DUN BUKIT PAYONG |
Tahap kesihatan penduduk Terengganu masih rendah Posted: 18 Jun 2013 09:07 PM PDT Petikan : Buletin Online Timbalan Pesuruhjaya III PAS Terengganu Dr Alias Razak berkata, usaha yang serius mesti diambil terhadap pelbagai perkara melibatkan aspek kesihatan kerana berdasarkan data dan fakta yang ada, ia masih tidak mencapai tahap membanggakan berbanding negeri lain. Dr. Alias turut membangkitkan beberapa perkara termasuk perbandingan masalah kematian anak yang baru lahir, ketika membahaskan Titah Ucapan Perasmian Sultan Terengganu Beliau berkata, statistik yang dikeuarkan pada tahun 2012 menyatakan, ramai bayi yang berumur 28 hari ke bawah yang lahir dengan selamat, meninggal dunia di negeri Terengganu berbanding peringkat nasional. Katanya, dalam 1000 kelahiran melibatkan bayi yang dilahirkan hidup, hanya tiga orang bayi meninggal di peringkat nasional tetapi seramai 6.4 bayi meninggal dunia di Terengganu. Beliau yang juga ADUN Bukit Tunggal menambah, keadaan itu menunjukkan kadar kematian bayi tersebut di Terengganu lebih tinggi berbanding peringkat persekutuan dan perlu diambil langkah segera untuk memastikan keadaan lebih baik pada masa depan. "Inilah taraf kesihatan yang ada pada kita. Dari segi kematian bayi, kematian anak yang umur setahun ke bawah, kita mencatatkan sebanyak 9.2 perseribu lahir hidup pada tahun 2012 sedangkan Malaysia pada 2010, sudah mencapai 5.4 perseratus ribu lahir hidup. "Ini kita masih lagi duduk separuh, 100 peratus kurang daripada peringkat persekutuan. Indikator ini menujukkan bahawa kemudahan kesihatan di Terengganu masih jauh ketinggalan berbanding negeri-negeri lain dalam negara kita," katanya dalam sesi Perbahasan Titah Sultan Terengganu sempena Persidangan Pertama Penggal Ke-13 Dun Terengganu, di Wisma Darul Iman, di sini. [Lihat Video] Dr. Alias turut menyentuh mengenai kekurangan peralatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan juga hospital-hospital daerah lain. Keadaan itu katanya turut menimbulkan kesukaran kepada orang ramai dan tidak menolak kelemahan tersebut turut dilihat sebagai punca berlakunya kes kematian terhadap ibu mengandung dengan jumlah kematian sebanyak sembilan orang pada tahun lepas akibat komplikasi bersalin yang disifatkan tidak sepatutnya berlaku di zaman seba canggih ini. Dari sudut kelemahan kemudahan hospital daerah katanya, Hospital Besut dilihat masih tidak mempunyai doktor pakar walaupun kemudahan dewan bedah telah pun dipertingkatkan, begitu juga Hospital Setiu yang boleh dianggap setaraf hospital pakar tetapi tiada penjawatan untuk ditempatkan doktor di situ. "Ini perkara menyedihkan dan melibatkan nyawa kesihatan rakyat kita yang sepatutnya di utamakan. Sebagai wakil rakyat dan doktor saya tidak puas hati bila dibandingkan dengan negeri-negeri lain. (Hospital Dungun) sudah berapa kali dirasmikan pecah tanah sehingga hari ini tidak dibina lagi," katanya. Mengulas lanjut, Terengganu juga tidak menepati kehendak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan juga sasaran Kementerian Kesihatan untuk memperuntukkan seorang doktor bagi 600 orang penduduk. Jelasnya, untuk mencapai matlamat tersebut, Terengganu memerlukan pertambahan sebanyak 978 orang doktor. "Ini hampir 100 peratus kita kekurangan doktor-doktro terlatih. Ini aspek perlu diberi keutamaan walaupun memang bukan di bawah Kerajaan Negeri tetapi Exco Kesihatan, Kerajaan Negeri mohonlah. Saya juga mohon cadang diberi keutamaan perkara seperti ini demi kesejahteraan nyawa dan kesihatan rakyat Terengganu Darul Iman ini," katanya. |
Ahmad Said tak jawab mengapa Jawatankuasa Agama Islam tak ada Posted: 18 Jun 2013 09:02 PM PDT Petikan : Buletin Online Beliau berkata, adalah tidak wajar hal ehwal agama diletakkan sebagai satu juzuk yang kecil di bawah Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi Dan Tugas-Tugas Khas kerana agama Islam memberi makna yang luas, leboh besar dari pendidikan. "Di (kerajaan) pusat ada Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang jaga hal ehwal agama dan keseluruhan kerajaan negeri juga ada yang jaga hal ehwal agama. "Definisi agama Islam itu lebih luas daripada pelajaran. Aspek-aspek lain duduk dalam agama jadi bagaimana agama diletak dalam satu exco yang hanya dalam aspek yang kecil. Perkara ini sudah lari dari asasnya," kata beliau sewaktu mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu pada Selasa 18 Jun. Beliau yang juga ADUN Rhu Rendang dalam soalan lisan asalnya, ingin mengetahui siapakah di kalangan Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri yang diberi tanggungjawab untuk mengendalikan urusan agama di bawah pentadbiran kerajaan negeri yang baru. Soalan beliau dijawab oleh Exco berkenaan yang juga ADUN Ajil Ghazali Taib, memaklumkan kepada DUN bahawa beliau diberi tanggungjawab oleh kerajaan negeri Terengganu untuk menjaga hal ehwal agama. "Hal ehwal agama Islam diletakkan bawah pengurusan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) yang diketuai Ketua Agama negeri, Sultan Terengganu. "Saya membantu dari segi kerjasama dengan Maidam untuk melancarkan pentadbiran," katanya. [Lihat Video] Mohd Abdul Wahid Endut (PAS-Wakaf Mempelam) ketika bangun mencelah berkata, belum pernah berlaku kerajaan negeri tidak mewujudkan portfolio agama yang disifatkan sebagai sangat penting. "Portfolio agama ini penting dan dalam ingatan saya belum pernah berlaku tak ada exco khusus yang menjaga portfolio ini dan biasanya diberi kepada orang berlatar belakang agama dan berkemampuan," katanya yang juga Ketua Pembangkang. Namun begitu, Menteri Besar Dato' Seri Ahmad Said yang mencelah dan cuba berhelah dengan menjawab, kerajaan pusat tidak ada Menteri Khas Hal Ehwal Agama, sebaliknya mengakui ada seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang diberi tanggungjawab khusus menjaga hal ehwal agama. Sebaliknya, beliau yang juga ADUN Kijal selaku ketua kerajaan tidak menjawab, mengapa negeri Terengganu tidak mewujudkan satu jawatankuasa khas agama Islam sebagaimana yang diamalkan di negeri-negeri lain. "Diperingkat negara kita ada menteri-menteri sebagaimana yang dikatakan (oleh ADUN Rhu Rendang) tadi, dan tak sebut Menteri Hal Ehwal Agama, apa yang disebut (dipanggil) ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan dia bertugas menjaga hal ehwal agama, "Sama dengan kita exco dengan tugas-tugas khas dan dia bertanggungjawab dengan hal ehwal agama,"kata Ahmad Said. |
You are subscribed to email updates from DUN BUKIT PAYONG To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan