:: cina islam | 2011 :: |
- Kepungan di Gaza jenayah melampau
- Kenapa barang tidak cukup menjelang perayaan?
- Baik berbuka di rumah dari di restoren
- Dakwat kekal: Rafizi akan ulangi dakwaan di luar Dewan
- Lunasi zakat fitrahmu
- 6 lelaki rompak barang kemas RM3.2 juta di Mentakab
- Sembunyi status wali, anak jadi mangsa wati syubahah
- Janji lisan PM tidak bernilai Kepada Rakyat Sarawak
- Kuala Besut: Warna dakwat kekal ‘muncul’ semula walau dicuci, kata SPR
- Karpal lapor polis terhadap timbalan menteri
- Ikhwan demo julang al-Quran di pejabat PM Mesir
- Kenapa pengundi Kuala Besut mesti pilih PAS
- Mahkamah tolak petisyen Telok Pasu, Rantau Abang
- Profesor USM Didakwa Palsukan Tuntutan Elaun Perjalanan
- Dewan Rakyat Lulus Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan
- Pasangan Persenda Islam, Ramadan Didakwa Di Mahkamah Sesyen, Khamis
Kepungan di Gaza jenayah melampau Posted: 18 Jul 2013 02:11 AM PDT 9 Ramadhan 1434 H. [MOD] - Terowong Gaza turut digunakan untuk membawa haiwan ternakan. GAZA - Kumpulan Pergerakan Palestin Al-Ahrar menganggap keputusan Mesir untuk terus merobohkan terowong antara Gaza dan negara itu dianggap sebagai jenayah kemanusiaan. Jurucakap Al-Ahrar berkata, terowong itu adalah salah satu 'talian hayat utama' kepada penduduk Palestin di Gaza sejak rejim Zionis mengetatkan laluan keluar pada 2006 hingga sekarang. "Kami menggesa Mesir tamatkan pengepungan di Gaza dan mencari alternatif supaya laluan Rafah di buka semula," katanya. Sementara itu, Kumpulan Hak Asasi Manusia Antarabangsa menyelar keputusan Mesir dan menganggap tindakan itu sebagai tidak berasas. "Rakyat Palestin di Gaza tidak terlibat dalam hal ehwal dalaman Mesir tetapi mengapa mereka menjadi mangsa," kata jurucakapnya kepada PIC. Minggu lalu, Jeneral Angkatan Tentera Mesir mengarahkan semua terowong antara Gaza dan Mesir dirobohkan sebelum operasi keselamatan bersepadu di Sinai bermula. sinar/- | ||
Kenapa barang tidak cukup menjelang perayaan? Posted: 18 Jul 2013 02:09 AM PDT 9 Ramadhan 1434 H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, mempersoalkan bagaimana barangan keperluan sentiasa tidak mencukupi menjelang musim perayaan dan berulang setiap tahun. Katanya, senario tersebut menimbulkan persoalan sama ada barangan keperluan itu benar-benar kurang ataupun disorok peniaga bagi membolehkan harga barangan tersebut dinaikkan. "Memandangkan perkara ini sentiasa berulang, biarpun kepada barangan yang diberi subsidi oleh kerajaan, saya tidak pasti adakah kerana betul ia kurang atau disorokkan peniaga untuk mengaut keuntungan dengan kenaikan harga. "Jadi, apakah langkah kerajaan bagi memastikan barangan subsidi itu mesti cukup ketika musim perayaan?" soal beliau ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan, di Dewan Rakyat, hari ini. Menjawab soalan tersebut, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, memberi jaminan perkara sedemikian tidak akan berulang dan menafikan para peniaga bertindak menyorokkan barangan keperluan menjelang musim perayaan. Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan dewan bahawa pihak menteri telah berjumpa dengan pengeluar barangan keperluan seperti gula, minyak masak dan ayam bagi membincangkan perkara tersebut. Katanya, selepas pertemuan itu, pihak menteri akan mengumumkan perkara tersebut pada Jumaat ini. Semalam, Mahfuz mendesak kementerian terbabit menetapkan harga syiling bagi ayam, selewat-lewatnya Jumaat ini biarpun sebelum ini dimaklumkan ia hanya dapat dilakukan pada Ogos. harakah/- | ||
Baik berbuka di rumah dari di restoren Posted: 17 Jul 2013 11:45 PM PDT 9 Ramadhan 1434 H. [MOD] -
Tidak ada salah berbuka puasa di hotel mewah atau di restoren, bagi mereka yang berupaya sekalipun belanjanya besar. Sekalipun Islam mahukan semuanya sederhana termasuk berbuka, tetapi atas sebab tertentu ada yang sekali sekala berbuka dengan keluarga di hotel-hotel sebagai meraikan isteri dan anak-anak yang sentiasa berpenat lelah menyediakan juadah berbukan di rumah. Walaupun sekali ke restoran sepanjang sebulan puasa, soal berbuka secara sederhana tidak berbangkit lagi. Sekali berbuka di hotel mungkin belanjanya dengan sepuluh hari berbuka di rumah. Masyarakat kita di bandar-bandar telah biasa dengan hidup yang begitu, tidak mengapa berbuka di restoran sekalipun lebih sikit belanja. Kita tidak melarang. Tetapi saya memilih berbuka di rumah dan di masjid atau surau. Memang ajaran berbuka sederhana itu mudah diamalkan di rumah dan di surau. Pertama kita berbuka secara sederhana, makan apa yang ada. Sebaik berbuka kita hendak segera solat waktu. Ada yang memillih makan yang manis-manis dulu dan terus solat. Lepas solat barulah betul-betul makan. Masa tidak banyak selepas berbuka kerana masing-masing terpaksa bergegas ke surau dan masjid bagi menunaikan solat tarawih. Surau dan masjid tidak menunggu lama untuk memulakan tarawih. Masing-masing mahu segera selesai untuk lain-lain ibadat dan suri-suri pula lebih suka pulang cepat bagi lain-lain kerja rumah. Ada restoren dan hotel menyediakan musalla untuk solat, tetapi biasanya masing-masing makan dulu baru mengadakan solat. Biasanya orang tidak duduk sekejap semasa berbuka di restoran. Masing-masing datang dengan keluarga atau tetamu tidak menempah makanan begitu minima. Yang ditempah lebih mewah dari yang biasa dimakan di rumah. Tidak mungkin berbuka sekejap, lepas itu masing-masing solat dan kemudian datang semula menghabiskan makanan yang dipesan. Ke bilik air sebelum solat pun mengambil masa kerana bilik air dikongsi dengan lain-lain pelanggan. Biasanya semua solat dekat nak luput waktu. Kemudian bagaimana dengan solat tarawih? Tarawih itu hanya ada dalam bulan Ramadhan. Kecenderungan sekarang orang-orang yang taqwa tidak mahu meninggalkan tarawih bahkan untuk semalam. Mereka mahu memenuhi setiap malam Ramadhan itu dengan taarawih dan witir. Puasa itu sendiri adalah ujian taqwa seseorang. Bersungguh-sungguh seseorang mengisi siang dam malam Ramadhan itu ada bagi meningkatkan taqwa. Maka berlumba-lumbalah semua untuk beramal pada bulan taqwa itu. Orang yang taqwa rasa amat menyesal jika tertinggal tarawih sekalipun satu malam. Jika berbuka dengan keluarga di restoran, maka akan beregopoh-gapah untuk ke surau atau masjid, dan tidak mustahil tidak sempat tarawih berjamaah. Walaupun tarawih itu boleh dilakukan sendirian di rumah, umumnya orang yang rendah taqwanya jika tidak ke surau, payahlah tarawihnya. Bukan semua tidak tarawih di rumah, tetapi ada yang kalau tidak ke surau tidak tarawih di rumah. Memang kadang-kadang kita tidak suka menunai jemputan berbuka di rumah orang lain, terutama jauh pula, kerana takut terlepas tarawih. Nasiblah juga tuan rumah memasukkan tarawih dalam pekej berbukanya. Tetapi yang selesa pada saya ialah tidak ke mana dalam bulan Ramadhan, memilih berbuka di rumah atau di surau dari ke restoran. Sebabnya mudah menyegerakan solat waktu dan tidak terburu-buru ke masjid. | ||
Dakwat kekal: Rafizi akan ulangi dakwaan di luar Dewan Posted: 17 Jul 2013 11:42 PM PDT 9 Ramadhan 1434 H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Pandan, Rafizi Ramli (gambar)akan membuat kenyataan di luar parlimen berkaitan kontrak dakwat kekal setelah membuat dakwaan itu di dalam Dewan Rakyat sebelum ini. Rafizi memberikan jaminan ini selepas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak usul untuk menyeret beliau di bawah Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan. Selepas menolak usul itu, Pandikar mencadangkan agar Rafizi membuatnya di luar Parlimen di mana dia tidak dilindungi oleh sebarang imuniti. Rafizi bangun dan berkata dia akan melakukannya di samping akan memfailkan satu usul untuk membincangkannya sebagaimana dicadangkan Speaker. Sebelum ini, Rafizi membuat dakwaan di Dewan Rakyat bahawa pembekal dakwat kekal kepada SPR mempunyai kaitan dengan pemimpin kanan badan itu. Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz menafikan dakwaan itu dan mempertikaikan dakwaat Rafizi. Beliau juga meminta persoalan itu ditanyakan kepada Setiausaha SPR, Datuk Kamarudin Baria, kerana ia diuruskan oleh beliau dan urusetianya. Kamarudin pula dalam kenyataannya turut mempertikaikan kenyataan Rafizi itu dan memperlekehkan Rafizi kerana hanya berani membuat tuduhan dalam Dewan Rakyat yang dilindungi imuniti. Kamaruddin turut menafikan beliau mengenali pembekal dakwat kekal, Mohamed Salleh Md Ali yang dikatakan rapat dengan kepimpinan tertinggi badan pengendali pilihan raya itu seperti didakwa Rafizi. Harakahdaily/- | ||
Posted: 17 Jul 2013 11:39 PM PDT 9 Ramadhan 1434 H. [MOD] -
Ramai umat Islam yang masih keliru tentang kewajipan zakat fitrah, bukan keliru status hukumnya, tetapi bagaimana melaksanakannya. Inilah antara Q&A yang diharap mampu menjelaskan kekeliruan itu. Selamat membaca. Soalan 1: Apakah makna zakat fitrah dan siapakah yang diwajibkan ke atasnya? Jawapan:Zakat fitrah bermakna zakat badan atau zakat jiwa. Semua orang Islam diwajibkan, sama ada lelaki, perempuan, orang tua, kanak-kanak, bayi, orang gila, merdeka mahu pun hamba sahaya. Dalilnya, Abu Hurairah RA menyatakan: "Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah pada bulan Ramadan kepada orang yang merdeka, hamba sahaya, lelaki dan perempuan, anak-anak, dewasa, fakir atau kaya – daripada kalangan kaum muslimin," (Riwayat Ahmad, Bukhari dan Muslim) Fuqaha memang berbeza pendapat tentang siapakah yang perlu mengeluarkannya, sama ada diri sendiri ataupun wali nasab, yakni orang yang wajib menanggung nafkah. Amalan di Malaysia, zakat fitrah ini dikeluarkan oleh wali bagi semua tanggungannya. Dalam hal ini ada sebuah hadis: "Bayarlah zakat fitrah daripada semua orang yang menjadi tanggungjawab kalian." (Hadis riwayat Imam Baihaqi). Soalan 2. Bagaimana dengan anak angkat, anak yatim dan anak tiri? Jawapan:Perkara paling asas, fuqaha menyatakan orang yang wajib menanggung nafkah itulah wajib memberikan zakat fitrah tanggungannya. Di sini, yang wajib ialah mereka yang dinamakan sebagai wali nasab (sedarah daging) atau penanggung nafkah, iaitu bapa, datuk, bapa saudara dan sebagainya lagi. Jika anak angkat, andai sudah tiada wali nasab yang boleh dihubungi, maka penjaganyalah yang wajib membayarkan zakat fitrahnya. Ada juga pandangan, jika sudah dibuat perjanjian dengan bapa kandungnya bahawa bapa angkat akan menanggungnya, maka terlepaslah kewajipan bapa kandungnya. Andai anak yatim, sama juga jika sudah tidak berjumpa dengan mana-mana wali nasab, maka penjaganya yang wajib membayarkannya. Jika anak tiri, pun masih kena lihat, andai sudah tiada wali nasabnya, maka bapa tirinyalah yang wajib mengeluarkannya. Namun, jika kesemua mereka sudah ada kemampuan sendiri, misalnya walau masih belajar namun mendapat biasiswa atau wang hasil kerja sampingan, maka mereka lebih berhak mengeluarkannya sendiri. Tetapi, penjaga yang bukannya wali nasab masih boleh mengeluarkannya dengan syarat memaklumkan dahulu kepada anak-anak jagaannya itu. Soalan 3. Adakah anak-anak perempuan yang sudah bekerja dikira masih tanggungan bapanya? Jawapan:Anak yang sudah bekerja sendiri, sama ada lelaki dan perempuan, maka mereka lebih berhak mengeluarkan sendiri zakat fitrahnya. Bahkan, jika mereka mahu mengeluarkan zakat fitrah ibu bapa juga boleh, dan mereka perlu memaklumkannya kepada ibu bapa. Soalan 4. Bagaimana pula dengan waktu menunaikan zakat fitrah? Jawapan:Adalah harus mengeluarkan zakat fitrah sejak bermulanya satu Ramadan. Hadis daripada Umar menyatakan: "Telah mewajibkan Rasulullah SAW zakat fitrah pada bulan Ramadan." Walau bagaimanapun, ulama berbeza pendapat mengenai waktu wajibnya. Imam Syafie dan Malik menyatakan, ia menjadi wajib apabila terbenamnya matahari pada akhir Ramadan. Manakala Abu Hanifah pula menyatakan, ia wajib setelah terbit fajar satu Syawal. Untuk memudahkan kita, ulama fikah telah membahagikan waktunya seperti berikut, iaitu harus sejak awal Ramadan, menjadi wajib atau paling utama sebelum solat Aidilfitri dan makruh setelah menunaikan solat Aidilfitri. Sesiapa yang tidak menunaikan zakat fitrah sehingga terbenam matahari satu Syawal, maka dia dianggap berdosa dan wajiblah segera mengeluarkannya dan kala itu ia dianggap