Selasa, 17 April 2012

:: cina islam | 2011 ::

:: cina islam | 2011 ::


Ditahan di Kamunting kerana bantah nadir bumi

Posted: 17 Apr 2012 02:00 AM PDT

25 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

Professor kejuruteraan kimia Tan Ka Kheng ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana menentang loji pemprosesan nadir bumi di Bukit Merah pada 1987, tetapi hal demikian tidak menghalang beliau untuk terlibat dalam kempen yang sama 25 tahun kemudiannya.

Sebagai ahli akademik di sebuah kolej swasta tempatan dan penyelidik dengan Save Malaysia Stop Lynas (SMSL), Tan dengan lantang menentang loji pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan.

Beliau kerap muncul di forum awam berkaitan Lynas dan merupakan pakar membuat semakan tentang dokumen berkaitan Lynas - laporan Environmental Impact Assessment (EIA) dan Radiological Impact Assessment (RIA) - apabila dipamerkan untuk tatapan umum.

Tetapi lebih tiga dekad lalu, usaha yang sama menentang loji Asian Rare Earth (ARE), menyaksikan beliau menjadi individu pertama ditahan bawah Operasi Lalang pada 1987.

"Saya bertanya kepada polis cawangan khas ketika saya disoalsiasat, 'mengapa awak tahan saya"," imbau Tan ketika ditemubual Malaysiakini.

Jawapan yang diterima, "Sebab awak jadi dalang. Awak dalang jawatankuasa (bantah) Empangan Bakun, Pengerusi PSG (Papan Support Group), (pengasas grup teater) PENTAS... Tangan awak ada di mana-mana."

Tan pernah menjadi naib pengerusi Persatuan Perlindungan Alam Sekitar Malaysia (EPSM), berkelulusan sarjana dalam bidang kejuteraan alam sekitar dari Universiti Carlifornia, Amerika Syarikat dan pernah bertugas sebagai pensyarah di Universiti Pertanian Malaysia (sekarang Universiti Putra Malaysia).

malaysiakini/-

15 Cedera Pesawat Virgin Lakukan Pendaratan Kecemasan Di London

Posted: 17 Apr 2012 01:50 AM PDT

25 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

LONDON: Seramai 15 penumpang cedera apabila pesawat Virgin Atlantic, Isnin, membuat pendaratan kecemasan di lapangan terbang kedua London, Gatwick, menurut kenyataan yang dikeluarkan lapangan terbang tersebut.

Pesawat, Virgin Airbus A330, perjalanan ke Orlando di Amerika Syarikat, terpaksa berpatah balik selepas berlepas disebabkan kebakaran, mengikut laporan media.

Beberapa penumpang mengalami kecederaan, termasuk patah tulang dan luka disyaki berlaku ketika cuba melepaskan diri daripada pesawat menggunakan pelongsor kecemasan.

Penumpang, Kristy Bonwick berkata para penumpang terus turun ke bawah ketika kejadian.

"Banyak orang tercedera, patah tangan dan mengalami luka-luka," katanya kepada Sky News.

David Davis yang memberi perkhidmatan ambulans berkata mereka yang mengalami pelbagai kecederaan sedang dirawat.

"Mereka disyaki patah buku lali, kaki serta tangan, menunjukkan kecederaan di bahagian belakang dan tulang belakang mereka," katanya.

"Terdapat juga mereka yang mengalami kecederaan perut, atau disyaki cedera di bahagian tersebut."

Mereka yang tercedera adalah antara 13 anak kapal dan 299 penumpang dalam penerbangan dari Gatwick sebelum pukul 11 pagi waktu tempatan.

Kejadian itu membawa kepada penggantungan sementara penerbangan masuk dan keluar dari lapangan terbang, juga mengakibatkan beberapa kelewatan.

"Disebabkan masalah teknikal pada kapal terbang, kapten memutuskan mengosongkan pesawat dengan segera sebagai langkah berjaga-jaga," menurut Virgin dalam kenyataan.

"Pasukan kami di Gatwick kini menjaga penumpang dan membantu memberi keperluan kepada mereka serta-merta."

Ketua Eksekutif Virgin Atlantic Steve Ridgeway memberitahu Sky News beliau tidak dapat mengesahkan laporan oleh beberapa penumpang di Twitter bahawa mereka telah melihat asap dalam kabin.

"Saya baru sahaja bersama dengan penumpang dan tiada seorang pun daripada mereka menyebut perkara itu kepada saya," katanya.

Pemilik Virgin Group yang merupakan jutawan British Richard Branson, telah menghantar mesej di Twitter meminta maaf kepada penumpang penerbangan VS27 dan berkata kakitangan melakukan semua yang mereka mampu untuk menjaga mereka.

harakahdaily/-

Pasport dipulangkan, NFC masih beroperasi?

Posted: 17 Apr 2012 01:40 AM PDT

25 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 17 April: PKR hari ini sekali lagi mempersoal tindakan kerajaan membenarkan National Feedlot Corporation (NFC) meneruskan perniagaan walaupun dimaklumkan projek akan ditender semula serta akaunnya dibekukan.

Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin berkata, beliau merujuk kepada kebenaran kepada Pengerusi NFC Datuk Sri Dr Mohamad Salleh Ismail (gambar) untuk ke Singapura dan Kazakhstan masing-masing 23 April dan 5 Mei ini.

"Mengapa beliau dibenar ke Singapura dan Kazakhstan bagi tujuan lawatan perniagaan seolah-olah operasi perniagaan berjalan seperti biasa?

"Dan mengapa meneruskan kerjasama dan pembukaan ladang di Kazakhstan sedangkan sasaran projek ini adalah bagi mengurangkan kebergantungan daging import," soal Zuraida.

Mahkamah Tinggi sebelum ini membenarkan Mohammad Salleh untuk menggunakan pasport beliau bagi tujuan perjalanan perniagaan dan mengarahkan ianya dipulangkan semula kepada mahkamah pada 16 Mei 2012.

Laporan akhbar The Star dan News Straits Time pada 14 April lalu melaporkan Mohamad Saleh perlu keluar negara bagi urusan perniagaan NFC.

Beliau akan berada di Singapura dari 23 hingga 26 April bagi memastikan perjalanan perniagaan di negara itu lancar.

Lawatan ke Kazakhstan pula akan diadakan pada 5 hingga 11 Mei bagi tujuan pembukaan ladang baru.

Manakala pada 11 hingga 15 Mei pula Mohammad Salleh didakwa mahu melawat anak perempuannya, Wan Izzana Fatimah Zabedah yang belajar di London.

Pada 27 Mac lalu, Menteri Pertanian dan Asas Tani Datuk Seri Noh Omar memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa projek NFC akan ditender semula dan akaun syarikat dibekukan sementara bagi membolehkan siasatan dijalankan.

"Saya mendesak agar Perdana Menteri dan Menteri Pertanian bertanggungjawab kepada persoalan-persoalan ini.

"Walaupun kes ini masih dalam siasatan pihak mahkamah namun kerajaan bertanggungjawab untuk memastikan kes penyelewengan dana awam ini diselesaikan dengan adil dan bijaksana, bukan seperti melepaskan batuk ditangga," kata Zuraida.

harakahdaily/-

Malang dua kali tembung babi

Posted: 17 Apr 2012 01:30 AM PDT

25 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

ARA KUDA (Pulau Pinang) - Dua beranak nyaris maut apabila kenderaan dinaiki terbabas sebelum merempuh sebatang tiang elektrik semasa cuba mengelak seekor babi hutan melintas di Jalan Ara Kuda-Kampung Desa Puri, di sini pagi semalam.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Arumugam, 33, berkata, ketika kejadian dia dan ibunya Anggamah, 53, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Ara Kuda selepas melawat seorang saudara yang tinggal di Bagan Serai.

Menurut pekerja ladang kelapa sawit itu, apabila tiba di lokasi kejadian secara tiba-tiba seekor babi hutan sebesar anak lembu melintas jalan.

"Saya yang tergamam kemudiannya cuba membrek namun, kereta Proton Saga itu terbabas sebelum merempuh sebatang tiang elektrik di sebelah kanan jalan.

"Ibu yang duduk di bahagian penumpang hadapan mengalami kecederaan parah pada bahagian muka termasuk matanya dimasuki kaca cermin hadapan yang pecah, manakala saya mengalami kesakitan pada bahagian dada kerana terhentak pada stereng," katanya.

Arumugam berkata, ketika berusaha keluar dari kereta yang remuk teruk di bahagian hadapan itu, mereka dua beranak mendapat bantuan daripada pengguna jalan raya yang lalu lalang sebelum dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Kepala Batas sejurus selepas itu.

"Hari ini amat malang nasib kami dua beranak kerana setengah jam sebelum kejadian ini, seekor babi juga turut melintas ketika sedang melalui Jalan Padang Serai-Pinang Tunggal namun, saya sempat mengelak dari melanggarnya.

"Tak sangka babi melintas kali kedua ini mengundang malapetaka buat kami dua beranak kerana selain mengalami kecederaan parah kereta rosak teruk," katanya.

sinar harian/-

Orang Asli luar Kelantan demo depan pejabat MB

Posted: 17 Apr 2012 01:20 AM PDT

25 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU, 17 April: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mendedahkan demontrasi Orang Asli yang diadakan di Kompleks Kota Darulnaim baru-baru ini bukan di kalangan masyarakat Kelantan.

(Demo Orang Asli di depan pejabat SUK Kelantan baru-baru ini)

Katanya, Orang Asli luar Kelantan telah digunakan pihak tertentu kononnya untuk menyerahkan memorandum kerana tidak berpuas hati terhadap kerajaan negeri.

"Saya tahu pihak mana yang menghantar Orang Asli untuk berdemo di luar pintu pagar SUK, tapi saya tidak mahu dedahkan,"ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Ijtima' Almala' anjuran Urusetia Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan Ngo negeri tengahari tadi.

Beliau tidak menolak kejadian itu disebabkan kerana iri hati terhadap golongan mereka yang ada di Kelantan.

Katanya, tidak ada sebab beliau perlu menyelesaikan masaalah Orang Asli di luar Kelantan, apa lagi semua tuntutan hak mereka telah lama diperolehi oleh golongan itu di negeri ini.

"Masaalah Orang Asli di negeri-negeri lain sewajarnya di selesaikan oleh negeri masing-masing,"ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas demontrasi aman golongan berkenaan disamping menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ahad lalu kira-kira 300 masyarakat Orang Asli berhimpun di depan hadapan Pejabat SUK bagi membantah tindakan kerajaan negeri yang dikatakan berdiam diri terhadap pengambilan tanah adat mereka.

Mereka telah berkumpul sejak awal 9.00 pagi sambil membawa pelbagai kain rentang yang didakwa telah menderita di atas tindakan kerajaan negeri selama ini.

Sambung Tuan Guru, apa yang berlaku sebenarnya masyarakat berkenaan telah memohon maaf di atas apa yang berlaku sebelum ini, iaitu menyaman kerajaan negeri berhubung kes Ladang Rakyat.

"Bukan itu sahaja mereka juga telah menarik balik dakwaan yang telah dikenakan terhadap kerajaan negeri sebelum ini,"ujarnya.

harakahdaily/-

Bersih 3.0 perlu dan mesti - Presiden PAS

Posted: 17 Apr 2012 01:20 AM PDT

25 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 17 April: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, himpunan Bersih 3.0 sangat wajar diadakan ekoran kerajaan pada hari ini dilihat enggan melaksanakan penambahbaikan proses pilihan raya.

Menurutnya, biarpun pelbagai bukti keraguan khususnya dalam daftar pemilih serta cadangan penambahbaikan diutarakan, namun ianya langsung tidak dilayan oleh kerajaan.

Selain itu, tuntutan Bersih 2.0 lalu juga masih belum ditunaikan termasuk akses media berat sebelah sehingga rakyat tidak boleh menjadi hakim yang adil.

"Himpunan Bersih 3.0 perlu diteruskan lagi sehingga tuntutan kita dilaksanakan.

"Walaupun kerajaan menubuhkan jawatankuasa (PSC) task force parlimen, apa yang sangat mendukacitakan, pilihan raya boleh diumum bila-bila masa walaupun tuntutan (syor) yang dibuat belum ditunaikan," katanya ketika ditemui di parlimen.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sokongan PAS terhadap himpunan Bersih 3.0 pada 28 April ini anjuran Gabungan Pilihan Raya Bebas dan Adil (Bersih 2.0) yang turut disokong 84 NGO.

Himpunan tersebut akan diadakan bermula jam 2 petang bertempat di Dataran Merdeka.

"Mereka juga tidak menghormati pandangan-pandangan yang berhujah dengan menggunakan pandangan majoriti tanpa hujah yang kuat.

"Ini bukan cara demokrasi yang adil," kata presiden PAS itu.

harakahdaily/-

Baitul Hilal miliki teleskop tercanggih di Asia Tenggara

Posted: 17 Apr 2012 01:15 AM PDT

25 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

PORT DICKSON — Balai cerap di Kompleks Baitul Hilal, Teluk Kemang di sini yang mula beroperasi bulan lepas, bakal menjadi daya tarikan terbaru pusat peranginan Port Dickson.

Memiliki teleskop tercanggih di Asia Tenggara serta terbesar di Malaysia bernilai RM1.8 juta, balai cerap itu menjadi pusat kegiatan melihat anak bulan, kajian bintang dan sistem cakerawala bagi menjana kemajuan ilmu falak.

"Balai cerap ini juga satu usaha meningkatkan kesedaran dalam bidang astronomi pada kalangan pelajar dan orang ramai," kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu Negeri Sembilan, Datuk Mohammad Razi Kail kepada pemberita, di sini hari ini.

Antara kemudahan yang terdapat di balai cerap setinggi dua tingkat itu ialah dewan yang boleh menampung 200 orang, surau dan bilik kuliah serta galeri yang menempatkan bahan sejarah berkaitan cerapan dan astronomi dalam Islam.

Pengurusan balai cerap ini dilakukan secara usahasama antara Jabatan Mufti Negeri Sembilan dan Universiti Malaya (UM), kata Mohammad Razi.

Selain balai cerap, Kompleks Baitul Hilal yang terletak di atas kawasan seluas 1.2 hektar itu turut menempatkan sebuah hotel.

Projek pembinaan balai cerap dan hotel tersebut merupakan usahasama antara Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) dengan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) yang merupakan pemilik tanah.— BERNAMA

T'ganu 2004: Konspirasi kotor SPR dan JPN

Posted: 17 Apr 2012 01:00 AM PDT

25 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

Rakyat Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan pendedahan berani Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar di Parlimen baru-baru ini mengenai isu 'konspirasi terancang' antara Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mengeluarkan MyKad dan pendaftaran warga asing di dalam daftar pemilih SPR menjadikan mereka sebagai pengundi yang 'sah'.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu mendedahkan antara individu yang terlibat adalah Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Datuk Tajuddin Wahab, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar dan diketuai Pegawai Penasihat kepada Perdana Menteri Datuk Othman Razak.

Menurut Mahfuz lagi, beberapa individu lain yang juga terlibat bagi melakukan tugas kerja tersebut mengikut arahan yang diketuai Datuk Othman Razak adalah Timbalan Ketua Kementerian Dalam Negeri Datuk Alwi Ibrahim, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Datuk Jariah Mohd Said, Pegawai JPN Nik Norashikin Nik Mansor, Pegawai Bahagian Kewarganegaraan JPN Rashid Bashirun dan Shahrul Anwar Ahmad Zaidi.

Bagi saya, pendedahan persekongkolan terhormat beberapa Penjawat Awam tertinggi negara di bawah Jabatan yang amat kritikal bagi negara seperti JPN dan SPR adalah suatu yang amat dikesali dan perlu kepada siasatan lanjut.

Pendedahan penipuan serta manipulasi pilihan raya inilah yang menjadikan demokrasi di negara kita berjalan dalam keadaan yang penuh kepincangan dan tempang yang cukup membimbangkan sebahagian besar rakyat di negara ini serta mengancam keselamatan negara.


'Projek Isuzu'

Ya, saya teringat satu fakta persekongkolan terhormat JPN, SPR dan kerajaan Umno/BN ini apabila berlakunya pendaftaran beratus-ratus pekerja kilang dari Pekan, Pahang bagi mendaftar undi di kawasan parlimen Marang Terengganu.

Konspirasi yang di gelar 'Projek Isuzu' ini telah di lakukan secar terancang dalam pilihan raya umum 1995 bagi menumbangkan Presiden PAS Datuk Sri Abdul Hadi Awang di kawasan parlimen Marang.

Begitu juga dengan pertambahan pengundi baru yang mendadak serta peratusan keluar mengundi yang 'amat luarbiasa' di seluruh negeri Terengganu pada tahun 2004 semasa PRU ke 11 yang menyaksikan kerajaan PAS tumbang dan hanya mampu bertahan selama satu penggal sahaja.

PAS kalah di kesemua 8 kerusi Parlimen dan hanya mampu menang 4 dari 32 kerusi yang dipertandingkan di Terengganu. Pada pilihanraya tahun 2004 itu, negeri Terengganu telah mencatatkan peratusan keluar mengundi yang tertinggi bagi seluruh negara dan boleh dianggap amat tidak munasabah iaitu sebanyak 87.43 peratus sedangkan purata keluar mengundi bagi seluruh negara pada tahun 2004 hanyalah 74.43 peratus sahaja.

Ini ditambah lagi dengan perbandingan jumlah pemilih baru bagi negeri Terengganu yang juga 'amat luarbiasa' dan 'tidak munasabah' pada PRU ke 11. Pada tahun 1999 menjelang pilihanraya ke 10, negeri Terengganu telah mencatatkan pertambahan pengundi baru sebanyak 19,663 pengundi iaitu pertambahan sebanyak 5.08 peratus dari tahun 1995 semasa PRU ke 9. Pertambahan ini boleh di anggap 'normal' kerana purata nasional jumlah pemilih baru pada tahun 1999 adalah 5.77 peratus sahaja.

Tetapi yang paling 'ajaib' dan mengejutkan apabila pilihanraya tahun 2004, negeri Terengganu telah menyaksikan satu lonjakan jumlah pertambahan pengundi baru yang kedua tertinggi di seluruh Malaysia selepas Selangor iaitu sebanyak 68,585 atau pertambahan sebanyak 15.04 peratus.

Peratusan ini juga 'amat luarbiasa' dan 'tidak munasabah' berbanding dengan purata pendaftaran pengundi baru bagi seluruh negara di Malaysia pada tahun 2004 hanyalah 7.01 peratus sahaja.

Keputusan amat luarbiasa ini menjadi 'konspirasi misteri' sehingga sekarang sehingga ia berjaya menumbangkan kerajaan PAS di Terengganu.

Persoalannya, siapakah yang harus bertanggungjawab dalam konspirasi besar ini? Dan apakah akan ada usaha dari pihak kerajaan bagi membersihkan kembali kepincangan yang amat bahaya ini dengan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan DiRaja bagi menyiasat isu ini?

Bagi saya pendedahan yang telah dibuat oleh Datuk Mahfuz di parlimen itu adalah amat serius kerana tindakan tersebut boleh anggap seperti menjual negara kepada rakyat asing untuk kepentingan politik jangka pendek.

Namun bagi saya, isu pokok yang harus di lihat oleh semua pihak adalah peranan SPR itu sendiri. Apabila isu kredebiliti SPR menjalankan tugas mereka secara adil bagi menjamin pilihan raya yang bersih dan adil menjadi pertikaian, maka demokrasi di negara kita akan terus menjadi tempang.

Ini ditambah lagi dengan 'hilang keyakinan' rakyat awam terhadap peranan SPR sendiri. Penjelasan serta jawaban yang di berikan oleh SPR mengenai isu MyKad serta serta pelbagai isu yang menjadi pertikaian dilihat amat tidak meyakinkan dan berat sebelah. Lebih parah lagi SPR kini hanya dilihat menjalankan tugas mereka 'berkhidmat untuk Umno/BN' bagi menjamin kelangsungan kuasa di Puterajaya.

Bagi saya, untuk menjamin masadepan demokrasi dan kejernihan pilihan raya di negara kita, Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR wajar berundur segera secar terhormat dan izinkan Kebawah Duli Yang Dipertuan Agong membentuk satu Suruhanjaya Siasatan DiRaja bagi menyiasat pendedahan Datuk Mahfuz itu sebelum membenarkan Parlimen dibubarkan. Tiada pilihan bagi seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keadilan kecuali sama-sama turun ke perhimpunan Bersih 3.0.

Penulis adalah Penolong Setiausaha Agong PAS yang juga Adun Batu Burok, Terengganu.

MB sedia hadap Agong jelas isu persenda

Posted: 17 Apr 2012 12:59 AM PDT

25 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Tan Sri AbdulKhalid Ibrahim bersedia menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah untuk memberikan penjelasan berhubung dakwaan pemimpin pembangkang mempersenda Raja-raja Melayu ketika istiadat pertabalan baginda Rabu lepas.

Abdul Khalid dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata isu yang dibangkitkan itu hanyalah isu remeh yang sengaja diperbesarkan bagi tujuan politik.

"Ia tidak sepatutnya dibangkitkan tatkala rakyat sedang bergembira meraikan pertabalan Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong yang baharu.

"Justeru, jika ada keperluan, saya dengan hormat takzim menawarkan kesediaan untuk menghadap Seri Paduka Baginda bagi memperjelas kedudukan sebenar," katanya. – Bernama

Bob Kuman perlukan bantuan anda

Posted: 17 Apr 2012 12:31 AM PDT

25 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -(Bob Kuman kini dan sebelum ini)

KUALA LUMPUR, 17 April: Mungkin ramai pembaca mengenali wajah di atas manakala sebilangan lagi barangkali terkeliru. Namun bagi penonton filem tempatan dan televisyen, personaliti di atas tentunya tidak asing kepada mereka.

Cuma wajahnya berbeza berbanding ketika dia menghiburkan ramai peminat sewaktu berkarya di pentas seni.

Inilah tulisan dalam blog Mazidul Akmal Sidek, personaliti TV3 mengenai Bob Kuman atau nama sebenarnya Husni Mohd Rawi.

Menurut Mazidul dalam laman itu, Bob kini terlantar sakit.

Menurut blog itu, Bob kini amat memerlukan mesin dilengkapi tangki oksigen namun setakat ini tidak mampu untuk menyewa keperluan itu.

"Bang, sekarang ini saya hanya ada RM36 dalam akaun simpanan," bisiknya kepada penulis blog itu.

Bob kini sedang berada dalam keadaan lemah, tidak mampu bergerak, apatah lagi untuk keluar dari rumah di Seksyen 11, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Kepada pembaca yang ingin membantu Bob, sila hubungi Razali di talian 016 231 5812. Manakala akaun Bob (HUSNI MOHD RAWI, Maybank 112371007047)

harakahdaily/-

Kit Siang: RCI isu PKFZ jika Pakatan menang

Posted: 17 Apr 2012 12:23 AM PDT

25 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

Ketua anggota parlimen DAP Lim Kit Siang hari ini berjanji untuk membentuk suruhanjaya diraja (RCI) berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) sekiranya berjaya menawan Putrajaya.

"Biar saya rumuskan dengan mengisytiharkan jika Pakatan berjaya menawan Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang, yang dijangka bila-bila masa, RCI akan dibentuk untuk menyiasat hingga ke dasar skandal PKFZ berjumlah RM12.5 bilion," katanya.

Bercakap di Petaling Jaya pagi ini, Lim berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak setakat ini tidak menunjukkan komitmen untuk menyelesaikan skandal itu.

Ini ekoran pembentukan jawatankuasa yang diumumkan pada September 2009, diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan, kata Lim yang juga anggota parlimen Ipoh Timur.

malaysiakini/-

1,600 tahanan Palestin mahu mogok lapar

Posted: 17 Apr 2012 12:00 AM PDT

25 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

TEL AVIV - Kira-kira 1,600 tahanan Palestin nekad mogok lapar secara besar-besaran sebagai membantah keadaan mereka yang didakwa tidak terurus di penjara Israel.

Menteri Penjara, Issa Qaraqaa berkata, Palestin akan menubuhkan program kebangsaan sebagai tanda sokongan terhadap tahanan itu, bertepatan dengan sambutan acara tahunan Hari Banduan yang diraikan untuk menuntut pembebasan kira-kira 4,700 tahanan negara tersebut.

Sehingga kini, seramai 10 orang di bawah tahanan pentadbiran nekad mogok lapar dan empat daripada mereka telah dimasukkan ke hospital kerana masalah kesihatan.

Tahanan pentadbiran yang dilaksanakan oleh rejim Zionis, dianggap tidak adil kerana mahkamah berhak memutuskan hukuman tahanan tanpa sebarang perbicaraan.

Difahamkan, lebih 300 tahanan Palestin ditempatkan di bawah tahanan pentadbiran itu.

sinar harian/-

Ibrahim Ali dicabar demo bantah ISA depan Najib

Posted: 16 Apr 2012 11:41 PM PDT

25 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 17 April: Datuk Ibrahim Ali dicabar agar membantah tindakan Datuk Seri Najib Razak kalau ingin sangat mempertahankan ISA.

Setiausaha Politik Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP, Zairil Khir Johari berkata, jika Ibrahim betul-betul berani, beliau dan Perkasa patut membuat demonstrasi bantahan secara besar-besaran terhadap Najib di Putrajaya untuk membuktikannya.

Cabaran ini dibuat Zairil dalam kenyataannya bagi mengulas cadangan Ibrahim yang meminta DAP meminta Singpaura memansuhkan ISA.

Bagi beliau, kenyataan terbaru Ibrahim Ali yang mencabar DAP untuk mencadangkan supaya Kerajaan Singapura memansuhkan ISA adalah sesuatu yang sukar untuk difahami.

"Pertama sekali, bukankah dasar negara kita adalah untuk tidak mencampur tangan dalam hal ehwal negara lain, apatah lagi negara jiran yang juga ahli ASEAN?" kata beliau.

Seterusnya, apakah sebenarnya yang ingin disindir oleh Datuk Ibrahim? soal beliau.

Menurut Zairil, umum mengetahui bahawa DAP adalah sebuah parti yang senantiasa berpegang teguh kepada prinsip-prinsip keadilan, kebebasan, kesaksamaan dan hak asasi manusia.

Katanya, DAP tidak pernah teragak-agak untuk membantah dan menentang undang-undang zalim dan mencabul hak asasi seperti ISA yang membenarkan penahanan tanpa bicara.

DAP menentang penggunaannya bukan sahaja di Malaysia, bahkan di mana-mana negara di dunia ini. Ini adalah selaras dengan pendirian DAP yang memartabatkan hak asasi dan kebebasan setiap insan, katanya.

"Saya rasa jika Datuk Ibrahim ingin sangat untuk mempertahankan ISA yang dikatakannya sebagai 'berjaya mengekalkan keamanan', beliau sepatutnya membantah pemansuhan ISA di negara kita.

"Kenapakah beliau tidak membuat demikian? Apakah beliau hanya berani untuk mencabar orang dari jauh dan tidak berani untuk mempertahankan pendiriannya di negara sendiri?" soal beliau.

Beliau menegaskan bahawa DAP tidak ada kena mengena dengan Singapura atau mana-mana negara lain kerana DAP adalah parti untuk rakyat Malaysia sahaja.

harakahdaily/-

Tak berturap lebih 20 tahun

Posted: 16 Apr 2012 11:30 PM PDT

25 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

TAIPING – Lebih 20 tahun jalan di Taman Mas, di sini, tidak pernah diturap dan kini keadaan laluan itu teruk selain membahayakan keselama­ tan pengguna.

Penduduk, Mohd Salleh Shanni, 59, berkata, sebelum ini pada tahun 2010, dia pernah memohon supaya jalan di kawasan perumahan itu diturap semula.

Menurutnya, bagaimanapun, sehingga kini, dia belum mendapat maklum balas daripada pihak berkenaan setelah menunggu hampir dua tahun.

"Saya turut mendapatkan tandatangan daripada sebahagian penduduk bagi menunjukkan kami memang mahukan jalan itu diturap semula.

"Jalan itu tidak pernah diturap sejak lebih dari 20 tahun lalu, jadi keadaan laluan ini memang teruk untuk kemudahan kami," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, ketika hujan lebat awal Mac lalu, banyak kawasan banjir termasuk di taman ini didakwa berpunca daripada keadaan jalan yang menakung air.

"Akibatnya rumah penduduk turut dinaiki air," katanya.

Katanya, diharap pihak berkenaan dapat memberikan perhatian terhadap masalah itu.

"Saya takut jalan ini di takungi air dan menjadi tempat pembiakan nyamuk," katanya.

sinar harian/-

Wanita tersepit, diheret monorel

Posted: 16 Apr 2012 09:30 PM PDT

25 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR – Seorang eksekutif pemasaran cedera di badan, tangan dan patah gigi selepas mendakwa tersepit di pintu monorel dan diseret tujuh meter, di hentian Bukit Bintang, 9 Februari lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, mangsa dikenali Cui, 24, menggunakan perkhidmatan awam itu untuk pulang ke rumah selepas tamat waktu bekerja.

Katanya, dia cuba masuk ke dalam monorel dan keluar semula kerana gerabak sesak dengan penumpang.

"Ketika keluar, tangan kiri saya tersepit di pintu monorel. Petugas di situ cuba menolong dengan mengarahkan pemandu menghentikan monorel, tetapi gagal.

"Saya kemudiannya jatuh di landasan dan cedera di beberapa bahagian badan dan patah tiga batang gigi," katanya di Bangunan MCA Jalan Ampang di sini, semalam.

Menurutnya, dia dibantu kakitangan syarikat tersebut dan dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan.

"Saya dirawat sebagai pesakit luar dan jumlah bayaran rawatan sebanyak RM1,000. Rawatan gigi tidak dilakukan kerana kos perbelanjaan yang tinggi mencecah RM4,700," katanya.

Cui berkata, dia menerima surat dari syarikat pengangkutan itu pada 10 Februari lalu yang memintanya menuntut ganti rugi sebagai kos rawatan.

Menurutnya, pada 20 Mac lalu, dia membalas surat tersebut, tetapi tiada maklum balas diterimanya sehingga hari ini.

Katanya, dia akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya syarikat tersebut tidak memberi maklum balas dalam tempoh seminggu dan mendakwa syarikat itu cuai sehingga menyebabkan dia cedera.
Cui juga membuat laporan polis di Balai Polis Kajang berhubung kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, pihaknya akan meneliti aduan tersebut dan sekiranya tiada maklum balas, peguamnya akan mengambil tindakan selanjutnya.

sinar harian/-

Awas cara Terengganu tawan Selangor

Posted: 16 Apr 2012 09:25 PM PDT

25 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 17 April: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memberikan peringatan, taktik Umno merampas Terengganu pada pilihan raya 2004 akan digunakan semula di Selangor dalam pilihan raya akan datang ini.

Beliau memberi peringatan ini dalam wawancara khas dengan Harakahdaily baru-baru ini.

"Di Terengganu, kita kalah dalam pilihan raya 2004 bukan kerana penolakan rakyat tetapi melalui pengundi yang diangkut masuk.

"Mereka akan ulang cara ini di Selangor dalam pilihan raya akan datang ini," kata anggota Parlimen Marang itu memberikan amaran kepada petugas Pakatan Rakyat di Selangor.

PAS telah menang dalam pilihan raya umum 1999 di Terengganu dengan mendapat 27 dari 32 kerusi DUN yang ada namun dalam pilihan raya 2004, kerusi PAS hanya tinggal lima sahaja.

Bagi beliau, pendekatan begini satu penipuan yang kotor lagi najis kalau ia dinilai dari perspektif demokrasi sebenar yang sepatutnya adil dan bersih.

Menurut beliau, dalam postmortem yang dibuat oleh PAS selepas pilihan raya umum 2004, beberapa kawasan di Terengganu didapati berlaku peningkatan sehingga 2 peratus undi kepada PAS.

Berlaku juga di sesetengah kawasan penurunan undi untuk PAS sehingga 2 peratus.

"Tetapi di negeri Kelantan, ada kawasan yang menurun undi PAS sehingga 6 peratus. Tetapi apa yang berlaku, Terengganu kerajaan PAS jatuh tetapi kita bertahan di Kelantan," kata beliau.

Untuk Parlimen Kemaman, kata beliau, berlaku pertambahan undi berlipat kali ganda yang di luar dari kadar kelahiran manusia di kawasan itu.

"Dianggarkan pertambahan pengundi di Kemaman adalah 17,000 pengundi baru (berbanding pilihan raya 1999).

"Kawasan lain pun ada juga fenomena yang sama," kata beliau dalam wawancara khas itu.

Bagi Abdul Hadi, jentera pilihan raya Umno dan Barisan Nasional (BN) bukanlah kuat sangat tetapi mereka telah menggunakan jentera kerajaan.

"Mereka kuat dengan jentera kerajaan. Sepatut tak berlaku macam itu kerana masa pilihan raya, ia hanya caretaker government (kerajaan sementara)," jelas beliau.

BN juga, katanya, menggunakan 100 peratus media yang ada dan menghalang parti lawan mereka menggunakan media itu yang bukannya milik BN.

"Saya yakin, jika pilihan raya akan datang ini berjalan dengan bersih, kita akan tawan semula Terengganu," beritahu beliau.

harakahdaily/-

PAS ke BN rampas tanah di Sarawak?

Posted: 16 Apr 2012 09:20 PM PDT

25 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

MIRI, 17 April: PAS Sarawak mempersoal kenyataan Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang kononnya menggambarkan bahawa PAS akan merampas tanah penduduk di negeri itu jika diberi peluang memerintah.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee berkata, semua rakyat Sarawak maklum bahawa yang merampas tanah mereka selama ini adalah BN sendiri bukannya PAS seperti didakwa.

"Bila masa pula PAS pernah merampas tanah dan hak orang Sarawak?

"Semua orang tahu yang paling banyak merampas tanah dan hak orang Sarawak adalah pemimpin BN dan mereka yang sekutu dengan mereka bukannya PAS," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Miri, tidak menolak kemungkinan kenyataan seperti itu adalah hasil ketakutan PBB dan BN Sabah terhadap penerimaan rakyat negeri itu kepada PAS.

Ahmad Lai Bujang sebelum ini dilaporkan berkata; "Ini tanah kita dan hak kita, oleh itu tiada sesiapa yang boleh merampasnya daripada kita semua,".

Selain itu beliau juga dilaporkan berkata ; "Adakah rakyat negeri ini mahu melihat Sarawak dirampas dalam PRU13 nanti terutama oleh PAS?"

Beliau didakwa berkata demikian pada satu Majlis Muzakarah dan Penjelasan Isu-isu Semasa di Dewan Masyarakat Bekenu Ahad lalu.

"Janganlah kerana terlalu takut dengan PAS sehingga bercakap pun tidak
tentu arah.

"Mengapa mesti takut dengan PAS. Ini negara demokrasi, sesiapa pun berhak untuk memilih pemimpin atau pemerintah yang mereka yakini benar, jujur dan adil," kata Jofri lagi.

Menurutnya, biarlah rakyat yang menentukan nasib masa depan mereka bukannya pemimpin BN.

Walaubagaimanapun ujar jofri, jika ditakdirkan PAS memerintah Sarawak suatu hari nanti, Insyallah rakyat Sarawak akan hidup aman dan maju
kehadapan berbanding dengan negeri lain dalam Malaysia.

Segala hasil galian dan sumber kekayaan negeri Sarawak akan dapat dinikmati oleh semua golongan tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik, kalau PAS diberi peluang, mentadbirkan negeri Sarawak, katanya.

"Biar apa pun pandangan buruk pemimpin BN terhadap PAS, kita akan tetap meneruskan perjuangan kita membebaskan rakyat dari terus terkongkong dalam minda yang sempit akibat terlalu lama diperintah oleh kerajaan BN sehingga rakyat sukar menerima pembaharuan," tegasnya.

harakahdaily/-

Cincin RM5 makan tuan

Posted: 16 Apr 2012 09:00 PM PDT

25 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

SEBERANG JAYA – Gara-gara cincin RM5, seorang wanita terpaksa menahan kesakitan lebih tiga jam di Bahagian Kecemasan Hospital Seberang Jaya (HSJ) selepas cincin yang dipakai tersangkut di jari dan tidak boleh dikeluarkan.

A Devika, 22, berkata, dia membeli cincin perak itu di sebuah pasar malam seminggu lalu dan tidak mempunyai masalah sehinggalah jari telunjuknya mula membengkak empat hari kemudian.

Menurutnya, keadaan itu membuatkan dia tidak selesa dan cuba mengeluarkannya sendiri sejak Rabu lalu menggunakan pelbagai kaedah termasuk meletakkan losen dan sabun, namun gagal.

"Selepas usaha mengeluarkan cincin gagal, saya memutuskan untuk ke hospital, pada jam 4 petang kerana bimbang ia akan menjadi bertambah buruk," katanya ketika ditemui di Bahagian Kecemasan HSJ.

Namun, usaha pihak hospital untuk cuba mengeluarkan cincin itu tidak berhasil, menyebabkan panggilan kecemasan terpaksa dibuat bagi meminta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM).

Pegawai Bomba Kanan II dari Balai Bomba Perai, Ismail Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan dari Bahagian Kecemasan HSJ pada jam 7.19 malam sebelum ke lokasi bersama sepasukan anggotanya.

Menurutnya, pihaknya mengalami kesukaran mengeluarkan cincin berkenaan berikutan jari mangsa yang sudah membengkak hingga menghalang pengaliran darah.

Bagaimanapun, ia berjaya dikeluarkan dengan cara memotong cincin itu menggunakan 'ring cutter', meskipun usaha itu mengambil masa kira-kira 15 minit untuk dikeluarkan.

Sementara itu, Devika yang merupakan ibu tunggal dan mempunyai seorang anak perempuan berusia dua tahun berkata, dia lega kerana cincin itu berjaya dikeluarkan, dan berterima kasih kepada pihak hospital dan bomba yang membantu mengeluarkannya.

"Mungkin cincin itu tidak sesuai dengan jari saya, sebab itu jari membengkak.

"Saya serik untuk memakai cincin lagi selepas ini tidak kira ia cincin mahal atau murah. Kejadian ini betul-betul membuatkan saya trauma. Mujur jari saya tidak apa-apa, cuma mengalami luka kecil dan berbekas," katanya.

sinar harian/-

Kereta kalis peluru makin banyak di Brazil

Posted: 16 Apr 2012 08:59 PM PDT

25 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

SEBUAH kereta yang dipasang dengan peralatan kalis peluru mempunyai banyak kesan lubang akibat tembakan selepas diuji di makmal firma Dupont di Paulinia pada Jumaat lalu.

SAO PAULO - Semakin ramai golongan sederhana mengubahsuai kereta mereka supaya menjadi kalis peluru di Brazil.

Ia dilakukan bagi melindungi diri daripada tembakan perompak di persimpangan lampu isyarat di sini dan semasa kesesakan jalan raya di ibu kota Brazil, Brasilia.

Firma bahan kimia, DuPont memperkenalkan fiber kevlar dan kaca SentryGlas yang kalis peluru serta dipasang pada kenderaan untuk golongan sederhana di Brazil pada tahun 2008.

Kit kalis peluru itu boleh dipasang pada kereta Chevrolet, Honda dan Kia.

Selain kenderaan persendirian, kit itu akan dipasang pada teksi bagi memastikan keselamatan penumpang menjelang Piala Dunia 2014 dan Sukan Olimpik pada tahun 2016 di Rio de Janeiro.

Seorang pemuda, Alexandre Sarafian, 25, memutuskan untuk membeli peralatan kalis peluru itu untuk sebuah kereta Kia Sportage milik ibunya.

"Ia adalah untuk mengelakkan keganasan," katanya.

Peralatan kalis peluru itu dijual pada harga AS$12,000 (RM45,933) yang seberat 90 kilogram dan mengambil masa hanya 15 hari untuk dipasang. - Reuters

Warga UK diracun kerana ugut isteri pemimpin China

Posted: 16 Apr 2012 08:55 PM PDT

25 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

BEIJING - Pembunuhan seorang ahli perniagaan Britain, yang mencetuskan kontroversi politik di China awal bulan ini, mati kerana diracuni selepas mendiang didakwa mengugut mahu mendedahkan rancangan isteri seorang pemimpin China yang mahu memindahkan keluar wang ke negara lain.

Kematian Neil Heywood pada November lalu telah menyebabkan peluang Bo Xilai untuk memainkan peranan penting dalam lingkungan politik peringkat pusat Parti Komunis China terkubur.

Menurut laporan Reuters, isteri Bo, Gu Kailai telah meminta Heywood akhir tahun lalu agar memindahkan sejumlah wang ke luar negara.

Kailai dikatakan marah apabila Heywood meminta komisen dalam jumlah yang besar berbanding apa yang dia jangkakan mengambil kira jumlah yang hendak dipindah keluar.

Wanita itu mendakwa Heywood sangat tamak dan merangka satu pelan untuk membunuhnya selepas ahli perniagaan berkenaan mengugut akan mendedahkan urusan memindah keluar duit.

Kailai kini berada dalam tahanan polis.

"Heywood telah memberitahu dia bahawa jika dia menganggap dia terlalu tamak, maka dia tidak perlu terlibat sama, tetapi akan mendedahkannya," kata salah seorang daripada dua sumber yang bercakap kepada pegawai polis yang kini menyiasat kes itu.

Menurut sumber itu, ahli perniagaan berusia 41 tahun itu mati kerana diletakkan racun dalam minumannya.

sinar harian/-

Serang Kabul: Karzai Salahkan NATO

Posted: 16 Apr 2012 08:30 PM PDT

25 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KABUL: Presiden Afghanistan, Hamid Karzai hari ini menyalahkan maklumat perisikan terutama membabitkan tentera NATO yang gagal melicinkan operasi membanteras pejuang Taliban sepanjang 10 tahun peperangan di negara itu.

Tuduhan Karzai itu susulan kegagalan operasi serangan sejak 18 jam lalu yang kononnya memburu pengganas tetapi serangan kebanyakan mangsa membabitkan wanita dan orang awam yang terkorban.

Serangan bersepadu NATO itu menyebabkan kemusnahan kepada bangunan kerajaan, kedutaan dan warga asing serta wilayah jiran yang bersempadan. Serangan itu menyebabkan 51 orang terkorban, termasuk empat orang awam dan 11 anggota pasukan keselamatan Afghanistan dan 36 pejuang Taliban.

"Serangan di Kabul serta wilayah berjiran itu satu kegagalan perisikan terutama kepada NATO dan ia perlu disiasat dengan serius," kata Karzai dalam satu kenyataan. - AFP

Tanam anak hidup-hidup ikut ‘nasihat’ tukang tilik

Posted: 16 Apr 2012 08:25 PM PDT

25 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

UTTAR PRADESH - Sepasang suami isteri sanggup menanam anak mereka berumur sembilan hari hidup-hidup, gara-gara terlalu percaya dengan ramalan diberikan oleh seorang tukang tilik di Hapur, utara India.

Akhbar tempatan melaporkan, tukang tilik dikenali sebagai Nizaam itu, menyuruh pasangan Kiran Pal, 37, dan isterinya menanam bayi kelima mereka yang ditempatkan di dalam periuk tanah sedalam 0.9 meter di belakang rumah pada Khamis lalu.

Menurut tukang tilik tersebut, tindakan menanam bayi itu kononnya dapat memanjangkan umur memandangkan keempat-empat anak mereka sebelum ini, meninggal dunia akibat pelbagai komplikasi dan masalah kesihatan.

Hasil daripada maklumat beberapa jiran, bayi malang tersebut ditemui masih hidup oleh pihak berkuasa pada Jumaat lalu, sungguhpun telah tertanam hampir 24 jam.

sinar harian/-

Calon biadap: Nazri Aziz digesa muhasabah diri

Posted: 16 Apr 2012 08:15 PM PDT

25 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 17 April: Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyambut baik kenyataan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang meminta rakyat supaya menolak bakal calon-calon pilihan raya yang kurang ajar dan biadap daripada menjadi wakil mereka di dalam pilihanraya umum yang akan datang.

"Ibarat meludah ke langit yang akhirnya tertimpa muka sendiri, Nazri sememangnya dikenali sebagai salah seorang menteri Umno yang paling terkenal dengan sikap biadap, kurang ajar dan tidak bertanggungjawab sama ada dari segi tutur kata ataupun kenyataan-kenyataan yang pernah dikeluarkan," kata Ketua Pengarahnya, Mohd Sany Hamzan.

Justeru, katanya Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia meminta Nazri muhasabah dan menilai kesilapan serta kekurangan diri sendiri sebelum mahu menyalahkan orang lain.

"Jangan hanya pandai mencari kesalahan dan keburukan orang lain sedangkan diri sendiri dan keluarga tidak terjaga serta menyusahkan rakyat," ujarnya dalam satu kenyataan.

Sany berkata, pihaknya merasakan rakyat sememangnya telah mengenali sikap kurang ajar dan biadap pemimpin Umno dan Barisan Nasional.

Antaranya, kata beliau apabila krisis kepimpinan di negeri Terengganu pada tahun 2008, Sultan Terengganu yang ketika itu selaku Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah dilabel sebagai 'binatang' oleh puak-puak Umno Terengganu yang bertelagah kerana tidak mengikut hasrat dan kehendak mereka di dalam isu perlantikan Menteri Besar Terengganu waktu itu.

Justeru, ujarnya Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia mengingatkan Umno dan Barisan Nasional supaya tidak lagi memperbodohkan rakyat dengan kenyataan-kenyataan yang berunsur fitnah dan tidak berasaskan kepada pembuktian yang sah.

"Semakin banyak kenyataan dan serangan menggila yang ditujukan kepada Pakatan Rakyat akhirnya memberi tamparan semula kepada Umno dan Barisan Nasional," katanya lagi.

Jabatan Pilihan raya DPPM, tambah Mohd Sany merasakan bahawa pemimpin Umno dan Barisan Nasional kini semakin bercelaru dan tidak keruan setelah mengalami 'tsunami kekalahan' pada pilihan raya umum yang lepas.

"Segala salah laku dan buruk sikap pemimpin Umno dan Barisan Nasional serta ahli keluarga mereka kini semakin terlondeh di media arus perdana dan menjadi buah bicara rakyat di merata tempat," ujarnya.

Oleh itu, katanya Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia menasihatkan rakyat keseluruhannya bangkit dan menolak calon-calon Umno serta Barisan Nasional secara 'total' di dalam pilihanraya umum yang akan datang supaya Negara Malaysia yang tercinta ini akan lebih aman, sejahtera dan harmoni.

harakahdaily/-

Syahrini sewa jet peribadi

Posted: 16 Apr 2012 07:50 PM PDT

25 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

JAKARTA: Jadual yang padat mendorong penyanyi Syahrini supaya bijak membahagikan masa. Gara-gara bimbang terlewat pergi ke Jepun, Syahrini memutuskan untuk menyewa sebuah jet peribadi.

Ahad lalu Syahrini berada di Jambi dan dia perlu bergegas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta di Cangkerang. Sebaik tiba di Jakarta, Syahrini perlu berangkat lagi untuk berlepas ke Jepun.

Disebabkan bimbang ketinggalan kapal terbang, penyanyi lagu 'Kau yang Memilih Aku' itu memutuskan menggunakan jet peribadi disewa khas dari Jambi. "Syahrini ada di Jambi dan dia menaiki jet peribadi agar tidak ketinggalan kapal terbang ke Jepun.

Masalahnya jadual Syahrini sangat padat," kata setiausahanya, Reindhy di Hotel Sheraton Bandara, kelmarin. Menurut Reindhy, Syahrini berlepas ke negara Sakura itu untuk menyanyi. Dia ke sana bersama adiknya yang juga pengurusnya, Aisyahrani.

Adik Syahrini juga dikatakan menjalankan sesi fotografi praperkahwinan di Jepun. "Syahrini berlepas ke Jepun bersama saya dan adiknya, Rani. Di sana dia mahu menyanyi, jalan-jalan dan juga melakukan sesi fotografi pra perkahwinan Rani," kata Reindhy. - Detikhot

Maklumat 'task force' IC dari orang dalam yang tak tahan

Posted: 16 Apr 2012 07:40 PM PDT

25 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

TEMERLOH, 17April: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Mohd Hanipa Maidin menyifatkan Umno dalam keadaan tersepit untuk menang pilihan raya umum (PRU) sehingga tergamak melibatkan penipuan dan pengkhianatan kepada negara.

Beliau yang mendakwa didedahkan sendiri maklumat berkenaan daripada orang dalam yang 'dah tak tahan', bahawa beberapa agensi terlibat memberikan kad pengenalan kepada warga luar atau yang masih belum layak.

"Di Selangor saja dah ratusan ribu kewarganegaraan diberi kepada mereka yang belum layak dan pengkhianatan Umno ini tak boleh dimaafkan langsung, hanya nak menang secara paksa sehingga membahayakan negara sendiri.

"Saudara tahu, ini diakui sendiri oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa 45,000 nama tidak dipastikan warganegara jadi tidak dapat dibersihkan daripada Daftar Pemilih.

"Inilah sebabnya itu kita sokong himpunan Bersih 3.0 untuk tuntut PRU yang adil kerana tanpa keadilan mana-mana negara pun boleh jatuh sebagaimana yang terjadi kepada beberapa rejim di Timur Tengah," katanya ketika berceramah di sini semalam.

Turut berceramah di Bilik Gerakan PAS Taman Sri Semantan itu Adun Kuala Semantan Syed hamid Syed Mohamad, YDP PAS Temerloh Haji Jusoh Darus dan Ketua DAP Temerloh Woo Chee Wan.

Hanipa berkata, dua himpunan Bersih yang lepas telah berjaya membuang rasa takut di kalangan rakyat dan dapat dilihat generasi muda begitu berani keluar walaupun terpaksa bertempur dengan polis.

Dalam pada itu Hanipa berkata, perlunya BN dijatuhkan pada PRU akan datang kerana hampir kesemua institusi di negara ini telah rosak dan dipertikaikan umum.

"Bayangkan, mahkamah pun dah ada orang baling kasut kerana tidak dihormati lagi. Negara pernah digemparkan apabila bekas hakim Syed Ahmad Idid pernah menulis tentang rasuah berlaku di kalangan hakim.

"Bekas Ketua Hakim Tun Mohd Sufian pula pernah berkata beliau malu jadi rakyat Malaysia kerana institusi kehakiman dah jatuh maruah. Itu bukan cakap saja, tengok kes video Linggam ada Suruhanjaya Diraja tetapi apa tindakan terhadap Yusof Chin?," soalnya.

Hanipa menambah, kini institusi polis kini mulai dipertikaikan apabila bekas ketuanya sendiri didakwa bersekongkol dengan gangster seperti didakwa seorang lagi pegawai tinggi polis Datuk Ramli Yusof.

Hanipa menceritakan, Ramli semasa majlis sambutan hari jadinya yang turut dihadiri Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar mengulangi dakwaan Datuk Mohd Zin dua orang besar terlibat melindungi penjenayah iaitu Musa Hasan dan Ghani Patail.

"Bayangkan yang ada bukti seperti itu tidak didakwa tetapi yang tiada bukti, seperti tangkapan ISA boleh dipenjarakan. Ini yang saya maksudkan institusi di negara telah dilihat tercemar," katanya.

Mengenai hujah beberapa pemimpin Umno jika dimansuhkan hutang PTPTN mahasiswa negara boleh bankrap, Hanipa berkata itu hanya alas an sedangkan wang Negara yang dibazirkan jauh lebih banyak daripada itu.

"Ketua Audit Negara sendiri menjelaskan dalam laporannya setiap tahun wang negara ini bocor RM28 bilion. Itu satu, yang kedua RM19 bilion telah diberi kepada IPP iaitu syarikat yang sudah kaya.

"Dua item itu saja dah boleh hapus pinjaman PTPTN. Jadi kenapa kalau hapus RM43 bilion kata bankrap sedangkan itu untuk mahasiswa yang bakal menerajui negara?

"Kalau untuk selamatkan kroni tak timbul langsung hal bankrap. Ingat mereka selamatkan Tajudin Ramli dulu kerajaan ambil alih saham MAS yang berharga RM3 tetapi kerajaan bayar RM8. Baru ni dapat pelepasan hampir setengah bilion lagi. Kalau macam itu caranya memang negara boleh bankrap," jelasnya.

Tegas Hanipa, sebab itulah BN perlu dijatuhkan, bukan saja negara bankrap wang tetapi bankrap moral.

"Sekarang perempuan yang dedah aurat didenda RM25, sebaliknya orang pandai, pakar dan sebagainya dibuang seperti Profesor Dr Aziz Bari dan Tan Sri Hasan Merican sehingga diambil bertugas oleh negara lain," ujarnya lagi.

harakahdaily/-

Tiada ulasan:

Nuffnang