Selasa, 5 April 2011

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Kerajaan Selangor Cadang Bantu Rakyat Sarawak

Posted: 05 Apr 2011 03:10 AM PDT

SHAH ALAM 5 April - Kerajaan negeri bercadang menyalurkan bantuan melalui pelbagai saluran kepada penduduk Sarawak bagi membaik pulih beberapa kawasan di negeri tersebut menjelang Pilihanraya Sarawak pada 16 April nanti.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar ketika ditemui berkata, kesemua exco bersetuju untuk memberi bantuan kepada rakyat negeri Sarawak menerusi beberapa program yang dicadangkan di kawasan berkenaan.

"Bantuan ini adalah melalui kerajaan negeri di mana kita akan bina sebuah rumah panjang yang sebelum ini terbakar iaitu sebanyak 18 pintu. Selain itu, kerajaan negeri juga akan membina serta membaik pulih beberapa masjid dan surau untuk setiap kawasan masing-masing.

Dr Xavier menjelaskan, jumlah peruntukan yang bakal disalurkan kerajaan negeri kepada negeri Bumi Kenyalang itu adalah sebanyak RM500,000 dan ia akan dilaksanakan dalam masa terdekat.


Sumber: Selangorkini

Pendapatan PBT Selangor Meningkat

Posted: 05 Apr 2011 01:50 AM PDT

SHAH ALAM 5 April - Hasil kutipan pelbagai cukai di Selangor yang dijalankan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menunjukkan peningkatan positif sepanjang tiga tahun bermula dari tahun 2008 sehingga 2010.

Demikian jelas Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu dalam satu sidang media yang diadakan selepas mesyuarat Exco di Bangunan SUK.

Ronnie menjelaskan jumlah kutipan cukai yang dicatatkan sehingga 2010 adalah sebanyak RM864,192,484.

Katanya, pada 2008, hasil kutipan cukai yang diperoleh PBT adalah sebanyak 89.4 peratus dan merupakan antara pencapaian baik yang direkodkan, namun ia tidak terhenti di situ sebaliknya terus diperbaiki pada tahun 2009.

"Pada tahun 2009, kita mencapai kutipan cukai sebanyak 90 peratus. Pada 2010, jumlahnya meningkat sedikit kepada 90.7 peratus. Ini menunjukkan pada keseluruhannya kutipan cukai pintu dan lain-lain di Selangor telah dipertingkatkan," katanya.


Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan kepada PBT untuk membaik pulih beberapa kawasan pangsapuri dan jalanraya di Selangor sekiranya mereka memperolehi rizab.


Sumber: Selangorkini

Pemerdagangan Manusia : Kerajaan Selangor Gesa Putrajaya Tingkat Kerjasama

Posted: 05 Apr 2011 01:40 AM PDT

SHAH ALAM 5 April – Kerajaan negeri Selangor menggesa kerajaan persekutuan supaya memberikan hak sama rata dalam membanteras pemerdagangan manusia memandangkan ia adalah antara isu yang perlu ditangani bersama.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berkata, kerajaan persekutuan seharusnya memberi ruang kepada kerajaan negeri untuk mengetahui perkembangan terkini berhubung isu berkenaan.

Ini kerana jelas Rodziah, segala kes pemerdagangan manusia yang berlaku ketika ini mempunyai hubung kait antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

"Adalah tidak adil sekiranya kerajaan persekutuan tidak memberikan kebenaran atau hak kepada kerajaan negeri untuk mengetahui perkembangan terkini isu tersebut. Isu pemerdagangan manusia adalah sesuatu yang serius dan perlu ditangani bersama untuk kebaikan semua pihak," katanya.


Jelas beliau, kerajaan negeri Selangor masih tidak diberi akses untuk berjumpa mangsa dan mengetahui keadaan sebenar yang berlaku sehingga kini. Kementerian Dalam Negeri hanya membenarkan Kementerian Pembangunan Wanita untuk mengetahui perkembangan mangsa pemerdagangan.

Kata Rodziah, aspek perlindungan mangsa dan pendakwaan penjenayah pemerdagangan manusia seharusnya memerlukan interaksi, kerjasama dan hubungan berkesan di antara badan-badan yang diamanahkan.

Kerajaan negeri Selangor merupakan satu-satunya badan kerajaan yang telah mewujudkan unit anti pemerdagangan dinamakan Majlis Anti Pemerdagangan Manusia Negeri Selangor (Mapmas) dan Majlis Anti Pemerdagangan Orang (Mapo), selain turut melibatkan kerjasama jabatan dan agensi penguatkuasa serta Pihak-Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Tambahnya, langkah awal kerajaan negeri untuk memperkemaskan hubungan tersebut adalah dengan mewujudkan mekanisme berkesan dan aktif di peringkat PBT bagi menangani jenayah pemerdagangan manusia, seperti mewujudkan unit anti pemerdagangan manusia di setiap PBT.

"Usaha memberi kesedaran kepada ahli-ahli mesyuarat PBT telah dimulai dan mereka diharap akan menjadi mata dan telinga kerajaan negeri agar berupaya mengenal pasti amalan-amalan yang disyaki sebagai pemerdagangan manusia dan berupaya pula menghalang dan membanteras jenayah tersebut di peringkat komuniti," katanya.

Justeru Rodziah menjelaskan, dasar pengambilan pekerja asing yang berlandaskan persetujuan di peringkat kerajaan-kerajaan, akan dipastikan bagi mengelakkan elemen-elemen penipuan, ancaman dan seumpamanya dengan tujuan eksploitasi daripada syarikat-syarikat swasta atau lainnya.

"Pendekatan teliti kerajaan Selangor ketika ini ialah memastikan bahawa infrastruktur dalam bidang pendakwaan penjenayah dan perlindungan mangsa jenayah pemerdagangan manusia ini diperkemas dan berfungsi dengan berkesan.

Di samping itu, langkah proaktif dalam mensosialisasikan pengetahuan mengenai pemerdagangan manusia didedahkan kepada rakyat agar mereka juga menjadi agen membasmi jenayah keji pemerdagangan manusia," ujarnya.


Sumber: Selangorkini

Video Fitnah : Kenyataan Penuh Datuk Seri Wan Azizah Dan Nurul Izzah

Posted: 05 Apr 2011 01:30 AM PDT

Berikut kenyataan penuh Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar :

Semalam, video seks yang mula-mula disiarkan di Carcosa Seri Negara baru-baru ini telah ditayangkan sebahagiannya di laman web-laman web tukang sorak UMNO.

Keluarga kami telah diuji dengan pelbagai dugaan sejak 1998. Pelbagai fitnah dan tuduhan telah dilemparkan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim. Setiap tuduhan tersebut adalah sendirinya terlalu berat, tetapi Datuk Seri Anwar terpaksa melalui satu demi satu tuduhan yang busuk, jelek dan jijik.

Namun jika disenaraikan semua tuduhan tersebut, nyata sekali tidak masuk akal bagaimana Datuk Seri Anwar dapat melakukan kesemuanya yang bertentangan antara satu sama lain.


Dalam kes video terbaru ini, kami sekeluarga memutuskan untuk menonton sendiri rakaman tersebut.

Video tersebut adalah bukti paling kukuh bagi sesiapa yang benar-benar mengenali Datuk Seri Anwar bahawa tuduhan terbaru ini satu lagi fitnah zalim dan palsu.

Siapa lagi yang lebih mengenali beliau dengan begitu intim kalau bukan kami, keluarga terdekat beliau, yang telah bersama beliau dalam susah dan senang, khusus dari saat beliau berada di arus perdana kepimpinan negara hinggalah ke hari-hari beliau mulai pulih dari serangan apabila beliau dibebaskan daripada penjara.

Jelas kelihatan susuk tubuh badan pelaku dalam video tersebut amat berlainan daripada susuk badan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Hal ini diperkukuh lagi memandangkan sejak lebih setahun yang lalu, anak-anak Datuk Seri Anwar Ibrahim sering menemani beliau setiap kali beliau pergi melakukan aktiviti senaman dan fisioterapi selaku sebahagian daripada aktiviti pemuliharaan kesihatan tulang belakang.

Oleh itu, kami sekeluarga berpendirian bahawa keluarnya video ini adalah satu lagi contoh taktik politik lucah yang diangkat dan dijulang UMNO-Barisan Nasional. Kami menolak sekeras-kerasnya politik sebegini dan mengajak rakyat Malaysia dalam bersama menegakkan keadilan dan menolak politik kotor. Kembalikan agenda perjuangan menuntut reformasi menyeluruh dalam sistem politik, ekonomi dan sosial negara.

Kami ingat firman Allah s.w.t dalam surah Al-Buruj, ayat 10: "Sesungguhnya orang-orang yang memfitnah (membuat keburukan) kepada lelaki beriman dan perempuan beriman, kemudian (daripada kedurjanaan itu) mereka tidak bertaubat, maka bagi mereka azab neraka, dan bagi mereka azab yang membakar."

Dalam menghadapi dugaan ini, kami yakin ada hikmah di sebaliknya. Pendedahan sedutan video ini dibuat pada 4 April 2011 – ulangtahun ke-12 Parti Keadilan Nasional yang lahir daripada kegawatan politik negara.

Fitnah dan tohmahan ini berpunca daripada ketamakan terhadap kuasa dan politik yang sudah hilang nilai moralnya. Kita sewajarnya berbincang secara kritis perbezaan pandangan kita, bukan dengan serangan peribadi yang kotor dan hina.

Kami berharap semua rakyat tidak terperangkap dengan permainan UMNO-Barisan Nasional ini, sebaliknya meneruskan usaha menegakkan keadilan dan memperjuangkan kebenaran.


DATUK SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden Parti Keadilan Rakyat


NURUL IZZAH ANWAR
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat dan Ahli Parlimen Lembah Pantai


Ahli-ahli Keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim

Tiada ulasan:

Nuffnang