qada. Soalan 5. Apakah yang perlu dilakukan jika terlupa menunaikannya? Jawapan:Islam telah menyediakan satu ruang waktu yang amat luas bagi umatnya menunaikan zakat fitrah dan tidak sepatutnya ada orang boleh terlupa. Selalunya orang terlupa apabila sengaja menunggu sehingga ke saat akhir. Jadi, jangan bertangguh. Mungkin ada orang berhujah, mereka mahu menunggu ke saat akhir menunaikan zakat fitrah, demi mendapatkan pahala yang lebih besar. Berkenaan pahala ini, fuqaha tidak pula beranggapan menunaikannya lebih awal akan kurang pahalanya berbanding menunaikannya saat-saat akhir, lagi pun ia adalah tergantung kepada Allah SWT yang menentukannya. Orang yang terlupa wajib segera mencari mana-mana fakir miskin dan serahkanlah zakat fitrah pada waktu itu juga dan fuqaha menyatakan ia sudah menjadi qada. Iringi juga dengan taubat dan berazam untuk tidak melalaikan lagi zakat fitrah selepas ini. Soalan 6. Ada orang berpuasa tetapi tidak menunaikan zakat fitrah, apa hukumnya? Jawapan:Menunaikan zakat fitrah adalah wajib dan berpuasa juga wajib, maka mengabaikannya adalah berdosa. Ibnu Umar RA meriwayatkan: "Rasulullah SAW telah memerintahkan untuk mengeluarkan zakat fitrah sebelum orang-orang keluar melaksanakan solat Idul Fitri," (Riwayat Bukari dan Muslim). Ulama fikah menyatakan, orang yang enggan berzakat kerana kesengajaan dan mengingkari kewajipannya, maka dia boleh jatuh kepada kekufuran, na'uzubillah. Soalan 7. Adakah orang miskin juga wajib membayar zakat fitrah? Jawapan:Zakat fitrah diwajibkan kepada semua orang Islam, tanpa mengira sama ada mereka kaya, miskin, merdeka atau hamba sahaya. Syaratnya, mereka mesti ada makanan yang cukup bermula dari malam satu Syawal hingga tamat satu Syawal. Orang miskin yang memenuhi syarat ini, wajib mengeluarkan zakat. Cuma ada sebahagian fuqaha menyatakan, jika orang miskin itu menjadi mampu disebabkan bantuan zakat, maka mereka tidak dibebani untuk mengeluarkan zakatnya, kerana punca hartanya adalah dari zakat juga. Soalan 8. Ada orang mahu membayar zakat fitrah dengan beras bukan wang, apa komen ustaz? Jawapan: Mengikut ketetapan asal, zakat fitrah memang begitu. Tetapi, sebahagian fuqaha berpendapat adalah harus mengeluarkan zakat fitrah dengan harga (wang). Pada zaman Umar bin Abdul Aziz RA, baginda berfatwa zakat fitrah boleh dibayar dengan nilai wang. Memandangkan penggunaan wang lebih sesuai pada hari ini, maka ia lebih diraikan demi kemaslahatan ummah seluruhnya. Soalan 9. Ada orang berkata, jika tidak keluarkan zakat fitrah maka pahala puasa akan tergantung. Benarkah? Jawapan:Terdapat sebuah hadis mengenai persoalan ini, iaitu: "(Ibadah) bulan Ramadhan digantungkan antara langit dan bumi dan tidak diangkat kepada Allah kecuali dengan zakat fitrah," (Riwayat Ibn Asakir). Tetapi, para ulama hadis mempertikaikan kesahihan hadis ini, kerana ada di antara perawinya yang tidak dikenali (majhul) dan ia juga bercanggah dengan mafhum hadis lain mengenai keutamaan beribadah khususnya di bulan Ramadan. Bagi saya, fokuskan untuk melaksanakan setiap ibadah, sama ada solat, zakat, puasa, haji dan sebagainya. Setelah ia ditunaikan dengan sempurna dan sah, maka serahlah kepada Allah SWT, sama ada mahu menerima atau menolaknya. Soalan 10. Adakah zakat fitrah hanya untuk fakir miskin sahaja? Jawapan:Hal ini adalah khilaf dalam kalangan ahli fikah. Sebahagian menyatakan ia hanya untuk fakir dan miskin dan sebahagian yang lain menyatakan, zakat fitrah juga sama seperti zakat harta dan lapan asnaf masih boleh menikmatinya. Malahan ada ulama yang menyatakan seorang kafir zimmi di dalam Negara Islam juga berhak mendapat zakat fitrah jika mereka adalah golongan fakir. Perbincangan ini boleh dirujuk ke dalam kitab Bidayatul Mujtahid, Juz 1, hal. 584; Fikih Sunnah, Jilid 3, hal. 129, Hukum Zakat, hal. 964 dan Ensaiklopedia Fiqh Wanita, Jilid 2, hal. 190. Soalan 11. Apakah majikan wajib membayar zakat fitrah pembantu rumahnya? Jawapan:Majikan tidak wajib, kerana pembantu itu bukan tanggungan yang wajib dinafkahinya. Pembantu itu ada gajinya sendiri dan dia wajib menjelaskan zakat fitrahnya sendiri. Namun, jika majikan mahu menjelaskannya juga, perlu memberitahu kepada pembantunya, sebagai tanda minta izin daripadanya. Soalan 12. Apakah anak yang lahir pada waktu Maghrib hari terakhir Ramadan wajib zakat fitrah juga? Jawapan:Tidak wajib, kerana anak itu hanya hidup pada waktu Syawal sahaja. Bukan sekadar itu, orang yang hidup sepanjang Ramadan dan meninggal dunia sebelum masuknya waktu Syawal, maka tidak wajib juga zakat fitrah. Ini kerana, hanya orang yang hidup pada dua waktu, Ramadan dan Syawal sahaja wajib zakat. Soalan 13. Apakah anak yang dikandung sudah cukup bulan tapi belum lahir hingga masuk Syawal wajib zakat juga? Jawapan:Tidak wajib, Cuma sunat muakkad sahaja. Islam tidak mengambil kira semasa bayi masih berkeadaan janin (dalam rahim ibu) dan inilah pendapat yang kuat sebagaimana yang disebut oleh Dr Yusuf al- Qaradawi, di dalam kitabnya, Hukum Zakat. Soalan 14: Adakah seorang muallaf (saudara baru) juga wajib bayar zakat fitrah? Jawapan:Jika muallaf itu masih kecil (belum akil baligh misalnya), maka orang yang menaunginyalah yang mengeluarkan zakat ke atasnya. Tetapi, jika sudah dewasa atau remaja, maka jika mereka mampu mereka keluarkan sendiri. Jika tidak mampu, maka tidaklah wajib zakat fitrah ke atasnya. Soalan 15: Bolehkah ustaz jelaskan hikmah zakat fitrah? Jawapan:Pertama, zakat fitrah menjamin kegembiraan kepada penerimanya, seperti mana nabi menjanjikan dua kegembiraan bagi orang yang berpuasa, iaitu waktu berbuka (termasuk berhari raya) dan ketika menatap wajah Allah (hadis Muslim). Maka, bagaimana orang miskin boleh gembira jika tiada bantuan di hari raya. Kedua, zakat fitrah juga menepati kehendak puasa yang bermaksud mengembalikan manusia kepada fitrah. Apabila zakat fitrah ditunaikan, maka akan terhakislah rasa tamak dan haloba dalam diri dan diganti dengan rasa rendah diri dan saling berkongsi. Ketiga, membersihkan orang yang berpuasa daripada dosa. Ibnu Abbas menyatakan: "Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang berpuasa daripada ucapan yang tidak ada manfaatnya dan kata-kata yang kotor, serta untuk memberikan makanan kepada orang-orang miskin." (Hadis Riwayat Abu Daud). Keempat, menjadi bukti ketaatan manusia beriman kepada Allah SWT. Hal ini kerana, jika mereka berpuasa tetapi enggan berzakat, maka jelaslah kualiti keimanannya di tahap mana? Kelima, zakat fitrah itu menjadi kemuncak kepada amalan pada bulan Ramadan, yakni berkongsi sedikit kekayaan. Andai jumlah RM7 itu masih dipertikaikan, maka bagaimana pula seseorang itu mampu berkongsi sesuatu yang lebih besar dalam hidupnya dengan orang lain. Soalan 16: Apakah boleh kita menunaikan zakat harta selain fitrah di bulan Ramadan? Jawapan:Memang boleh bahkan dianjurkan sangat-sangat. Hal ini kerana, mafhum daripada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah daripada Salman al-Farisi, bahawa setiap amalan sunat dalam bulan Ramadan diganjari pahala wajib dan satu amalan wajib diganjari 70 kali ganda pahalanya. Maka, andai kita berzakat RM1 ribu, maka pahalanya seolah-olah kita sudah berzakat RM70 ribu! Orang yang haul zakatnya belum tiba, boleh berniat mendahului haul zakat dan di sisi Islam, ia memang diharuskan. Soalan 17: Apakah saudara laki-laki yakni seorang abang perlu mengeluarkan zakat fitrah bagi pihak adik perempuannya yang masih bujang, sedangkan adiknya sudah bekerja dan mempunyai pendapatan yang jauh lebih besar daripadanya? Jawapan:Seorang abang tidak perlu mengeluarkan zakat adik perempuannya yang sudah bekerja kerana adiknya itu sudah mempunyai pendapatannya sendiri; namun jika dia masih mahu menunaikan zakat fitrah adik perempuannya itu, maka dia perlulah memaklumkan kepada adiknya dengan maksud mendapat keizinannya terlebih dahulu. Walau bagaimanapun, keadaan berubah andai si adik adalah miskin dan tidak mampu berzakat fitrah dan kala itu juga, ayahnya sudah tiada atau jika ada pun tidak mampu mengeluarkan zakatnya (kerana tidak cukup syaratnya, seperti ketiadaan makanan yang mencukupi bagi diri dan tanggungannya), maka kala itu abangnya itulah yang perlu mengeluarkan zakat bagi adik perempuannya itu dan termasuklah zakat ke atas bapanya yang tidak mampu itu. Soalan 18: Soalan terakhir saya, kenapakah kadar zakat fitrah di Malaysia berbeza-beza antara setiap negeri? Jawapan:Panjang jawapannya, namun ringkasnya saya boleh katakan, ada dua sebab kenapa berbeza. Pertama, pentadbiran zakat di Malaysia adalah tertakluk kepada bidang kuasa negeri. Maka, setiap negeri mempunyai jawatankuasa fatwanya sendiri yang akan memutuskan harga zakat fitrah yang sesuai di negeri masing-masing. Pengasingan kuasa ini telah digazetkan di dalam Perlembagaan Malaysia, iaitu di dalam Jadual Kesembilan (Perkara 74, 77) Senarai Perundangan, Senarai II – Senarai Negeri. Kedua, boleh jadi harga sekilogram beras adalah berbeza antara negeri-negeri. Ada negeri yang agak mahal, ada yang agak murah dan ia adalah sesuai dengan kondisi sosio-ekonomi rakyat negeri berkenaan. Maka, harga zakat fitrah di Selangor adalah sesuai dengan harga beras di Selangor (yakni RM7.00). Manakala di negeri lain, sesuailah dengan negeri mereka pula. Ustaz Hamizul Abdul Hamid Eksekutif Komunikasi Korporat Lembaga Zakat Selangor (MAIS) http://www.hamizul.com | ||
6 lelaki rompak barang kemas RM3.2 juta di Mentakab Posted: 17 Jul 2013 11:29 PM PDT 9 Ramadhan 1434 H. [MOD] - TEMERLOH 18 Julai - Enam lelaki bersenjatakan parang merompak barang kemas bernilai kira-kira RM3.2 juta dari sebuah kedai emas di bandar Mentakab, dekat sini hari ini. Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh, Supritendan Zundin Mahmood berkata, perompak berkenaan hanya mengambil masa tiga minit melarikan barang kemas itu dalam kejadian 9.30 pagi ini. Katanya, kejadian berlaku ketika pemilik kedai dan beberapa pekerjanya baru membuka kedai untuk memulakan perniagaan."Secara tiba-tiba muncul enam lelaki berkenaan antaranya bertopeng dan bersenjatakan parang menyerbu masuk kedai dan mengarahkan pemilik kedai supaya berdiam diri. "Perompak-perompak tersebut mengaut barang-barang kemas di dalam cermin pameran ke dalam kampit plastik dan melarikan diri dengan menaiki dua buah kereta, iaitu Honda Accord dan Toyota Camry," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Zundin berkata, perompak berkenaan dipercayai melarikan diri ke arah Plaza Tol Temerloh dan polis telah melancarkan gerakan memburu mereka. "Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian ini. Pihak polis juga percaya dua kenderaan yang digunakan perompak berkenaan adalah kenderaan curi," katanya. - BERNAMA | ||
Sembunyi status wali, anak jadi mangsa wati syubahah Posted: 17 Jul 2013 11:06 PM PDT 9 Ramadhan 1434 H. [MOD] - Ustaz Ahmad Baei Jaafar Sepanjang saya mengendalikan urusan perkahwinan umat Islam, terdapat pelbagai kes yang membabitkan anak tak sah taraf. Tidak kurang juga yang datang memohon perkahwinan dalam keadaan mereka sedang mengandung anak luar nikah. Sedih memang sedih tetapi sebagai Penolong Pendaftar Nikah, saya tidak menghukum sebaliknya akan memudahkan urusan perkahwinan setakat yang dibenarkan syarak dan undang-undang agama Islam negeri. Yang penting mereka boleh berkahwin secara sah. Namun saya agak terkilan dengan dua kes yang pernah saya hadapi; satu kes telah saya nikah pasangan itu tetapi selepas beberapa jam pernikahan itu, seorang bapa saudara pengantin membuat aduan di pejabat agama bahawa anak yang dinikahkan itu adalah anak tak sah taraf. Satu lagi kes, belum sempat mengahwinkan lagi apabila bapanya mengubah fikiran dengan membuat pengakuan di hadapan kadi daerah.Kes pertama, bila dihubungi bapa saudara pengantin itu saya agak terkejut. Yalah, bagaimana boleh jadi anak tak sah taraf sedangkan mengikut penelitian surat nikah ibu bapa menunjukkan anak itu sah taraf. Subhanallah, rupanya ibu bapa itu setelah melakukan dosa berzina dan berkahwin selepas pasangannya disahkan mengandung. Apabila anak itu lahir, pendaftaran tarikh lahir anak itu dilewatkan sebulan. Kenapa mereka sanggup menipu anak sendiri, menipu kerajaan dan menipu orang ramai. Kenapa ibu bapa sanggup meminda tarikh kelahiran anak untuk menutup kesalahan mereka sedangkan kesannya ialah anak apabila hendak berkahwin. Kenapa mereka sanggup menyembunyikan status anaknya yang tidak sah sedangkan yang bersalah ialah mereka bukan anak itu? Alasan mereka supaya anak itu tidak malu, tetapi sebenarnya mereka buat semua itu kerana mahu menutup keaiban mereka sendiri. Apakah ibu bapa ini tidak sedar bahawa dengan perbuatan itu akan memberi kesan kepada pernikahan anaknya iaitu nikah tidak sah. Ya, seperti dalam kes di atas, ibu bapa anak itu melewatkan tarikh lahir dari yang sebenar. Dengan cara itu, kelihatan anak itu adalah sah taraf. Maka kalau tiada siapa yang mendedahkannya nescara anak itu berkahwin secara tidak sah. Mujurlah, bapa saudara anak itu menyedarinya sebelum pasangan itu bersama. Cuma dalam kes ini, saya rasa terkilan kerana bapa saudaranya tidak memberi teguran awal sebelum pasangan itu berkahwin. Bukankah dengan makluman awal, isu yang memalukan ini dapat dielakkan sebelum berkahwin. Anak yang terpinga-pinga dengan keadaan itu akhirnya terpaksa dinikahkan semula dengan menggunakan wali hakim. Tetapi dalam kes kedua, ibu bapanya meminda tarikh pernikahan mereka agar munasabah dengan tarikh kelahiran anaknya. Dalam kes ini, ibu bapanya berkahwin baru sebulan, tetapi sudah mendapat menimang anak sulung, luar biasa. Supaya tidak mengaibkan status anak kononnya, mereka meminda tarikh perkahwinan mereka dengan memadam bulannya. Mereka memang cerdik menipu Allah dan menipu anak sendiri. Sebenarnya sebelum membuat permohonan perkahwinan anaknya, seorang lelaki (bapa gadis yang memohon kahwin) datang ke pejabat saya untuk bertanyakan tentang kedudukan anak tak sah taraf, dan dia mengaku terlibat. Saya telah memberi jaminan untuk membantunya bagi mendapatkan wali hakim. Tetapi sewaktu dia membawa anaknya untuk menandatangi borang permohonan nikah itu, dia tidak mengulangi isu yang pernah dibincangkan dengan saya suatu ketika dahulu. Sememang saya sudah lupa akan wajah (lelaki) yang datang bersama anak perempuan itu adalah lelaki yang sama pernah berjumpa saya bertanyakan soal anak tak sah taraf. Orang sebab tidak mengesyaki sesuatu yang tidak kena, saya menyokong borang itu seperti biasa. Dengan sokongan saya pejabat agama meluluskan permohonan itu. Walaupun semua berjalan baik, lelaki ini mula rasa bersalah lalu berpatah balik ke pejabat agama lalu membuat pengakuan sebenar di hadapan tuan kadi. Alhamdulillah, berkat Ramadan dan tarikh perkahwinannya pun masih lambat, maka borang permohonan itu bolehlah dipinda untuk mendapatkan wali hakim. Sungguhpun begitu, saya masih terkilan kerana dia masih mahu menyembunyikan status anaknya sebagai tidak sah taraf. Sampai bila keadaan ini mahu dirahsiakan? Sesungguhnya tidak menyesal kalau diberitahu awal keadaan sebenar daripada membiarkan keadaan itu. Bagaimana kalau dia mendapat tahu keadaan sebenar selepas berkahwin daripada orang lain? Wahai ibu dan bapa juga yang bakal menjadi ibu dan bapa, ambillah iktibar daripada dua kes ini. Jangan ulangi demi maruah Islam dan diri umat Islam. Memang dalam hukum Islam, anak yang dilahirkan selepas enam bulan satu lahzah ibu bapanya berkahwin, dianggap sah taraf. Tetapi kalau ada pihak yang mendakwa bahawa isterinya sudah mengandung, maka anak itu tetap dihukumkan tak sah taraf. Begitulah juga kalau berlaku perkahwinan secara tidak sah, sedangkan pasangan itu tidak menyedarinya, pergaulan mereka dikira wati syubahah dan anak yang dilahir dalam tempoh itu dikira anak wati syubahah. Anak yang dilahirkan itu boleh dibin/bintikan kepada bapanya. Hakikatnya anak itu adalah sah taraf. Tetapi kalau pasangan itu menyedari bahawa perkahwinan itu tidak sah, kedudukan mereka sebagai suami isteri perlu dipisahkan serta merta. Berdasarkan isu di atas, berterus teranglah wahai ibu dan bapa kepada anak-anak demi masa depan mereka. Pada masa yang sama, wahai ibu bapa kalau anda sedar bahawa anak anda sudah mengandung anak luar nikah, laporkan kepada pejabat agama atau sekurang-kurangnya kepada Penolong Pendaftar Nikah semasa memohon pernikahan mereka. Tindakan ini penting demi masa depan mereka di dunia dan akhirat. Selain itu sebagai Penolong Pendaftar Nikah kami perlu serius mengesan status ibu bapa dan anak yang hendak disokong. Pada kami biar pasangan yang melakukan kesalahan jenayah syariah diambil tindakan undang-undang selain berkahwin demi menyelamatkan maruah mereka dan Islam. | ||
Janji lisan PM tidak bernilai Kepada Rakyat Sarawak Posted: 17 Jul 2013 11:01 PM PDT 9 Ramadhan 1434 H. [MOD] - Pengumuman atau janji-janji lisan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi projek-projek di Sarawak menjelang PRU13 yang lalu kini menjadi "boomerang" kepadanya. Pada sidang akhbar baru-baru ini, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Komunikasi Sarawak Micheal Manyin berkata kerajaan negeri tidak dapat melaksanakan banyak projek yang diumumkan oleh Najib kerana mereka tidak diikuti dengan komitmen "bertulis". "Sebab itu apabila kerajaan persekutuan meluluskan apa-apa projek-projek infrastruktur di negeri ini kita berharap bahawa ada hitam putih akan menyusul dengan segera," katanya.Kenyataan Micheal Manyin membuktikan yang selama ini banyak projek infrastruktur yang dijanjikan secara lisan oleh Perdana Menteri (PM) di Sarawak semasa PRU13 lalu tidak dapat dilaksanakan disebabkan oleh kerana tiada dokumen yang diluluskan oleh kerajaan persekutuan. Ini membuktikan yang janji lisan PM selama ini semasa pilihanraya tidak boleh dianggap sebagai sah tapi boleh dianggap sebagai janji lisan yang tidak bernilai semata-mata untuk meraih sokongan semasa berkempen dalam pilihanraya. Antara contohnya yang dinayatakan oleh beliau ialah Jalan Kapit-Song adalah salah satu daripada projek yang diluluskan secara lisan, tetapi ia belum dilaksanakan kerana tidak ada dokumen yang mengesahkan kelulusan. "Walaupun Perdana Menteri mahu kita memulakan kerja secepat mungkin, kita tidak boleh memanggil tender untuk projek tersebut kerana ia telah diumumkan secara lisan". katanya dalam suatu kenyataan. Kita bersetuju dengan kenyataan Micheal Manyin dalam masalah ini, sepatutnya setiap pengumuman atau janji lisan yang tidak bertulis oleh PM boleh dianggap sebagai janji yang tidak bernilai. Perkara ini sudah lama berlaku terutama semasa kempen pilihanraya tetapi setelah isu ini dibangkitkan oleh ahli parlimen Sarawak barulah mereka sedar yang selama ini janji-janji lisan PM untuk rakyat banyak yang tidak dapat dilaksanakan di Sarawak disebabkan tiada hitam putih dari kerajaan persekutuan. Inilah suatu pengajaran kepada rakyat Sarawak dan lain-lain tempat agar jangan mudah termakan dengan janji-janji lisan PM atau menteri-menteri lain yang suka berjanji dengan sesuatu projek dalam pilihanraya tanpa ada pengesahan dan kelulusan dari parlimen atau DUN. Akibat janji tiada bertulis maka dengan mudah untuk PM atau menteri-menteri BN melepas tangan sekiranya janji atau projek tersebut tidak dapat dilaksanakan. Kita mengesa agar pihak yang berwajib mempastikan setiap janji-janji PM atau menteri perlu di dokumentasi secara hitam putih sebelum diumumkan kepada rakyat bukan hanya berjanji lisan yang akhirnya setiap projek rakyat yang dijanjikan akan tinggal janji. Kalau hendak berjanji pun mestilah ditepati setelah diberi mandat untuk berkuasa semula bukan hanya berjanji sesuka hati selepas itu janji tinggal janji yang akhirnya rakyat yang akan menanggung penderitaan akibat janji tidak ditepati. Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, jangan mengabaikan harapan rakyat dengan janji kosong tetapi perlu ditunaikan segera seperti mana telah dijanjikan sebab kerajaan yang memerintah mempunyai peruntukan untuk menunaikan janji mereka sekiranya mereka benar-benar ikhlas mahu menolong rakyat. Harap perkara ini tidak berulang lagi terutama musim pilihanraya dimana PM dengan mudah berjanji lisan meluluskan sesuatu projek tanpa mendapat kelulusan dari parlimen dan akhirnya rakyat juga yang terpedaya dengan janji lisan yang tidak bernilai itu. Jofri Jaraiee PAS Miri, Sarawak | ||
Kuala Besut: Warna dakwat kekal ‘muncul’ semula walau dicuci, kata SPR Posted: 17 Jul 2013 09:49 PM PDT 9 Ramadhan 1434 H. [MOD] - Selepas berlaku beberapa insiden dakwat kekal dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang mudah dibersihkan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini memberi jaminan, dakwat kekal yang bakal digunakan dalam pilihan raya kecil (PRK) Kuala Besut akan "muncul semula walaupun dicuci." Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata bagi membolehkan kesan dakwat kekal pada jari, pengundi dinasihatkan untuk memastikan jari mereka tidak berminyak. "Setelah dicelup, dakwat kekal itu perlu dibiarkan lebih kurang 30 saat untuk kering. SPR mendapati jika dakwat kekal itu dicuci, warnanya akan muncul semula di jari," katanya dalam satu kenyataan selepas simulasi penggunaan dakwat kekal dijalankan di Bangunan Majlis Daerah Besut sebentar tadi.Sebelum PRU13, Abdul Aziz pernah memberi jaminan dakwat kekal boleh tahan selama tujuh hari. Tetapi, sebaliknya yang berlaku. Simulasi berkenaan diketuai Pengarah Akademi Pilihan Raya, Abdullah Jusoh. Ketika PRU13 lalu, ramai pengundi yang mengadu dakwat kekal yang digunakan ketika mengundi mudah ditanggalkan apabila dibasuh, dan menimbulkan reaksi negatif pelbagai pihak termasuk pemimpin pembangkang dari Pakatan Rakyat (PR) menyelar SPR atas perkara itu. SPR pula sebagai respon balas menyatakan dakwat berkenaan tidak menggunakan kandungan nitrat perak, sebaliknya hanya menggunakan pewarna makanan. "Bagi maksud digunakan untuk pengundian pada PRK Kuala Besut, SPR menghantar contoh dakwat kekal kepada Jabatan Kimia Malaysia untuk diuji daripada aspek kandungan bahan yang digunakan di dalam dakwat," katanya. Beliau berkata, pihaknya mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan bagi memastikan kandungan bahan dalam dakwat kekal itu tidak memudaratkan pengundi dan menerima keputusan daripada Majlis Fatwa Kebangsaan bahawa penggunaannya tidak melanggar hukum syarak. PR membawa kes ke mahkamah bagi mengetepikan keputusan PRU13 ekoran perjalanan pilihan raya yang didakwa mereka tidak bersih, termasuk insiden dakwat kekal yang tidak kekal. Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli juga mendakwa pembekal dakwat kekal berkenaan adalah "rakan karib" kepada dua pegawai tertinggi SPR, Abdul Aziz, dan timbalannya Datuk Wan Ahmad Wan Omar. Abdul Aziz bagaimanapun menafikan perkara itu. Penggunaan dakwat kekal adalah salah satu daripada lapan tuntutan yang dikemukakan Bersih 2.0 bagi mengelakkan berlakunya pengundian dua kali. - 18 Julai, 2013. TMI/- | ||
Karpal lapor polis terhadap timbalan menteri Posted: 17 Jul 2013 09:39 PM PDT 9 Ramadhan 1434 H. [MOD] - Karpal Singh, diiringi Penasihat DAP Lim Kit Siang, membuat laporan itu di balai polis Tun H.S Lee di sini pada kira-kira 12 tengah hari. Beliau menggesa polis menyiasat Tajuddin mengikut Akta Hasutan kerana didakwa sebagai berkata di Kuala Besut, Terengganu pada 14 Julai lepas bahawa beliau (Karpal Singh) boleh menjadi presiden pertama Malaysia jika pengundi di Kuala Besut membenarkan DAP mengawal Putrajaya melalui PAS. Pengundi di Kuala Besut akan mengundi pada 24 Julai dalam pilihan raya kecil untuk memilih Anggota Dewan Undangan Negeri berikutan kematian wakil rakyat mereka Dr A. Rahman Mokhtar dari Barisan Nasional (BN) pada 26 Jun lepas. BN mempertahankan kerusi itu dalam pertandingan satu lawan satu dengan PAS. Lim menyifatkan kenyataan Tajuddin sebagai semberono dan menghasut. - Bernama | ||
Ikhwan demo julang al-Quran di pejabat PM Mesir Posted: 17 Jul 2013 09:38 PM PDT 9 Ramadhan 1434 H. [MOD] - Ribuan penyokong Mohamed Mursi, presiden Mesir yang digulingkan, berdemonstrasi di luar pejabat perdana menteri dan berarak di Kaherah pada Rabu bagi menyatakan bantahan terhadap kabinet baru yang disokong tentera, pada hari pertama mereka memulakan tugas. Kumpulan Islamis menjulang al-Quran dan potret Mursi di tengah-tengah terik matahari di luar bangunan kerajaan sambil menuntut supaya Mursi dikembalikan ke tampuk kuasa selepas digulingkan tentera.Mereka melaungkan "Allahu Akbar", "Jahanam pemerintahan tentera" dan "Kami semua Mursi". Krisis di Mesir, yang merentasi Terusan Suez dan mempunyai perjanjian dengan Israel, turut membimbangkan sekutunya di Barat, lapor Reuters. Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah Catherine Ashton menjadi tokoh antarabangsa terbaru melawat pemerintah sementara Mesir. Tidak seperti Amerika Syarikat (AS), wakil yang datang dua hari lalu itu turut dijangka bertemu pemimpin kanan Ikhwanul Muslimin. Tentera yang menggulingkan presiden pertama Mesir yang dipilih oleh rakyat dua minggu lalu menuduh penyokong tokoh Ikhwan itu menghasut diadakan tunjuk perasaan bersenjata di luar kem tentera. Bagaimanapun, tunjuk perasaan itu kebanyakannya aman walaupun terdapat pergelutan apabila orang ramai yang berarak merentasi bandar Kaherah dan sepanjang tebing sungai Nil ditahan polis kerana cuba mendekati Dataran Tahrir – tumpuan perhimpunan anti-Mursi. "Kami hanya ada dua tujuan, hak kekuasaan atau mati syahid," Ahmed Ouda, 27, dipetik sebagai berkata oleh agensi berita antarabangsa itu. Sementara seorang lelaki menyampuk: "Syahid secara aman". Seramai 33 anggota kabinet sementara, kebanyakannya teknokrat dan liberal, pada Selasa mengangkat sumpah jawatan masing-masing. Tiada seorang pun dipilih daripada dua kumpulan Islamis utama yang memenangi lima pilihan raya berturut-turut sejak 2011, kebangkitan selepas penggulingan autokrat Hosni Mubarak. Selepas majlis angkat sumpah itu pada hari Selasa, pertempuran jalanan semalaman antara penyokong Mursi dan pasukan keselamatan, menyaksikan tujuh terkorban dan lebih 260 cedera, menjadikannya keganasan paling teruk dalam minggu ini. Mursi ditahan di lokasi yang tidak didedahkan dan belum didakwa atas sebarang kesalahan walaupun pihak berkuasa mengumumkan siasatan ekoran aduan merisik, menghasut keganasan dan merosakkan ekonomi. Pasukan pendakwa juga membuka semula kes lari daripada tahanan sementara pada 2011, sewaktu tunjuk perasaan menentang Mubarak. Malaysiakini/- | ||
Kenapa pengundi Kuala Besut mesti pilih PAS Posted: 17 Jul 2013 09:30 PM PDT
Dengan memilih PAS, kedudukan bilangan kerusi di Dun Terengganu akan menjadi seimbang 16:16 antara PR dan BN. Sekalipun tampuk pentadbiran negeri tidak akan bertukar dengan munculnya angka 16:16 sebagaimana yang dicanangkan kepimpinan Umno, kedudukan genting bagi Umno/BN ini dengan sendirinya akan menjadi faktor pendesak semulajadi untuk BN menunaikan janji-janjinya yang ditabur sepanjang kempen. Kita memaklumi 'ketulusan' Umno berkhidmat kepada rakyat adalah demi kelangsungan kuasa dan undi, projek-projek yang telah diletakkan batu asas sepanjang kempan PRK walaupun dikatakan perancangannya telah lama, cuma 'kebetulan' berlakunya kematian wakil rakyat, hakikatnya adalah 'perletakan batu asas pancing undi'. Perlaksanaannya? Belum tentu! Kalahnya BN dalam PRK Kuala Besut ini akan memberi kekuatan jaminan untuk rakyat Kuala Besut melihat tegak 'sengoti' Sekolah Kebangsaan Alor Peroi dan Rumah Pangsa Mampu Milik Tok Saboh sebagaimana dijanjikan, jika hal sebaliknya, menangnya BN akan menjadikan mereka selesa, lena tidur dan persetankan dengan segala janji-janji yang telah ditabur. Semaklah rekod-rekod perlaksanaan janji BN dalam beberapa siri PRK sebelum ini. Mudah kata, undi PAS di Kuala Besut, rakyat tak akan rugi apa-apa. Tentunya ada yang tak bersetuju dengan pandangan di atas, sebaliknya berpendapat dengan 16:16, Kuala Besut akan mencatat sejarah baru! PR akan memerintah Terengganu. Nah! Ini pastinya lebih baik sebab ianya akan memberikan peluang kepada PR Terengganu melaksanakan janji-janji manifesto yang telah dibentangkan kepada rakyat. Siapa yang tidak mahu masalah tanah diselesaikan, pinjaman Yayasan Terengganu dimansuhkan, bonus tahunan untuk warga emas yang tidak berpencen, cuti bergaji penuh 30 hari untuk kakitangan awam yang kematian suami, 17,000 peluang pekerjaan, pengecualian cukai pintu rumah kediaman, dasar merakyatkan ekonomi, bekalan air percuma bagi 20 meter padu dan beberapa lagi janji manifesto PAS Terengganu yang terhalang perlaksanaannya disebabkan angka 15:17. Seluruh pencinta keadilan dan kesaksamaan akan menyanjung tinggi dan berterima kasih kepada para pengundi Kuala Besut apabila anda menjadi perintis kepada perubahan ini. Undilah PAS kerana terbukti BN gagal mengubah taraf hidup rakyat Kuala Besut. Dengan bajet tahunan Terengganu yang mencecah angka RM2 bilion, satu jumlah bajet yang tertinggi antara negeri-negeri di semenanjung, tetapi rata-rata rakyat Terengganu secara amnya dan Kuala Besut fokusnya masih dihimpit kemiskinan dan kemiskinan tegar khusunya rakyat di sekitar daerah mengundi Seberang Barat Luar dan Tok Saboh di Kuala Besut. Masalah kemiskinan ini tidak akan selesai hanya dengan hanya perletakkan batu asas projek dan pengagihan anak ayam. Tambah mendukacitakan apabila MB memberi respon sinis terhadap isu kemiskinan ini dengan menuduh bahawa rumah-rumah buruk milik rakyat miskin adalah rumah orang PAS! Tidak timbul sebenarnya isu orang PAS atau Umno bila kita membincangkan berkenaan sosio-ekonomi rakyat apatah lagi seorang MB yang sepatutnya menjadi MB bagi rakyat dan negeri Terengganu, bukan MB untuk orang-orang Umno sahaja. Isunya bagaimana kekayaan negeri boleh dimanfaatkan secara optimum supaya status negeri Terengganu sebagai negeri dengan bilangan rakyat miskin tegar yang kedua tertinggi di Malaysia mampu diubah. Dengan makna lain bagaimana sumber kekayaan ini boleh dinikmati oleh keseluruhan rakyat secara adil dan telus. Calon PAS, Che Long mempunyai rekod kebersamaannya dengan penduduk setempat pada sebahagian besar tempoh hidupnya. Walaupun dicanangkan oleh tukang-tukang kempen BN calon PAS tak berpendidikan tinggi, beberapa kelebihan dan 'aset' semula jadi beliau perlu dipertimbangkan dengan adil oleh pengundi. Berlatarbelakangkan seorang kontraktor kelas A serta usahawan setor kayu yang berjaya, seorang yang beragama dan terus tekun mendalami ilmu agama, Che Long dikenali sebagai insan dermawan yang suka membantu masyarakat. Kekayaan anugerah Ilahi kepadanya menerusi kejayaan usahaniaga tidak dihabiskan untuk diri dan keluarganya semata-mata. Hampir tidak ada program parti di sekitar Besut yang tidak menerima sumbangan Che Long. Jumlah masjid dan surau yang menerima sumbangan beliau juga sangat banyak. Belum lagi termasuk sumbangan-sumbangan kebajikan yang lain. Beliau lahir di Kuala Besut, membesar di Kuala Besut, bersekolah di Kuala Besut atau istilah orang tempatan, sentiasa 'bertumah' di kampung sepanjang masa. Suka duka, susah senang, jatuh bangun masyarakat Kuala Besut adalah sebahagian dari kehidupan Che Long… | ||
Mahkamah tolak petisyen Telok Pasu, Rantau Abang Posted: 17 Jul 2013 09:28 PM PDT 9 Ramadhan 1434 H. [MOD] - \
KUALA TERENGGANU: Mahkamah menolak petisyen yang dikemukakan Barisan Nasional (BN) ke atas dua anggota Dewan Undangan Negeri PAS iaitu Telok Pasu dan juga Rantau Abang hari ini. Hakim Datuk Seri Mariana Yahya menolak petisyen itu dalam perbicaraan yang berlangsung di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini. Dun Telok Pasu dimenangi calon PAS, Ridhuan Hashim mengalah calon BN Datuk Abdul Rahin Mat Said dengan majoriti 109 undi dalam pilihan raya umum lalu. Dun Rantau Abang pula dimenangi calon PAS Alias Harun mengalahkan calon BN, Datuk Za'abar Mohd Adib dengan majoriti 90 undi sahaja. | ||
Profesor USM Didakwa Palsukan Tuntutan Elaun Perjalanan Posted: 17 Jul 2013 09:14 PM PDT 9 Ramadhan 1434 H. [MOD] - GEORGE TOWN: Seorang profesor Universiti Sains Malaysia (USM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, Khamis terhadap tiga pertuduhan membuat kenyataan palsu dalam tuntutan elaun perjalanan untuk tugasan rasminya pada 2010. Prof Dr P. Ambigapathy, Dekan Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan USM mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Khairul Anuar Abdul Halim.Ambigapathy, 56, dituduh melakukan ketiga-tiga kesalahan itu di pejabat USM dengan niat memperdayakan Pembantu Tadbir Kewangan Haryatie Zainor, dengan menyerahkan dokumen iaitu kenyataan tuntutan elaun perjalanan dalam negeri yang palsu bagi bulan Februari 2010 untuk tugasan rasminya dengan nilai sebanyak RM1,242. Kesemua tuntutan perjalanan rasmi itu dibuat dengan menggunakan kereta sendiri jenis Mercedez Benz bernombor pendaftaran PJL 1292 sedangkan tertuduh sebenarnya menggunakan kereta jabatan jenis Proton Perdana dengan nombor pendaftaran PHJ 6116. Bagi pertuduhan pertama, Ambigapathy didakwa pada 10 Februari 2010 telah mengemukakan tuntutan perjalanan rasminya bagi kerja lapangan dan mengumpul data penyelidikan yang berlangsung pada 6 hingga 8 Februari 2010. Bagi dua lagi pertuduhan, beliau didakwa pada 7 Jun 2010 telah mengemukakan tuntutan perjalanan rasminya untuk kajian penyelidikan di USM Kubang Kerian, Kelantan dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada 6 Feb 2010 dan ke Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada 7 Feb dan 9 Februari 2010. Beliau didakwa mengikut Seksyen 18, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang dari lima kali ganda atau nilai butir matan yang palsu jika dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi. Hakim Khairul Anuar membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Ogos untuk sebutan semula kes. Ambigapathy diwakili peguam M. Athimulan manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Janariah Abdul Mutalib.-BERNAMA | ||
Dewan Rakyat Lulus Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan Posted: 17 Jul 2013 08:45 PM PDT 9 Ramadhan 1434 H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat malam Rabu meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2012) 2013 selepas dibahaskan dalam peringkat jawatankuasa sejak Selasa. Rang Undang-undang itu memperuntukkan wang tambahan sebanyak RM513,469,560 kepada beberapa kementerian dan jabatan sebagai perbelanjaan pembangunan tambahan pertama. Antara kementerian dan jabatan yang terbabit ialah Suruhanjaya Pilihan Raya, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan, Kementerian Luar, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Kementerian Kerja Raya.Selain itu, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Kementerian Pelancongan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Kementerian Dalam Negeri. Persidangan dewan bersambung hari ini. -BERNAMA | ||
Pasangan Persenda Islam, Ramadan Didakwa Di Mahkamah Sesyen, Khamis Posted: 17 Jul 2013 08:40 PM PDT 9 Ramadhan 1434 H. [MOD] - KUALA LUMPUR:Pasangan yang mempersenda umat Islam dan Ramadan melalui laman Facebook mereka, Alvin Tan, 25, dan Vivian Lee, 24, akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Jalan Duta, di sini Khamis, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah. Ku berkata demikian ketika dihubungi Bernama tetapi beliau enggan menyatakan jenis dakwaan yang akan dikenakan terhadap mereka serta masa pasangan itu akan dihadapkan ke mahkamah. Menurut sumber polis, pasangan itu sepatutnya menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada pukul 3 petang ini tetapi mereka tidak berbuat demikian. "Melalui pesanan ringkas yang dikirim oleh peguam, pasangan tersebut akan serah diri di Bukit Aman dan kita juga panggil mereka untuk ke IPD Dang Wangi namun sehingga petang ini mereka tidak muncul," kata sumber itu. Pasangan itu didakwa memuat naik gambar mereka makan Bak Kut Teh beserta kapsyen yang menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini di laman sosial berkenaan, baru-baru ini. Kelmarin, Tan dan Lee memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) di sini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia. Pada Selasa Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis Kuala Lumpur telah membuka kertas siasatan terhadap pasangan itu mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana disyaki melakukan kesalahan atas alasan yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan, kebencian sehingga memudaratkan perpaduan. - BERNAMA |
You are subscribed to email updates from :: cina islam | 2013 :: To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan