Nuffnang

Philosophy Politics Economics

Posted by Admin Direktori Blog | Posted on 9:35 PTG

Philosophy Politics Economics


Jaminan Hishamuddin Untuk KLIA2 Tidak Meyakinkan

Posted: 10 Jul 2013 05:58 PM PDT

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishamuddin Hussein telah memberikan jaminan bahawa lapang terbang kos rendah KLIA2 akan bermula operasi pada 2hb Mei 2014 dan tidak akan ditunda lagi.  Malangnya jaminan beliau langsung tidak menyakinkan kerana beberapa jaminan serupa telah diberikan oleh Menteri-Menteri sebelum ini.

Malah, Perdana Menteri sendiri, Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan selewat-lewatnya pada 5hb Januari tahun ini bahawa KLIA2 akan sedia beroperasi pada 28hb Jun, walaupun kerja-kerja pembinaan akan siap pada bulan Mei, sebulan sebelum pelancaran.

"Ia sepatutnya siap Mei ini. Saya sudah menyuarakan pandangan kita tidak perlu tergesa-gesa membuka KLIA2 (apabila ia siap). Tetapi sebagai mana disasarkan, saya memutuskan ia harus bertepatan tarikh pembukaan KLIA (sebelum ini) iaitu pada 28 Jun (1998)."

Pengarah Urusan MAHB Tan Sri Bashir Ahmad pada masa yang sama mengalu-alukan keputusan Perdana Menteri dan berkata semua isu berkaitan dengan lapangan terbang baru itu dijangka diselesaikan sebelum tarikh pembukaan.

Akan tetapi, bukan sahaja KLIA2 tidak dapat dilancarkan pada bulan lalu, projek tersebut ditunda selama 1 tahun akibat pembinaan yang lewat.  Kalaulah jaminan daripada Perdana Menteri pun tak boleh pakai, rakyat Malaysia tidak mungkin dapat menerima jaminan Menteri Pengangkutan yang baru bahawa KLIA2 dapat siap 1 tahun kemudian secara bulat-bulat.

Kita dapat perhati bahawa sikap MAHB selama ini adalah untuk menuding jari kepada pihak lain selama ini tanpa mengakui bahawa keputusan-keputusan MAHB untuk memindahkan tapak KLIA2 dan juga ketidakcekapan pengurusan projek telah menyebabkan penundaan projek berkali-kali sejak tarikh asal pada September 2011, lebih kurang 2 tahun yang lalu.

Sehingga minggu lalu, MAHB melalui Pengurus Besarnya, Datuk Azmi Murad telah menyalahkan pihak AirAsia kerana berkeras dalam permintaan mereka untuk sistem bagasi berotomatik, pihak Jabatan Penerbangan Awam yang meminta supaya satu menara kawalan baru dibina dan pihak kontraktor terminal utama, UEM-Bina Puri JV atas kelewatan pembinaan.

Kesemua pihak di atas telah menafikan tuduhan daripada MAHB dan rakyat masih berkabur dan tidak mendapat kebenaran dalam skandal yang telah memakan perbelanjaan sebanyak RM4 billion ini.

Akan tetapi, yang paling penting sekali adalah percanggahan antara penundaan selama 1 tahun projek dan kadar persiapan pembinaan yang dikatakan sudah mencapai tahap 93%.  Jika KLIA2 pada keseluruhannya telah mencapai persiapan 93%, mengapa kita memerlukan 1 tahun lagi sebelum lapangan terbang yang baru ini dapat dilancarkan?

Kami nak tanya kepada pihak MAHB mengapa kontraktor-kontraktor lain untuk Menara Kawalan (Control Tower), kawasan persinggahan kapal terbang (apron) dan juga landasan penerbangan (runway), yang kesemuanya masih belum siap hari ini, tidak pernah dibangkitkan oleh MAHB?  Apakah sebabnya kontraktor-kontraktor ini yang termasuk KUB Berhad tidak dikenakan "Liquidated Ascertained Damages" (LAD), seperti tindakan yang diambil ke atas UEM-Binapuri?

KUB, iaitu kontraktor untuk landasan penerbangan, telah mengakui pada 6hb Jun 2013 bahawa kerja hanya siap 80% sahaja. Adakah kontraktor-kontraktor tertentu diberikan layanan istimewa atau perlindungan luarbiasa oleh MAHB?

Sehingga hari ini, walaupun perkara ini telah dibangkit berkali-kali, pihak MAHB atau kementerian masih tidak menjawab bila kerja-kerja Control Tower, apron dan runway akan disiapkan.

Sikap kerahsiaan daripada MAHB dan kementerian menunjukkan bahawa segala jaminan yang diberi oleh kedua-dua pihak adalah jaminan kosong dan ada isu-isu besar yang ingin dikuburkan supaya rakyat tidak akan mengetahui kebenaran atau pihak yang bersalah tidak akan dikenakan sebarang hukuman.

Oleh itu, tindakan Datuk Seri Hishamuddin untuk menubuhkan satu jawatankuasa baru, yang sepatutnya ditubuhkan 2 tahun yang lalu, yang akan diketuai oleh Timbalan Menteri Datuk Abdul Aziz Kaprawi untuk memantau projek KLIA2, merupakan tindakan yang tidak mencukupi.

Kami sekali lagi menyeru supaya Datuk Seri Hishamuddin akan menubuhkan satu jawatankuasa siasat yang BEBAS untuk memberikan kebenaran kepada rakyat Malaysia yang cukup kecewa dengan kedudukan KLIA2.  Jika MAHB menganggap bahawa mereka tidak bersalah, mereka patut menyetujui cadangan daripada Pakatan Rakyat kerana siasatan tersebut akan membuktikan kepada semua bahawa mereka telah menjalankan tanggungjawab mereka secara telus dan cekap.  MAHB sepatutnya berani kerana benar.

Comments posted (0)

YB BN

YB PAS

YB PKR

YB DAP