:: cina islam | 2011 :: |
- Penyamun tidak berhati perut, pukul warga emas
- Ragut beg: Tiga ditahan direman empat hari
- Maut dihentak benda tumpul
- Suspek kes langgar anggota polis ditahan
- Kakitangan IT PAS Kelantan disamun
- Abim seru pencinta kebenaran ke Bersih 3.0
- Mahasiswa terus bertahan di Dataran Merdeka
- Kes Scorpene: Keengganan Zahid kerjasama dikesali
- Rakyat Sabah diajak turun ke Bersih 3.0
- 50,000 muslimat PAS dijangka sertai Bersih 3.0
- Persada seru ahli turun Bersih 3.0
- Teras tuntut Felda batal penyenaraian
- Kereta bakal pengantin terbalik
- Restoran milik VIP dikesan curi air
- P.Pinang wujudkan akademi pembelajaran, badminton
- OKU dijatuhi hukuman denda kerana dadah
- Saya masih merindui United
- Rumah Mazlan Aliman disimbah cat merah
- Simbah cat merah rumah Mazlan ke-3 masa seminggu
- Liga Juara: Di Matteo anggap pencapaian Chelsea luar biasa
- Bom lama dalam saluran longkang
- Annan khuatir konflik Syria berterusan, kematian meningkat
- Chong Wei harus lebih berhati-hati
- Mak nyah lari dipaksa kahwin
- Pengsan dibelasah 30 pelajar
Penyamun tidak berhati perut, pukul warga emas Posted: 25 Apr 2012 01:01 AM PDT 3 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - GONG MEDANG - Seorang penyamun tidak ada hati perut apabila tergamak memukul seorang wanita warga emas dengan sekeping papan tebal sebanyak tiga kali di kampung ini dekat Kampung Raja, Khamis lalu. Dalam kejadian jam 5 petang, mangsa Sharipah Khasipah Syed Mohd Nor, 64, terpaksa dirawat di Hospital Besut selama tiga hari tiga malam akibat kecederaan di kanan kepala manakala penyamun hanya berjaya melarikan bungkusan Milo sahaja. Dia yang baru keluar dari hospital kelmarin berkata, pada petang kejadian dia berada seorang diri di kedai runcit di rumahnya di sini dan didatangi seorang lelaki berlagak pelanggan. "Lelaki itu datang dengan kereta Perodua Kenari warna merah manakala seorang rakannya menunggu dalam kereta. Lelaki yang masuk ke kedai itu bertanya Nescafe tetapi saya beritahu tidak ada jual di kedai saya lalu dia mengambil enam bungkusan plastik Milo seberat 400 gram setiap satu dan diletakkan di meja," kata Sharipah yang masih menahan sakit. Dipukul ketika kira harga barang Sharifah berkata, ketika dia asyik mengira jumlah harga barangan itu lelaki tersebut keluar ke depan kedai dan selepas itu dia terdengar bunyi seperti kayu ditarik di depan kedai namun dia tidak begitu menghiraukannya. Menurutnya, hanya selang beberapa saat kemudian lelaki itu muncul lalu memukul kepalanya menyebabkan dia terhuyung-hayang. "Saya masih sempat bertanya kepada dia mengapa melakukan demikian sambil saya gagahkan kudrat menjerit meminta tolong dengan harapan didengari suami yang berada di dalam rumah. "Mungkin tidak berpuas hati apabila saya masih mampu menjerit lelaki itu memukul lagi kepala saya dengan kayu sepanjang 30 sentimeter itu sebanyak dua kali lagi menyebabkan saya rebah sambil memegang kepala yang berasa begitu sakit manakala mata berpinar-pinar," katanya. Akibat jeritan itu penjenayah terbabit hanya sempat membuka satu daripada dua laci dan gagal menemui wang tunai di situ kerana wang RM300 berada di laci sebelah kiri meja menyebabkan dia hanya melarikan Milo berkenaan. Tiga benjolan sebesar penumbuk di kepala Suaminya Ariffin Ismail, 67, yang bergegas keluar dari dalam rumah segera membawa Sharipah ke Hospital Besut sebelum dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk menjalani pemeriksaan lanjut. Selepas HUSM mengesahkan Sharipah tidak ada pendarahan dalaman, dia dirujuk semula ke Hospital Besut dan ditahan selama tiga hari kerana sakit akibat dihentak dengan kayu. "Ada tiga benjolan sebesar penumbuk pada kepala saya akibat pukulan tersebut dan saya muntah pada hari pertama kejadian, sakitnya Tuhan sahaja yang tahu," katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Raja. Sharipah berkata, suspek terbabit dipercayai pernah datang beberapa kali ke kedainya sebelum ini malah salah seorang jirannya pernah menasihatinya agar berhati-hati kerana lelaki itu adalah penagih dadah dan sering keluar masuk penjara. Menurutnya kebetulan pada sebelah pagi hari kejadian hatinya tergerak menanggalkan semua barang kemas yang dipakainya. Sementara itu Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut untuk menahan suspek yang masih bebas setakat ini. Menurutnya, kes ini disiasat di bawah Seksyen 382 Kanun Keseksaan iaitu samun dan mendatangkan kecederaan. Manakala dua minggu lalu juga seorang wanita warga emas, Staja Hamat, 67, dari Kampung Gong Nering, Jertih turut menjadi mangsa samun apabila muntah darah dan dirawat selama dua hari di hospital selepas dipukul penyamun dengan topi keledar di kepala. Dalam kejadian pada jam 5.30 petang Rabu itu, Staja kerugian kira-kira RM3,000 apabila penyamun melarikan barang kemasnya ketika dia sedang memberi lembu peliharaannya makan berdekatan sawah padi. Sinar Harian |
Ragut beg: Tiga ditahan direman empat hari Posted: 25 Apr 2012 12:59 AM PDT 3 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - JELI – Seorang peniaga sayur terpaksa berputih mata apabila beg tangannya dicuri ketika membeli kad nilai pra bayar telefon bimbit dekat kedai telekomunikasi jam 12 tengah hari kelmarin. Dalam kejadian itu, mangsa, Nik Nor Aimah Nik Yusuf, 52, yang berasal dari Kampung Lubok Bonggor kerugian kerugian hampir RM100 serta pelbagai dokumen penting yang dilarikan oleh tiga suspek yang menaiki kereta jenis Naza Citra berwarna hitam. Aimah berkata, kejadian berlaku sangat pantas dan dia hanya mampu melihat salah seorang suspek melarikan beg tangan yang diletakkan di sebelahnya ketika itu. "Ketika berada di kedai terbabit sebuah kereta jenis Naza citra yang dinaiki tiga suspek yang tidak dikenali tiba-tiba berhenti lalu mengambil beg tangan saya dan melarikan diri. Nasib baik wang dalam beg tidak banyak hanya RM70 tetapi ia digunakan sebagai perbelanjaan harian untuk persekolahan anak hasil jualan sayur, saya memang terkejut kerana ia kali pertama berlaku," katanya ketika ditemui, semalam. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintenden Sheik Azhar Sheik Omar mengesahkan ada menerima berikutan kejadian tersebut. Sheik Azhar berkata, hasil maklumat orang awam dan bantuan Skim Rondaan Sukarela( SRS), polis berjaya mengesan dan menahan tiga suspek terbabit ketika mereka sedang makan di sebuah kedai makan dekat Batu Gajah, Tanah Merah kira-kira jam 3 petang. "Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui semula kenderaan yang dinaiki suspek, barangan yang dicuri, sebilah parang dan nombor plat palsu turut ada dalam MPV tersebut. Ketiga-tiga suspek yang berusia 24 hingga 29 tahun tersebut direman empat hari bermula semalam dan didakwa mengikut seksyen 379 Kanun Keseksaan. Seorang daripada tiga suspek terbabit mempunyai enam rekod jenayah lampau dan mereka masing-masing berasal dari Tumpat, Pasir Mas dan Tanah Merah," katanya. Sinar Harian |
Posted: 25 Apr 2012 12:55 AM PDT 3 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - BUKIT MERTAJAM – Seorang lelaki ditemui mati berhampiran kilang UMW dekat Kawasan Perindustrian Bukit Minyak, pagi kelmarin. Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Azman Ab Lah berkata, lelaki berusia 44 tahun dan masih bujang itu ditemui orang awam dalam keadaan terlentang di sebuah kawasan lapang dekat kilang terbabit, jam 8 pagi. Menurutnya, hasil pemeriksaan awal di tempat kejadian tidak menemui sebarang senjata dan mengklasifikasikannya sebagai mati mengejut. "Lelaki itu bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang dekat Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan dan siasatan awal, kita percaya mangsa mati tidak kurang dari 24 jam sebelum ditemui. "Malah, kita mengklasifikasikannya sebagai mati mengejut kerana tidak terdapat unsur-unsur jenayah mahupun senjata di tempat kejadian, melainkan botol minuman keras dan juga ubat kencing manis, dipercayai milik mangsa," katanya. Bagaimanapun, Azman berkata, hasil bedah siasat yang dilakukan ke atas mangsa di Hospital Seberang Jaya (HSJ) menemui kesan kecederaan dalaman, dipercayai akibat hentakan benda tumpul di bahagian muka. Berikutan itu, polis mengklasifikasikan semula kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Justeru, pihaknya merayu saksi yang terlihat kejadian atau orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. Sinar Harian |
Suspek kes langgar anggota polis ditahan Posted: 25 Apr 2012 12:53 AM PDT 3 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - BUKIT MERTAJAM – Suspek kes langgar lari yang menyebabkan kematian seorang anggota polis dari Balai Machang Bubok, dekat Permatang Tinggi, 12 April lalu, berjaya ditahan polis. Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Azman Ab Lah berkata, lelaki yang dikenali sebagai Muhamad Rizal Zainol Rashid, 38, itu ditahan di Kulim, Kedah, 21 April lalu. "Kita membuat serbuan ke atas rumahnya di Lunas pada malam kejadian (12 April), dan menahan kenderaan jenis Proton Saga yang dipandu ketika kejadian, namun, suspek tiada di rumah, dipercayai melarikan diri sebelum polis tiba. "Bagaimanapun, hasil usaha dan bantuan orang awam, akhirnya suspek berjaya ditahan Sabtu lepas," katanya. Azman berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu hingga menyebabkan kematian. Katanya, suspek kini direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kejadian. Beliau dalam pada itu berkata, pihaknya kini sedang berusaha untuk mengesan seorang lagi lelaki, dipercayai kenalan suspek dan dikenali sebagai Sham yang turut sama berada di dalam kenderaan berkenaan pada malam kejadian. Menurutnya, mereka yang mempunyai maklumat dirayu tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik SPT, Inspektor Azwan Kamarudin di talian 012-2651045. Terdahulu, seorang anggota polis berpangkat Konstabel maut digilis lori selepas motosikal yang ditunggangi terbabas ketika menjalankan tugas, dalam satu kejadian, dekat Permatang Tinggi. Kejadian berlaku kira-kira jam 8.45 malam, ketika mangsa, Nan Ruazlan Zulkefle, 23, yang baru enam bulan bertugas di Balai Polis Machang Bubok itu cuba memintas sebuah kereta untuk diperiksa, selepas mendapati kereta tersebut dipandu dalam keadaan mencurigakan. Sinar Harian |
Kakitangan IT PAS Kelantan disamun Posted: 25 Apr 2012 12:51 AM PDT 3 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - KOTA BHARU: Seorang kakitangan Unit IT PAS Kelantan cedera di kedua-dua belah lengan akibat disamun dua lelaki bermotosikal menggunakan senjata besi malam tadi. Pengarahnya, Mohd Ruslan Muhd Zain berkata, ketika kejadian tiga pegawai wanita terbabit sedang menunggu kunci untuk menaiki pejabat IT PAS Kelantan di Jalan Kota Darulnaim. "Bagaimanapun ketika menunggu dua lelaki datang dengan menaiki motosikal dan terus menyamun mangsa di hadapan bangunan tersebut. "Ekoran itu berlaku pergelutan namun penyamun sempat melarikan sebuah beg dipegang kakitangan berkenaan yang mengandungi telefon bimbit dan wang tunai," katanya di sini. Ekoran itu beliau membuat laporan polis di Balai Polis Kota Bharu sejurus selepas kejadian. Menurutnya mangsa mendapat rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II dan menerima beberapa jahitan. Dan hari ini pula dilakukan pemeriksaan x-ray dan didapati tidak berlaku keretakan tulang dan sebarang kecederaan serius. Kata beliau juga di tempat kejadian pernah berlaku kejadian samun yang membabit seorang wanita tua. Sehubungan itu beliau berharap pihak polis melakukan kawalan lebih kerap ke kawasan berkenaan bagi mengelakkan kejadian serupa berulang. Harakah Daily |
Abim seru pencinta kebenaran ke Bersih 3.0 Posted: 25 Apr 2012 12:50 AM PDT 3 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menyokong penganjuran perhimpunan aman Bersih 3.0 pada 28 April ini di Dataran Merdeka. Presidennya, Amidi Abd Manan berkata, Abim menilai penganjuran Bersih 3.0 adalah manifestasi keprihatinan rakyat terhadap kelemahan tatacara pengendalian pilihanraya di negara ini. "Pilihanraya adalah wahana untuk mengangkat pemimpin yang didokong oleh rakyat. "Pilihanraya juga merupakan mekanisme berkesan dalam menguruskan perbezaan pendapat serta aliran politik dalam sesebuah negara secara harmoni sekiranya ia dilaksanakan dengan sebaik-baiknya," ujarnya kepada Harakahdaily. Justeru, tambahnya adalah amat penting institusi serta tatacara pengendalian sesebuah pilihanraya beroleh kepercayaan serta keyakinan yang tidak berbelah bagi dari rakyat. Sehubungan itu, Abim menggesa Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) seharusnya mengambil sikap proaktif dan lebih serius untuk menangani sebarang aduan serta desakan yang dikemukakan oleh Bersih 3.0 serta masyarakat terhadap isu-isu berkenaan. "Dalam hal ini Abim ingin mendesak SPR agar menngamati setiap tuntutan serta aduan yang dikemukakan seperti pembersihan senarai pengundi, penambahbaikan terhadap pengendalian undi pos, akses media yang saksama untuk semua parti di samping membendung budaya politik kotor dan ganas menerusi pengukuhan institusi-institusi awam yang berkaitan," ujarnya lagi. Menurutnya, SPR tidak seharusnya bersikap acuh tidak acuh dalam menangani sebarang aduan serta tuntutan yang dikemukakan, kerana ia merupakan manifestasi terhadap tingginya kesedaran sivil dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap hak politik mereka. Beliau menegaskan, kegagalan berbuat demikian (menangani aduan serta tuntutan yang dikemukakan dengan sewajarnya) tidak sahaja akan membentuk persepsi negatif terhadap SPR, bahkan ia menafikan peluang untuk badan terbabit memperbaiki serta mengembangkan tatacara pengendalian pilihanraya yang lebih cekap dan berintegriti. "Menilai suasana politik semasa yang banyak dipengaruhi dengan teka teki PRU 13 yang akan datang, Abim merasakan isu penambahbaikan pengendalian pilihanraya seharusnya diberikan keutamaan yang paling tinggi oleh SPR serta pihak-pihak yang berkenaan," katanya. Menurut Amidi lagi, kegagalan berbuat demikian hanya akan mengeruhkan suasana politik semasa serta bakal menjejaskan peranan PRU13 sebagai wahana pengurusan perbezaan pendapat serta aliran politik secara harmoni dan berkesan. "Justeru, Abim menyeru setiap rakyat Malaysia yang cintakan kebenaran dan keadilan agar sama-sama turun secara aman untuk menghadiri Perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April ini, untuk sama-sama menzahirkan keprihatinan mereka terhadap masa depan negara yang tercinta ini," ujarnya lagi. Harakah Daily |
Mahasiswa terus bertahan di Dataran Merdeka Posted: 25 Apr 2012 12:49 AM PDT 3 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Biarpun beberapa kali dirempuh penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), semangat anak-anak muda yang berkhemah di Dataran Merdeka tidak patah, yang kini sudah masuk hari ke-12. Dilarang mendirikan khemah, kini mereka duduk berpayung dari terikan matahari di sebuah sudut di Dataran Merdeka. Jika sebelum ini mereka berkumpul di sudut berdekatan air pancut, selepas ditutup dengan pita kuning DBKL, mahasiswa ini beralih ke arah padang. Seorang mahasiswa yang telah berada di sana sejak 12 hari lalu, Alif Asyraf, berkata mereka cuba bertahan untuk terus berada di dataran tersebut hingga menjelang himpunan Bersih 3.0 pada 28 April ini. Menyedari mungkin DBKL akan melakukan lebih banyak sekatan menjelang Bersih 3.0, pelajar dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu berkata kumpulan mahasiswa itu cuba tidak berganjak dari situ bagi menuntut pendidikan percuma di negara ini. Tinjauan Harakahdaily, hari ini menyaksikan beberapa aktivis berada di tapak mereka berkhemah, manakala sebahagian mahasiswa pula berada di mahkamah. Biarpun tidak dibenarkan memasang khemah, mereka tetap berkumpul dan berpayung bagi melindungi diri mereka dari terik matahari. Sepanjang tinjauan Harakahdaily di sana, orang ramai dilihat turut menyinggah ke kawasan mahasiswa tersebut untuk menyatakan sokongan dan menghulurkan sumbangan. Tengah malam tadi, DBKL didakwa menyerbu ke atas perkhemahan mahasiswa dan dikatakan merampas dua kotak derma yang berisi kira-kira RM200. Serbuan itu merupakan serbuan ketiga DBKL ke atas mahasiswa tersebut dalam tempoh kurang 24 jam. Dalam serbuan sebelum ini, enam mahasiswa ditahan, dan dibebaskan kemudiannya dengan jaminan. Seorang dari mereka, Umar Mohd Azmi, bagaimanapun didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas dakwaan menghalang tugas pegawai DBKL, dari menahan aktivis, Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin. Harakah Daily |
Kes Scorpene: Keengganan Zahid kerjasama dikesali Posted: 25 Apr 2012 12:46 AM PDT 3 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - SHAH ALAM: Badrul Hisham Shahrin atau Chegu Bard, Ketua Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) meminta Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi mengotakan kata-kata beliau sebelum ini yang mendakwa bersedia berkerjasama untuk menegakkan keadilan berhubung isu komisen kapal selam Scorpene. "Dalam pertengahan tahun lepas bila isu Scorpene ini dibangkitkan, dia seolah-olah bongkak di dalam negara. "Dia kata tak ada masalah kalau diperlukan di mana juga mahkamah, dia berikan kenyataan, 'sanggup beri kerjasama' kononnya tiada benda yang nak diselindungkan dan berikan mahkamah tegakan keadilan. "Tetapi yang terbaru sekali, bila kes ini betul-betul disebut di mahkamah Perancis ternyata dia pulak takut dengan alasan tak ada sebab nak gunakan duit sendiri untuk pergi ke mahkamah Perancis. "Kata mahu mahkamah tegakkan keadilan tetapi tak mahu beri kerjasama. Cakap apa ini, selalu nak putar belit," kata Chegubard ketika dihubungi harakahdaily hari ini. Semalam Zahid telah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak akan hadir ke mahkamah di Perancis samada dibiayai kerajaan mahupun dengan menggunakan wang dari poket sendiri. Menurut Chegu Bard keengganan menteri pertahanan untuk hadir dalam siasatan di mahkamah Perancis akan memalukan rakyat dan menjejaskan imej negara. "Kita difahamkan bahawa mahkamah Perancis telah menerima Najib dan Zahid selaku saksi dalam kes tersebut. "Oleh kerana itu, jika Najib dan Zahid mengelak untuk hadir ketika dipanggil, menurut sumber perundangan, mahkamah Perancis boleh mengeluarkan waran tangkap kepada Najib yang suatu ketika dahulu adalah Menteri Pertahanan dan juga Menteri Pertahanan sekarang. "Lebih penting lagi sekiranya ianya berlaku, ia bukan sahaja menjejaskan soal imej negara tetapi juga soal keselamatan negara," katanya. Beliau turut meminta agar rakyat malaysia fikir "Apakah rasanya sebagai rakyat Malaysia apabila PM kita menjadi buruan di peringkat antarabangsa? Tentu memalukan kita semua. "Ia tak mustahil, jika tak hadir sudah tentu waran tangkap boleh dikeluarkan melalui rangkaian Interpol dan sebagainya dan ini pernah berlaku terhadap diktaktor Augusto Pinochet yang ditangkap oleh rangkaian interpol di hospital," ujar beliau merangkap Ketua PKR Cabang Rembau. Terdahulu pada 29 Mei 2011, Zahid ketika menjawab soalan wartawan dalam isu yang sama berkata, di samping mahukan ketelusan dalam siasatan beliau juga mahukan mahkamah menentukan kebenaran. Zahid turut memberitahu bahawa beliau bersedia untuk ke mahkamah sekiranya diminta berbuat demikian oleh mahkamah. "Mereka boleh cabar kita di mahkamah. Kita mahu lebih telus. Berhubung dakwaan mereka, biar mahkamah tentukan kebenaran. "Saya sedia ke mahkamah jika diminta berbuat demikian tetapi, syaratnya mesti diluluskan oleh kabinet "Jika kabinet tidak benarkan, maka saya tidak perlu pergi," menurut Zahid ketika itu yang jelas bertentangan dengan kenyataan terbaru beliau yang enggan berkerjasama untuk mahkamah membuktikan kebenaran," ujar Chegu Bard. Skandal pembelian scorpene oleh kerajaan Malaysia menimbulkan pelbagai kontroversi termasuk dikaitkan dengan pembunuhan warga monggolia, Altantuya Shaariibu. Harakah Daily |
Rakyat Sabah diajak turun ke Bersih 3.0 Posted: 25 Apr 2012 12:45 AM PDT 3 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - KOTA KINABALU: Bela Tanah Rakyat Sabah (Tabah) mengajak seluruh rakyat Sabah untuk turun beramai-ramai bagi menyertai Himpunan Rakyat Bangkit 2.0 pada 28 April ini di Padang Merdeka, di sini. Pengerusinya, Hisammuddin Sulaiman berkata, ia merupakan himpunan lanjutan yang terpaksa diambil setelah pelbagai kaedah yang sama sebelum ini gagal diselesaikan dengan baik oleh Kerajaan Negeri terutama melibatkan tanah rakyat. "Isu ini bukan pertama kali diketengahkan, bahkan kita juga sudah banyak menerima rungutan dan keluhan rakyat yang mengalami masalah tanah. "Kita juga sudah membawa isu ini ke pengetahuan media dan perhatian Pejabat Ketua Menteri, namun apa yang dikesalkan ialah tindakan dan perhatian sewajarnya oleh pihak berkenaan tidak dipedulikan malah menyulitkan lagi keadaan," katanya dalam satu sidang media yang diadakan di Pejabat Pemuda PAS Sabah, dekat Kingfisher pagi tadi. Menurutnya, rakyat Sabah perlu sedar dan bangkit dalam menuntut hak dan keadilan. Hal ini bagi mengelakkan berlakunya penindasan di kalangan rakyat. "Sebagai rakyat, kita perlu sedar bahawa kita juga mempunyai hak untuk mendapatkan keadilan. Seperti apa yang berlaku sebelum ini, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman bukan sahaja mengelak untuk berjumpa dengan rakyat malahan melayan rakyat dengan cara yang tidak masuk akal. "Tanah ini bukan untuk seminggu dua saja, tapi ianya digunapakai buat kepada generasi-generasi yang akan datang. Bila tanah kita ini dirampas dengan cara yang jahat, maka hak kita turut dinafikan oleh mereka. Hisammuddin berkata, pihak kerajaan negeri perlu merangka satu mekanisma terbaik dan bertindak secara adil untuk menyelesaikan masalah tanah yang berlaku. "Sudah menjadi kewajipan setiap kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah tanah ini dengan cara yang bijak dan bukan dengan cara menindas golongan rakyat. Beberapa isu berkaitan perlu ditangani berkenaan seperti ketelusan dalam pemberian tanah, Tanah Hak Adat Sabah, pampasan dan sebagainya," jelasnya. Beliau juga katanya akan memobilisasi rakyat bagi membangkitkan kesedaran untuk sama-sama turun dalam himpunan kelak yang juga turut dihadiri Bersih 3.0 dan Himpunan Hijau 3. Harakah Daily |
50,000 muslimat PAS dijangka sertai Bersih 3.0 Posted: 25 Apr 2012 12:43 AM PDT 3 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) menganggarkan tidak kurang 50,000 ahli dari seluruh Malaysia akan menyertai Bersih 3.0 di Dataran Merdeka, 28 April ini bagi menuntut pilihan raya bersih dan adil. Ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusuf (gambar) berkata, DMPP mensasarkan 1,000 orang bagi setiap Dun dan surat pemberitahuan telah dikeluarkan oleh pusat ke setiap negeri dan kawasan. "DMPP mengarahkan seluruh ahli dan jentera kita di peringkat cawangan, kawasan dan negeri untuk turun ke Bersih 3.0 dan DMPP mensasarkan 1,000 orang setiap Dun. "Kerahan ini sudah diselaraskan mengikut negeri dan surat pun sudah dikeluarkan," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini. Menurut Ahli Parlimen Rantau Panjang itu juga, terserah kepada setiap negeri untuk mengatur perjalanan ahli-ahlinya pada hari tersebut. "Mekanisme perjalanan dan pergerakan terpulang kepada setiap negeri tapi DMPP menggalakkan mereka yang hadir berpakaian mengikut warna tema iaitu kuning. Katanya lagi, DMPP juga giat mempromosikan program tersebut melalui media baru seperti facebook, twitter, blog dan medium ceramah ke setiap kawasan. "DMPP memang sentiasa mewarwarkan Bersih 3.0 di laman sosial dan saya sendiri pun setiap kali ceramah sakan menyebut mengenai kepentinagn muslimat menyertai Bersih 3.0," katanya. Justeru beliau berharap muslimat dapat bersama-sama badan bukan kerajaan (NGO) lain bagi menunjukkan solidariti terhadap tuntutan rakyat. "DMPP berharap gelombang muslimat dapat menyemarakkan lagi perjuangan menuntut pilihan raya yang bersih dan adil walaupuin mendapat pelbagai tentangan," katanya. Harakah Daily |
Persada seru ahli turun Bersih 3.0 Posted: 25 Apr 2012 12:42 AM PDT 3 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Kelantan Darul Naim di Selangor dan Kuala Lumpur (Persada) sebagai sebuah NGO bebas menyokong sepenuhnya sebarang usaha ke arah memastikan PRU di Malaysia telus, bersih dan profesional. Persada juga berpendapat, penganjuran Himpunan Bersih 3.0 'Duduk Bantah' adalah satu tindakan yang proaktif dalam mencapai hasrat murni seluruh masyarakat yang cintakan keadilan dan integriti. "Ia sesuatu yang harus disokong dan didokong oleh semua lapisan rakyat tanpa mengira anutan agama mereka batasan kaum, pegangan ideologi politik dan sahsiah," demikian tegas Setiausaha Agong Persada Razali Mat Ail. Katanya, Himpunan Bersiah 3.0 pada 28 April ini tidak harus dilihat sebagai satu tindakan politik tertentu tetapi menjangkau lebih daripada itu. Jelasnya kepada Harakahdaily, semua pihak perlu melihat dari pelbagai aspek lain yang lebih penting terutamanya dalam mendesak pengendalian proses pilihan raya yang harus diperbaiki untuk memastikan rakyat Malaysia dapat menikmati hasil yang bersih dan adil. "Imej Malaysia sebagai sebuah negara yang dipimpin oleh kerajaan yang diberi mandat secara sah telus dan adil perlu diperbaiki dan tidak diragui," katanya. Justeru, Persada juga ingin menyeru ahli-ahlinya untuk turut mengambil bahagian secara aktif dalam usaha ke arah mobilisasi rakyat bagi menjayakan Perhimpunan Bersih 3.0 dan menegaskan bahawa perhimpunan secara aman adalah menjadi hak rakyat Malaysia. Harakah Daily |
