Khalid Samad |
Persoalan Penyelusupan dan Jamaah Dalam Jamaah Posted: 07 Apr 2011 05:47 PM PDT Ada seorang pengunjung telah bertanya pandangan saya berhubung perkara di atas. Jawapan saya adalah begini:- Sememangnya persoalan penyelusupan dan 'jamaah dalam jamaah' merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima oleh mana-mana jamaah. Apabila seseorang menyertai sebuah jamaah, semestinya ianya dilakukan secara ikhlas di mana kesetiannya terhadap jamaah tersebut merupakan satu perkara yang dituntut oleh jamaah berkenaan. Dia tidak boleh menjadi ahli dengan tujuan menggunakan jamaah berkenaan untuk matlamat yang ditentukan oleh sebuah jamaah atau persatuan yang lain. Tindakan sedemikian yang merupakan tindakan kepura-puraan adalah dikutuk dan sudah pasti ditolak oleh jamaah yang diselusupi sekiranya diketahui oleh ahli dan pimpinannya. Inilah di antara sebab mengapa di dalam perlembagaan PAS ianya jelas disebut bahawa seseorang ahli PAS tidak boleh menjadi ahli kepada parti politik lain selain dari PAS. Sekiranya ianya dilakukan, maka keahliannya akan gugur dengan sendirinya. Ini adalah kerana, dalam keadaan sebegitu, jelas wujud pertentangan kepentingan atau kesetiaan (conflict of interest) dan oleh itu ianya tidak dibenarkan. Namun demikian, keahlian di dalam NGO tidak dilarang. Ini adalah kerana seorang aktivis masyarakat perlu bergiat melalui berbagai wadah kearah pencapaian matlamat yang diinginkan oleh Islam, ia itu kewujudan sebuah masyarakat yang di dalamnya tertegak nilai dan sistem hidup Islam. Sehubungan dengan itu, seorang ahli PAS mungkin terlibat dengan NGO lain seperti persatuan pengguna, persatuan pekerja, peguam dan sebagainya. Penyertaannya adalah untuk menyampaikan risalah dan pendirian Islam di dalam NGO berkenaan. Dalam keadaan itu beliau mungkin dianggap sebagai seorang yang menyelusup ke dalam NGO berkenaan! Tanggapan ini adalah hanya benar sekiranya hakikat bahawa dia seorang ahli PAS dirahsiakan dan dia bergerak dengan tujuan untuk merosakkan persatuan tersebut dan menggagalkan pencapaian matlamat yang termaktub di dalam perlembagaannya. Sekiranya dia menyokong matlamat yang termaktub di dalam perlembagaan persatuan tersebut dan berusaha ke arah pencapaian matlamat berkenaan, maka ianya bukan dianggap suatu tindakan penyelusupan walaupun dia adalah ahli PAS. Sebaliknya ianya merupakan usaha ahli PAS, samada dengan pengetahuan PAS atau sebaliknya, untuk menyumbang kearah pencapaian sesuatu matlamat yang sesuai dengan Islam, dalam bidang atau pemantauan NGO atau persatuan tersebut. Dalam keadaan sebegitu, mungkin akan ada yang berkata, bagaimana sekiranya dia lebih menumpukan usahanya di dalam NGO berkenaan dan tidak dengan PAS? Jawapan saya, itu pilihannya dan tindakannya tidak bercanggah dengan perlembagaan PAS. Mungkin dia melihat dirinya lebih mampu menyumbang secara lebih berkesan di dalam NGO berkenaan di mana dia memegang jawatan dan diberi peranan kepimpinan sedangkan dia tidak mampu bertindak sebegitu di dalam PAS. Namun dia tetap menyokong PAS dan menjadi ahlinya. Selagi mana kegiatannya melalui NGO berkenaan tidak bercanggah dengan Islam dan tidak menjejas; tetapi sebaliknya menyumbang kepada matlamat perjuangan Islam dan PAS, maka tiada sebab ianya perlu dibantah atau dipersoalkan. Maka mungkin ada juga yang berkata bahawa dia lebih setia kepada NGO tersebut dan keahliannya di dalam PAS adalah sebagai 'agen' NGO berkenaan. Dia dan rakannya menyertai PAS atas arahan NGO berkenaan untuk menggunakan PAS demi kepentingan NGO tersebut dan wala'nya adalah kepada NGO itu dan tidak kepada PAS. Ini adalah semestinya satu tuduhan yang berat kerana ianya mempersoalkan keikhlasan disebalik keahlian seseorang. Sekiranya itu disyaki maka ianya perlu ditangani secara telus dan mengikut peraturan jamaah. Anggota tersebut perlu dirujuk kepada pimpinan kawasan di mana dia akan ditanya dan diberi peluang untuk memberi keterangan dan pembelaan. Sekiranya pimpinan kawasan mendapati bahawa penjelasan beliau tidak memuaskan maka dia perlu dirujuk kepada jawatan kuasa disiplin parti (Pusat) untuk disiasat secara lebih lanjut dan dikenakan tindakan sekiranya didapati benar. Sekiranya ianya terbukti bahawa dia menyelusup atas arahan sesebuah NGO atau persatuan dan mempunyai perancangan tertentu terhadap PAS, maka PAS perlu mengumumkan bahawa ahli NGO tersebut tidak akan diterima sebagai ahli PAS kerana ianya akan memudaratkan PAS. Sudah pasti ini akan dilakukan hanya setelah pimpinan PAS bertemu dengan pimpinan NGO berkenaan demi mengesahkan tuduhan tersebut. Pendirian sebegini terhadap NGO berkenaan akan terus berkuat-kuasa sehingga perancangan NGO berkenaan terhadap PAS ditamatkan oleh NGO tersebut. Semua tindakan tersebut perlu dilakukan secara telus dan mengikut peraturan. Ianya TIDAK boleh dilakukan secara bisik-bisikan di mana yang tertuduh tidak dapat membela diri. Sekiranya ianya dilakukan secara bisik-bisikan, maka sudah pasti ianya akan mengundang kezaliman dan penyalah-gunaan kuasa dan pengaruh. Sebagai sebuah jamaah Islam, kita mesti menentukan bahawa keadilan, lebih-lebih lagi kepada ahli kita sendiri, dilakukan dan jelas kelihatan dilakukan untuk menjamin terhalangnya fitnah. Dalam pepatah perundangan dikatakan 'Justice must not only be done but must be seen to be done'. Tindakan kempen bisik-bisikan oleh golongan tertentu di dalam PAS yang menganggap diri mereka sebagai 'PAS tulen' terhadap golongan yang menyertai PAS dari jamaah, persatuan atau kumpulan lain adalah satu tindakan yang saya tidak setuju. Ini pernah berlaku beberapa tahun dahulu. Malangnya ada yang terbawa-bawa dengan sikap sedemikian hingga ke hari ini. Dalam pengalaman saya, kempen sedemikian menzalimi orang yang dituduh kerana dia tidak diberi peluang membela diri dan pandangan songsang terhadapnya disebar melalui kempen bisik-bisikan yang tidak mengambil kira samada tuduhan tersebut adalah benar atau sebaliknya. Dalam masa yang sama, saya juga tidak boleh menolak kemungkinan ianya dilakukan pada masa itu oleh golongan yang berkepentingan yang melihat kedudukan mereka terjejas dengan kemasukan ahli-ahli baru yang lebih berkewibawaan dari diri mereka sendiri. Lagipun, istilah 'PAS tulen' adalah rekaan secara memandai sendiri tanpa pengesahan dan restu pimpinan. Dengan menggelar diri mereka sebagai 'PAS tulen' mereka menimbulkan perpecahan dan syak wasangka di dalam jamaah PAS. Sedangkan PAS sepatutnya menjadi kubu amalan husnuz Zan dan ukhuwwah. Bagi saya, semua yang berpegang kepada perlembagaan PAS dan menghayati dasar menerima AL-Quran, Sunnah, Ijma' dan Qiyas sebagai sumber perundangan dan hukum serta menyakini pendekatan 'muwajjahah silmiyyah melalui demokrasi adalah 'PAS tulen'. Tak perlulah kita memandai-mandai dengan menambahkan syarat yang melebihi syarat yang ditetapkan Islam serta kaedah dakwah yang dipilih PAS. Perbezaan pandangan dan pendapat yang pasti wujud ditangani melalui perbincangan dan perbahasan. Keputusan