Isnin, 27 Jun 2011

Khalid Samad

Khalid Samad


BERSIH: Pembuka Jalan Politik Baru

Posted: 26 Jun 2011 09:43 PM PDT

Perhimpunan BERSIH 2.0 telah mengundang berbagai tindak balas dari penyokong Barisan Nasional. Dari respon yang kurang bijak persatuan-persatuan peniaga pro-BN yang menyatakan bangkangan mereka di atas alasan terjejasnya perniagaan; kepada yang paling ekstrim dalam bentuk ancaman membunuh Pengerusi BERSIH, Dato' Ambiga. Walau apa sekali pun respon dan alasan di sebaliknya, kesemuanya bertujuan untuk menghalang berlakunya himpunan ini. Respon dan tindak balas sebegini merupakan bukti betapa BN amat gentar dengan himpunan yang akan diadakan pada 9 Julai ini. Mereka khuatir kerana perhimpunan ini merupakan pembuka jalan kepada era politik baru dan penamat kepada politik kotor yang berpaksikan fitnah pimpinan BN.

Hakikatnya, rakyat semua mengetahui betapa Pilihan Raya yang dianjurkan selama ini adalah tidak adil, berat sebelah dan diurus dengan tujuan untuk memenangkan BN. Pilihan Raya dan kebebasan bersuara yang dibenarkan sekadar untuk memberikan persepsi adanya demokrasi, tetapi tahapnya dikawal supaya tidak menjejas kedudukan BN. Dalam keadaan begitu sekalipun BN telah dapat dikalahkan di beberapa Negeri pada tahun 2008. Sekiranya Pilihan Raya pada ketika itu diadakan secara bebas dan bersih, dengan diberi semua pihak akses kepada media perdana, tiadanya undi pos dan lain-lain seperti terkandung dalam tuntutan BERSIH (1), insyaAllah sudah pasti BN akan dapat dikalahkan diperingkat Kebangsaan juga.

Oleh yang demikian, BERSIH (2) perlu diteruskan supaya BN memahami bahawa rakyat tahu bagaimana mereka telah ditipu selama ini dan bagaimana penipuan ini mengekalkan sebuah kerajaan yang telah hilang kredibiliti serta legitimasinya dalam kedudukan berkuasa.

Sebenarnya, semua yang siuman dan tidak berkepentingan pasti akan menyokong perhimpunan BERSIH diadakan. Ianya menuntut supaya Pilihan Raya dilakukan secara adil dan bersih. Hanya yang inginkan Pilihan Raya yang kotor, tidak telus dan tidak adil sahaja yang akan membantahnya. Hanya yang ingin kekal berkuasa dengan menafikan hak rakyat serta ingin melihat rakyat terus ditundukkan akan mempertahankan proses Pilihan Raya yang jelas tercemar!

Kerajaan BN wajib menghormati rakyat dan itulah sebenarnya intipati tuntutan BERSIH. Iaitu supaya suara dan kehendak rakyat dalam memilih kerajaan yang ingin diamanahkan dengan kuasa pemerintahan dihormati dan diterima. Tanpa adanya sebarang usaha penyalahgunaan kedudukan dan kekuasaan untuk menentukan pilihan rakyat melalui proses pemilihan yang berat sebelah lagi songsang. Sekiranya melalui proses pemilihan yang BERSIH ini rakyat menolak BN di peringkat Negeri dan Negara, maka BN wajib menerima pilihan rakyat dan berundur secara terhormat. Itulah intipati demokrasi. Bukan hanya sebagai cogankata dan retorik semata-mata, sambil pandangan dan pendapat rakyat dikuasai dan kehendak rakyat dinafi melalui proses yang tercemar.

Semua yang ingin menghalang BERSIH, samada PERKASA, Pemuda UMNO atau pihak Polis sekalipun, hanya menzahirkan keinginan untuk mempertahankan sesuatu yang ditolak rakyat, iaitu proses Pilihan Raya yang dicorakkan mengikut kepentingan BN. Sepatutnya mereka, lebih-lebih lagi pihak Polis, berdiri bersama rakyat dalam usaha membersihkan proses pilihan raya. Supaya penipuan terhadap rakyat dan kekuasaan ke atas rakyat melalui penipuan ini dapat dihentikan. Himpunan BERSIH merupakan usaha mulia, tuntutan adil lagi berasas dan menepati kehendak Syariat Islam dan Perlembagaan Negara; sepertimana yang telah dinyatakan oleh Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Prof. Aziz Bari.

Oleh itu, sepatutnya pihak Polis menjaga dan melindungi peserta himpunan tersebut, menjaga lalu lintas supaya kesan kesesakan dikurangkan, menjaga keselamatan peserta supaya tiada sebarang provokasi dan dengan itu ianya akan berjalan dengan selamat dan aman. Sepertimana himpunan yang menuntut rasuah dihentikan, penjenayah ditahan dan jenayah diperangi tidak wajar dihalang dan ditentang, begitu juga himpunan yang menuntut Pilihan Raya yang bersih dan adil. Sepatutnya PERKASA menyokong dan Pemuda UMNO turut bersama dan bukan bertindak-balas seperti sekarang. Namun, hakikatnya, mereka bukan mementingkan rakyat dan hak rakyat. Mereka hanya mementingkan status quo dan usaha mempertahankannya walaupun rakyat inginkan ianya ditukar.

9 Julai 2011, tarikh keramat, tarikh perubahan, tarikh kebebasan. Saya berharap agar warga Shah Alam khususnya dan Malaysia amnya akan bersama saya, turun pada hari itu untuk bersama-sama mencatat sejarah di bumi Malaysia yang kita cintai.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Respon Kepada Pengunjung: Isu Rahsia Parti

Posted: 26 Jun 2011 06:17 PM PDT

Ada yang tidak akan bersetuju dengan apa yang saya tulis dan lakukan walau apa sekalipun penjelasan yang saya cuba beri. Oleh itu, saya tidak akan cuba berusaha untuk meyakinkan mereka ini. Apabila hati telah dikuasai perasaan, samada kebencian atau kecintaan, ia mampu menumpulkan akal, sehingga kebenaran sesuatu hujjah atau kepalsuannya, yang dapat difaham dan diiktiraf semua, tetap tidak dapat diakui diri sendiri. Saya doakan supaya perasaan tidak menguasai hati ahli jamaah dan sebaliknya semua hujjah yang dikemukakan dinilai atas kebenarannya dan bukan berdasarkan siapa yang menyatakannya.

Saya juga mendoakan semoga PAS tidak akan mendapat pemimpin yang menganggap 'karipap' sebagai rahsia jemaah; atau pemimpin yang menganggap cara bagaimana pengajaran yang terkandung dalam Islam dihayati pada zaman sekarang tidak perlu ditonjolkan, memadai dengan sekadar menceritakan Seerah; atau pemimpin yang angkuh, yang menganggap orang lain tidak ditamrin, sambil tidak menyatakan apa yang dianggapnya tidak kena.

Sesuatu yang dianggap rahsia adalah rahsia walaupun ianya tidak dikaitkan kepada perbincangan dalam mesyuarat. Oleh itu yang tidak rahsia tetap tidak rahsia, walaupun dikaitkan dengan perbincangan dalam mesyuarat. Sebagai contoh, ayat yang berbunyi, "kami makan karipap" dan "kami makan karipap dalam mesyuarat". Dua-dua ayat tersebut tidak mengandungi 'rahsia' walaupun ayat kedua dikaitkan dengan mesyuarat. Begitu juga ayat "Dr. Hatta lebih cergas" dan "dalam mesyuarat saya nyatakan Dr. Hatta lebih cergas". Kedua-dua ayat tidak mengandungi rahsia, lebih-lebih lagi apabila pengumuman keputusan melantik Dr. Hatta dan sebab-sebabnya telah dilakukan pimpinan. Sebaliknya, ayat yang sedemikian hanya menjelaskan pandangan saya, bukan rahsia parti.

Dalam pada itu, sesuatu yang rahsia tidak perlu dikaitkan dengan perbincangan mesyuarat untuk menjadikannya rahsia parti. Sebagai CONTOH "kita utamakan kemenangan Shah Alam berbanding Kota Raja" dan "dalam mesyuarat diputuskan kita utamakan kemenangan Shah Alam berbanding Kota Raja". Kedua-dua ayat mendedahkan rahsia strategi parti walaupun ayat pertama tidak disebut "dalam mesyuarat".

Amat penting untuk ahli jemaah memahami apa yang rahsia dan apa yang tidak. Salah faham dalam soal ini telah menghasilkan kezaliman di dalam sejarah ummat Islam. Sebagai contoh, yang melibatkan jurubina Taj Mahal apabila dianggap rekabentuk dan cara pembinaan Taj Mahal sebagai satu rahsia besar! Maka demi menjaga 'rahsia' itu, jurubina tersebut perlu dibunuh. Dan yang akan dibunuh dan yang akan membunuh terpaksa wala' kepada keputusan Sultan. Inilah di antara salah faham yang menyebabkan ummat Islam akhirnya tumpas di tangan musuh.

Kedua, persoalan menceritakan corak kepimpinan yang sediada. Ianya penting supaya rakyat memahami PAS mengikut cara kepimpinan Rasulullah (SAW). Jikakalau sekadar ingin bercerita cara Baginda memimpin, itu boleh diminta ustadz dari UMNO untuk menceritakannya. Tetapi yang lebih penting ialah untuk digambarkan bagaimana cara itu dilaksanakan oleh pimpinan PAS, supaya rakyat dan ahli faham, ianya bukan demi ilmu semata-mata, tetapi ianya untuk dihayati. Pada masa yang sama, ianya bertujuan menyanggah salah faham yang wujud di kalangan sebahagian ahli bahawa cara kepimpinan dalam PAS adalah lebih mirip cara diktator.

Yang terakhir, yang ingin saya tegur ialah golongan yang angkuh. Keangkuhan menghancurkan amalan dan yang angkuh akan dicampakkan ke dalam neraka. Perasaan riya' adalah syirik kecil dan perlu dijauhi. Kalau ada yang tidak kena dan tidak dipersetujui, sebut sahaja secara jelas perkara tersebut tanpa perasaan berlagak sebagai ilmuan besar dengan menyebut perlu mengikuti tamrin dan sebagainya. Silap-silap yang disuruh ke tamrin telah bertamrin sejak yang menyuruh masih belum dilahirkan! Nyatakan sahaja hujjah dan alasan mengapa tidak bersetuju dan sekiranya ianya benar maka akan diterima dan sekiranya ianya tidak benar, maka akan dijelaskan mengapa.

Itu sebenarnya cara untuk mengembang ilmu, bukan dengan cara menyuruh baca ini dan baca itu, atau menyuruh ke tamrin dan sebagainya. Sikap 'holier than thou' atau 'aku lebih alim dari kamu' yang seperti ini tiada tempat dalam jemaah Islam yang ahlinya menghormati pandangan semua dan berhujjah dengan cara saling hormat menghormati di antara satu sama lain. Inilah di antara pengajaran yang ingin saya sampaikan melalui apa yang saya kisahkan di dalam mesyuarat AJK PAS Pusat. Alim ulama' besar, duduk berbincang dengan orang seperti saya, mendengar hujjah dan menimbangnya atas kekuatan hujjah tanpa sama sekali menunjukkan sikap angkuh. Menjelaskan pandangan mereka yang sebaliknya atau menerima pandangan yang berbeza dan mengenepikan pandangan diri mereka sendiri. Tidak walaupun sekali mengeluarkan kata-kata, "kamu perlu ditamrinkan" kepada sesiapa. Mungkin yang mendesak seseorang itu ditamrinkan perlu ditamrinkan terlebih dahulu.

Akhir sekali, dalam isu cantas mencantas. Itu tidak ada kena mengena dengan PAS. Ianya respon saya kepada kenyataan Satim Diman. Mungkin yang membuat komen ini perlu membaca kembali artikel keseluruhannya dan bukan sekadar tajuknya.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Tiada ulasan:

Nuffnang