Isnin, 5 Disember 2011

YB Dato' Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri

YB Dato' Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri


BULATKAN TEKAD, KEKANG PEMBANGKANG

Posted: 05 Dec 2011 09:56 AM PST

Assalamualaikum dan salam perjuangan!,

Alhamdulillah Perhimpunan Agung UMNO sudah pun melabuhkan tirainya Sabtu lalu. Terlalu banyak pesanan, harapan, permintaan dan kemahuan pucuk kepimpinan parti terhadap semua ahli dan orang UMNO.

Melalui ikrar dan akujanji yang dilafazkan di hadapan pucuk kepimpinan UMNO yang dibacakan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassih dan kemudiannya disemarakkan lagi dengan ucapan penggulungan yang mengandungi mesej penting daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, saya dapat lihat semangat dan momentum ahli UMNO masih kuat.

Hakikatnya, mereka sepakat untuk menyekat kemaraan pembangkang walaupun UMNO diasak bertubui-tubi oleh mereka demi memastikan pembangkang menguasai Putrajaya kononnya. Hakikat di sebalik perhimpunan yang dianggap yang terakhir menjelang PRU yang ke-13 itu, pemimpin dan ahli UMNO bertekad secara muktamad untuk melihat UMNO terus menjadi tunjang dan tulang belakang kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Walaupun cabarannya dilihat getir, namun UMNO tidaklah selemah yang disangka pembangkang. Kita mempunyai cara dan strategi tersendiri dalam menghadapi lawan dan kebanyakan andaian mereka terhadap UMNO sebenarnya silap.

Tidak perlu pergi jauh, lihat bagaimana momentum yang tercetus sepanjang Perhimpunan Agung UMNO itu apabila ia bukan sahaja menarik perhatian perwakilan dan pemerhati tetapi juga rakyat di seluruh pelusuk tanahair. Jujurnya, mereka ingin tahu apakah perbincangan UMNO untuk negara dan rakyat. Mereka juga mahu tahu penjelasan-penjelasan terhadap isu yang selama ini sengaja dicetuskan pembangkang bagi mengelirukan otak dan pemikiran rakyat.

Walaupun ia mungkin kata-kata yang remeh, namun saya tetap menyatakan bahawa rakyat hari ini sudah bijak dalam menilai. Saya sangat komited untuk menyatakan bahawa UMNO masih kuat, masih mendapat sokongan, masih menjadi parti pilihan raya kerana rakyat melihat bahawa Malaysia tidak tertegak atau terbangun maju seperti sekarang jika tanpa Barisan Nasional (BN) yang menjadi parti yang ditunjangi UMNO.

Pembangkang telah membuat andaian yang silap terhadap UMNO dan rata-rata saya percaya bahawa pembangkang sebenarnya sangat bimbang dan takut dengan kebangkitan UMNO. Mereka faham bahawa UMNO bukanlah parti yang tidak semudah itu akan mengalah dengan asakan pembangkang.

UMNO adalah parti yang dilahirkan atas semangat untuk agama, bangsa dan negara. UMNO bukan parti yang tertegak disebabkan masalah peribadi pemimpinnya tetapi ia lahir di istana - tempat yang tertinggi di negara kita. Dan, UMNO akan terus kekal sebagai sebuah parti yang bukan sahaja menjadi pelindung kepada rakyat tetapi memastikan Malaysia terus maju dan berada dalam keadaan yang terbaik.

Saya tidak retorik dalam hal ini. Saya menulis bukan berdasarkan kepada andaian semata-mata. Pemimpin dan ahli UMNO sedia maklum akan tanggungjawab mereka. Mereka juga faham apakah pesanan yang diberikan kepada mereka melalui Perhimpunan Agung tempohari. Oleh itu, janganlah ada mana-mana pihak yang mahu cuba untuk menghancurkan UMNO kerana kemahuan itu bukan sahaja akan disekat tetapi akan tersekat.

Kepada rakyat, lihatlah apa yang telah UMNO sumbangkang dan hargainya apa yang telah UMNO laksanakan untuk kita selama ini. Jangan hanya kerana terpedaya dengan tohmahan dan fitnah pembangkang, maka kita pejamkan mata untuk melihat hasa UMNO.

Seperti kata Datuk Seri Mohd Najib, kita harus tahu menghargai jasa UMNO yang telah meletakkan semua ini berada dalam genggaman kita. Hasil perjuangan UMNO sebenarnya bukan sahaja dikecapi oleh orang UMNO, malah pemimpin, ahli dan penyokong mereka juga telah mendapat faedah yang besar di sebalik sumbangan serta jasa UMNO ini.

Hakikat ini tidak boleh diubah sepertimana cubaan Mat Sabu mahu mengubah sejarah dengan mengangkat komunis sebagai pejuang kemerdekaan negara.

UMNO adalah parti rakyat, parti yang mendahulukan rakyat. Hanya UMNO yang telah terbukti akan rekodnya dapat membela nasib rakyat. Saya bukan mahu merendah-rendahkan pembangkang tetapi melalui kuasa yang diberikan kepada mereka di Kelantan, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang, mereka telah menjadi kerajaan yang GAGAL.

Jika rakyat mampu melihat kegagalan itu, maka tidak ada sebab lagi untuk rakyat memilih mereka pada PRU akan datang.

Semoga UMNO terus mencapai kemenangan yang lebih besar dan rakyat sekaliannya akan kembali kepada UMNO, insya'Allah.

Tiada ulasan:

Nuffnang