Sabtu, 13 Julai 2013

Nurul Izzah Anwar

Nurul Izzah Anwar


Nurul Izzah: Pakatan fail saman terhadap SPR berhubung dakwat kekal Isnin ini

Posted: 13 Jul 2013 01:57 AM PDT

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK
JULY 13, 2013

Nurul Izzah Anwar mengumumkan Pakatan Rakyat (PR) akan memfailkan saman kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Isnin ini berhubung isu kemelut dakwat kekal yang mencetuskan kontroversi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf dan timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar membuat kenyataan palsu berhubung dakwat kekal serta kandungan nitrat perak yang terkandung dalam dakwat berkenaan.

"Kami mempunyai bukti dan dokumen yang cukup untuk menyaman SPR.

“Mereka tidak boleh menukar kenyataan berhubung kandungan nitrat perak daripada lima ke tujuh peratus ke satu peratus dan kemudiannya mengumumkan hanya pewarna makanan," katanya dalam satu forum yang diadakan di Kuala Lumpur hari ini.

PR akan mengumumkan secara rasmi mengenai saman itu dalam satu sidang akhbar di Parlimen pada Isnin.

Naib Presiden PKR itu juga menyifatkan kegagalan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) dalam membawa 22 syor PR dalam penambaikan perjalanan pilihan raya adalah disebabkan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) mempunyai suara majoriti sekaligus mengetuai suruhanjaya berkenaan.

"BN mempunyai ahli yang ramai dalam suruhanjaya berkenaan manakala Ahli Parlimen PR mempunyai suara sedikit bagi membantah usul yang diutarakan suruhanjaya berkenaan.

"Cadangan ahli parlimen PR seperti Dr Mohd Hatta Ramli, (Mohamed) Azmin Ali dan Anthony Loke tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada PSC. Cadangan yang dikemukakan seperti pendaftaran pengundi secara automatik apabila berumur 21 tahun dan parlimen dibubarkan selepas empat tahun berlangsung turut tidak dilaksanakan," katanya ketika berucap di siri seminar pasca pilihan raya yang dianjurkan Majlis Peguam, hari ini.

Beliau menggesa SPR supaya lebih telus dalam menjalankan proses persempadanan semula yang dijangka dilakukan pada penghujung tahun ini.

"SPR dilihat cenderung memberi kemenangan kepada BN dengan memperluaskan kawasan yang dimonopoli mereka seperti memecahkan kawasan di Sungai Besar, Selangor namun menyatukan kawasan yang tidak diungguli mereka dengan mencantumkan kawasan parlimen Ampang dan Pandan," katanya.

Antara syor yang diketengahkan PSC pada April tahun lalu ialah memberi kemudahan kepada rakyat Malaysia di luar negara sama ada mengundi di perwakilan Malaysia atau secara pos; memberi kemudahan mengundi secara pos kepada petugas SPR dan media serta membenarkan pra pendaftaran seseorang warganegara untuk didaftarkan sebagai pemiilih apabila mencapai umur 20 tahun. – 13 Julai, 2013.

Tiada ulasan:

Nuffnang