Mohamad Taufek Abd Ghani |
- Kereta dicuri dijumpai semula
- Masalah peneroka Labu Sendayan belum selesai
- Pelatih PLKN koma masih terlantar di hospital
Posted: 25 May 2011 09:04 PM PDT Kereta dicuri dijumpai semula Sinar Harian 26 Mei 2011 REMBAU – Sepasang suami isteri melahirkan rasa syukur dan gembira apabila Perodua Kembara milik mereka yang dicuri di perkarangan rumah pagi Isnin lalu telah berjaya dijumpai pihak polis dalam tempoh masa kurang 24 jam dilaporkan. Walau bagaimanapun penemuan berkenaan tidak berjaya menutup perasaan takut dan bimbang pasangan terbabit, Mohd Nawi Mohd Yusoff, 68, dan Habsah Azizul Rahman, 63, apabila kediaman mereka adalah antara 10 kediaman di perkampungan di situ yang menjadi sasaran pencuri dalam tempoh masa tiga bulan. Mohd Nawi berkata, sememangnya pihak polis giat melaksanakan rondaan di kawasan berkenaan berikutan ia adalah kawasan panas berdasarkan beberapa insiden cubaan pecah rumah dan juga rompakan, namun penduduk tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada pihak polis dalam mengatasi masalah berkenaan. "Malah, ada dalam kalangan kami terpaksa mengambil inisiatif sendiri dengan melaksanakan rondaan pada masa-masa tertentu mengikut giliran sedangkan ia sebenarnya boleh dilaksanakan secara lebih efektif lagi melalui kerjasama daripada pentadbiran di peringkat kampung. "Oleh itu, saya gesa pihak pentadbiran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk berbincang dengan penduduk mengenai masalah ini dan dalam masa terdekat dapat mewujudkan Skim Rondaan Sukarela (SRS) bagi memastikan rondaan dapat dibuat dengan kaedah yang lebih tepat lagi," katanya ketika ditemui di kediamannya, kelmarin. Sementara itu, Habsah berkata, kecurian berlaku awal pagi semasa mereka sedang tidur dan hanya disedari kira-kira jam 5.30 pagi ketika suaminya ingin membuka pintu pagar rumah seperti kebiasaannya. Menurutnya, suaminya mendapati pintu pagar berkenaan telah terbuka dan kereta milik mereka juga sudah tiada di garaj. "Laporan polis telah dibuat pada hari sama dan pasukan polis telah berjaya menjumpai kereta kami yang ditinggalkan di Jirat Perkuburan Cina Johol, Kuala Pilah. "Oleh itu, kita harap agar pihak pentadbiran kampung dapat memikirkan kaedah yang lebih efektif dalam mengatasi masalah kecurian dan pecah rumah di sini melalui penubuhan SRS bagi kebaikan serta manfaat penduduk kampung sendiri," katanya. http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9125846.asp |
Masalah peneroka Labu Sendayan belum selesai Posted: 25 May 2011 06:13 PM PDT Masalah peneroka Labu Sendayan belum selesai May 25, 2011 Tanah dua ekar seorang di Bandar Baru Sendayan yang diberikan juga tidak sempurna, ada yang termasuk dalam kawasan sungai atau atas jalan raya. PETALING JAYA: Ramai peneroka dan bekas peneroka Felda Sendayan mengadu rumah banglo yang diberikan kepada mereka berkualiti rendah tidak sepadan dengan harga RM240,000. "Tanah dua ekar seorang di Bandar Baru Sendayan yang diberikan juga tidak sempurna, ada bahagiannya yang termasuk ke dalam sungai atau di atas jalan raya. "Sebab itu ramai juga yang tolak dengan pemberian kerajaan Negeri Sembilan itu," kata Setiausaha PKR Rembau, Norazizi Aziz. Beliau hadir di majlis anjuran Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) di Felda tersebut malam tadi yang dihadapi antara 300 hingga 400 orang. Di majlis tersebut, Presiden Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda (Anak) Mazlan Aliman meminta peneroka dan bekas peneroka menyenaraikan masalah yang sedang dihadapi mereka. Felda Sendayan dengan kawasan 2, 000 ekar mula dibangunkan pada 1963 membabitkan 40 peneroka. Pada tahun 1996 sesuai dengan perkembangan ekonomi semasa, Kerajaan Negeri Sembilan melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Negeri Sembilan (PKNNS) telah mengadakan perjanjian usahasama dengan MHS Land Sdn Bhd untuk memajukan Kampung Sendayan. Krisis ekonomi Peneroka ditawarkan pembelian tanah dengan harga kira-kira RM1.2 juta seorang. Suatu perjanjian jual beli kemudiannya ditandatangani pada 13 November 1996 tetapi krisis ekonomi pada 1997 menyebabkan PKKNS gagal membuat bayaran. Bagaimanapun pada 2006, 95 peratus daripada 513 peneroka itu menerima bayaran mereka. Setiap peneroka menerima wang tunai dan juga harta lain yang keseluruhannya bernilai lebih kurang RM1.2 juta. Pampasan ini adalah dalam bentuk wang tunai sebanyak antara RM450,000 ke RM685,780 seorang. Di samping itu setiap seorang akan diberi tanah pertanian pegangan bebas seluas 0.8 hektar (2 ekar) dianggarkan bernilai RM348,480 dan juga sebuah banglo setingkat empat bilik dengan keluasan tanah 10,000 kaki persegi dianggarkan bernilai RM240,000. Felda Sendayan dibangunkan menjadi bandar baru bernama Bandar Sri Sendayan. Menurut Norazizi, peneroka juga mengadu padang sekolah di kawasan tersebut telah bertukar menjadi kawasan pertanian. "Mereka mahu Anak menyebarkan isu ini untuk pengetahuan semua kerana selama ia hanya diketahui oleh peneroka Felda Sendayan. "Mereka mahu masyarakat bukan peneroka tahu bahawa nasib peneroka Felda Sendayan tidak sebaik sebagaimana disangka. Isu antara satu Felda dengan Felda lain berbeza," katanya. Sumber : http://www.freemalaysiatoday.com/2011/05/25/masalah-peneroka-labu-sendayan-belum-selesai/ |
Pelatih PLKN koma masih terlantar di hospital Posted: 25 May 2011 06:12 PM PDT Pelatih PLKN koma masih terlantar di hospital Utusan Malaysia 26 Mei 2011 KRISHNAMARY sedih melihat keadaan Tamilarasi yang terlantar sakit sejak Februari lalu di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, semalam. SEREMBAN 25 Mei - Mungkin ramai sudah melupakan seorang pelatih perempuan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), A. Tamilarasi, 18, yang dilaporkan koma dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), di sini Februari lalu. Pelatih yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Taman Desa Cempaka, Nilai dekat sini itu dimasukkan ke HTJ selepas dikatakan demam panas sewaktu menjalani latihan PLKN di Kem PDS Resort, Pasir Panjang, Port Dickson. Namun selepas hampir empat bulan, Tamilarasi masih terlantar di atas katil hospital HTJ itu dalam wad pengasingan dengan ahli keluarga menemaninya 24 jam sehari secara bergilir-gilir. Keadaan semakin menyedihkan apabila pelajar yang aktif dan bercita-cita menjadi jururawat itu kini dipasang tiub ke perut melalui rongga hidung untuk menyalurkan susu, manakala lehernya pula terpaksa ditebuk untuk memudahkan pernafasan. Ibunya, A. Krishnamary, 40, berkata, Tamilarasi tidak mampu bercakap, malah tidak mengenali mereka di sekelilingnya selain mendongakkan kepala dan merenung tajam ke siling hospital itu. Katanya, Tamilarasi memasuki kem di Port Dickson pada 2 Januari lalu dan beberapa hari kemudian menghidap demam panas, bagaimanapun pihak pengurusan kem tidak merujuknya ke hospital, sebaliknya memberi Panadol selepas mendapati keadaannya tidak begitu serius. Kata Krishnamary, suaminya, K. Anandan, 41, telah pergi ke kem berkenaan pada 2 Februari bagi membawa pulang anaknya itu kerana cuti Tahun Baru Cina, tetapi terkejut melihat keadaan Tamilarasi. ''Kami kemudian membawanya ke klinik untuk rawatan lanjut dan pada 8 Februari, dia dimasukkan ke HTJ dan berada dalam keadaan koma. ''Doktor hanya memberitahu anak saya dijangkiti virus pada organ utama termasuk otak, leher dan jantung. Apa jenis virus itu, masih tidak dapat dipastikan," ujarnya. Kini, memandangkan keadaan Tamilarasi yang semakin kritikal, Krishnamary hanya balik ke rumahnya di Nilai sekali dalam seminggu. ''Kami tidak tahu apa yang perlu dibuat lagi. Hati saya tersentuh setiap kali melihat Tamilarasi menghembuskan nafas," katanya sambil menjelaskan pihak pengurusan kem ada datang melawat anaknya itu. Tamilarasi merupakan anak kedua daripada tiga adik-beradik dan merupakan anak perempuan tunggal bagi pasangan itu. http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0526&pub=Utusan_Malaysia&sec=Jenayah&pg=je_03.htm |
You are subscribed to email updates from Mohamad Taufek Abd Ghani To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan