Khamis, 2 Februari 2012

Direct Free Kick

Direct Free Kick


KENYATAAN AKHBAR YB ISKANDAR A. SAMAD : DAKWAAN HARGA RUMAH KOS RENDAH DI SEKSYEN U5 DINAIKKAN ADALAH TIDAK BENAR.

Posted: 02 Feb 2012 08:46 AM PST

Dakwaan bahawa pembeli projek perumahan kos rendah di Jalan Pluto, Seksyen U5, Shah Alam perlu menambah pembayaran atau "top-up" sehingga RM30,000 jika mahu rumah mereka disiapkan adalah tidak benar.

Kerajaan Negeri Selangor tidak akan membenarkan mana-mana pemaju menaikkan harga rumah kos rendah dengan sewenang-wenangnya walaupun ia melibatkan projek terbengkalai.

Harga rumah kos rendah dikawal oleh Kerajaan Negeri iaitu RM42,000 sebuah. Tetapi RM35,000 pula untuk peneroka bandar (setinggan) di mana subsidi RM7,000 dibayar oleh pemilik tanah tapak rumah peneroka bandar tersebut.

Pembeli-pembeli projek perumahan itu telah dijanjikan rumah sejak 1993 di zaman Barisan Nasional mentadbir Selangor. Walau bagaimanapun projek tersebut telah terbengkalai dan hanya dalam tahun 2010 ketika pentadbiran Pakatan Rakyat pemaju baru telah dengan secara rasmi mengambil alih. 

Pengambil alihan projek ini oleh pemaju baru dari pemaju lama adalah hasil rundingan di antara kedua-dua pihak. Kerajaan Negeri tidak pernah memaksa mana-mana pemaju projek terbengkalai menerima pemaju baru.

Di dalam pembentangan kepada YAB Dato Menteri Besar pada bulan Disember 2010, pemaju baru projek ini telah diberitahu bahawa mereka tidak dibenarkan sama sekali menaikkan harga rumah kos rendah. Malah mereka telah diarah untuk menanggung subsidi RM7,000 bagi setiap peneroka bandar.

Tetapi pemaju dibenarkan menukar 2 dari 6 blok rumah kos rendah yang belum dijual kepada rumah mampu milik supaya mereka dapat membiayai kos membaikpulih dan kos subsidi RM7,000 itu.

Sejak itu Kerajaan Negeri telah memantau kemajuan projek ini dari masa ke semasa.

Adalah diharapkan mereka yang mempolitikkan pelaksanaan projek ini agar berhenti dari melakukannya. Projek ini telah bertahun-tahun terbengkalai di bawah Barisan Nasional. Mereka telah gagal menyelesaikan masalah ini ketika Selangor di bawah pentadbiran mereka tetapi sekarang cuba berlagak seperti wira yang akan membantu rakyat.

Iskandar A. Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan
Negeri Selangor
3 Februari 2012

Tiada ulasan:

Nuffnang