Nurul Izzah Anwar |
Ucapan Perbahasan Belanjawan 2012 Posted: 24 Oct 2011 12:19 AM PDT Berikut adalah ucapan yang saya berikan di Parlimen pada 11 Oktober 2011, bagi membahas Belanjawan 2012. Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat Lembah Pantai. [6.01 ptg] Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai]: Assalamualaikum warahmatullaahi wabarakaatuh, salah sejahtera. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua di atas peluang yang diberikan kepada Yang Berhormat Lembah Pantai untuk turut serta berbahas di dalam belanjawan yang diperkenalkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri buat kali kedua dengan satu Pakej Rangsangan 2009 dan dua Perbekalan Tambahan 2010 dan 2011 walaupun belum diberikan mandat oleh rakyat Malaysia. Kemungkinan besar kerana tidak adanya mandat, belanjawan kali ini juga boleh diibaratkan selaku belanjawan untuk menyelamatkan Barisan Nasional 2012. Saya percaya kalaulah kita daripada Pakatan Rakyat tidak pantas menyelamatkan keadaan dengan menabur idea empat hari sebelum pembentangan belanjawan Perdana Menteri sehingga tema asal. Tema asalnya "Transformasi Ke Arah Negara Maju Berpendapatan Tinggi" dalam Laporan Ekonomi 2011, 2012 ditukar meniru perbelanjaan Pakatan Rakyat kepada "Dasar Transformasi Nasional, Bajet Membela Rakyat, Mensejahtera Negara". Dato’ Shamsul Anuar Nasarah [Lenggong]: Mimpi di siang hari Yang Berhormat Lembah Pantai ini. Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai]: Alhamdulillah, sekurang-kurangnya tajuk pun dia faham. Pakatan Rakyat lebih tahu macam mana hendak memikirkan kesejahteraan rakyat. Setelah 54 tahun Tuan Yang di-Pertua berkuasa dengan tenaga kerja kakitangan kerajaan setakat ini berjumlah RM1.3 juta, nisbah 4.56% kakitangan kepada rakyat tertinggi di Asia Pasifik ditambah lagi dengan Unit Perancang Ekonomi termasuklah dengan the all powerful (KIJA) Kementerian Idris Jala dengan nilai RM6.19 bilion untuk 2011, tambahan RM6.4 bilion untuk 2012, di mana sejumlah RM11.86 bilion diperuntukkan untuk projek-projek NKEA dalam jangka masa 2011 hingga 2012 di bawah peruntukan pembangunan tambahan perbelanjaan operasi bernilai RM729.4 juta untuk tahun 2011 atau dengan erti kata lain nilai inilah yang dibayar untuk perunding-perunding antarabangsa dibanding dengan usaha di bawah Pakatan Rakyat dengan enam negeri, satu tidak diiktiraf iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan satu dirampas di negeri Perak, kita mampu berjaya dengan percuma dengan tidak membebankan dana rakyat menghasilkan satu belanjawan alternatif. Jadi, pendekatan yang diperlukan oleh rakyat dan ekonomi Malaysia sekarang ini adalah pendekatan pro rakyat dengan mengambil kira tumpuan menyelamatkan masa depan dan khazanah negara demi generasi yang akan datang. Bukan tumpuan untuk menyelamatkan Barisan Nasional Tuan Yang di-Pertua, seperti mana belanjawan yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada 7 Oktober lalu. Daftar ekonomi dunia sekarang sudah cukup meyakinkan kita akan bahana yang wujud kalau kita lupakan tanggungjawab fiskal dan perbelanjaan yang perlu berhemah demi kegunaan generasi masa depan. Kita lihat hutang Kerajaan Pusat Amerika Syarikat meningkat dua kali ganda daripada 2008. Melonjak naik daripada USD7 trilion kepada RM14.3 trilion hanya ketika Ogos 2011. Zon Eropah pula, 27 negara-negara Eropah mengalami hutang yang melonjak naik sebanyak 26% dalam masa dua tahun kepada Euro 9.8 trilion pada 2009. Jadi, bila ditingkatkan tentang Malaysia di manakah kita dalam konteks gundah gulana ekonomi dunia. Beberapa sebab utama kita sering kali gagal mencapai sasaran kita. Saya ulang atau saya pergi kepada Rancangan Malaysia Kelapan misalannya, sasaran pertumbuhan purata sebanyak 7.5% Tuan Yang di-Pertua bagi tahun 2001 hingga 2005 7.5%. Dalam tempoh tersebut bukan sahaja sasaran pertumbuhan purata tergelincir hanya dapat 4.7%, sasaran 7.5% itu tidak pernah dicapai dalam mana-mana tahun sekalipun. Sama juga dengan Rancangan Malaysia Kesembilan walaupun kerajaan Barisan Nasional tuntut pembayaran dari Petronas sehingga berjumlah RM235.6 bilion. Antara 2006 hingga 2009 ekonomi Malaysia hanya berkembang pada purata 4.2% setahun sedangkan sasaran untuk Rancangan Malaysia Kesembilan adalah 6% secara purata. Daripada sejumlah RM431 bilion dibayar kepada kerajaan oleh Petronas sejak penubuhannya, 55% dibelanjakan dalam tempoh tiga tahun sahaja tanpa sedikit pun kesan terhadap hala tuju ekonomi negara. Maka, memang masalah yang kita hadapi serius dan kerana itu kita mahukan kerajaan khususnya dalam belanjawan kali ini bukan sahaja memfokuskan kepada cadangan Pakatan Rakyat one-off, tetapi memikirkan juga bagaimana hendak menjana keupayaan rakyat dalam jangka masa panjang. Saya rujuk, tadi ramai Ahli Parlimen sebut tentang pakar-pakar ekonomi, penganalisis, saya hanya sebut seorang pengkaji yang berpusat di Universiti Malaya Marie-Aimee Tourres yang menyatakan dengan izin, "The budget goodies strategy was not linked to any productivity commitment. A lot of tax collection projection is based on optimistic growth which mean not have taken into account the deteriorating global situation. I can only worry about the end cost. It is common that what is supposed to be one-off handout becomes permanent and long term". Jadi, saya fikir masalah utama di sini yang dibangkitkan yang perlu kita ambil secara serius adalah the structural issue of distortion and inefficiencies in the economy that result in lack of competition and subsequently high prices that was left largely unaddressed. Tuan Yang diPertua, saya fikir kerana itu kita juga mahu menilai tentang pengumuman demi pengumuman dan pelaksanaannya di bawah sana. Saya ingin memberi satu contoh yang sangat jelas untuk mempamerkan, menunjukkan bagaimana di peringkat bawah apa pun sekali pengumuman ataupun janji yang ditabur oleh Perdana Menteri tambahan pula lagi dengan PEMANDU, KIJA, Menterinya sendiri, Dato' Sri Idris Jala, tetapi hakikatnya apabila dipraktikkan tidak mempamerkan sikap yang konsisten dengan pengumuman. Contoh bila kita pergi kepada projek yang dibangunkan oleh SP Setia bersama pada awalnya dengan Yayasan Gerak Bakti Kebangsaan. Tuan Yang di-Pertua, kenapa saya sebut YGK? Saya sebut kerana syarikat ini kepunyaan, pengerusinya Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Secara tradisinya begitu bukan satu yayasan yang baru. Jadi, pada tahun 2000 satu joint venture (JV) antara SP Setia dan Yayasan Gerak Bakti diwujudkan untuk membangunkan kawasan Kampung Haji Abdullah Hukum 2007. Kalaulah ramai orang setinggan, semuanya telah dipindahkan, pampasan sebanyak RM6,000 satu keluarga berjumlah RM3.6 juta. Tahun 2009, KL Eco City sudah siap SP Setia hendak bangunkan dan kita pun harapkan yayasan yang seharusnya mempertahankan hak bumiputera ini dapat bangunkan sekali satu projek yang punyai gross development value sebanyak RM6 bilion. Hasil perkongsian untuk keuntungan nanti antara DBKL dan SP Setia. DBKL dapat 20%, SP Setia 80% nisbahnya. Malangnya pada Julai 2011 SP Setia umumkan dibeli baki 40% saham dalam Projek KL Eco City ini daripada Yayasan Gerak Bakti Kebangsaan yang bernilai, mereka dapat saham nilai dalam SP Setia RM75 juta. Jadi, saya hendak tanya khususnya kepada Ketua Pemuda UMNO kerana menjadi pengerusi, siapa-siapa di pihak UMNO hendak jelaskan bagaimanakah formula manamana yayasan yang mendapat tanah-tanah utama kerana banyak lagi selepas ini di bawah 1MDB. Bagaimana mereka dapat tanah-tanah premium, kemudian atas janji hendak bangunkan untuk hak bumiputera, masa depan bumiputera, selepas itu dapat menerusi saham untung atas angin. Jadi, saya pada mulanya hendak menelefon sebelum membuat ucapan, menelefon pejabat tersebut yayasan ini beroperasi di mana. Saya nampak carian di laman web pejabat di 58C Jalan Kampung Atap Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Tuan Yang di-Pertua. Saya telefonlah tetapi malangnya talian dikatakan telah ditamatkan tetapi transaksi baru sahaja diumumkan. Jadi saya hendak tahu rahsia di sebalik kejayaan yayasan yang boleh menimba keuntungan begitu besar, sedangkan kita pun tidak tahu di mana pejabat operasinya, pejabatnya tidak berjawab kalau telefon. Jadi saya sampaikan ramai yang mengandaikan ini ialah kerja yayasan atas angin formula pencapaian kejayaan BN selama ini. Jadi ini amat mengelirukan kerana kita bercakap orang Melayu bumiputera rata-rata di situ yang dihalau atas sebab yayasan ini akan menjaga kepentingan mereka. Samalah seperti apa yang berlaku di Kampong Bharu dan yang dirancang di bawah 1Malaysia Development Berhad. Jadi saya pohon jawapan kerana ramai rakyat Malaysia hendak belajar juga cara bagaimana hendak menjana keuntungan atas angin ini walaupun pejabat pun tidak beroperasi. Apa yang kita bimbangkan di sini Tuan Yang di-Pertua, kerana dalam janji yang ditabur termasuk juga menjelang 2020, RM1.4 trilion akan dijana 92% dibiayai oleh sektor swasta. Pendek kata 92% from private investment. Akan tetapi saya nampak langkah-langkah yang ditunjukkan selama ini bukan sahaja menerusi 1Malaysia Development Berhad yang 100% dimiliki oleh Kementerian Kewangan. Akan tetapi juga usaha daripada Sime Darby membeli saham 30% E&O dengan nilai RM766 juta pada 29 Ogos yang lalu. Termasuk juga usaha walaupun setakat ini tidak terlaksana oleh Permodalan Nasional Berhad hendak beli saham SP Setia. Jadi seharusnya bukankah semua government linked companies ini memberi ruang sepenuhnya sebesar-besar mungkin untuk memastikan semua badan swasta, pelabur dalam negeri ini, diberikan ruang untuk berdiri dengan sendiri meneruskan projek dan pembangunan mereka. Bila government dengan izin Tuan Yang di-Pertua, crowd out investment private investment jadi bagaimana kita hendak jana impian yang dilaungkan oleh PEMANDU? Itu persoalan saya. Isu kedua tentunya saya rasa ramai sudah bangkitkan projek Mass Railway Transit (MRT) dan kita tidak boleh lari. Ini kerana dalam sejarah pembangunan Malaysia inilah projek pembangunan terbesar yang pernah kita saksikan dengan nilai awalnya disebut RM36.6 bilion. Akan tetapi saya agak gusar kerana Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat setakat ini dia kata dia tidak pasti, dia tidak boleh hendak estimate the cost. Ini kerana perlu perubahan alignment dan sebagainya. Cadangan dibawa di peringkat awal menerusi cabaran Swiss Challenge oleh Konsortium Gamuda-MMC. Jadi dia kata dalam kenyataan umum, kenyataan kepada semua kalau GamudaMMC sebagai project delivery partner gagal melaksanakan kerja-kerja dalam target sasaran datelinenya mereka kena bayar compensation kena bayar ganti rugi. Akan tetapi saya fikir SPAD setakat ini tidak membuktikan kebolehan untuk berdiri secara independent tanpa pengaruh politik. Kenapa saya berkata begitu? Baru-baru ini Yang Berhormat daripada PJ Utara telah mengenal pasti ada perubahan laluan MRT di kawasan Jalan Damansara. Laluan MRT tersebut pada awalnya seharusnya melalui laluan yang benar-benar di bawah alamat yang dahulunya kawasan hartanah yang dimiliki oleh kroni terdekat mantan Perdana Menteri. Saya tahu kerana saya pernah duduk di situ. Pada ketika itu Kerajaan Malaysia membayar untuk keluarga Timbalan Perdana Menteri menduduki rumah tersebut sebelum keluarga tersebut diarahkan keluar pada 2 September 1998. Maka tanah itu ini bayangkan pemiliknya lebih penting sampai laluan yang telah digali boleh diubah semata-mata apa alasan dia – Alasannya untuk mengurangkan jumlah pengambilan tanah sebanyak satu ribu meter persegi. Kononnya kos dalam penjajaran semula ini lebih rendah daripada jumlah pampasan yang perlu dibayar. Kita pun hendak tahu berapa jumlah dalam kos jajaran awal yang meliputi rumah tersebut. Pada saya, saya tahu pemiliknya siapa dahulu tetapi sekarang wallahualam. Isunya kepentingan seorang kroni jauh lebih penting daripada kepentingan mereka yang duduk bertahun-tahun di Jalan Sultan umpamanya ataupun di Bandar Utama. Jadi inilah yang membawa kepada persoalan adakah SPAD mampu melaksanakan tanggungjawab khusus dalam projek pembangunan yang terbesar dalam sejarah Malaysia. Kerajaan perlu jawab isu ini. Tuan Yang di-Pertua, dengan semua bebanan salah laku ini merupakan peninggalan Barisan Nasional untuk generasi yang akan datang. Saya menyatakan tidak ada perancangan yang khusus untuk benar-benar menyelesaikan masalah pendidikan yang perlu diperbaiki, agar generasi yang akan datang pelajar-pelajar kita ini merupakan pelajar terbaik di seantero dunia. Saya mulakan dengan statistik keciciran 80,000 anak-anak yang tidak mengikuti persekolahan peringkat menengah dari 2006-2010. Ini hanya anggaran Tuan Yang di-Pertua. Kenapa? Ini kerana Timbalan Menteri kata kementerian tidak ada statistik. Kementerian walaupun perbelanjaan diperuntukkan selama ini sudah 54 tahun merdeka tidak ada statistik khusus untuk menyatakan berapa anak-anak yang tercicir daripada sekolah menengah. Ini sesuatu yang serius kerana walaupun saya tahu kementerian ada tubuhkan Jawatankuasa Penyiasatan Murid Cicir di peringkat sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri dan Kementerian Pelajaran Negeri untuk membuat siasatan. Akan tetapi di manakah hasil siasatan jawatankuasa ini? Bagaimana kementerian tidak boleh menyediakan statistik untuk membantu memenuhi keperluan rakyat sedia ada? Saya rujuk Tuan Yang diPertua kepada laporan Human Development Report 2010 diterbitkan oleh UNDP. Peratus pelajar yang mendaftar ke sekolah menengah di kalangan mereka yang sepatutnya mendaftar secara kasar hanya 69.1% berbanding dengan Indonesia 75.8%, Filipina 81.4%, Brunei 96.7%, yalah kecilkan tetapi China 74%. Jadi maksudnya kalau hendak bandingkan pun tahap ekonomi kita sekarang tahap negara Indonesia. Mereka jauh lebih ke hadapan dari segi peratusan anak-anak yang pergi ke sekolah menengah. Ini sesuatu yang amat memalukan. Impak pengumuman belanjawan bila Perdana Menteri menyatakan diperkenalkan galakan cukai diberikan kepada sekolah swasta yang tidak bermotifkan keuntungan. Sekolah swasta antarabangsa termasuk juga ekspatriat. Pengecualian cukai sebanyak 100% ke atas pendapatan daripada pengurusan sekolah. Apakah rasionalnya? Untuk sekolah antarabangsa yang bermotifkan keuntungan pengecualian cukai pendapatan bersamaan dengan elaun cukai pelaburan sebanyak 100% dan perbelanjaan modal dalam lima tahun. Elaun cukai ini hanya 70% dikecualikan. Jadi persoalan saya sekolah swasta antarabangsa mendapat pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70% dalam tempoh lima tahun. Ini merupakan kehilangan peluang kerajaan, peluang kementerian, peluang rakyat untuk mendapat belanja tambahan untuk sekolah-sekolah kebangsaan, sekolah-sekolah lain yang diperlukan. sekolah jenis kebangsaan Cina, Tamil, Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Mubaligh. Sedangkan tidak ada jaminan semua sekolah-sekolah ini akan mengurangkan yuran kemasukan yang begitu tinggi untuk sekolah-sekolah mereka. Tidak ada jaminan. Jadi maksudnya clear of opportunity, lost opportunity cost. Semua pengumuman ini dibuat hanya beberapa minggu selepas dimaklumkan kepada umum oleh Timbalan Menteri bahawa kita menyaksikan peningkatan 90% pusat pendidikan swasta, private education establishment sudah meningkat tinggi tidak perlu insentif lagi, daripada 5,753 sekolah pada 2007 berbanding dengan 3,003 sekolah tahun 1999. Termasuklah kenaikan mendadak kebanyakan statistik ini buat peringkat sekolah rendah dan menengah dan antarabangsa. Bandingkan dengan jumlah sekolah rendah kebangsaan di bawah kelolaan kementerian 7,600 antara 2007 hingga 2009. Sekolah menengah meningkat 10% sahaja hingga 2,219 sekolah pada masa yang sama dua tahun ini. Jadi apakah rasional kerajaan? Untuk bagi insentif saya tidak melihat sebab utama kenapa diberikan insentif ini. Kita memerlukan lebih banyak dana untuk memperbaiki tahap dan mutu pendidikan di sekolah menengah dan sekolah rendah di bawah kelolaan kerajaan. Akan tetapi bagi juga insentif kepada pihak swasta. Sedangkan tidak ada masalah untuk mereka terus menerus diwujudkan. Saya tidak lihat bagaimana Kerajaan Pusat boleh juga menjamin kedudukan yang lebih profesional sebagai pemantau kepada semua institusi ini. Tuan Yang di-Pertua, kita kena faham kalau bercakap tentang IPTS, IPTA, sama juga isunya iaitu anak-anak kita apabila keluar sahaja lepas menjadi graduan mencari kerja, terus berhutang di bawah skim PTPTN. Jadi mereka melihat kerajaan untuk mencari penyelesaian. Akan tetapi pelajar-pelajar ini berhadapan dengan kerajaan yang penuh dengan conflict of interest. Kenapa saya cakap begitu kerana penglibatan parti Barisan Nasional dalam kolej-kolej swasta. Saya ambil satu contoh sahaja Masterskill College, di mana menerusi Datuk Mohan Swami, proksi yang paling dekat dengan sesebuah parti Barisan Nasional. Masterskill Education Group Bhd merupakan pemilik terbesar sektor pendidikan kesihatan dan kejururawatan. Bayangkan, walaupun bukan sebuah institusi pendidikan bawah kerajaan, 95% pelajar Masterskill berhutang di bawah skim PTPTN. Jadi pendirian di sini, apabila kerajaan seharusnya menyediakan perkhidmatan asas seperti kesihatan dan pendidikan, tidak boleh wujud conflict of interest yang begitu ketara. Oleh kerana itu, di bawah Pakatan Rakyat kita sedar bahawa isu 41 orang diisytiharkan… Dr. Lee Boon Chye [Gopeng]: [Bangun] Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai]: Silakan Yang Berhormat Gopeng. Dr. Lee Boon Chye [Gopeng]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan Yang Berhormat Lembah Pantai. Berkenaan dengan Masterskill ini, dua tahun sebelum ini pernah saya bangkitkan soal mutu untuk training of nurses dalam Dewan ini dan memang ada jawapanjawapan daripada Menteri Kesihatan bahawa perkara itu telah looked into dan pantauan telah dibuat berkenaan dengan mutu latihan jururawat di situ. Akan tetapi sudah lepas dua tahun dan sampai hari ini kita lihat sekiranya jururawat daripada Masterskill misalannya, kalau hendak mohon jawatan di mana-mana hospital, mereka menghadapi masalah. Bukankah ini menunjukkan bahawa kejayaan Masterskill ini bukan kerana mutu pendidikan yang baik tetapi kerana ada connection dengan pihak yang berkuasa. Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai]: Terima kasih Yang Berhormat Gopeng dan terima kasih Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua. Oleh kerana itu saya katakan bahawa isunya apabila kita berharap kepada kerajaan, perlu ada sikap yang profesional dan perlu ada satu pantauan yang tidak melibatkan conflict of interest sedemikian. Cadangan kami sebenarnya untuk memastikan tidak ada lagi salah guna kuasa dari segi pemberian sijil kelayakan, sijil anugerah kepada mana-mana institut. MQA yang bertanggungjawab memberikan sijil-sijil ratifikasi kepada semua institut pendidikan sewajarnya direformasikan dan dijadikan badan bebas tanpa sebarang pengaruh parti-parti politik, untuk menyediakan tahap pendidikan negara ini sejajar dengan keperluan bidang pekerjaan semasa. Ini kalau sudah memang jejas gagal, jelas tidak boleh tepati KPI dan benchmark, masih lagi dibiarkan berterusan. Kenapa? Sebab baik dengan penguasa. Tuan Yang di-Pertua, kita juga tahu berkait dengan apa yang disebutkan oleh Yang Berhormat Gopeng tadi, lambakan IPTA dan IPTS di negara ini adalah suatu masalah yang serius. Mengikut perangkaan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia sendiri, sejak tahun 1962 hingga 2006, jumlah IPTA adalah sebanyak 20 buah iaitu bersamaan dengan lebih kurang satu IPTA baru ditubuhkan setiap 2.2 tahun. Akan tetapi mengikut direktori IPTS untuk institut pengajian tinggi swasta di laman web Kementerian Pengajian Tinggi, sejak tahun 1999 sampai tahun ini, IPTS yang berdaftar dan bertaraf universiti berjumlah 70 iaitu bersamaan dengan satu IPTS baru ditubuhkan hampir setiap dua bulan. Jadi tentunya ada masalah yang amat serius. Suasana lambakan IPTA, IPTS ini langsung tidak membantu kita memperbaiki tahap kualiti universiti-universiti agar tersenarai dalam 400 universiti di dunia menerusi sistem kedudukan kelolaan Times Higher Education. Saya fikir alasan Menteri Pengajian Tinggi kata kita sengaja.. Dato’ Ismail Kasim [Arau]: Mohon laluan. Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai]: Pendek sahaja, masa saya pendek Yang Berhormat Arau. Dato’ Ismail Kasim [Arau]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Lembah Pantai. Saya ingin bertanya pandangan Yang Berhormat Lembah Pantai. Apabila lambakan penubuhan IPTA yang kita lihat pada permulaannya ada satu khusus major yang lebih fokus ditawarkan tetapi apa yang kita lihat apabila universiti berkenaan mahu membesarkan pengambilan jumlah pelajar, ini menyebabkan mereka telah lari daripada kursus induk yang pernah menjadi asas kepada mereka. Ini tidak terjadi kepada universiti lain di dunia ini. Mereka kalau universiti sukan, sukan sahaja. Kalau misal kata di China, di Fujian, universiti sukan hanya menawarkan tiga kursus sahaja. Ia lebih fokus dan lebih menghasilkan kursus yang berkualiti. Pandangan Yang Berhormat Lembah Pantai dalam perkara ini. Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai]: Terima kasih Yang Berhormat Arau. Saya fikir memang satu cadangan yang baik. Perlu ada pengkhususan di mana kita identify our competitive advantage dengan izin. Daripada situ barulah universiti dapat menilai keberkesanan dan memperbaiki track rekod mereka. Apa yang saya agak gusar ialah apabila diwujudkan insentif oleh kementerian khusus semasa Universiti Sains Malaysia (USM) dianugerahkan status Apex. Sampai sekarang RM500 juta yang dijanjikan kepada USM setalah mereka bertungkuslumus siapkan blueprint, siapkan rancangan jangka masa panjang, pengkhususan dan sebagainya, masih lagi tidak diberikan. Jadi, seolah-olah kerajaan tidak memikirkan kepentingan utama dalam negara adalah pendidikan. Hendak potong dalam belanjawan mula-mula pendidikan kesihatan. Itu sebagai satu benda yang begitu biasa dilaksanakan di bawah kerajaan Barisan Nasional. Saya harap diambil secara serius dan kita juga sedar – cadangan dalam Pakatan Rakyat, lebih kurang 70% daripada anak muda Malaysia tidak meneruskan pendidikan ke tahap pengajian tinggi. Jadi walau apa pun, perlu juga difikirkan bagaimana hendak perbaiki pendidikan latihan teknikal dan vokasional. PEMANDU unjurkan hampir 40% daripada 3.3 juta pekerjaan baru yang bakal diwujudkan mengguna pakai mereka ini daripada apa yang dipanggil TEVT. Akan tetapi tahap TEVT pada waktu ini amat mengecewakan dan saya pohon agar kerajaan memikirkan perkara yang lebih khusus, yang lebih dinamik, lebih serius untuk mempertingkatkan tahap TEVT iaitu latihan teknikal dan vokasional di seluruh Malaysia. Tenaga kerja Jerman contohnya Tuan Yang di-Pertua, 70% daripada tenaga kerja TEVT, bukan semua graduan universiti. Akan tetapi kita sudah punya banyak sangat universiti-universiti – di Pagoh pun hendak rancang education hub, tidak cukup lagi dengan Iskandar Region, atas kepentingan politik sekali lagi. Mana kawasan Timbalan Perdana Menteri, mana kawasan Perdana Menteri, di situ kita letakkan satu education hub. Jadi pada saya tidak boleh begitu. Perlu difikirkan pendidikan anak-anak kita melangkaui sebarang perkiraan politik. Tuan Yang di-Pertua, oleh kerana itu Pakatan Rakyat komited, daripada isu bukan sahaja membantu membelanjakan untuk keperluan rakyat, tetapi bagaimana hendak meningkatkan hasil. Lelongan lesen import AP RM1.2 bilion, memastikan apabila kita kata tender terbuka, sistem itulah yang akan kita guna pakai. Saya masih ingat November 2008 Perdana Menteri umum hendak buat dan laksanakan sistem tender terbuka untuk semua tanah-tanah kerajaan. Akhirnya, 1MDB juga yang buat dengan pilihan syarikat-syarikat kroni yang disayangi. Justeru, sebagai pengakhiran, sedang kerajaan Barisan Nasional berlumba-lumba hendak meniru semua cadangan yang dilontarkan oleh Pakatan Rakyat, saya cabar… Beberapa Ahli: [Menyampuk] Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai]: Tak apa, sabar. Sudah hentam kami berterusan di media arus perdana, tidak apalah, biarlah saya bersuara di Parlimen. Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat, Yang Berhormat. Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai]: Sebagai pengakhiran, sedang kerajaan Barisan Nasional berlumba-lumba meniru cadangan yang dilontarkan oleh Pakatan Rakyat, saya cabar supaya dilaksanakan dua perkara untuk membuktikan keikhlasan kerajaan Barisan Nasional. Pertama, menyokong usul Yang Berhormat Ketua Pembangkang supaya dipotong perbelanjaan dalam belanjawan bernilai RM232 bilion kepada yang dianjurkan Pakatan Rakyat dalam sesi khas yang akan diadakan sekiranya pertumbuhan 5.5% daripada KDNK untuk 2011 dan 6% untuk suku pertama 2012 gagal dicapai. Saya pasti akan dicapai. Kedua, semua syarikat bumiputera yang dianugerahkan kontrak agenda bumiputera Tuan Yang di-Pertua, untuk menyediakan kerja-kerja kejuruteraan awam MRT bernilai RM8 bilion atau 43% daripada keseluruhan nilaiannya menghadiahkan 30% daripada nilai kontrak iaitu RM240 juta kepada satu Tabung Pendidikan Nasional sebagai permulaan kerana kita tidak boleh mencukai 'San Miguel' bukan, tidak ada sin tax, cukai dosa yang terlepas. [■1830] Akan tetapi, sekurang-kurangnya kita mahukan… Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Ya, habiskan Yang Berhormat. Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai]: Semua syarikat di bawah agenda bumiputera ini melaksanakan tuntutan mereka. Sekian, terima kasih Tuan Yang di-Pertua. |
You are subscribed to email updates from Nurul Izzah Anwar To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan