Dua penyokong TRW maut 8 jam sebelum perlawanan

Motosikal ditunggangi Ibrahim dan Muhamad Kamil remuk teruk selepas berlanggar dengan sebuah kenderaan, kelmarin.
GUA MUSANG - "Arwah adik beria-ia sangat untuk menonton televisyen bagi menyaksikan perlawanan akhir piala FA antara Kelantan dengan Johor Darul Takzim (JDT) sambil ingin memakai baju bola TRW.

"Tidak sangka perangai peliknya itu petanda dia akan meninggalkan kami untuk selama-lamanya apabila maut dalam kejadian kemalangan jalan raya sebelum lapan jam perlawanan itu bermula malam kelmarin," kata Zulkifli Muhamed Zain, 31, abang kepada Ibrahim, 19, yang maut kemalangan raya petang kelmarin.

Ibrahim maut bersama rakannya, Muhamad Kamil Mahasan, 23, berasal dari Tanah Rancangan Felda Aring 1 ketika motosikal yang dinaiki mereka berlanggar dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 12 Jalan Chiku - Kuala Berang, dekat sini, kira-kira jam 1.30 petang.

Ibrahim dijumpai tercampak kira-kira lima meter ke dalam semak manakala Muhamad Kami tercampak dalam longkang tidak jauh dari situ dalam keadaan cedera parah sebelum disahkan meninggal dunia ditempat kejadian.

Pemandu kenderaan pacuan empat roda berusia lingkungan 40 an tidak mengalami seberang kecederaan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Gua Musang (HGM).

Menurut Zulkifli, arwah adik bersama rakannya menaiki motosikal yang ditunggangi Muhamad Kamil untuk ke Bandar Chiku bagi membeli baju bola TRW untuk dipakai semasa menonton tv menyaksikan perlawanan TRW dengan JDT.

Katanya, mereka berdua mengambil kesempatan untuk pergi ke Bandar Chiku itu ketika waktu rehat selepas bekerja di sebuah kilang sawit Felda Aring tidak jauh dari rumahnya.

"Memang mereka berdua ada bagi tahu kepada saya hendak pergi ke Bandar Chiku untuk membeli baju bola TRW kerana bimbang tidak sempat membeli baju itu apabila pulang kerja lewat petang.

"Saya terkejut apabila menerima telefon menyatakan adik bersama rakannya itu kemalangan dan tidak sangka ia membawa maut kerana baru sahaja berlepas dari rumah," katanya.

Zulkifli berkata, mereka berdua bekerja bersamanya di kilang sawit berkenaan dan sejak awal pagi lagi mereka bercadang untuk ke Bandar Chiku bagi membeli baju bola TRW.

"Arwah adik bersama Muhamad Kamil adalah sahabat baik dan tidak pernah berpecah sama ada ketika pergi dan pulang bekerja setiap hari dan tidak sangka akhirnya mati bersama," katanya.

Ibu Muhamad Kamil, Che Kamariah Osman, 51, pula berkata, arwah anak tidak menunjukkan sebarang keganjilan sejak kebelakangan dan terkejut dengan kejadian menimpa mangsa.

"Dia (arwah) adalah anak yang rajin bekerja dan mahu hidup berdikari sejak tamat persekolahan beberapa tahun lalu dan dia juga penyokong TRW hingga sanggup untuk membeli baju bola TRW." katanya.

Sementara itu jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan.

sinar/-