Sabtu, 13 Julai 2013

DUN BUKIT PAYONG

DUN BUKIT PAYONG


Umno humbankan peluang dan harapan rakyat Terengganu untuk mempunyai Exco Agama

Posted: 12 Jul 2013 11:46 PM PDT


Oleh : Mat Teropong
Bismillahir rahmaanir rahiim
Setelah berteka-teki dengan siapa calon yang akan memikul amanah parti masing-masing, maka semalam pemutus kepada persoalan itu terjawab dengan kedua-dua calon parti telah diterima SPR tanpa ada pihak ketiga yang menjadi pengacau daun. PAS dan Umno telah mengemukakan calon mereka dan tanpa bantahan dari mana-mana pihak, SPR dengan rasminya mengisytiharkan pertandingan PRK Kuala Besut kali ini satu lawan satu. Endut @ Azlan Yusof dari PAS (kanan) dan Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman dari Umno.
Tradisi berakar umbi penduduk di DUN Kuala Besut yang mana kebanyakan mereka terdiri dari nelayan, melayu dan sedikit terpinggir dari pembangunan, maka isu-isu yang akan lebih tertumpu kepada isu-isu kemiskinan, perumahan,  tanah, subsidi dan pelbagai isu kekampungan bagi menarik undi dari penduduk.  Dan tentulah juga isu agama akan menjadi salah satu isu besar kerana penduduk di Kuala Besut hampir semuanya beragama Islam.
Pemilihan Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman sebagai calon Umno sedikit sebanyak mengejutkan banyak pihak termasuk rakyat Terengganu secara keseluruhannya kerana latarbelakangnya yang berkelulusan kejuruteraan awam dan menjawat jawatan Ketua Penolong Pengarah, Seksyen Perhubungan Awam Bahagian Koperat Jabatan Pengairan dan Saliran, jelas dia bukan berpendidikan agama kerana mengikut laporan beberapa akhbar sehari sebelum pengisytiharan nama calon Umno dilakukan oleh Tan Sri Muhyidin, nama beliau dilaporkan tiada dalam senarai pendek. Yang ada hanyalah Nik Suhaiza Ismail dan Zahanapi Sagaf, AJK Umno Bahagian Besut.
Tidak seperti salah seorang nama yang juga hangat disebut yang akan mewakili Umno iaitu Nik Zuhaiza Nik Ismail, Bekas Kadhi Besut yang sekarang menjadi Pegawai Agama Dungun. Dengan jawatan yang Nik Suhaiza sandang maka amat nyata bahawa dia seorang yang berkelulusan agama. Sepertimana yang kita sedia maklum, Terengganu sehingga sekarang masih tidak mempunyai exco agama dalam pentadbirannya. Bukan kerana tidak mahu tetapi tidak ada seorangpun dari  Adun-Adun dari Umno yang layak menjawat jawatan itu. Lihat sajalah perbahasan di Sidang DUN Penggal Pertama baru-baru ini, bagaimana seorang exco yang mendakwa dia akan menjawab persoalan agama, tercungap-cungap menjawab persoalan YB Pas dari Paka berkenaan pemberhentian penghantaran pelajar ke Mesir dalam bidang agama. Sehinggakan MB terpaksa bangun menjawab bagi menyelamatkan keadaan, walaupun jawapannya juga "kelabu".
Ustaz Ramli Nuh yang diharapkan menjadi exco agama, tersungkur di Tepoh terkena pukulan pendatang baru dari PAS, Ustaz Hishamuddin Karim. Ustaz Khazan, tak diketahui kenapa tidak dicalonkan semula di Dun yang Umno "boleh menang" iaitu Batu Rakit. Atau mungkin kerana dia orang Idris? Entahlah. Yang pastinya semua calon-calon dan YB-YB Umno dalam PRU 13 lalu selain dari dua orang ustaz itu, semuanya tidak berkelayakan dalam bidang agama. (Gambar kanan Ramli Nuh dan Khazan sedang meraikan jemaah haji yang berangkat ke Tanah Suci Mekah)
Maka peluang yang hadir di depan mata Umno dengan harapan yang menggunung rakyat Terengganu agar seorang exco yang menjaga hal-hal berkaitan agama akan dilahirkan dengan tersenarainya nama Nik Suhaiza akhirnya ranap, musnah, hancur lebur dek kerana permainan politik Umno Terengganu. Dengan majoriti yang sangat selesa sebanyak 2434 dan boleh dikatakan Kuala Besut ialah kubu Umno maka apakah lagi alasan untuk Umno meminggirkan seorang yang berlatar belakangkan agama bagi mengisi jawatan exco agama?
Begitulah nilai agama disisi Umno, tiada yang lebih tinggi melainkan percaturan politik yang dimainkan bukan sahaja untuk berhadapan dengan musuh yang nyata di luar parti mereka, malahan lebih-lebih lagi mereka akan memerangi musuh-musuh yang seselimut dengan mereka yang bagi mereka musuh seselimut inilah yang lebih bahaya dari musuh di luar.Dan untuk menang dalam pertembungan sesama sendiri, apa sahaja akan mereka korbankan termasuklah agama. Kalau tidak, masakan mereka sanggup "cah keting" sesama mereka jika sekiranya orang yang mereka inginkan menjadi calon tidak terpilih. Bukankah itu budaya Umno? Saya tidak menulis kosong, tapi bukti yang telah lama diketahui rakyat sehinggakan pemimpin-pemimpin mereka sendiri runsing dan berbincang secara terbuka perihal "cah keting" ini. PRK Kuala Besut ini mungkin acara "cah keting" blok utara dan selatan sekaligus mengenepikan peluang mewujudkan exco agama yang mana ianya juga sebenarnya hak rakyat beragam Islam di Terengganu. Blok utara mungkin sengaja memilih calon ini agar kelihatan pentadbiran Terengganu sekarang lemah dalam menjaga agama......mungkin?
Yang mereka kejarkan hanyalah pembangunan material dan bukan kerohanian sepertimana yang Allah dan rasul ajarkan. Bagi mereka semakin miskin rakyat dengan agama maka akan lebih mudahlah bagi mereka untuk menguasai minda rakyat. Akan tetapi apabila rakyat kaya dengan kefahaman agama dan mengamalkan prinsip agam Islam ini, maka mereka akan merasa cemas kerana rakyat akan mempunyai kekuatan dan ketahanan agama iaitu senjata yang paling ampuh bagi melawan asakan-asakan minda yang memesongkan tujuan hidup ini iaitu untuk beribadat kepada Allah. Inilah sebenarnya penekanan dalam politik PAS.
Maka tiadalah alasan bagi rakyat Kuala Besut dalam PRK ini kecuali menghukum parti yang tidak ada dalam pemikiran mereka tentang Islam. Dengan mudah sahaja mereka melepaskan peluang untuk mewujudkan exco agama kerana jawatan exco agama ini sangat penting bagi menjaga pentadbiran agama Islam kerana Islam adalah nyawa dalam pentadbiran kita di negeri Darul Iman ini. Maka inikah parti yang mencanangkan menegakkan Islam? Sudahlah YB-YB yang ada tak layak untuk jadi exco agama, bila datang peluang, dihumbankannya pula. Jadi marilah sama-sama kita "mengajar" Umno agar sedar diri bahawa kita mencintai agama kita.

Tiada ulasan:

Nuffnang