Isnin, 7 Mac 2011

Direct Free Kick

Direct Free Kick


Bersama ikon sukan Muslim

Posted: 07 Mar 2011 01:47 AM PST

Sempat bertemu Nor Azlan Abu Bakar, bekas pemain hoki kebangsaan semasa sukan SRI dan SMI Al-Amin di UIAM, Gombak 5 Mac lepas.

Nor Azlan sekarang adalah jurulatih pasukan hoki remaja kebangsaan.

Semasa bermain untuk pasukan kebangsaan di Sukan Olimpik dan Sukan Asia beliau sentiasa menutup aurat dengan memakai tights dan juga memakai kopiah hitam. Kopiah hitam di atas padang hoki? Ya betul. Memang itulah trade mark beliau.

"Ini bukan duit saya"

Posted: 06 Mar 2011 11:11 PM PST

Ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Badan Kebajikan Silaturrahim (BKS) di Kg. Pandan pada 27 Februari lepas, saya telah menyatakan bahawa RM2,000 yang Pejabat ADUN sumbangkan kepada persatuan itu untuk tahun ini adalah bukan duit saya. Tetapi ia adalah sebahagian dari peruntukan tahunan dari Kerajaan Negeri untuk saya sebagai Exco dan ADUN. Semua ADUN dan Exco Pakatan Rakyat mendapat peruntukan ini.

Peruntukan ini adalah untuk majlis, sambutan, kursus, sumbangan, kemudahan awam dan keperluan lain.

Peruntukan ini dikawal oleh Pejabat-Pejabat Daerah.

Bagi kami di Chempaka, program-program dilaksanakan dulu dan tuntutan dibuat selepas itu. Kerajaan Negeri telah memberi modal pendahuluan bagi setiap ADUN atau 'float' sebanyak RM30,000. Oleh itu, kami akan menggunakan duit 'float' ini untuk program-program dan akan membuat tuntutan kepada Pejabat Daerah kemudian. Tuntutan ini apabila telah diterima dari Pejabat Daerah akan dimasukkan semula kepada akaun 'float' supaya jumlahnya kembali kepada jumlah asal.

Tetapi kadang-kala duit 'float' ini tidak mencukupi kerana tuntutan-tuntutan dari Pejabat Tanah belum lagi diterima. Maka terpaksalah mencari duit lain untuk program-program itu. Kadang-kala Pejabat ADUN terpaksa menggunakan duit saya terlebih dahulu atau meminjam duit Parti seperti duit PAS Kawasan atau duit Dewan Muslimat PAS Kawasan. Atau jika program itu dibuat bersama masjid, surau atau persatuan penduduk, kami meminjam duit mereka dahulu. Ia akan dibayar selepas menerima tuntutan.

Begitulah dengan sumbangan-sumbangan, jika duit 'float' tidak mencukupi maka terpaksalah membuat permohonan dahulu sebelum sumbangan-sumbangan itu dapat dihulurkan. Ada yang bertanya kenapa memakan masa, jawapannya ini duit rakyat tentulah tidak boleh dikeluarkan sesuka hati.

Begitu juga dengan projek-projek kemudahan awam. Perlu menghantar sebutharga terperinci untuk kelulusan Pejabat Daerah kecuali yang dibeli melalui sumbangan. Pembayaran hanya dibuat setelah kerja-kerja selesai dilaksanakan. Di antara kemudahan-kemudahan awam atau peralatan untuk rakyat yang telah kami sediakan adalah pondok menunggu bas, gelanggang reflexology, gelanggang sepak takraw, lampu limpah untuk gelanggang sukan, padang futsal, pejabat untuk persatuan, tong-tong sampah untuk pangsapuri, lampu untuk tempat letak kereta, peralatan permainan kanak-kanak, wakaf untuk rekreasi, menurap jalan, membaik pulih bangunan, kerusi roda dan peralatan sukan.

Bagi sumbangan-sumbangan, yang diberi keutamaan adalah kepada persatuan, sekolah, masjid, surau dan permohonan berkelompok yang lain.

Contohnya setiap Ramadhan kami akan mengagihkan sumbangan RM1,000 kepada setiap surau untuk 38 surau di DUN Chempaka dan RM2,500 kepada setiap masjid bagi 2 masjid di DUN Chempaka. Malah pada bulan Ramadhan tahun lepas kami telah mengagihkan RM300 untuk masjid dan surau di DUN Teratai.

Sumbangan kepada individu pula dilakukan oleh Lembaga Zakat Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Ada yang bertanya kenapa bila sumbangan diminta dari ADUN tetapi sumbangan yang diterima datangnya dari Lembaga Zakat atau pemohon diminta memohon dari Lembaga Zakat.

Sumbangan dari Kerajaan Negeri diagihkan melalui pelbagai saluran. Di antaranya adalah melalui ADUN dan Lembaga Zakat. Oleh itu, ada sumbangan yang diagihkan melalui ADUN dan ada yang melalui Lembaga Zakat. Maka jika Lembaga Zakat memberi sumbangan dan ADUN tidak maka janganlah dianggap ADUN tidak membantu. Kedua-duanya adalah sebahagian dari Kerajaan Negeri.

Hanya dalam kes-kes hidup atau mati, kes-kes kritikal dan kes-kes terdesak, sumbangan akan diberi kepada individu dari peruntukan ADUN atau Exco.

Dalam banyak kes kami akan cuba membantu dengan cara yang lebih praktikal. Contohnya ada yang mengadu terpaksa keluar dari rumah kerana telah 6 bulan tidak membayar sewa. Beliau mahu kami membayar tunggakan sewa supaya dapat terus tinggal di situ. Tetapi apa guna terus tinggal di situ jika tidak mampu bayar sewa bulanan? Dalam masa 6 bulan beliau akan datang kembali kepada kami memohon bantuan.

Oleh itu, lebih praktikal kami mencarikan beliau rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang sewanya jauh lebih murah.

Ada juga yang meminta bantuan kewangan kerana tidak ada pekerjaan. Tindakan kami adalah untuk mencarikan beliau kerja melalui program 'Jom Kerja' Kerajaan Negeri Selangor atau saluran-saluran lain selain merujuk mereka kepada Lembaga Zakat atau JKM.

Kenapa saya menceritakan semua? Adakah untuk menunjuk-nunjuk. Sama sekali tidak.

Sebabnya adalah baru-baru ini dibangkitkan oleh orang UMNO bahawa Pejabat ADUN telah menganjurkan program Maulidur Rasul bersama Masjid Nurul Hidayah, Kg Pandan Dalam tetapi ADUN tidak keluar duit. Guna duit masjid. Orang UMNO itu menyindir kononnya ADUN tidak ada duit.

Saya hairan kenapa orang UMNO tidak tahu ADUN mendapat peruntukan tahunan. Peruntukan untuk ADUN dan Exco di Selangor telah wujud sejak zaman BN lagi. Kenapa ada orang UMNO yang tidak tahu tentang peruntukan ini?

Mungkin ADUN UMNO yang dulu tidak pernah memberitahu ahli-ahli mereka tentang peruntukan ini. Sebelum ini, kita sebagai rakyat juga tidak tahu akan peruntukan ini. Oleh itu, persoalan kedua adalah ke mana duit ini telah dibelanjakan?Adakah duit ini sampai kepada rakyat?

Ketika Pakatan Rakyat mengambil alih Negeri Selangor, kami mendapati peruntukan-peruntukan bagi kebanyakan ADUN-ADUN untuk tahun 2008 telah hampir habis. Ada yang sehingga 90 peratus.

Peruntukan bagi ADUN-ADUN Selangor adalah RM500,000 setahun dan bagi Exco RM100,000. Jika 90 peratus telah dihabiskan, ini bermakna RM400,000 telah dibelanjakan. Jumlah ini pula dibelanjakan dalam tempoh satu bulan setengah kerana Parlimen dibubarkan pada akhir bulan Februari.

Hebat betul ADUN-ADUN BN. Boleh menghabiskan hampir setengah juta dalam masa kurang dari 60 hari. Tetapi yang menghairan adalah kita sebagai rakyat tidak dapat merasakan duit itu dibelanjakan. Mana dia program mesra rakyat ADUN? Apakah kemudahan awam yang disediakan oleh ADUN?

Saya tidak mahu menuduh tetapi seorang pembantu kepada ADUN Teratai yang lama pernah ditahan kerana membuat tuntutan-tuntutan palsu. Katanya telah disumbangkan peruntukan-peruntukan kepada surau-surau tetapi duit itu tidak sampai.

Iskandar A. Samad
7 Mac 2010

Tiada ulasan:

Nuffnang