat melalui manupulasi. Hak bersuara juga disekat dengan berbagai perundangan, ugutan mahu pun dengan tindakan fizikal yang melarang sebarang bantahan termasuk hak berprotes.

Justeru itu, Demokrasi bersifat 'memudahkan' hak rakyat yang menjamin kepentingan rakyat diutamakan sedangkan Otokrasi bersifat 'menyekat' hak rakyat untuk menjaga kepentingan golongan elit yang berkuasa.

Tanpa Protes Tiada Demokrasi

Sejarah dunia pula mencatatkan bahawa apabila hak rakyat disekat oleh sistem Otokrasi, rakyat akan bangkit dan menyuarakan bantahan, penentangan mahupun rasa tidak puas hati terhadap sesuatu isu atau keadaan dengan protes.

Gerakan 'Arab Spring' menjadi contoh terkini kebangkitan rakyat dengan memprotes pemerintah yang otokratik walaupun berdepan dengan segala kekuatan jentera kerajaan seperti badan kehakiman, media arus perdana dan pasukan keselamatan yang hebat lagi menggerunkan. Tetapi semua sekatan gergasi ini telah ditumpaskan melalui semangat patriotik untuk merampas kembali hak demokrasi yang sudah lama dinafikan.

Kesimpulannya adalah bahawa kuasa rakyat melalui perjuangan menggunakan protes adalah hak asasi untuk menegakkan demokrasi yang akhirnya tidak boleh disekat.

Tanpa Protes Negara Tidak Merdeka

Sejarah negara kita juga membuktikan bahawa protes itu adalah hak rakyat yang menjadi pencetus perubahan malah membawa kepada kemerdekaan.

Penjajah British masih bercita-cita untuk terus menjajah negara kita selepas Perang Dunia Kedua melalui konsep Malayan Union yang pada mulanya telah dipersetujui oleh Raja-raja Melayu kesemuanya dan kemudiannya dibantah pula apabila rakyat sendiri bangkit menentang.

Tanpa protes seperti protes menentang Malayan Union pada 1946 dan protes Hartal se-Malaya pada 1947, negara tidak akan merdeka. Kita masih dijajah British yang menggunakan sistem otokratik dengan segala jentera kerajaan, kawalan media dan undang-undang anti-demokratik untuk menyekat hak merdeka.

Tanpa Protes Negara Tiada Perubahan

Tanpa protes oleh CUEPACS, SBPA tidak akan dibatalkan. Penjawat awam tertinggi sahaja yang akan menikmati kenaikan gaji yang lumayan manakala kategori lain hanya menerima kenaikan yang tidak setimpal. Oleh itu, protes telah menjaga kepentingan majoriti penjawat awam daripada dinafikan.

Tanpa protes oleh peneroka Felda, skim penyeneraian Felda di Bursa Saham akan terus dipercepatkan tanpa diubah jenis hakmilik tanah serta syarat-syarat penyenaraian seperti yang diumumkan.

Tanpa protes 'Barang Naik' dan 'Anti-GST', tidak akan ada penangguhan pembatalan subsidi makanan dan penangguhan pelaksanaan cukai GST. Pelbagai program seperti BR1M, KR1M, Klinik 1Malaysia, PR1MA dan Baucar Buku Sekolah juga tidak dilaksanakan.

Tanpa protes Bersih 1.0 dan 2.0, kerajaan tidak akan bertindak untuk membuat perubahan membatalkan atau meminda undang-undang anti-demokratik yang kita saksikan baru-baru ini.

Malangnya perubahan 'transformasi' undang-undang anti-demokratik ini adalah separuh jalan dan masih bersifat menyekat hak rakyat. Ini adalah usaha sebuah otokrasi yang mahu menggunakan topeng demokrasi untuk terus memegang kuasa.

ISA dimansuhkan dan digantikan dengan akta baru yang sama zalim tanpa pantauan Parlimen. Manakala AUKU dan PPPA dipinda bukan dibatalkan. Malah akta baru yang menyekat dan bukan memudahkan demokrasi seperti Akta Perhimpunan Awam diperkenalkan.

Tanpa Protes Hipokrasi Demokrasi Kekal

Tanpa protes Bersih 2.0, kerajaan tidak pula akan mewujudkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) untuk mereformasikan sistem pilihanraya negara yang terbukti pincang.

Oleh demikian, apabila kerajaan membentuk JPKP Pilihanraya, rakyat menaruh harapan bahawa kesemua 8 tuntutan Bersih 2.0 serta cadangan-cadangan membina daripada semua pihak berkepentingan akan dilaksanakan.

Ternyata harapan rakyat dikhianati apabila hanya laporan JPKP Pilihanraya dengan 22 cadangan dibentangkan di Parlimen, dimana hanya 1 daripada 8 tuntutan Bersih 2.0 diterima dan ditolak pula cadangan Laporan Minoriti pihak Pakatan Rakyat sama sekali.

Lebih mengejutkan adalah apabila kerajaan secara "serang hendap" telah mengusulkan dan meluluskan secara pantas pindaan kepada Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 yang terus menafikan hak wakil-wakil parti politik untuk menyemak kesahihan kad pengenalan pengundi dengan Daftar Pengundi pada hari mengundi.

Dengan itu, Proses Pilihanraya masih 'kotor' kerana – dikekalkan seksyen 9A yang melarang sesiapa daripada membawa kes mahkamah melibatkan Daftar Pengundi untuk disemak – wujudnya pengundi-pengundi berganda berdaftar pada satu alamat – pengundi yang dipindah masuk atau pindah keluar kawasan secara sembunyi – pengundi yang di'matikan' dan pengundi yang disyaki pendatang asing yang diberikan kewarganegaraan untuk undi (malah cadangan Suruhanjaya Di-Raja menyiasat pemberian MyKad di Sabah ditolak).

Kesemua ini adalah usaha Hipokrasi Demokrasi untuk memanipulasi Pilihanraya agar menjamin negara kekal sebagai sebuah otokrasi.

Protes itu Patriotik

Di antara semua rukun demokrasi, hak rakyat memilih kerajaan melalui pilihanraya yang bebas dan adil adalah rukun yang paling utama.

Pilihanraya memberikan mandat dan legitimasi membentuk kerajaan yang mesti mewakili dan mempertahankan kepentingan rakyat.

Hak ini tidak boleh disekat atau diselewengkan kerana tanpa pilihanraya bebas dan adil tidak akan tertegaknya negara demokrasi dan segala pengorbanan pejuang-pejuang kemerdekaan menjadi sia-sia.

Oleh itu, semua rakyat mesti bangkit dan mempertahankan hak demokrasi kita dan menentang segala usaha menyekat demokrasi untuk kekalkan sebuah otokrasi yang lapuk lagi lesu.

Cukuplah. Siapa kata Protes itu bukan Patriotik!

(Pertama kali disiarkan di Sinar Harian pada 24 April 2012)

Tiada ulasan:

Nuffnang