Teras tuntut Felda batal penyenaraian Posted: 25 Apr 2012 12:39 AM PDT 3 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menuntut agar langkah penyenaraian Felda melalui Felda Global Ventures Berhad Holdings (FGVH) dibatalkan segera. Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar) berkata tujuan penyenaraian tersebut semakin jelas tidak memihak kepada kebajikan dan manfaat jangka panjang peneroka Felda. Apatah lagi, katanya dalam pengagihan saham nanti telah terdedah wujudnya peruntukan untuk Felda memberi laluan kepada strategic partner yang melibatkan syarikat luar dari Israel. "Felda yang kini adalah sebuah agensi cash rich. Oleh itu tidak perlu menyenaraikan Felda dalam bursa saham yang terdedah kepada naik surutnya harga saham," ujarnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily. Beliau juga mempersoalkan apa perlu Felda menyenaraikan aset peneroka dalam pasaran saham untuk mengumpul modal jika jelas Felda memiliki wang tunai yang banyak. Katanya, Teras berpendapat jika aset peneroka ditukar dalam bentuk saham yang tidak menentu harganya dan di luar kawalan Felda, maka risiko jangka panjang amat tinggi bila monopoli oleh syarikat besar akan mengambilalih seluruh saham Felda. "Apa jaminan pihak kerajaan bahawa aset tanah peneroka akhirnya tidak juga terheret dalam perniagaan saham terbuka?" soalnya lagi. Setakat ini, ujarnya jaminan Perdana Menteri bahawa tanah Felda yang ada peneroka tidak akan dilibatkan hanya pengumuman lisan dan tidak ada jaminan ia tidak akan berlaku. Menurutnya, pihak kerajaan tidak menjelaskan bagaimana aset tanah akan terhindar dari pemindahan milik jika Felda tidak ada kuasa menentukan hal ini di Bursa Malaysia. "Malah, pengagihan saham bila IPO diisytiharkan setakat ini tidak dijelaskan bagaimana ia tidak akan merugikan peneroka bila pihak lain mula membeli saham secara proksi," katanya. Setakat ini, ujarnya bantahan oleh peneroka tidak boleh diketepikan hanya dengan keputusan sebuah mesyuarat agung KPF yang tidak sebenarnya diwakili oleh majoriti peneroka. Mohd Azmi menambah, oleh kerana penyenaraian itu adalah suatu langkah yang sangat besar dan melibatkan masa depan peneroka Felda, maka suara bantahan yang wujud di kalangan peneroka tidak boleh diketepikan begitu sahaja. "Teras menuntut supaya ia dibatalkan di atas fakta bahawa sekarang isu ini berada di tahap penuh kontroversi yang memerlukan pihak kerajaan perlu menimbang semula keputusannya," ujarnya. Beliau berkata, kini Felda adalah satu-satunya agensi yang mengendalikan aset tanah paling luas dalam negara. Katanya lagi, aset tanah yang ada tidak boleh diperjudikan melalui pasaran saham kerana ia adalah aset strategik sebuah negara, ia bukan aset Felda tetapi hanya menguruskannya. Tambahnya, tidak ada gunanya harga saham mencapai tahap tinggi sedangkan aset sebenar telah dimiliki pihak lain. "Teras menuntut agar penolakan peneroka yang tidak sedikit terhadap penyenaraian ini akan mengujudkan keadaan yang tidak stabil kerana Felda bukan lagi dilihat sebagai pembela nasib peneroka," katanya. Perlu diingatkan, ujarnya peneroka tidak mendapat harta tanah dalam rancangan Felda secara percuma. Malah, katanya setiap perbelanjaan yang dikeluarkan oleh Felda perlu dibayar semula oleh peneroka melalui pemotongan hasil yang diperolehi dari hasil ladang. "Malah masih ramai di kalangan mereka yang dicatat sebagai peneroka yang masih berhutang kepada Felda. "Oleh kerana itu peneroka berhak bersuara ke atas sebarang usaha yang melibatkan nasib mereka dalam jangka panjang," ujarnya lagi. Harakah Daily |
Kereta bakal pengantin terbalik Posted: 25 Apr 2012 12:38 AM PDT 3 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - ALOR GAJAH - Seorang gadis yang bakal melangsungkan perkahwinan pada Sabtu ini, nyaris maut apabila kereta yang dipandunya terbabas sebelum terbalik di Jalan Masjid Tanah-Hutan Simpan, dekat sini, kira-kira jam 8 pagi, semalam. Dalam kejadian itu, kereta Perodua Viva yang dipandu, Norhidayah Zakaria, 27, dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di sebuah kilang di Batu Berendam menuju ke rumahnya di Kampung Ramuan China Besar, di sini. Difahamkan mangsa yang memandu dalam keletihan selepas tamat waktu bekerja pada jam 7 pagi, hilang kawalan sebelum melepasi satu selekoh mengakibatkan keretanya terbabas ke kiri jalan dan merempuh sebatang tiang elektrik. Norhidayah berkata, dia tidak menyedari kereta dipandunya semakin menghampiri sebatang tiang elektrik di kiri jalan. "Saya tidak sedar kereta sudah menghala ke arah kiri jalan dan terkejut sebaik melihat jarak antara kereta dengan tiang elektrik di hadapan semakin hampir. "Dalam keadaan panik, saya cuba memaut stereng ke arah kanan bagi mengelak daripada merempuh tiang elektrik, namun gagal kerana jaraknya terlalu dekat," katanya. Menurutnya, rempuhan itu menyebabkan keretanya terseret dan berpusing menghala semula ke arah bandar Melaka. "Saya tersempit di tempat pemandu dan gagal keluar sendiri sebelum dibantu orang awam melalui pintu sebelah penumpang hadapan. "Kemudian saya dihantar ke sebuah klinik panel di pekan Masjid Tanah oleh seorang wanita sebelum menghubungi keluarga memaklumkan kejadian yang berlaku," katanya yang masih terkejut dengan kejadian yang menimpa. Bagaimanapun, Norhidayah yang bakal melangsungkan perkahwinan dengan pasangannya, Syukur Amin Mohd Arifin, 24, tidak mengalami kecederaan serius dan menerima rawatan pesakit luar. Sinar Harian |
Restoran milik VIP dikesan curi air Posted: 25 Apr 2012 12:35 AM PDT 3 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - SEREMBAN – Sebuah restoran dipercayai milik seorang kenamaan atau VIP bergelar Datuk diserbu Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span), semalam kerana disyaki mencuri air sejak tiga hari lalu. Restoran terletak di Seremban 2, dekat sini itu dipercayai melakukan sambungan haram untuk kegunaan harian premis yang baru dibuka Sabtu lalu. Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Unit Penguat kuasaan Sains dan Span diketuai Pegawai Bahagian Hal Ehwal Pengguna, Pengaduan dan Penguatkuasaan Span (Bhepp Span), Mohadir Hid, dalam pemeriksaan kira-kira 12 tengahari. Pengurus Khidmat Pelanggan dan Hal Ehwal Awam Sains, Azlan Abdul Aziz berkata, hasil pemeriksaan lanjut, pihaknya mendapati wujud penyambungan paip tanpa kebenaran di premis terbabit. "Hasil pemeriksaan mendapati sambungan secara tidak sah berkenaan dilakukan menggunakan paip jenis mudah lentur bersaiz 15 milimeter (mm). "Hasil ujian klorin yang dilakukan menunjukkan air berkenaan adalah air terawat milik Sains," katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam. Menurutnya, pihak Span telah mengeluarkan notis memaklumkan kesalahan terhadap pemilik premis dan paip itu disita untuk dijadikan sebagai bahan bukti. "Siasatan awal mendapati air itu dipercayai digunakan untuk kegunaan harian premis berkenaan," katanya. Azlan berkata, Sains akan terus mempertingkatkan pemantauan terhadap kegiatan mencuri air di seluruh negeri ini tanpa mengira kes membabitkan pengguna komersial atau domestik. Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes curi air boleh menghubungi talian bebas tol Sains 1-800-88-6982 untuk tindakan lanjut dan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan. Sinar Harian |
