Selasa, 3 Mei 2011

.

.


Jika Benarlah Osama Laden Mati.......

Posted: 03 May 2011 03:22 AM PDT

Jika benarlah Osama bin Laden benar-benar telah dibunuh oleh tentera Amerika Syarikat seperti yang diumumkan oleh Presiden Barrack Obama semalam, maka saya sebagai seorang Islam mendoakan rahmat dan keampunan Allah SWT untuk Osama bin Laden yang merupakan saudara saya di dalam Islam.

Inilah yang dituntut oleh Islam sewaktu menerima berita kematian saudara seagamanya. Sebesar manapun kesalahan seorang muslim, jika ia mati dalam keadaan agamanya Islam, keampunan terhadapnya harus dipohon oleh saudara muslim yang lain.


Adapun keterlibatan Osama bin Laden dengan keganasan, saya serahkan kepada Allah SWT kerana ia masih belum terbukti melainkan melalui propaganda yang dipelopori oleh Amerika Syarikat. Jika benar beliau terlibat dengan kegananasan, sudah tentu saya tidak menyokong keganasan tersebut.


Bagaimanapun keterlibatan Osama dengan keganasan masih lagi merupakan berita samar yang tidak dapat disahkan, namun keterlibatan Amerika Syarikat sendiri dalam keganasan sudah terbukti.


Ini jelas dengan serangan terhadap Afghanistan dan Iraq yang menghancurkan kedua-dua negara ini dengan tujuan mencari senjata pemusnah yang tidak dapat dijumpai sehingga ke hari ini. Apa pula tindakan Amerika Syarikat terhadap Israel yang terang-terang melakukan keganasan di bumi Palestin?


Bukan sahaja tidak bertindak, bahkan Amerikalah yang kuat menyokong Israel. Justeru, jika Osama dianggap sebagai pengganas, maka Israel lebih patut disebut sebagai ganas dan penyokongnya Amerika Syarikat juga tidak boleh lari dari digelar sebagai ganas.


Inilah yang saya tegaskan kepada Duta Besar Amerika Syarikat yang datang ke pejabat saya pada 28 April 2011 yang lepas, bahawa sepasang selipar puntidak boleh dirampas dari tuannya yang berhak, apatah lagi sebuah negeri yang berdaulat seperti Palestin, lebih-lebih lagi tidak berhak untuk dirampas oleh Israel.


Adapun mereka yang berkata bahawa dunia lebih selamat dengan kematian Osama, saya anggap kenyataan tersebut sebagai tidak cermat dan hanya bertujuan menampakkan diri sebagai penyokong Amerika. Jika dunia lebih selamat dengan kematian Osama, adakah dunia juga lebih selamat dengan kewujudan Amerika?


Sekian, wassalam.

TUAN GURU DATO' BENTARA SETIA NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
Menteri Besar Kelantan, 30 Jamadil Awal 1432H bersamaan 3 Mei 2011M


Sumber :
http://tuanibrahim.blogspot.com/2011/05/jika-benarlah-osama-mati.html

Qazaf.....Tuduhan Zina dan Liwat - Bagaimana Mensabitkan Jenayah Qazaf = Siri 3

Posted: 02 May 2011 11:23 PM PDT

Mensabitkan Jenayah Qazaf

Kesalahan qazaf yang dijatuhkan hukuman had ialah apabila terbukti melalui dua cara:

1. Iqrar daripada orang yang melakukan qazaf.
2. Empat orang saksi yang memenuhi syarat-syarat saksi.

Hukum Hudud yang berkait dengan Qazaf

Terdapat kekhilafan di kalangan para ulama, adakah hukum qazaf berkait dengan hak Allah atau hak manusia?

Mazhab Hanafi menegaskan bahawa qazaf termasuk di dalam kategori hak Allah terhadap hamba-Nya kerana ia berkait dengan maruah seseorang. Hukum hudud yang ditetapkan ke atas jenayah qazaf berkait dengan maslahah umum, iaitu untuk memelihara kepentingan hamba-hamba Allah (manusia) dan maruah mereka, serta menghindarkan perkara kefasadan di kalangan manusia.

Apabila ia menjadi aspek umum maka ia termasuk dalam hak Allah terhadap hamba-hamba-Nya.

Mazhab Syafie dan Hanbali berpendapat bahawa qazaf termasuk dalam kategori hak hamba (manusia), kerana maruah secara langsung diberikan kepada manusia. Apabila maruahnya dijatuhkan melalui qazaf, ia bermakna seperti melakukan sesuatu ke atas batang tubuh orang yang tertentu, maka ia menjadi hak bagi diri orang itu.

Manakala ulama dalam mazhab Maliki berselisih pendapat. Ada di kalangan mereka yang bersetuju dengan mendapat Mazhab Hanafi, ada yang bersetuju dengan pendapat Mazhab Syafie dan Hambali. Di antara mereka adalah Ibnu Rusyd, dan ada yang berpendapat bahawa di dalam perkara qazaf ada kedua-dua hak tersebut.

Mereka yang berpegang kepada pendapat bahawa qazaf itu adalah hak Allah, bermakna setelah perkara itu dibawa kepada pihak yang berkenaan (berwajib) maka ia tidak boleh dimaafkan lagi, yakni mangsa tuduhan tidak boleh memberikan pengampunan.

Pengampunan hanya boleh diberi sebelum kes tersebut dibawa kepada pihak yang berkenaan. Manakala mereka yang menyatakan bahawa qazaf itu adalah hak manusia, maka mangsa tuduhan diberi hak untuk memberikan pengampunan kepada orang yang dijatuhkan hukuman kerana kesalahan melakukan qazaf.

Hak Tuduhan Qazaf

Mereka yang berpendapat bahawa qazaf termasuk dalam kategori hak manusia, mengatakan bahawa orang yang menjadi mangsa mempunyai hak pengampunan ke atas orang yang melakukan jenayah qazaf.

Sekiranya orang yang menjadi mangsa qazaf masih hidup, maka hak membuat pendakwaan terserah kepadanya sendiri. Sekiranya ia telah meninggal dunia, maka hak tersebut berpindah kepada keluarganya yang terdekat, iaitu bermula daripada ayah hingga ke atas, kemudian berpindah kepada anak hingga ke bawah. Ia tidak berpindah kepada saudaranya yang lain, kerana perkara qazaf sangat berkait dengan maruah zuriat secara langsung.

Tiada ulasan:

Nuffnang