Isnin, 1 Julai 2013

Khalid Samad

Khalid Samad


Persoalan Angkat Sumpah

Posted: 30 Jun 2013 06:16 PM PDT

Persoalan angkat sumpah sebagai ahli Parlimen telah banyak menimbulkan perbahasan di kalangan semua pihak. Ada di kalangan penyokong PR sendiri yang beranggapan bahawa Ahli Parlimen PR tidak seharusnya mengangkat sumpah. Mengikut pandangan mereka, mengangkat sumpah akan memberikan 'legitimasi' kepada proses pilihan raya yang jelas tercemar dengan beberapa isu tidak ketelusan. Walaupun tidak ramai yang berpandangan begini, namun usaha mereka untuk meyakinkan semua Ahli Parlimen supaya tidak mengangkat sumpah dilakukan secara bersungguh-sungguh. Komitmen mereka terhadap usaha ini dan kesanggupan mereka untuk memperjuangkan pandangan mereka, sehingga berhadapan dengan pihak FRU di hadapan Parlimen untuk menghantar memorandum, amat saya kagumi.



Mungkin harapan mereka disebalik desakan dan tindakan mereka ialah supaya dengan itu Parlimen tidak dapat berfungsi dan dibubarkan dengan segera dan pilihan raya diadakan kembali. Tanggapan mereka ialah sekiranya Ahli Parlimen tidak mengangkat sumpah, khususnya Ahli Parlimen PR, maka pihak BN akan tertekan sehingga terpaksa membubarkan Parlimen dengan kadar segera.

Walaupun saya mempunyai pandangan berbeza dalam persoalan ini, saya menghormati pandangan mereka serta kesungguhan mereka dalam menyatakan pandangan dan keyakinan mereka. Saya harap mereka juga boleh menghormati pendirian saya sepertimana akan saya jelaskan di bawah ini.

Ahli Parlimen BN mempunyai sikap yang 'seakan sama' dengan rakan kami di atas. Namun sikap mereka adalah atas niat dan tujuan yang berbeza. Sebenarnya mereka ingin supaya diberi laluan mudah di Parlimen. Hanya mereka tidak menyatakan niat mereka sebenar tetapi sebaliknya mengatakan bahawa kehadiran kami adalah pengiktirafan bahawa pilihan raya ke 13 adalah pilihan raya yang adil dan telus. Bila ditanya mengapa ianya boleh disimpulkan begitu, mereka tidak mampu menjawab dan hanya berdiam. Bagaimanakah kehadiran kami mengangkat sumpah dianggap pengiktirafan terhadap bersih dan telusnya pilihan raya ke 13?

Hakikatnya, hujjah mereka hanya helah untuk menghalang kami dari hadir. Dengan itu mereka akan mencapai apa yang merupakan matlamat di sebalik penipuan semasa pilihan raya ke 13. Iaitu menghilangkan suara wakil PR di dalam Parlimen!

Saya, seperti saudara saudari semua yakin bahawa pilihan raya ke 13 sememangnya banyak kepincangannya. Namun saya merasakan saya wajib menghadirkan diri untuk mengangkat sumpah. Ini adalah kerana kemenangan saya adalah hasil dari perjuangan gigih warga Shah Alam sehingga segala penipuan dan kepincangan diatasi! Amatlah pelik apabila kemenangan yang diusahakan dengan sebegitu gigih dicapai, maka ianya 'diserahkan' kembali kepada pihak lawan.

Kedua, saya tidak yakin bahawa ketidak-hadiran kami akan menyebabkan pihak BN gelisah dan keluh-kesah sehingga akan bubarkan Parlimen dengan seberapa segera. Malahan bagi mereka ianya akan menjadi peluang keemasan untuk meluluskan persempadanan baru, GST dan sebagainya tanpa sebarang perbahasan atau bantahan. Pada ketika itu mereka akan menyatakan bahawa ianya diluluskan sebulat suara tanpa bantahan dan kita akan dipersalahkan oleh rakyat kerana tidak berusaha kearah menghalangnya setelah rakyat memberikan mandat. Kita diberi amanah dan tanggung-jawab untuk membahaskan semua isu di Parlimen tetapi memilih untuk tidak hadir.

Oleh itu ketidak-hadiran kita akan dilihat sebagai tindakan tidak bertanggung-jawab oleh masyarakat umum. Ianya juga akan dilihat sebagai tindakan ingin memaksakan sesuatu ke atas masyarakat dan akan back-fire. Dalam erti kata lain, tindakan itu akan menyebabkan masyarakat marah dan bukan menyokong kita.

Ketiga, yang kita bantah ialah golongan yang menang melalui penipuan. Bukan mangsa penipuan tetapi telah berjaya mengatasi penipuan tersebut! Maka sepatutnya yang dibantah adalah yang menang melalui penipuan yang sudah pastinya bukan Ahli Parlimen PR.

Saya memahami keresahan yang dirasai rakan dari kumpulan NGO. Sememangnya pilihan raya di Malaysia amat sangat berat sebelah dan tidak adil. Daftar pemilihnya tercemar, media dikuasai dan banyak lagi yang tidak patut berlaku telah berlaku. Namun dalam keghairahan kita untuk membawa perubahan kita perlu mengakui juga beberapa fakta. Pertama, UMNO/BN masih mendapat sokongan rakyat, khususnya orang Melayu. Walaupun mereka menyokong atas sebab diputar-belit fakta, dimomok-momokkan dan sebagainya, hakikatnya, sokongan itu tetap ada. Walaupun ianya bukan majoriti dari rakyat, ianya jumlah yang tetap agak besar.

Fakta kedua yang perlu kita iktiraf juga ialah, sebahagian dari penyokong PR itu sendiri adalah pada dasarnya penyokong atas pagar. Mereka boleh saja berubah dan menyokong BN kembali sekiranya dilihat kita tidak memenuhi peranan seperti yang mereka rasakan perlu. Mereka bukan penyokong tegar yang memahami semua persoalan sepertimana kita fahami.

Oleh itu, biarlah tindakan kita bersifat berhikmah dan berperancangan. Kita terus bina kekuatan dan sokongan. Masih banyak yang perlu diperjelaskan kepada rakyat dan jangan kita bertindak dengan cara yang memungkinkan sokongan yang ada hilang. Jangan jadi seperti kata pepatah "yang dikejar tidak dapat, yang dikendong keciciran".

Akhir kata, ini bukan kali terakhir kita akan berbeza pendapat. Oleh itu adalah amat sangat diharapkan bahawa perbezaan pendapat dapat diterima dan diuruskan denga cara yang matang dan penuh perasaan saling hormat menghormati.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Tiada ulasan:

Nuffnang