P.Pinang wujudkan akademi pembelajaran, badminton Posted: 24 Apr 2012 08:35 PM PDT 3 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang bakal menyediakan pusat pembelajaran dan akademi badminton yang pertama khususnya kepada anak muda negeri itu. Menurut Ketua Menterinya Lim Guang Eng, Pusat Pembelajaran Pulau Pinang (PLC) dan Akademi Badminton Pulau Pinang (PBA) yang menelan belanja RM4 juta ini akan mengambil masa selama 18 bulan untuk siap. Beliau percaya bahawa PLC dan PBA akan memberikan khidmat kepada masyarakat dari segi menyediakan lokasi yang unik di mana pelajar yang kurang bernasib baik akan mempunyai tempat yang sesuai untuk mengikuti kelas tuisyen dan mempelajari bahasa baru serta cemerlang dalam badminton. Katanya, pembinaan kedua-dua tempat berkenaan disumbang oleh Yayasan ECMLibra dan 3 rakan kongsinya iaitu, Lim Kian Onn, Dato' Seri Kalimullah Hassan dan Dato' David Chua Ming Huat. Tanah seluas 2.9 ekar milik Kerajaan Negeri ini terletak berhampiran Kampung Buah Pala di Sri Delima dan Bukit Gelugor. Pembinaan Pusat Pembelajaran Pulau Pinang dan Akademi Badminton Pulau Pinang akan memenuhi keluasan sebanyak 1 ekar. Apabila siap, katanya dua buah bangunan tersebut akan diserahkan kembali kepada Kerajaan Negeri yang juga akan menguruskannya. "Sebuah perpustakaan, tujuh buah kelas bahasa dan tuisyen, enam hingga lapan gelanggang badminton dan kantin akan disediakan. "Antara bahasa yang akan diberi tumpuan ialah bahasa asing selain daripada Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil. Pengguna juga boleh mendapatkan makanan dan minuman di dalam bangunan tersebut," katanya dalam satu kenyataan. Justeru, beliau mengucapkan terima kasih kepada Yayasan ECM Libra yang telah banyak menyumbang ke arah menggalakkan pendidikan dan penguasaan bahasa terutamanya untuk generasi muda. Katanya, ini akan membantu Pulau Pinang mencapai aspirasi menjadi sebuah bandar antarabangsa dan pintar yang bersih, hijau, selamat dan sihat. Baru-baru ini, ECA International mengesahkan George Town sebagai bandar yang paling sesuai didiami di Malaysia, menduduki tangga ke-8 di Asia dan 73 di peringkat global. George Town mendahului Kuala Lumpur buat pertama kalinya pada 2011 apabila mengekalkan kedudukannya sebagai bandaraya paling selamat didiami di Asia manakala Kuala Lumpur turun ke tangga 9. George Town membuktikan bahawa pencapaian ini adalah bukan suatu kebetulan tetapi suatu fakta apabila George Town mengekalkan kedudukan bandar ke - 8 paling selamat didiami di Asia pada tahun 2012, manakala Kuala Lumpur turun ke tangga 10. Harakah Daily |
OKU dijatuhi hukuman denda kerana dadah Posted: 24 Apr 2012 08:33 PM PDT 3 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - AYER KEROH - Seorang orang kelainan upaya (OKU) dijatuhi hukuman denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, semalam atas dua pertuduhan memiliki dan menghisap dadah, bulan lalu. Tertuduh, Rosli Md Isa, 45, yang tempang kaki dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Ida Rahayu Sharif pada hari sebutan semula semalam. Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didapati memiliki dadah berbahaya heroin dan monoacetylmorphines dengan berat bersih 1.45 gram di sebuah rumah kira-kira 7.30 malam pada 4 Mac 2012. Bagi pertuduhan kedua, Rosli didapati memberikan kepada diri sendiri dadah jenis morfin kira-kira 7.55 malam pada hari sama. Tertuduh diwakili Pelatih Dalam Kamar dari Pusat Bantuan Guaman, Majlis Peguam negeri memohon mahkamah memberikan hukuman ringan terhadap tertuduh yang memiliki kad OKU . Agency |
Posted: 24 Apr 2012 08:05 PM PDT 3 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - PENGGEMPUR berbisa Real Madrid, Cristiano Ronaldo mendedahkan dirinya tetap merindui bekas kelab, Manchester United dan akui masih berhubung baik dengan Sir Alex Ferguson. Ronaldo menghabiskan masa enam tahun di Old Trafford sebelum mengambil keputusan berhijrah ke gergasi Sepanyol pada 2009 yang memecah rekod pembelian paling tinggi iaitu sebanyak RM396 juta. "Kadang-kadang saya masih bercakap dengan Alex. Saya menganggap pemain United seperti keluarga sendiri. "Saya juga mempunyai hubungan baik bersama Rio Ferdinand, Nani, Anderson dan Patrice Evra," katanya yang sudah meledak 40 jaringan di saingan La Liga musim ini. Ronaldo juga menjaringkan gol kemenangan pada pertemuan El Clasico menentang Barcelona Ahad lepas dan kini memimpin Madrid dalam pemburuan mengejar kejuaraan liga buat pertama kali sejak 2008. Sinar Harian |
Rumah Mazlan Aliman disimbah cat merah Posted: 24 Apr 2012 07:30 PM PDT 3 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Rumah AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman di Felda Ramun, Kulai, Johor disimbah cat merah oleh individu tidak dikenali, awal pagi tadi. Mazlan berkata, perbuatan khianat itu disedari oleh isterinya yang belum tidur kira-kira jam 3.00 pagi tadi. Isterinya mendengar derap tapak kaki di luar rumah dan mengejutkan beliau yang baru melelapkan mata. Apabila mereka keluar melihat apa yang berlaku kira-kira lima minit kemudian, didapati bahagian beranda dan kaki lima rumah telah disimbah cat merah. "Malam tadi saya ada ceramah dan pulang ke rumah agak lewat. "Dalam jam tiga pagi, saya baru terlelap, dan isteri saya belum tidur lagi. "Dia terbau cat yang kuat dan terus kejutkan saya. Apabila kami tengok di luar rumah, bahagian beranda dan kaki lima dikotori cat merah (gambar) tapi kejadian itu berlaku sangat pantas," kata beliau kepada Harakahdaily pagi ini. Sehubungan itu, beliau akan membuat laporan polis hari ini berhubung kejadian itu. Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat bagaimanapun yakin perbuatan khianat itu dilakukan oleh pihak yang tidak senang dengan perjuangannya dalam isu tanah dan Felda. "Saya yakin ini merupakan satu usaha untuk menakutkan-nakutkan saya tapi saya tak gentar. "Saya dah berada dalam PAS selama 30 tahun dan sudah hadapi macam-macam. InsyaAllah saya boleh hadapi semua ini dan memberi semangat kepada saya untuk terus perjuangkan hak rakyat," kata beliau yang juga Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak). Tambah beliau lagi, perbuatan itu juga dilakukan menjelang Himpunan Tanah Rakyat di Plaza Angsana, Johor Bharu 5 Mei depan. "Kita akan adakan himpunan tanah besar-besaran dan kita sudah buat roadshow ke seluruh tempat dan dedahkan perkara-perkara berkaitan isu tanah. "Kita dedahkan bagaimana pemimpin Umno ada tanah yang banyak sedangkan rakyat yang buat permohonan 40 tahun tak dapat-dapat. "Mungkin perbuatan ini untuk menggagalkan usaha kita memberi maklumat kepada rakyat," katanya. Harakah Daily |
Simbah cat merah rumah Mazlan ke-3 masa seminggu Posted: 24 Apr 2012 07:29 PM PDT 3 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Gabungan Tanah Rakyat (Tanah) cukup kesal dengan pihak-pihak tertentu yang cuba mengancam dengan menyimbah cat merah di rumah Pengerusi Tanah yang juga Presiden Persatuan Anak-anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman. Setiausaha Tanah, Suhaizan Kaiat (gambar) berkata, kejadian itu disedari oleh isteri Mazlan pada jam 3.30 pagi selepas beliau balik daripada suatu program ceramah di Parit Sulong. "Isteri beliau terhidu bau cat minyak di bekalang rumahnya di Felda Bukit Ramun, Kulai," ujarnya kepada Harakahdaily. Menurutnya, kejadian itu merupakan kejadian ketiga berlaku dalam tempoh seminggu di Negeri Johor. Jelasnya, insiden pertama berlaku pada 19 April lepas di Markaz PAS Air Merah, Mersing dan kedua pada 22 April di kedai makan Setiausaha Persatuan Anak Pengerang (PAP), Azhar Mansor. Baginya, perbuatan tidak bermoral itu berkemungkinan ada kaitan dengan cadangan Tanah yang akan menganjurkan suatu Himpunan Tanah Rakyat pada 5 Mei depan bermula jam 2.00 petang di Plaza Angsana, Johor Bahru. Menurut Suhaizan lagi, antara tuntutan Tanah adalah menuntut kembali Pulau Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa, menyiasat penyerahan tanah KTMB Tanjung Pagar, menghentikan pengurniaan tanah kepada KPRJ/kroni dan merampas tanah penyeleweng. Semalam, Mazlan dalam kenyataannya kepada media memberitahu akan menurunkan 10 ribu ahli dan penyokong-penyokong Tanah ke Dataran Merdeka pada 28 April ini sebagai tanda sokongan Tanah kepada Himpunan Bersih 3.0. Katanya, Tanah akan bekumpul di Menara Maybank jam 1.30 petang kemudian berarak secara beramai-ramai ke Dataran Merdeka. Ekoran kejadian di rumah Mazlan itu, Suhaizan berkata, Tanah mendesak kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci terhadap motif kejadian dan mendakwa pihak yang bertanggungjawab dalam kejadian itu. "Ini bagi mengelakkan kejadian di ingini berlaku selepas ini," ujarnya. Harakah Daily |
Liga Juara: Di Matteo anggap pencapaian Chelsea luar biasa Posted: 24 Apr 2012 07:24 PM PDT 3 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - PENGURUS sementara Chelsea, Roberto Di Matteo menganggap kejayaan pasukannya layak ke peringkat akhir Liga Juara-juara merupakan satu pencapaian luar biasa pemainnya setelah menewaskan Barcelona. Chelsea yang beraksi dengan 10 orang pemain, nyata tidak tergugat dalam memperoleh kemenangan apabila berjaya mengatasi Barcelona dengan kiraan agregat 3-2 selepas seri 2-2 di Stadium Nou Camp. "Dengan kemenangan ini kita telah buktikan kemampuan sebenar pemain kepada pihak yang selama ini memandang rendah terhadap Chelsea. "Kita tahu Barcelona adalah sebuah pasukan yang hebat, namun kami telah buktikan yang kelab ini mampu melakukannya walaupun berhadapan dengan kelab terhebat dunia," kata Di Matteo. Insiden membabitkan kapten Chelsea, John Terry yang menerima kad merah pada minit ke-35, tidak menimbulkan kemarahan Di Matteo, sebaliknya memberi pujian kepada pemain itu kerana beraksi dengan semangat yang tinggi pada perlawanan tersebut. "Terry adalah seorang ketua yang hebat, dan bagi saya semua orang pernah melakukan kesilapan, apa yang penting semangat yang ditunjukkan oleh Terry patut dibanggakan," tambah beliau. Chelsea bakal bertemu dengan pasukan Real Madrid atau Bayern Munich yang akan bersaing dalam merebut satu lagi tiket ke pentas akhir Liga Juara-juara, awal pagi esok (waktu Malaysia). Sinar Harian |
Bom lama dalam saluran longkang Posted: 24 Apr 2012 07:23 PM PDT 3 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - SEGAMAT - Seorang pekerja awam Majlis Daerah Segamat (MDS) menemui sebutir bom lama di dalam sebuah saluran longkang di kawasan perindustrian berdekatan dengan Hospital Segamat kira-kira jam 10.30 pagi kelmarin. Ramli Abd Kadir berkata, dia menemui bom tersebut ketika sedang melakukan kerja-kerja pembersihan bersama empat rakannya di kawasan berkenaan. Menurutnya, sepanjang 13 tahun bertugas dengan MDS, inilah pertama kali dia menemui bom meskipun sering memungut besi besi buruk ketika melakukan kerja pembersihan untuk dikumpulkan di bengkel MDS, Jalan Muar. "Ketika sedang bersihkan longkang, saya ternampak besi bulat panjang, namun tidak sangka itu bom lama. "Tanpa berlengah, saya ambil besi tersebut dengan niat untuk menjualnya. "Namun sebaik tiba di bengkel MDS, seorang kawan menyatakan itu adalah bom lama," katanya. Katanya, sebaik mengetahui itu adalah bom lama, rakannya membuat laporan polis bagi memaklumkan mengenai penemuannya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Hanafi Daud telah mengesahkan besi buruk yang ditemui itu adalah bom lama dan ia telah diletupkan kelmarin. Sinar Harian |
Annan khuatir konflik Syria berterusan, kematian meningkat Posted: 24 Apr 2012 07:21 PM PDT 3 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - NEW YORK - Kerajaan Syria didakwa gagal menarik balik senjata-senjata berat dari kawasan konflik, sekali gus mencetuskan kebimbangan bahawa pelan damai yang diusahakan Utusan Khas PBB dan Liga Arab, Kofi Annan akan berhadapan dengan kegagalan. Syria masih menyaksikan keganasan yang berterusan meskipun pasukan pemantau awal sudah pun berada di negara itu sejak minggu lalu. Dalam taklimat kepada Majlis Keselamatan secara tertutup semalam, Annan dipetik berkata, beliau bimbang dengan keganasan baru di sebalik kehadiran pemantau-pemantau PBB. Aktivis mendakwa 70 orang terbunuh kelmarin, kebanyakan di bandar Hama. PBB mahu menambah pasukan pemantau kepada 300 orang. Annan berkata, keseluruhan situasi di Syria bercanggah dengan kehendak masyarakat antarabangsa. Sinar Harian |
Chong Wei harus lebih berhati-hati Posted: 24 Apr 2012 07:19 PM PDT 3 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - Datuk Lee Chong Wei yang menjadikan pentas Siri Super Terbuka India sebagai medan ujian untuk menilai pemulihan kecederaan bahu kananya itu, tidak di sokong oleh bekas pemain Kebangsaan, Jalani Sidek. Sebaliknya, beliau beranggapan Chong Wei seharusnya lebih berhati-hati serta mendapatkan rehat secukupnya dalam memastikan kecederaannya itu pulih seratus peratus bagi menjamin peluang beliau untuk beraksi di sukan Olimpik nanti "Pada pendapat saya, Chong Wei tidak perlulah beraksi, sebaliknya hanya bagi tumpuan kepada kejohanan Olimpik yang lebih penting kepada negara dalam memastikan misi meraih emas pertama di London akan tercapai," kata Jalani. Chong Wei yang sembuh daripada kecederaan bahu kanan bulan lalu membuat keputusan untuk beraksi di Siri Super Terbuka India yang bermula semalam serta Kejohanan GP Emas Terbuka Malaysia sebelum mengambil bahagian dalam Piala Thomas Mei nanti. Bagaimanapun bagi Jalani, beliau tidak mempunyai hak untuk menghalang keputusan Chong Wei daripada beraksi, sekiranya pemain berusia 29 tahun itu sudah nekad untuk bermain. "Keputusan terletak ditangan Chong Wei, kerana dia yang mengalami kecederaan, jadi sekiranya Chong Wei yakin dengan kemampuanya untuk beraksi, terpulang lah. "Lagipun, saya tahu dia lebih arif tentang tahap pemulihan kecederaannya itu, dan saya yakin keputusannya untuk beraksi adalah satu keputusan yang bijak," kata Jalani kepada Sinar Harian Online semalam. Pada masa sama, ketika ditanya kemampuan skuad badmintan dalam merampas kembali Piala Thomas Mei nanti, beliau berkata, melihat prestasi pemain yang masih terumbang ambing mungkin akan memberi sedikit kesulitan kepada kem negara dalam memenangi Piala tersebut. "Sebenarnya bukan mudah untuk memenangi Piala Thomas lebih-lebih lagi mempunyai saingan hebat daripada negara lain terutamanta China dan Korea. "Jika atas kertas, memang mustahil untuk kita menang, namun itu semua bergantung kepada pemain kerana kalau mempunyai semangat juang yang tinggi, insyallah kita boleh pergi ke peringkat akhir nanti ," katanya lagi. SKUAD Piala Thomas negara berdepan ujian getir pada kejohanan yang akan berlangsung Mei ini, selepas diundi dalam Kumpulan C bersama naib juara lapan kali, Denmark serta Afrika Selatan. Sinar Harian |
Posted: 24 Apr 2012 07:17 PM PDT 3 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - KULIM - Seorang mak nyah warga Filipina sanggup lari ke Malaysia gara-gara pernah dipaksa berkahwin dengan seorang gadis berusia 19 tahun, namun menyerah diri ke Balai Polis Kulim kira-kira jam 7.20 petang semalam, setelah menyedari kedatangannya ke negara ini tanpa dokumen sah. Menurutnya, yang hanya mahu dikenali dengan nama Telani, 26, sebelum ini dia memasuki Malaysia menggunakan jalan laut untuk cuba mengubah nasib dengan bekerja di negara ini. "Bagaimanapun, setelah enam bulan berada di negara ini, saya takut kerana pihak polis dan Jabatan Imigresen sering membuat serbuan. "Atas nasihat rakan, akhirnya saya menyerahkan diri ke balai polis dan berharap dapat dihantar balik ke negara asal," katanya yang sebelum ini bekerja sebagai seorang pendandan rambut di sebuah salon di pekan kecil di Filipina. Telani berkata, untuk masuk ke negara ini secara sah dia harus mempunyai modal sekurangnya RM10,000, namun dengan pendapatan yang tidak seberapa memaksanya mengupah tekong bot nelayan untuk masuk ke Malaysia. "Di negara ini, saya cuba bekerja mengikut kemahiran yang saya ada, tetapi tiada majikan yang mahu mengajikan saya kerana tiada permit sah. "Justeru, saya minta nasihat rakan senegara yang saya temui. Mereka kata hanya industri pembinaan saja yang mengambil pekerja asing seperti saya," katanya. Katanya, dalam keadaannya dirinya seperti itu tidak sesuai untuk bekerja sebagai buruh binaan dan dalam masa sama dia berkenalan dengan seorang warga tempatan. "Dia memperkenalkan saya sebuah pusat hiburan yang mengambil pekerja asing sebagai pelayan di Pulau Pinang. "Hari pertama saya berjumpa pengurus pusat hiburan itu, tempat berkenaan telah diserbu pihak berkuasa. Saya takut dan berjaya melarikan diri," katanya. Telani berkata, apabila sampai ke daerah ini, dia dapati tidak banyak pusat hiburan dan wang simpanannya juga semakin berkurangan. "Daripada terus jadi pelarian, lebih baik saya serahkan diri dan balik ke Filipina," katanya. Sinar Harian |
Posted: 24 Apr 2012 07:16 PM PDT 3 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - BALING - Seorang pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah di sini, pengsan setelah dibelasah 30 pelajar lain di kelasnya kira-kira 12 tengah hari, kelmarin. Mangsa, Mohd Zul Iskandar, 14, dari Kampung Belakang Taman Seri Puteri mengalami keretakan tulang di beberapa bahagian badannya setelah dipercayai dipukul dengan kerusi oleh pelajar tingkatan lima dan empat sekolah terbabit. Sehingga kini, mangsa masih dalam keadaan lemah dan trauma dengan kejadian yang menimpa dirinya. Ayahnya, Fadzin Kasim berkata, dia terkejut setelah dihubungi pihak sekolah mengatakan anaknya berada di klinik Kuala Ketil kerana dipukul. "Saya bergegas ke klinik Kuala Ketil seterusnya ke Hospital Sungai Petani untuk mendapatkan rawatan lanjut. "Doktor mengesahkan anak saya mengalami keretakan tulang di bahagian belakang badannya. Sepatutnya anak saya ditahan di wad, tetapi anak saya bertegas untuk pulang ke rumah,' katanya. Anak bongsu dari dua beradik itu kini bergantung kepada ubat-ubatan doktor, selain mendapat penjagaan rapi daripada keluarganya. Fadzin berkata, dia tidak mengetahui punca sebenar mengapa anaknya dipukul, tetapi dia tidak menolak kemungkinan pergaduhan itu bermotifkan dendam. "Saya pun tidak mendapat laporan tepat mengenai kejadian itu dan menyerahkan segalanya kepada polis untuk siasatan. "Selain Mohd Zul Iskandar, anak sulung saya, Norazwani, 16, dari sekolah sama turut menjadi mangsa buli pelajar sekolah terbabit," katanya. Norazwani berkata, banyak kes pergaduhan yang berlaku di dalam sekolah tersebut dan kebanyakan mereka berkumpulan. "Mereka akan bergaduh walaupun ada guru yang mengajar di dalam kelas. Mereka langsung tidak takut dan mengendahkan guru di sekolah tersebut," katanya. Menurutnya, walaupun guru sering mengambil tindakan, pelajar tidak serik malah ada yang berani mengugut guru kerana mengambil tindakan kepada mereka. Fadzin berkata, dia amat berharap pihak sekolah, termasuk pejabat pelajaran dapat mencari jalan penyelesaian mengenai masalah itu. Sinar Harian |
You are subscribed to email updates from :: cina islam | 2012 :: To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan