N50 Dun Sri Muda |
- PRK Kuala Besut: Kempen Dengan Tenang Bagi Menghormati Ramadhan
- Perutusan Ramadhan Ketua Umum & Presiden
- EXCO Selangor Boleh Isytihar Harta - TSKI
- Cukong Halim Saad Saman Kerajaan RM 2 Bilion
PRK Kuala Besut: Kempen Dengan Tenang Bagi Menghormati Ramadhan Posted: 10 Jul 2013 09:29 PM PDT KUALA BESUT: Penduduk Kuala Besut berharap kempen parti politik sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut diadakan secara sederhana terutamanya bagi memelihara kemuliaan bulan Ramadan. Menurut penduduk tempatan yang ditemui Bernama, tanpa kempen 'keterlaluan' pun pengundi tetap akan membuat pilihan dengan kecenderungan memihak kepada calon yang bijak berkempen secara berhemah seperti menjaga percakapan dan bahasa yang digunakan. Peniaga kedai runcit di pekan Kuala Besut, Wee Shin Ai @ Wee Ew Hwa, 60, berkata rakyat kini bijak menilai dan lebih menghormati calon 'matang' yang tidak menyerang peribadi lawan, sebaliknya memaklumkan agenda pembaharuan jika terpilih menjadi wakil rakyat. "Tidak perlu cakap banyak, cuma ambil tahu apa yang rakyat mahu. Di sini tidak ada bank komersil, menyebabkan kami terpaksa pergi ke Jerteh untuk urusan bank setiap bulan terutamanya bagi mereka yang menjalankan perniagaan," katanya. Wee berkata kekurangan bank komersil perlu diatasi memandangkan Kuala Besut merupakan laluan masuk ke destinasi pelancongan terkenal Pulau Perhentian, menyebabkan pelancong termasuk dari luar negara mengalami kesukaran mengeluarkan wang tunai. Kempen bersederhana juga dipersetujui pemandu pelancong Azwee Pin, 37, yang berharap bandar kecil itu tidak dibanjiri terlalu ramai orang luar bermula hari penamaan calon pada Jumaat ini sehingga hari mengundi kerana ia boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas. Pelancong asing Tambahan pula menurut anak jati Kampung Gertak Seratus di sini, jumlah kehadiran pelancong asing tinggi bulan ini terutamanya dari negara Eropah yang bercuti sempena musim panas. "Jalan di sini kecil. Jika ramai datang untuk tolong kempen, kami akan ada masalah membawa pelancong yang datang dari Kota Baharu (Kelantan) untuk menaiki bot ke Pulau Perhentian kerana perjalanan yang selalu mengambil masa sejam boleh bertambah," katanya. PRK DUN Kuala Besut diadakan ekoran kematian penyandangnya Dr A Rahman Mokhtar, 64, akibat kanser paru-paru pada 26 Jun lalu. SPR menetapkan hari penamaan calon Jumaat ini manakala 24 Julai sebagai hari pengundian. Barisan Nasional (BN) mengumumkan anak tempatan Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, seorang jurutera awam Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebagai calon bagi menggalas cabaran mengekalkan penguasaan BN bagi PRK DUN Kuala Besut dengan PAS menamakan Endot@Azlan Yusof, seorang kontraktor sebagai calon parti itu. Bagi pengundi muda Tuan Nur Shafikah Alia Tuan Nor, 22, dari Kampung Nail di sini, beliau berharap penyokong parti terutamanya dari luar tidak akan berkempen secara keterlaluan sehingga tidak mencerminkan budaya orang pantai timur. Katanya calon juga perlu bijak mengawal penyokong mereka dan kebolehan berbuat demikian dapat menjadi 'mata penentu' untuk rakyat tempatan mengundi mereka pada 24 Julai nanti. Sementara itu, pekerja am Jeti Kuala Besut, Suhaibah Muda, 45, berkata beliau berharap PRK pertama sejak PRU13 itu dijalankan secara bersederhana termasuk dari segi kewangan dan tidak menggunakan surau atau masjid sebagai medium berkempen. "Tak perlu buat (kempen) besar-besaran, sampai pasang banyak bendera di setiap penjuru jalan. Ini bulan molek (baik) lebih baik berjimat dan duit itu digunakan untuk bantu orang susah terutama apabila hendak raya nanti," katanya. Beliau yang berasal dari Kampung Alor Teratai di sini, juga berharap calon tidak hanya mesra rakyat dalam tempoh berkempen, sebaliknya terus meletakkan permasalahan penduduk sebagai agenda utama selepas menang. "Kita duduk di kampung, tapi masih mahu pembangunan untuk golongan muda. Sebab itu perlu wakil yang senang untuk jumpa. Kempen kecil pun, jika pandai ambil hati, pasti orang Kuala Besut akan pangkah," katanya. - Bernama |
Perutusan Ramadhan Ketua Umum & Presiden Posted: 10 Jul 2013 09:09 PM PDT Alhamdulillah, dengan izinNya maka kita dapat memulakan ibadah Ramadhan untuk sekalian kalinya tahun ini. Saya dan Azizah mengambil kesempatan ini mewakili keluarga dan seluruh kepimpinan KEADILAN mengucapkan selamat menyambut Ramadhan Kareem 1434H kepada seluruh umat Islam di Malaysia. Ramadhan adalah bulan pembersihan dan penyucian jiwa dan Allah memberi ruang secukupnya untuk kita memanfaatkannya. Justeru wajarlah digunakan segenap masa sebaiknya agar Ramadhan benar-benar memberi makna kepada kita semua. Akhir sekali, saya menyeru kepada seluruh umat Islam agar kuatkan iltizam, istiqamah dalam perjuangan, lipatgandakan amalan dan teruskan berdoa untuk keselamatan saudara-saudara Islam kita di Palestin, Syria dan Mesir. (Perutusan Ramadhan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail). |
EXCO Selangor Boleh Isytihar Harta - TSKI Posted: 10 Jul 2013 09:02 PM PDT Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak menghalang mana-mana exco kerajaan Selangor yang mahu mengisytihar seluruh harta mereka walaupun ia dirasakan tidak sesuai. "Kami tidak akan menyekat mana-mana individu yang mahu menghebahkan kepada awam keseluruhan harta yang diperolehi sebelum dan selepas menjawat jawatan walaupun ia mungkin tidak sesuai untuk dilakukan," katanya dalam satu kenyataan petang ini. Khalid sebelum ini mengumumkan semua exco hanya dikehendaki mengumumkan harta yang diperolehi selepas dilantik ke jawatan masing-masing. Menurutnya, exco negeri tidak perlu mengumumkan harta mereka yang dikumpul sebelum lantikan kerana faktor keselamatan. Pengumuman itu bagaimana pun ditempelak Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang menyifatkannya sebagai alasan sama yang digunakan BN untuk tidak mengisytihar harta mereka. "Kita menghargai keprihatinan saudara Lim Guan Eng dan DAP berkenaan isu ketelusan yang melibatkan pengisytiharan harta anggota exco kerajaan Selangor," kata Khalid. Bagaimanapun tegasnya, perisytiharan selepas pelantikan adalah mencukupi untuk mengelakkan salah guna kuasa dalam pembelian aset. "Amalan ini memadai bagi memastikan tiada exco manyalagunakan kuasa sehingga menimbulkan percanggahan kepentingan dalam mana-mana transaksi pembelian atau penjualan harta itu," ujarnya. malaysiakini |
Cukong Halim Saad Saman Kerajaan RM 2 Bilion Posted: 10 Jul 2013 08:56 PM PDT Taikun, Halim Saad mengambil tindakan saman RM2 bilion terhadap kerajaan Malaysia, Khazanah Nasional dan bekas menteri berkaitan penyerahan kawalan konglomerat, Renong yang bermasalah kepadanya. Dalam kenyataan pembelaan, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan dua lagi defendan, bagaimanapun mempertikai saman Halim dan wajar dibatal berikutan ia terkeluar dari tempoh iaitu melebihi enam tahun dari peristiwa itu. Ia didakwa bermula pada Ogos 2002 apabila Halim diberitahu, Khazanah Nasional tidak akan melayan tuntutannya untuk bayaran pukal. Teras tuntutan yang menjadi perbincangan ramai ialah peristiwa yang membawa Halim menyerahkan kawalan Renong dan peranan yang dimainkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Secara mudah, krisis kewangan Asia pada 1997 meranapkan harga saham Renong dan mendedahkan konglomerat itu kepada masalah aliran tunai dan beban hutang yang besar.Perniagaan pada tahun pembelian UEM pada takat 32 peratus blok saham Renong tidak berlangsung baik daripada pelaburan awam. Bagi meredakan pasaran, Halim pada 1998 didakwa menawar untuk membeli saham Renong dari UEM secara pilihan. Sebanyak RM3.2 bilion yang dibayar empat kali ansuran, tiga pada nilai RM100 milion dan bakinya bersama faedah pada 14 Februari 2001. Kali pertama, Halim membayar RM100 juta tetapi tidak membayar untuk kali kedua hingga tempoh tamat sehinggalah Khazanah mengambil alih. Versi Halim Halim membuat bayaran pertama pada Februari 2001 sebelum Julai tahun dipanggil ke Putrajaya oleh Dr Mahathir yang memberitahu beliau patut membiarkan kerajaan mengambil alih pegangan saham dalam Renang dan UEM. Dalam pertemuan pada Julai itu, Mahathir juga meminta Halim membincangkan hal itu dengan Nor Mohamed. Halim mendakwa beberapa pertemuan berlangsung antaranya dengan Nor Mohamed dan persetujuan dicapai untuk beliau meninggalkan Renong. Sebagai balasan, Halim dibayar RM1.3 bilion secara tunai dan menguasai hartanah serta syarikat pengurusan sisa, dianggar bernilai RM2 bilion. Beliau menulis beberapa surat kepada Dr Mahathir dan Nor Mohamed mengenai perjanjian pada 2001 itu berikutan hanya menerima RM163 juta pada 2003 iaitu sebahagian daripada perjanjian berkenaan. Halim mendakwa beliau cuba menemui Nor Mohamed antara 2003 dan 2010 bagi perjanjian dan hanya bertemu di sebuah pejabat di Putrajaya sebelum diberitahu tiada bayaran akan dibuat. Bagaimanapun, ketiga-tiga defendan menyifatkan dakwaan Halim tidak benar dan semua dakwaan hanya imaginasi beliau. Versi Nor Mohamed dan kerajaan Malaysia Sebagai Penasihat Khas Ekonomi kepada Dr Mahathir, Nor Mohamed diberi mandat untuk membuat penstrukturan UEM, bukan terlibat dalam sebarang perjanjian untuk membayar pampasan kepada Halim. Malah, beliau mendakwa tidak pernah mencapai sebarang perjanjian melibatkan kerajaan untuk membayar kepada Halim pada pertemuan mereka melainkan soal penstrukturan UEM. - 11 Julai, 2013. themalaysianinsider |
You are subscribed to email updates from N50 Dun Sri Muda To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan