Isnin, 26 Mac 2012

念群与沙登人民同在 | Nie Ching for Serdang

念群与沙登人民同在 | Nie Ching for Serdang


[ Parlimen ] Ucapan Pada 20hb Mac, 2012

Posted: 26 Mar 2012 05:19 PM PDT

Ucapan saya di Parlimen pada 20hb Mac, 2012

Puan Teo Nie Ching [Serdang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, kerana memberi peluang kepada saya untuk mengambil bahagian dalam perbahasan ini. Beberapa isu yang saya hendak sentuh. Perkara pertama adalah tentang pembinaan SJK(C). Saya rasa pada kebelakangan ini, pada tahun yang lalu pada 6 April, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong baru pergi ke Sungai Long di Cheras untuk satu majlis pecah tanah untuk SJK(C) Sungai Long tetapi sekali lagi pada tahun ini, pada 1 Mac, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sekali lagi pergi ke Sungai Long, Cheras untuk majlis pecah tanah kali kedua.

Saya rasa untuk sebuah SJK(C), pemimpin-pemimpin Barisan Nasional boleh mengadakan dua majlis pecah tanah. Ini adalah satu rekod yang baru. Sebenarnya bukan satu rekod yang baru. Mereka sentiasa buat macam ini. Akan tetapi saya rasa ini adalah satu rekod yang amat memalukan dan saya berharaplah semua orang pun tahu pilihan raya umum sudah dekat. Jadi, sekarang tidak hairan pun pemimpin Barisan Nasional sekarang banyak menggunakan isu SJK(C) untuk memancing undi tetapi saya haraplah janganlah begitu sering kali menggunakan isu SJK(C) ini untuk menipu rakyat.

Isu kedua, saya hendak tanya adalah pada 30 Januari 2008, enam buah sekolah yang baru iaitu SJK(C) telah dijanjikan tetapi sampai hari ini SJK(C) Bukit Serdang yang telah pun dijanjikan pada masa itu, sampai hari ini pun tiada apa-apa perkembangan. Tiada apa-apa perkembangan. Setakat ini walaupun kita telah mengenal pasti 12 keping tanah rizab kerajaan untuk sekolah di taman-taman perumahan berhampiran Bukit Serdang dan di antaranya sembilan keping keluasannya adalah melebihi lima ekar. Akan tetapi sampai hari ini kita pun tidak tahu di mana SJK(C) Bukit Serdang ini akan dibina?

Saya hendak tanya, sudah ambil masa empat tahun. Sampai hari ini pun tidak boleh, tidak dapat mengenal pasti mana satu tapak untuk membina SKJ(C) Bukit Serdang? Saya rasa ini adalah satu – ini adalah amat tidak adil kepada pengundi-pengundi di kawasan Parlimen Serdang. Saya rasa sekiranya memanglah pemimpin-pemimpin Barisan Nasional tidak mengambil berat tentang pengundi-pengundi di Serdang, jadi saya rasa pengundi-pengundi Serdang akanlah mengajar mereka lagi satu kali pada pilihan raya yang akan datang ini.

Selain daripada itu, sudah beberapa kali saya rasa menjadi satu cadangan daripada Presiden MAC, Datuk Seri Chua Soi Lek yang mengatakan bahawa hendak wujudkan tanah rizab pendidikan untuk SJK(C) sahaja di taman perumahan yang melebihi daripada tiga ribu unit rumah di mana penduduk-penduduk kebanyakan mereka adalah bangsa Cina. Saya hendak tahu, setakat ini sudahkah polisi ini diimplikasikan? Saya rasa Datuk Seri Chua Soi Lek, Presiden MCA sudah beberapa kali cakap, beliau akan dan sedang berbincang isu ini dengan Timbalan Perdana Menteri.

Jadi, saya hendak tahu sama ada dia hanyalah memberi perkataan yang kosong sahaja, yang tidak berusaha sebenarnya, memberi kenyataan yang kosong kepada media, kepada surat khabar dan sebenarnya Kabinet kita tidaklah berniat untuk menjalankan polisi ini.

Selain daripada itu, semasa di majlis pecah tanah SJK(C) Sungai Long, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri juga membuat satu pengumuman bahawa bayaran tol RM1 menghala ke Kuala Lumpur di Plaza Tol Batu 9 dan bayaran tol 90 sen di Plaza Tol Batu 11 menghala ke Kajang dimansuhkan berkuat kuasa pada tengah malam pada 2 Mac tahun ini. Lebuhraya Cheras-Kajang telah dibina secara penswastaan oleh syarikat konsesi Grand Saga Sdn. Bhd. dan perjanjian konsesi telah ditandatangani pada 19 September 1995. Lebuh raya ini telah dibuka kepada lalu lintas pada 15 Januari 1999. Lebuh raya ini sepanjang 11.5 kilometer itu bermula dari persimpangan Connaught, Cheras hingga ke persimpangan Saujana Impian, Kajang. Tempoh konsesi adalah selama tiga puluh tahun pada masa perjanjian konsesi ini ditandatangani.

Walau bagaimanapun, pada tahun 2002, tempoh konsesi telah dilanjutkan kepada tahun 2027 kerana kerajaan tidak membenarkan Grand Saga Sdn. Bhd. untuk menaikkan kadar tol seperti perjanjian. Bukan sahaja tempoh konsesi dilanjutkan tetapi Grand Saga Sdn. Bhd. juga diberi pampasan wang oleh kerajaan. Pada tahun 2003 dan tahun 2004, Kerajaan Pusat memberi Grand Saga Sdn. Bhd. Sebanyak  RM104.93 juta sebagai pampasan. Tambahan pula Kerajaan Pusat juga mengetepikan faedah dan hutang yang sebanyak RM59 juta sebagai pinjaman sokongan untuk konsesi lebuh raya tersebut. Akan tetapi pada tahun 2011, sekali lagi Kerajaan Pusat melanjutkan tempoh konsesi kepada tahun 2030 oleh sebab jalan keluar masuk dari Mahkota Cheras ke Bandar Tun Hussein Onn dibuka. Kos untuk membina lebuh raya ini hanyalah sebanyak RM282 juta yang ditanggung oleh syarikat konsesi, manakala kos pengambilan tanah sebanyak RM194.5 juta ditanggung oleh kerajaan. Jumlah kutipan tol Lebuh Raya Cheras – Kajang dari tempoh mula beroperasi hingga 31 Disember 2010 ialah sebanyak RM585.5 juta. Kos operasi dan penyelenggaraan untuk tempoh yang sama adalah sebanyak RM147.31 juta.

Jadi, sudah jelas di sini bahawa sebenarnya syarikat konsesi ini sudah membuat keuntungan yang cukup banyak untuk kos pembinaan mereka, untuk kos operasi dan kos penyelenggaraan mereka. Jadi sekarang, dua tol telah dimansuhkan dan saya hendak tanya di sini. Berapa pampasan yang perlu dibayar oleh Kerajaan Pusat kepada syarikat konsesi berhubung dengan pemansuhan tol di Lebuhraya Cheras-Kajang kali ini ataupun tempoh konsesi ini akan dilanjutkan lagi. Apakah itu implikasi kewangan kepada Kerajaan Pusat untuk pemansuhan kedua-dua tol di Lebuhraya Cheras-Kajang tahun ini. Saya harap bahawa Yang Amat Berhormat Perdana Menteri janganlah sahaja memainkan peranan sebagai Santa Claus tetapi haruslah menjadi lebih telus dan jujur dengan rakyat Malaysia. Kita perlu tahu dan kita berhak untuk tahu sama ada berita yang bagus ini, kita rakyat jelata perlulah bayar pampasan tol ataupun tempoh konsesi untuk lebuh raya ini akan dilanjutkan kerana sekiranya rakyat jelata perlu bayar pampasan tol ataupun tempoh konsesi ini dilanjutkan sekali lagi, saya rasa sebenarnya berita ini, pengumuman ini bukanlah satu pengumuman yang baik untuk rakyat jelata.

(More......)

Tiada ulasan:

Nuffnang