Isnin, 20 Februari 2012

PARLIMEN BUKIT GANTANG

PARLIMEN BUKIT GANTANG


Politik perkauman hanya merenggang perpaduan-DS Nizar

Posted: 19 Feb 2012 06:39 PM PST

ALOR GAJAH, 20 Feb: Parti politik yang memperjuangkan perkauman sempit hanya akan memecah belahkan keharmonian dan perpaduan kaum di negara ini.



Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin berkata ianya juga bukan sahaja bertentangan dengan ajaran agama malah bercanggah dengan tamadun manusia.



"PAS tidak pernah berjuang untuk kepentingan bangsa tetapi kita berjuang untuk menegakkan ketuanan Islam yang mana Islam akan menyelamatkan semua bangsa tidak kira Melayu, Cina dan India.


"Perjuangan perkauman sempit (hanya) akan merenggangkan perpaduan dan menyebabkan negara berada di jurang yang bahaya," katanya ketika berceramah di pekan Kuala Sungai Baru di sini malam semalam.



Menurut Nizar yang juga Timbalan Ketua Penerangan PAS Pusat, politik perkauman itu bagaimanapun menjadi senjata BN khususnya Umno, MCA dan MIC untuk mendapatkan sokongan kaum masing-masing.

Katanya, Umno sering mendakwa kononnya orang Melayu akan hilang kuasa jika Pakatan Rakyat memerintah ekoran DAP akan menguasai pemerintahan negara dan akan membentuk negara republik.

"Bila bertemu orang Melaku mereka kata jangan sokong PAS nanti DAP akan menang dan perintah Malaysia, PAS kuda tunggangan DAP. MCA bertemu orang Cina (pula) dia kata, jangan sokong DAP kerana DAP kuda tunggangan PAS dan kalau PAS menang Malaysia jadi negara Islam"



"Jadi mana satu yang benar ini, sekali PAS kuda tunggangan DAP, pada masa lain kata DAP kuda tunggangan PAS," soal Nizar.



Cabar Umno



Dalam pada itu, bekas menteri besar Perak itu turut mencabar Umno menggunakan nama Melayu mereka 'Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu' dan bukan lagi nama Inggeris 'United Malays National Organisation' atau Umno.



Menurut Nizar, ianya penting jika benar Umno mahu memartabatkan Bahasa Melayu dan sekaligus mahu memperjuangkan ketuanan Melayu.


"Orang Umno sendiri yang sudah berpuluh tahun menyertai Umno tidak tahu nama melayu Umno kerana pemimpin mereka tidak suka nama itu digunakan, kalau nama pun nama orang putih macam mana hendak diharapkan untuk memperjuangkan Melayu" katanya.



Ceramah malam semalam itu diadakan sempena program jelajah Konvoi Lajnah Penerangan PAS Pusat ke Melaka.



Turut berceramah pada program anjuran Lajnah Penerangan PAS Pusat dan Melaka itu ialah Setiausaha Lajnah Penerangan PAS Pusat, Ustaz Misbahul Munir Masduki, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Bachang, Lim Jak Wong dan Penolong Setiausaha Parti Keadilan Rakyat Melaka, Wahab Ibrahim.

Tiada ulasan:

Nuffnang