Mengapa DSAI akan Dipenjara Posted: 07 Jan 2012 04:41 PM PST Ada yang bertanya kepada saya sebelum saya bertolak ke Saudi, bagaimana dengan kes Anwar? Saya menjawab, dia akan didapati bersalah dan akan dipenjarakan. Bukan kerana beliau bersalah tetapi kerana pihak berkuasa tiada pilihan melainkan mendapati beliau bersalah. Sekian lama telah diwar-warkan bahawa beliau bersalah dan dihina dengan sebegitu rupa, kalau didapati tidak bersalah sudah pasti akan merupakan pukulan hebat terhadap Najib. Pada masa yang sama Anwar akan menyatakan keputusan tidak bersalah adalah bukti betapa beliau difitnah dan dizalimi selama ini. Oleh itu, pada saat sebelum pilihan raya seperti sekarang, ianya mampu mengalihkan sokongan rakyat kepada PR dengan lebih lagi sehingga mengakibatkan BN akan terus terkubur di seluruh Negara. Oleh itu Anwar akan didapati bersalah dan dipenjarakan. Anwar sudah berusia 64 tahun, dengan segala masalah kesihatannya, bersiap sedia untuk mengharungi kekejaman BN sekali lagi. Beliau sedang bergerak ke seluruh Negara, meninggalkan pesan supaya rakyat tidak putus asa dan perlu terus bangkit untuk mencapai kebebasan dari kerajaan yang zalim. Kecekalannya membanggakan semua. Kalau beliau ingin bersara dan menikmati sisa hidupnya dengan keluarganya, bebas dari ancaman dan ugutan, tiada siapa boleh menyalahkannya. Namun beliau terus berjuang kerana faham betapa besarnya perjuangan yang dibawanya. Ada yang mengatakan ianya soal peribadi. Hakikatnya, kalau tidak kerana Anwar menentang penyelewengan BN, sudah pasti beliau menjadi PM selepas Mahathir. Kalau Anwar memikirkan peribadinya, mengapa digadaikan kedudukan dan jawatan demi perjuangan ini? Ianya bukan persoalan peribadi, ianya persoalan keadilan. Ianya persoalan masa depan rakyat dan Negara. Dan beliau sedar bahawa beliau akan dipenjarakan dan mungkin dikasari seperti dahulu, wa naudzubillahi min dzalik. Namun beliau terus berjuang kerana faham, tiada siapa yang akan hidup buat selama-lamanya. Dengan peluang hidup yang satu ini, beliau ingin membuka jalan untuk seluruh rakyat supaya bebas dari kongkongan pemimpin BN yang zalim. AYAT QURAN UNTUK DIRENUNGI "Dan jika ada dua golongan dari orang-orang mukmin berperang maka damaikanlah antara keduanya. Jika salah satu dari kedua golongan itu berbuat aniaya terhadap golongan yang lain maka perangilah golongan yang berbuat aniaya itu sehingga golongan itu kembali, kepada perintah Allah; jika golongan itu telah kembali (kepada perintah Allah), maka damaikanlah antara keduanya dengan adil dan berlaku adillah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.". (Al-Hujurat 9) Ayat ini adalah sebelum ayat "Sesungguhnya orang beriman adalah bersaudara…". Jika dilihat pada ayat ini Allah dengan jelas memerintah ummat Islam supaya memerangi golongan orang beriman yang tidak mahu berdamai dengan kembali kepada perintah Allah. Golongan ini terus ingin melakukan perperangan dan kezaliman terhadap yang satu lagi walaupun dinasihati untuk berdamai dan menerima apa yang ditetapkan oleh Allah sebagai kaedah penyelesaian. Walaupun Allah memperakui mereka sebagai golongan orang beriman, namun perintah untuk memerangi mereka jelas diberi. Dan mereka perlu diperangi sehingga mereka kembali berdamai atas apa yang telah Allah tetapkan. Ayat ini mempunyai maksud yang jelas bahawa walaupun orang beriman adalah bagaikan saudara, namun perintah Allah mengatasi persaudaraan itu. Golongan zalim di kalangan orang beriman wajib ditentang oleh ummat Islam seluruhnya. Tidakkah penafian royalti itu zalim? Tidakkah fitnah liwat itu zalim? WaLlahu 'Alam KHALID SAMAD |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan