Khamis, 11 Julai 2013

DUN BUKIT PAYONG

DUN BUKIT PAYONG


Selamat menyambut Ramadhan dari YB Ustaz Mohd Nor Adun Bukit Payong

Posted: 10 Jul 2013 11:50 PM PDT


 
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Bismillahir Rahmaanir Rahiim
Segala puji bagi Allah dan selawat serta salam keatas rasulullah s.a.w. Firman Allah :
(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu (al-Baqarah 185).
Saudara muslimin dan muslimat serta seluruh rakyat Terengganu khususnya rakyat Bukit Payong, saya ucapkan selamat berpuasa moga-moga Allah memberikan kekuatan kepada kita untuk menunaikan segala ibadat dibulan Ramadhan dan Allah taala mendudukkan kita di bawah naungan rahmat, keampunan dan kemerdekaan daripada api neraka insyaAllah.
Bulan Ramadhan merupakan bulan al-Quranul Karim, bulan diturunkan al-Quran yang berperanan pada tiga perkara :
1-    Petunjuk kepada manusia

2-    Keterangan-keterangan dari petunjuk-petunjuk

3-    Al-Furqan iaitu pembeza kepada segala keburukan dan kejahatan dari kebenaran dan kebaikan.
Mereka yang melakukan ibadat puasa sepatutnya dapat melahirkan diri sebagai seorang insan yang bertaqwa kepada Allah. Kerana orang-orang yang bertaqwa sahaja yang dapat menerima petunjuk daripada Allah menerusi al-Quran. Oleh kerana itulah, bulan Ramadhan sepatutnya dilakukan sebaik mungkin amalan-amalan yang baik bagi memenuhi janji rasulullah kepada orang yang berpuasa yang melakukan dengan penuh keyakinan akan mendapat keampunan Allah. Sabda rasulullah s.a.w:
 "Barangsiapa yang berpuasa dibulan Ramadhan dengan keimanan dan mengharapkan balasan dari Allah akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu" (HR Bukhari).
Ibadat puasa juga mengajar kita bersabar dan pahalanya hanya Allah yang akan membalasnya. Dalam hadis qudsi Allah berfirman :
"Sesungguhnya puasa itu adalah khusus untuk-Ku dan hanya Aku yang layak menentukan ganjarannya. Orang yang berpuasa meninggalkan kehendak nafsu syahwat dan nafsu makannya kerana mematuhi perintah-Ku." (HR Muslim).
Betapa hebatnya amalan puasa ini hinggakan pahalanya ditentukan terus oleh Allah tidak seperti amalan-amalan yang lain. Demikian juga pahala sabar seperti firman Allah :
"Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira." (az-Zumar : 10).
Sabar dalam menahan kehendak nafsu, ujian perjuangan, segala pujukan dan godaan syaitan, kesukaran dan kesulitan serta sabar dalam melakukan amalan-amalan soleh.
Suasana hari ini kita melihat musuh-musuh Islam cuba dan berusaha untuk menekan dan melakukan pelbagai kezaliman keatas pejuang-pejuang Islam. Maka tiadalah penawar yang palin hebat dalam menghadapi musuh-musuh Islam ini melainkan dengan kesabaran yang wujud dalam hati dan diri pejuang-pejuang Islam yang terdidik dibulan Ramadhan.
Kita akan sentiasa berhadapan dengan puak yang menentang Islam selama-lamanya. Mereka kadang-kadang datang dengan identiti yang terang-terangan sebagai kafir dan terkadang dalam identiti sebagai muslim yang penuh dengan tipu helah. Menggunakan ayat-ayat tertentu dari al-Quran sebagai perisai bagi menghalalkan perbuatan mereka dan pada masa yang sama membuang ayat-ayat yang dikira sebagai merugikan mereka. Maka benarlah firman Allah :
"Apakah kamu beriman dengan sebahagian kitab dan kufur dengan sebahagian yang lain?" (al-Baqarah : 85)
Sepatutnya pertembungan ini dapat difahami melalui al-Furqaan (yang membezakan) iaitu al-Quran kerana al-Quran dengan terang dan nyata telah mengajar kita bagaimanakah untuk menguruskan perbezaan ini. Ianya juga mengajar kita bagaimana kita sepatutnya berhadapan dengan perbezaan ini dan amatlah senang bagi kita sebagai orang yang berpegang teguh dengan al-Quran akan dapat melihat perbezaan antara hak dan batil ini menerusi kacamata al-Quran. Akan tetapi malang sekali sekiranya al-Quran itu tidak kita jadikan sebagai penanda aras bagi perbezaan ini, maka sudah pasti kita akan tertipu kepada mereka yang menggunakan al-Quran sebagai permainan kezaliman mereka.
InsyaAllah Allah taala akan memberikan keselamatan kepada kita semua dan Allah menjadikan kita dari golongan yang sentiasa seolah-olah mendengar seruan malaikat "Wahai orang-orang yang  mencari kebaikan, bergembiralah dengan janji-janji Allah. Wahai orang-orang yang mencari kejahatan, berhentilah dari segala kemungkaran dan keburukan. Oleh itu sempena bulan yang mulia ini sayugialah kita berhenti dari melakukan kejahatan dan kemungkaran dalam semua bidang dan berterusan kita melakukan kebaikan dan bergembira sehingga kita menemui Allah kerana kebaikan yang kita cari dan sempurnakan hanya kerana Allah. Selamat menjalani ibadah puasa semoga kita keluar dari madrasah Ramadhan ini sebagai orang yang bertaqwa kepada Allah insyaAllah. Wallahua'alam

Che Long: Calon PAS PRK Kuala Besut yang kukenali

Posted: 10 Jul 2013 07:45 PM PDT

Petikan : Harakahdaily

Tiada ulasan:

Nuffnang