Rabu, 22 Jun 2011

Nurul Izzah Anwar

Nurul Izzah Anwar


Soalan & Jawapan YB Nurul Izzah-MP Lembah Pantai

Posted: 22 Jun 2011 06:08 AM PDT

MESYUARAT KEDUA, PENGGAL KEEMPAT PARLIMEN KEDUA BELAS (2011)


TARIKH                     :           13 JUN 2011

SOALAN :

Puan Nurul Izzah Binti Anwar [ Lembah Pantai-PKR ] Minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan bilakah pihak Kementerian akan memansuhkan Ordinan Darurat yang masih berkuatkuasa memandangkan jawapan Menteri bersetuju dengan pemansuhan ini.

JAWAPAN :

Tuan Yang Dipertua,

Saya mengucapkan terima kasih kepada ahli Yang Berhormat Lembah Pantai yang mengemukakan pertanyaan.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat dan Dewan yang mulia ini, Kementerian Dalam Negeri tidak pernah bersetuju dengan pemansuhan Ordinan Darurat (Kenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969 dan tiada pengumuman ataupun kenyataan pernah dibuat oleh Kementerian berkenaan pemansuhan Ordinan tersebut.

Tuan Yang Dipertua,

Kerajaan tidak berhasrat untuk memansuhkan Ordinan tersebut memandangkan ianya masih berkesan dalam menangani ancaman terhadap ketenteraman awam dan menghapuskan jenayah yang berunsur kekerasan. Namun demikian, Kerajaan dalam usaha untuk melakukan penambahbaikan terhadap Ordinan tersebut melalui pindaan undang-undang pencegahan yang akan dibentangkan di Parlimen sedikit masa lagi.

——————————————————————————————

TARIKH                     :           15 JUN 2011 (RABU)

SOALAN                    :           NO. 18

Puan Nurul Izzah Binti Anwar [ Lembah Pantai-PKR ] Minta MENTERI PENGAJIAN TINGGI menyatakan langkah-langkah memperbaiki rangkaian maklumat kutipan pinjaman yang berkualiti rendah menyebabkan hanya RM600 juta Berjaya dikutip daripada peminjam-peminjam setakat ini.

JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

Sehingga 30 April 2011, jumlah pembiayaan pendidikan PTPTN yang sepatutnya dibayar balik oleh 969,506 peminjam adalah sebanyak RM5.53 bilion. Daripada jumlah tersebut, seramai 693,155 peminjam telah mula membayar balik dengan amaun kutipan sebanyak RM2.45 bilion dan komitmen keseluruhan yang perlu dibayar sebanyak RM3.81 bilion.

Sementara itu, seramai 51,021 peminjam telah diluluskan penangguhan bayaran balik yang melibatkan amaun sebanyak RM0.48 bilion. Manakala, bilangan peminjam yang masih gagal membuat bayaran balik ialah seramai 225,330 peminjam yang melibatkan amaun tunggakan sebanyak RM1.24 bilion.

Tuan Yang Di Pertua,

PTPTN dalam proses menambahbaik sistem bayaran balik pinjaman yang mempunyai kesemua fungsi pengurusan bayaran balik pinjaman termasuk penguatkuasaan, pemantauan dan amaran awal.

Pada masa ini, pelbagai kaedah dan usaha telah dilakukan untuk memudahkan peminjam membuat bayaran balik serta meningkatkan prestasi bayaran balik pinjaman antaranya:

i.          memperbanyakkan dan mempelbagaikan saluran bayaran balik seperti mewujudkan kaedah bayaran balik melalui potongan gaji secara tetap melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDNM) dan kemudahan pembayaran melalui kaunter atau secara atas talian (online) oleh PTPTN dan ejen-ejen yang dilantik seperti Pos Malaysia dan bank (Maybank, Bank Islam, CIMB Bank, RHB Bank, Public Bank dan Bank Simpanan Nasional);

ii.      menjalin kerjasama dengan IPT untuk mengadakan taklimat kepada pelajar tahun akhir/ bakal graduan tentang kemudahan dan kepentingan membuat bayaran balik pinjaman;

iii.        mengeluarkan surat arahan bayaran balik (bagi peminjam yang telah tamat tempoh pengeluaran dan patut mula membuat bayaran balik) dan surat-surat peringatan (bagi peminjam yang masih tidak membuat bayaran balik/tidak member maklumbalas);

iv.     bekerjasama dengan agensi-agensi Kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan, pihak swasta dan melantik ejen bagi mengesan peminjam.

v.         bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia untuk menahan peminjam ingkar daripada keluar negara; dan

vi.       melantik panel peguam bagi urusan penghantaran Surat Peringatan Terakhir, Letter Of Demand (LOD), saman dan penghakiman.

Tuan Yang Di Pertua,

Pada 5 Mei 2010, Kerajaan telah bersetuju supaya pengurusan bayaran balik pinjaman pendidikan PTPTN melalui LHDNM menggunakan kaedah potongan gaji berasaskan gaji yang diterima oleh peminjam dilaksanakan.

Beberapa siri perbincangan telah diadakan yang melibatkan LHDNM, Kementerian Kewangan, Kementerian Pengajian Tinggi, Jabatan Peguam Negara dan PTPTN bagi memperhalusi pelaksanaannya seperti penetapan had threshold bagi permulaan bayaran balik pinjaman pendidikan, menetapkan kadar bayaran balik atas pendapatan bulanan peminjam, pemberian nombor fail cukai kepada pelajar baru dan pindaan akta PTPTN (Akta 566) dan akta-akta lain yang berkaitan. Pindaan akta berkenaan perkara tersebut dijangka dibentangkan di Parlimen pada tahun ini.

——————————————————————————————

TARIKH                     :           15 JUN 2011 (RABU)

Soalan:-

Puan Nurul Izzah Binti Anwar [ Lembah Pantai-PKR ] Minta MENTERI BELIA DAN SUKAN menyatakan apakah tindakan tata tertib yang diambil di atas kelewatan menutup laporan kewangan Sukan Komanwel 1998 oleh Sukom Ninety Eight Berhad (SUKOM 98) yang tertunggak selama 13 tahun dan apakah peraturan baru jika ada untuk mengelak daripada kecuaian seperti ini berulang.

JAWAPAN

1.         SUKOM '98 Berhad merupakan sebuah syarikat yang bertanggungjawab menganjurkan Sukan Komanwel 1998 dan ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1965. Memandangkan statusnya sebagai sebuah syarikat, maka pihak Kementerian tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengambil sebarang tindakan tata tertib di atas kelewatan syarikat menutup laporan kewangan Sukan Komanwel 1998.

2.         Dalam usaha mengelakkan daripada perkara yang sama berulang dalam sesuatu penganjuran acara sukan, Kementerian sentiasa mengambil pendekatan dengan merujuk Pekeliling Perbendaharaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan dari masa ke semasa, serta dasar dan peraturan-peraturan yang sedia ada.

——————————————————————————————

TARIKH                    :           16 JUN 2011 [ KHAMIS ]

SOALAN                    :

Puan Nurul Izzah Binti Anwar [ Lembah Pantai-PKR ] Minta PERDANA MENTERI menyatakan dakwaan Laporan Bank Dunia berjudul Malaysia Economic Monitor: Brain Drain bahawa Kerajaan aktif untuk menggerakkan ETP yang berasaskan pelaburan; namun itu begitu giat melaksanakan Model Ekonomi Baru (NEM) yang bertujuan untuk menyelesaikan kebuntuan struktur ekonomi.

JAWAPAN:

Tuan Yang di-Pertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, dakwaan Laporan Bank Dunia yang menyatakan Kerajaan hanya aktif untuk menggerakkan ETP yang berasaskan pelaburan tetapi tidak begitu giat dalam melaksanakan Model Ekonomi Baru (MBE) adalah tidak benar. Laporan Model Ekonomi Baru Ekonomi Bahagian Akhir: Langkah Dasar Strategik telah memberi maklumat yang lebih luas dan terperinci mengenai langkah dasar di bawah Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI).

Bagi membincangkan pelan tindakan SRI serta tindakan terperinci untuk mencapai matlamat MBE, Majlis Perundangan Ekonomi Negara (NEAC) dengan kerjasama PEMANDU telah mengadakan makmal SRI selama 6 minggu, bermula pada 21 Februari 2011 sehingga 1 April 2011. Daripada 51 langkah dasar dalam MBE, sebanyak 37 langkah dasar telah dibincangkan dalam 6 makmal SRI iaitu :

i.          Daya saing, standard dan perundangan;

ii.          Peranan kerajaan dalam perniagaan;

iii.         Pembangunan sumber manusia;

iv.         Kewangan sector awam;

v.         Penyampaian sector awam; dan

vi.         Langkah afirmatif/mengurangkan jurang ketaksamaan.

Makmal-makmal ini kemudiannya dibahagikan kepada beberapa buah makmal yang kecil untuk menterjemah langkah dasar serta inisiatif yang dirancang dalam MBE kepada langkah pelaksanaan yang terperinci dan realistic. Langkah dasar serta inisiatif yang dirancang turut mengambil kira inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh. Hasil daripada makmal SRI ini telah dibentang kepada Jemaah Menteri.

Selain daripada penubuhan 6 makmal SRI, Kerajaan melalui Kementerian Kewangan dengan kerjasama Bank Dunia sedang menjalankan kajian mengenai kecekapan dan keberkesanan perbelanjaan dalam sektor awam (PER). Tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk meningkatkan kawalan fisikal ke atas perbelanjaan sektor awam supaya perbelanjaan yang dibuat benar-benar berfaedah dan member nilai wang yang sebenar (value of money), mengurangkan ketirisan dan memberi faedah kepada rakyat dan seterusnya menghasilkan impak yang maksimum kepada ekonomi negara. Antaranya melalui pelaksanaan bajet berasaskan outcome atau outcome-based budgeting (OBB), dengan izin akan diperkenalkan. Pendekatan baru ini membolehkan pengurusan sumber yang lebih cekap, mengelak pertindihan pelaksanaan program dan projek serta dapat memastikan sumber yang diagih mengikut keutamaan tertinggi negara. Kajian ini akan meliputi di peringkat sektoral dan di peringkat sistem Kerajaan, iaitu pengurusan kewangan sektor awam, perolehan dan pembaharuan perkhidmatan awam. Hasil kajian ini pula akan digunakan dalam penyediaan Bajet 2012.

——————————————————————————————

TARIKH                    :           22 JUN 2011 [ RABU ]

SOALAN                   :

Puan Nurul Izzah Binti Anwar [ Lembah Pantai ] Minta PERDANA MENTERI menyatakan keputusan Kabinet tentang cadangan CEO Pemandu pada 3 Jun 2010 dalam akhbar The Star untuk mengkaji semula perjanjian dengan IPP dan juga pemilik konsesi tol sehari dengan pemotongan subsidi rakyat secara berperingkat.

JAWAPAN :

Tuan Yang di-Pertua,

IPP :

  • Kabinet sudah menubuhkan satu jawatankuasa bagi mengkaji pelbagai aspek termasuk isu pengeluar tenaga bebas (IPP) dan bekalan tenaga kepada negara pada masa depan, Beliau berkata, jawatankuasa tersebut membabitkan tiga Menteri iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui dan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Jawatankuasa ini akan berbincang mengenai pelbagai aspek, antaranya ialah mengenai kos dan soal masa depan kerana terdapat di antara konsesi IPP akan tamat pada 2014 dan 2015. Tugas jawatan kuasa ini adalah untuk mengkaji isu-isu tersebut dan mencari jalan penyelesaian untuk kebajikan  masyarakat.

Tol :

  • Kerajaan telah menangguhkan kenaikan kadar tol bagi tempoh 5 tahun yang akan datang bagi lebuh raya di bawah PLUS Expressway & MTD group tanpa melibatkan bayaran pampasan dan pemanjangan tempoh konsesi.
  • Antara buktinya adalah keputusan kerajaan untuk menutup lebuhraya Plaza Tol Metramac Cheras 8 bulan lebih awal dari perjanjian konsesi.
  • Selebihnya, kerajaan telah berjaya menurunkan kadar tol bagi Lebuhraya NPE dari RM1.60 kepada RM1.00.

——————————————————————————————

Tiada ulasan:

Nuffnang