Direct Free Kick |
Posted: 31 Mar 2011 03:09 AM PDT PEMBERIAN AIR PERCUMA SECARA TERUS KEPADA PENDUDUK PEMBANGUNAN KOS RENDAH BERSTRATA. Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat-Yang Berhormat sekelian yang telah menyentuh tentang pemberian air percuma 20 meter padu kepada penduduk di pembangunan-pembangunan kos rendah. Saya mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan Yang Berhormat-Yang Berhormat terhadap nasib begitu ramai penduduk rumah kos rendah itu yang tidak mendapat air percuma kerana tidak mempunyai meter individu. Tindakan awal Kerajaan Negeri adalah untuk menggalakkan migrasi dari meter pukal kepada meter individu. Kerajaan Negeri telah mengadakan perbincangan dengan Syabas agar proses migrasi ini dapat dipercepatkan dan dipermudahkan. Kerajaan Negeri mahu Syabas melonggarkan syarat-syarat migrasi dan telah berlaku sedikit kelonggaran. Walau bagaimanapun, proses migrasi ini masih tidak cukup pantas. Masih ramai yang tidak mendapat air percuma. Oleh itu, tindakan seterusnya Kerajaan Negeri adalah untuk memperkenalkan sistem kupon. Penduduk rumah kos rendah telah diberi kupon melalui pemaju, Management Corporation (MC), Joint Management Body (JMB) dan ejen pengurusan bagi mereka mendapatkan untuk air percuma. Walau bagaimanapun, proses ini juga merumitkan. Oleh itu, Kerajaan Negeri telah membuat keputusan untuk memberi potongan terus kepada bil-bil di meter pukal. Potongan ini adalah berdasarkan jumlah unit yang didiami di pembangunan tersebut. Pemaju, Management Corporation (MC), Joint Management Body (JMB) dan ejen pengurusan apabila mengeluarkan bil-bil kepada penduduk akan memotong jumlah potongan yang telah diberikan oleh Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor dan Pihak Berkuasa Tempatan akan menyiapkan satu senarai yang menyatakan jumlah unit yang didiami bagi setiap pembangunan kos rendah di Selangor. Selain itu, satu kempen penerangan besar-besaran akan dilancarkan bagi memaklumkan penduduk pembangunan kos rendah tentang potongan kepada bil-bil mereka atau pemberian air percuma secara terus kepada mereka ini. Ini untuk mengelakkan pemaju, Management Corporation (MC), Joint Management Body (JMB) dan ejen pengurusan tidak memberi potongan kepada bil-bil penduduk. Kerajaan Negeri akan melaksanakan pemberian air percuma ini sebaik sahaja mendapat maklumat jumlah unit-unit yang didiami bagi pembangunan-pembangunan kos rendah itu. Ini bermakna pemberian air percuma di bawah skim ini akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat. Walau bagaimanapun terdapat satu masalah yang akan timbul di dalam perlaksanaan skim ini. Terdapat pembangunan yang tidak mempunyai pemaju, Management Corporation (MC), Joint Management Body (JMB) dan ejen pengurusan. Di dalam hal ini, Kerajaan Negeri akan mengenalpasti pihak yang akan bertanggung jawab untuk mengendalikan potongan kepada bil-bil mereka. Salah satu alternatif adalah melalui persatuan penduduk. Buat permulaan Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM5 juta untuk melaksanakan skim ini. Ianya akan ditambah menurut keperluan iaitu apabila lebih banyak pembangunan dapat dikenalpasti untuk dimasukkan ke dalam skim ini. Kerajaan Pakatan Rakyat amat prihatin kepada kebajikan rakyat dan akan sentiasa berusaha untuk membantu rakyat di negeri ini. Iskandar A. Samad Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Negeri Selangor 31 Mac 2011 |
You are subscribed to email updates from Direct Free Kick To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan