Selasa, 27 Mac 2012

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Selangor Cabar Chin Debat 'Krisis Air'

Posted: 26 Mar 2012 09:50 PM PDT

Exco Kerajaan Selangor, Dr Xavier Jayakumar mencabar Menteri Tenaga, Air dan Teknologi Hijau, Datuk Peter Chin Fah Kui mengadakan debat terbuka mengenai isu berlarutan bekalan air di Selangor.

"Kami mencabar Chin untuk debat terbuka dengan kerajaan Selangor supaya rakyat Malaysia, khususnya rakyat Selangor, dapat membuat penghakiman mereka sendiri berhubung isu air di Selangor," katanya ketika menggulung halehwal jawatankuasanya di sidang Dewan Undangan Negeri semalam.

Kerajaan negeri Selangor sedang 'berperang' dengan kerajaan pusat pimpinan BN yang merancang untuk mengambil alih pengurusan air di negeri itu, tetapi rundingan mengenainya sejak dua tahun lalu telah menemui jalan buntu.

Putrajaya telah menggesa kerajaan negeri supaya meluluskan projek loji rawatan air Langat 2 untuk membolehkan pemindahan air dari Pahang, jika tidak, Selangor akan berdepan dengan masalah kekurangan air yang serius pada tahun 2014.

Tetapi unjuran itu ditolak oleh kerajaan negeri, yang berhujah bahawa  Selangor mempunyai bekalan air yang cukup.

Xavier mengkritik projek RM8 bilion untuk memindahkan air dari Pahang, yang didakwanya bertujuan untuk memperkayakan kroni BN kerana menurutnya, ia melibatkan jumlah sogokan dan komisen yang besar.

Sebaliknya, kata beliau, apa yang diperlukan adalah untuk menaik taraf infrastruktur loji rawatan air semasa bagi meningkatkan rizab air di Selangor.

Xavier juga membidas SYABAS - pengendali perkhidmatan air di negeri itu - yang didakwanya kerap mengganggu bekalan air di bawah alasan penyelenggaraan loji rawatan air.


Sumber: Malaysiakini

Ucapan Penggulungan YB Dr Xavier Jayakumar Semasa Sesi Pengulungan Sidang Dewan Negeri Selangor Pada 26 Mac, 2012

Posted: 26 Mar 2012 03:00 AM PDT

Isnin, 26 Mac, 2012

 Isu Air di Negeri Selangor

Minggu lepas YAB Ijok telah membangkitkan isu yang melibatkan industri air di negeri Selangor dan saya ingin membuat sedikit penambahan fakta tentang isu ini.

Sekali lagi Utusan Malaysia, TV 3 dan Kumpulan NST  memutarbelit berita mengatakan Selangor akan menghadapi krisis air pada tahun 2014 sekiranya tidak segera melaksanakan projek penyaluran air dari Pahang dan projek pembinaan Loji Air Langat 2.

Isu ini terus disensasi oleh Datuk Peter Chin Fah Kui Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan  Air yang terus mendesak Kerajaan Negeri memberikan 'lampu hijau' untuk melaksanakan projek tersebut dengan tergesa-gesa.

Tapi pemimpin-pemimpin  Barisan Nasional samada sengaja atau tidak sengaja telah "menyembunyikan" fakta kos projek tersebut dari pengetahuan rakyat Selangor khasnya dan rakyat Malaysia amnya.

Saya kurang pasti samaada Utusan Malaysia atau TV3 ada menghebahkan tentang kos sebenar projek tersebut

Untuk pengetahuan Yang Berhormat di Dewan ini ……….kos projek tersebut ialah Ringgit Malaysia
8 Bilion……Saya ulang sekali lagi RM8 Bilion dan seingat saya kecuali akhbar Sinar Harian ada menyebut jumlah tersebut…..Utusan Malaysia dan TV 3 tidak pernah menyebut angka tersebut dalam beritanya kerana angka tersebut akan menaikan lagi kemarahan rakyat Malaysia kerana dengan angka RM250 Juta yang disalahgunakan dalam skandal "Lembu NFC" sudah cukup menjadikan mimpi ngeri kepada Najib Tun Razak dan pemimpin-pemimpin UMNO yang lain. 

Kita berpendapat angka  8 billion Ringgit adalah satu angka yang tidak disenangi oleh kalangan rakyat Malaysia dalam mereka menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini …tetapi bagi pemimpin UMNO dan Barisan Nasional ianya merupakan kaedah memperkayakan diri mereka dan syarikat kroni mereka. Syarikat-syarikat kroni yang rapat dengan pemimpin UMNO terus melobi agar projek tersebut disegerakan.

Ekoran itu Utusan Malaysia, Kumpulan NST  dan TV3 tanpa henti-henti memutarkan berita berunsur bohong dan fitnah  mengatakan bahawa Negeri Selangor dan Kuala Lumpur akan menghadapi krisis air menjelang 2014 dengan harapan agar rakyat Selangor akan bangkit menentang Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor tetapi rakyat Selangor tidak termakan pembohongan tersebut.

Di sini kita ingin memberi amaran keras kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) jangan berniat jahat untuk sabotaj pembekalan air kepada rakyat Selangor dengan kerapkali mengumumkan gangguan bekalan di merata kawasan di Negeri Selangor dengan alasan penyelengaraan loji air dan sebagainya kerana Kerajaan Negeri tidak teragak-agak menggunakan kuasa yang diberikan oleh undang-undang untuk mengambil alih asset-aset air di negeri ini dari mereka demi untuk melindungi kepentingan rakyat Selangor.   

Ianya sudah menjadi semacam 'trend' oleh Syabas untuk mengumumkan ganguan air dan kemudian kita saksikan rakyat bersusah payah menyediakan tong-tong air bagi tujuan untuk menyimpan air. Saya berpendapat ini merupakan satu bentuk modus operandi untuk 'menakut-nakut' rakyat konon krisis air akan berlaku semasa pemerintahan Pakatan Rakyat di Negeri Selangor 

Kita ingin tegas di sini bahawa bekalan air mentah yang boleh kita dapat dari banyak sungai-sungai dan beberapa lagi sumber air yang lain  Negeri Selangor, adalah sudah lebih dari mencukupi untuk rakyat Selangor dan Kuala Lumpur menjangkau tahun 2019 dan kita tidak nampak sebarang keperluan untuk kita 'impot' air dari Pahang.      

Isu air di Selangor ialah berkaitan air mentah yang telah 'dirawat' dan bukannya kuantiti air mentah yang tidak dirawat seperti yang dicanangkan oleh pemimpin BN untuk kita "impot" air dari Pahang itu.

Kita tegaskan disini bahawa projek '8 Bilion' tersebut tidak ada kaitan dengan rasa prihatin atau peduli pemimpin-pemimpin BN terhadap keperluan air rakyat Selangor tetapi sebaliknya tujuan utama mereka ialah untuk meng'kaya' syarikat-syarikat kroni pemimpin-pemimpin BN tersebut. Kita berpendapat bahawa 'kick back' serta komisyennya agak lumayan bagi projek yang bernilai besar ini.

Apa yang kita perlukan ialah menaik taraf infrastruktur loji-loji yang sedia ada bagi menambah kapasiti penyimpanan air.

Sekali lagi kita sarankan kepada Menteri Pusat yang bertanggungjawab terhadap urusan Air  agar tidak berdolak dalih untuk melaksanakan penstrukturan industri di Selangor.

Harus diingat bahawa Kerajaan Persekutuan terikat di bawah Akta Perkhidmatan Industri Air (Water Services Industry Act (WSIA) 2006 yang telah didebat dan diluluskan di Parlimen pada tahun 2006.

Dalam Akta tersebut ianya menjadi tanggungjawab Kerajaan Pusat untuk mengambil alih pengurusan semua aset air di seluruh negara dan dikembalikan  aset-aset air untuk diurus selia oleh Kerajaan Negeri masing-masing.

Tetapi dalam kes ini kita merasa sedih kerana Kerajaan Pusat bukan saja gagal menyerah balik aset-aset air tersebut sebalik terus mencari alasan untuk mengagalkan proses penstrukturan  tersebut.

Lantaran itu kita mencabar Datuk Peter Chin agar berani berdebat secara terbuka dengan kerajaan Selangor bagi membolehkan rakyat Selangor khas dan rakyat Malaysia umumnya membuat penilaian mereka sendiri berkaitan isu air di Negeri Selangor .

Ini juga dapat menyelesaikan masalah tuding menuding jari yang berpanjangan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri bagi mencari jalan penyelesaian.   


Isu Yayasan Basmi Kemiskinan

Kita begitu terkejut bagaimana Najib Tun Razak begitu menaruh harapan menggunung kepada sebuah NGO 'celah gigi' seperti YBK dalam memperjuangkan nasib golongan miskin di Negeri Selangor.

Saya rasa ada sesuatu yang 'agak kurang' tentang Najib. Masakan sebuah NGO yang hidup atas belas ehsan orangramai, syarikat-syarikat korporat dan bantuan dana kerajaan boleh diberikan kredit yang begitu tinggi oleh tinggi oleh seorang Perdana Menteri.

Kerajaan Negeri mempunyai stanco 'Kemiskinan' di bawah saya dan stanco 'Kebajikan' di bawah Yang Berhormat Batu Tiga dan kita telah memperuntukan dana kewangan yang  mencukupi untuk melaksanakan beberapa program pembasmian kemiskinan.

Program-program 'blueprint' pemberian  kelengkapan atau jentera pertanian serta peralatan untuk perniagaan kecil disediakan oleh Kerajaan Negeri melalui Seksyen Sektoral, Upen bagi menambahkan pendapatan golongan miskin di Negeri Selangor.

Program baik pulih dan bina baru rumah golongan ini dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri secara berterusan bagi memberikan tempat tinggal yang agak selesa kepada golongan ini.

Rekod kita menunjukkan bahawa akaun YBK tidak pernah diaudit sejak beberapa tahun dan urusniaganya meragukan.

Kredibiliti Lembaga Pengarahnya yang terdiri dari bekas-bekas pemimpin UMNO sangat diragui tahap keboleh percayaan nya.

Yang peliknya sebuah NGO yang dikatakan 'core business' nya membasmi kemiskinan mempunyai anak syarikat yang terlibat menjadi pengedar menjual kereta nasional kedua.     

Kerajaan Negeri merampas tanah di Serendah disebabkan YBK gagal menjelaskan cukai tanah lebih dari 13 tahun di atas tanah berkeluasan 876 ekar tersebut

Tetapi YBK kemudian memanipulasi isu dengan mengatakan bahawa tanah tersebut telah di tawarkan untuk membina sebuah kampus UiTM di tapak tersebut tetapi kita meragui kesahihan cadangan pembinaan kampus itu.

Untuk makluman Yang Berhormat di dewan yang mulai ini, Kerajaan telah menawarkan kepada UiTM tanah seluas 1,085 ekar di Jeram, Selangor dan UiTM baru saja menyiapkan pembinaan Fasa 1, kampusnya yang  dikenali sebagai Kampus Puncak Alam. Kita juga dapati masih banyak tanah yang diberikan oleh Kerajaan di tapak tersebut yang belum dibangunkan.      

Jadi kita ragui kenyataan pihak tertentu bahawa UiTM bercadang membina kampusnya di Serendah itu sebaliknya ianya dijadikan  sebagai alasan dan modal UMNO dan Barisan Nasional kononnya Kerajaan Negeri menindas sebuah institusi pendidikan milik orang Melayu.

Kita juga ingin menasihati pengurusan UiTM agar bersikap professional dan jangan 'bermain api' dengan Kerajaan Negeri dengan "menari mengikut rentak" pemimpin UMNO dan Barisan Nasional.

Kerajaan Negeri sedang menjalinkan  hubungan dengan beberapa persatuan pelajar UiTM agar menjadi "check and balance" supaya UiTM tidak lari dari matlamat dan hala tuju untuk asalnya menaikan taraf hidup dan sosio ekonomi orang-orang Melayu dan Kaum Bumiputera Sabah dan Sarawak dan bukannya menjadi 'kubu gelanggang permainan politik' UMNO dan Barisan Nasional.       


Skim 1 Care

Saya ingin menarik perhatian Yang Berhormat terhadap kenyataan Presiden Keadilan, Datuk Seri Wan Azizah Bte Wan Ismail baru-baru ini antara lain menyatakan bahawa isu melibatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan di Malaysia, dimana jalan penyelesaiannya bukanlah melalui 1 Care sebaliknya peningkatan peratusan perbelanjaan Kerajaan untuk kesihatan dalam tempuh beberapa tahun bagi melebarkan kekuatan infrastruktur asas kesihatan yang ada di Malaysia hari ini.

Dalam lain perkataan kita sarankan agar Kerajaan Pusat memperbaiki sistem kesihatan sedia ada yang mana ianya adalah lebih baik berbanding melaksanakan skim 1 Care yang mendapat tentangan hebat oleh lapisan masyarakat di Malaysia sejak isu ini dibangkit baru-baru ini.

Melihat kepada bantahan yang begitu hebat terhadap sekim ini, kita dimaklumkan bahawa Kerajaan Pusat 'menangguh buat sementara' perlaksanaan skim tersebut dan besar kemungkinan ianya akan dilaksanakan dengan serta merta sekiranya Barisan Nasional diberikan mandat selepas Piliharaya yang akan datang.

Kita difahamkan melalui skim 1Care ini sebanyak 10% dari pendapatan rakyat akan dipotong bagi membiayai skim tersebut dan ini membebankan rakyat yang sedang menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat ekoran kenaikan harga minyak dan harga barang sejak kebelakangan ini.

Dalam kata lain, 1Care bermakna rakyat dan kerajaan akan memberi subsidi kepada hospital swasta dalam mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

Hospital-hospital kerajaan menjadi mangsa dalam proses penswastaan perkhidmatan asas dan memberikan keuntungan yang besar kepada syarikat-syarikat kroni pemimpin Barisan Nasional sebaliknya merugikan pembayar cukai dan pesakit.


Berdasarkan laporan Kesihatan Sedunia 2010 oleh WHO berkaitan Pembiayaan Sistem Kesihatan menunjukkan bahawa 20 hingga 40 peratus perbelanjaan kesihatan dibazirkan disebabkan ketidakcekapan sistem tersebut.

Apa yang jelas ialah apabila sesuatu skim itu yang melibatkan 'projek' untuk 'memperkayakan syarikat kroni ianya dilakukan dengan secepat kilat tanpa berbincang dengan masyarakat sivil yang berkepentingan terlebih dahulu, tetapi apabila ianya melibatkan kepentingan rakyat terbanyak maka kita lihat ianya dilaksanakan begitu lembab dan secara sambil lewa…dan inilah yang terjadi terhadap pembinaan Hospital Shah Alam yang tertangguh beberapa kali dan hingga ke hari ini masih belum siap.

Seperti komitmen kita dalam Buku Jingga, kita  akan membentuk Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan sekiranya diberi mandat menduduki Putrajaya bagi meningkatkan mutu perkhidmatan, menilai semula pendapatan pekerja sektor kesihatan, memastikan perbelanjaan yang telus dan mengkaji semula perkhidmatan yang telah diswastakan di hospital-hospital kerajaan.

YB Xavier Jayakumar
EXCO Kesihatan, Pekerja Ladang,
Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Negeri Selangor
(ADUN Seri Andalas)

Tiada ulasan:

Nuffnang