pula dibuat secara syura. Untuk mengelak dari penyalah gunaan jawatan dan kedudukan demi menghalang 'kumpulan' tertentu mara dalam jamaah melalui kempen bisik-bisikan, maka kaedah yang lebih telus perlu diamalkan. Sekiranya seseorang itu dituduh menjadi anggota NGO xyz, maka perlu dibuktikan bahawa :- 1. PAS menolak ahli dari NGO xyz sebagai ahli PAS atauSemua perkara tersebut perlu dilakukan secara telus dengan melibatkan pimpinan Pusat melalui jawatan kuasa disiplin parti. Sekiranya parti tidak memutuskan bahawa seseorang ahli NGO xyz tidak diterima sebagai ahli PAS, maka tiada sebab kita perlu memangsakan seseorang ahli PAS yang juga ahli NGO xyz. Kemungkinan penglibatan beliau dalam NGO berkenaan akan mampu menarik lebih ramai dari NGO berkenaan untuk menyertai atau menyokong PAS. Kaedah dan pendekatan yang sama perlu digunakan terhadap mereka yang digelar golongan 'sekular', Erdogan, Liberal dan bermacam-macam gelaran yang lain yang entah dari mana asalnya yang bertujuan untuk menimbulkan perpecahan dalam PAS. Sekiranya sesuatu pandangan tidak disenangi, tidak perlu di'label', yang perlu adalah hanya membentangkan hujjah mengapa pandangan tersebut tidak dipersetujui! Seterusnya ahli akan membahas dan mempertimbang pandangan tersebut. Saya yakin penyelusupan sepertimana yang disebut di atas tidak wujud kerana jamaah yang 'dikatakan' mempunyai perancangan sedemikian sudah berdaftar sebagi NGO dan bergerak secara terbuka dalam masyarakat. Ini merupakan suatu perubahan strategi yang telah berlaku di mana kaedah penyelusupan tidak lagi diguna pakai. Ianya digunapakai oleh jamaah yang ingin bergerak secara 'siir' atau bawah tanah. Ianya tidak digunapakai oleh jamaah yang bergerak secara terbuka dan ingin mendapat sokongan dari masyarakat melalui gerak-kerja terbukanya. Sebenarnya saya lebih khuatir dengan penyelusupan yang sebenar yang sedang berlaku, iaitu oleh pihak SB serta usaha adu-domba dan penyebaran fitnah 'saling sangsi' di antara satu sama lain yang dilakukan mereka. Dalam pada itu, sikap terbuka PAS perlu dipertahankan dan dengan itu perbezaan pendapat yang hasil dari perbezaan latar belakang dan pengalaman ditangani secara ilmiah dengan sikap saling hormat menghormati. Seperti yang saya sebutkan, dengan mengamalkan dasar syura, akhirnya pendapat individu tertentu diketepikan dan pendapat jamaah yang ditentukan melalui syura hendaklah diterima-pakai oleh semua. Sebagai contoh, bagi mereka yang pernah dan sedang mempunyai interaksi dengan ahli UMNO, pilihan untuk berkerjasama dengan UMNO tidak dilihat sebagai sesuatu yang keterlaluan. Ini adalah kerana interaksi mereka melalui majlis tahlil, tazkirah dan motivasi, di mana mereka dijemput untuk memimpinnya, memberikan mereka gambaran bahawa UMNO tidak jauh berbeza dengan PAS. Sebaliknya, bagi mereka yang sering dimangsakan UMNO serta ahlinya dan melihat niat jahat UMNO setiap hari, soal kerjasama dengan UMNO merupakan pilihan yang tidak boleh diterima. Persoalan ini boleh dibahas dan akhirnya diputuskan melalui syura tertinggi ia itu muktamar. Apabila ianya ditolak, seperti apa yang berlaku sebelum ini, maka mereka yang condong untuk berkerjasama wajib menamatkan usaha ke arah itu. Sekiranya disiplin berjamaah sebegini dapat diamalkan, maka PAS akan dapat maju kea rah matlamatnya tanpa masalah, insyaAllah. WaLlahu 'Alam KHALID SAMAD |
You are subscribed to email updates from Khalid Samad To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan