Selasa, 7 Mei 2013

:: cina islam | 2011 ::

:: cina islam | 2011 ::


NUJ kutuk laporan Utusan

Posted: 07 May 2013 02:33 AM PDT

26 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) mencela Utusan Malaysia menonjolkan tajuk 'Apa Lagi Cina Mahu?' dan dua gambar perhimpunan aman orang tempatan di Taiwan dan Mid Valley Megamall di muka depan pada hari ini.

NUJM amat kecewa dengan pembentangan berita tersebut, kerana ia amat memesongkan pembaca dan berunsur provokatif, kata kenyataan media yang dikeluarkan Sekretariat NUJ hari ini.

Sebagai sebuah akhbar Melayu arus perdana, Utusan Malaysia tidak harusnya memainkan isu perkauman dan cuba menghasut ketegangan antara kaum.

"Seperti yang kita semua tahu, Umno yang manipulasikan Utusan Malaysia di belakang tabir," kata kenyataan itu.

Tapi ia bukannya akhbar parti yang hanya kepada ahli-ahli Umno, ia tidak patut dipergunakan sebagai senjata atau bahan propaganda parti politik untuk menyerang lawan politik.

Maka, NUJM mencela Utusan Malaysia menyembunyikan agenda di sebaliknya, dan tidak menjunjung etika kewartawanan, serta tidak neutral dalam melaporkan isu berkenaan.

Sebenarnya, pemimpin negara mengelar keputusan PRU13 sebagai "Tsunami Cina" adalah tidak tepat sama sekali. Malah, para pengulas politik dan statistik telah membuktikan PRU13 adalah "Tsunami Bandar" (Urban Tsunami).

Berita Utusan Malaysia ini seolah-olah mengungkitkan ketegangan hubungan antara kaum, bukan sahaja sengaja menimbulkan kecurigaan antara kaum, malahan mendalamkan salah faham antara kaum, kata kenyataan itu.

Pilihan raya merupakan satu proses demokrasi.  Media sebagai alat komunikasi, harus menegakkan dan memartabatkan etika kewartawanan, melaporkan kebenaran, dan bukannya memainkan isu perkauman.

Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum. Semua kaum hidup dalam keharmonian, kerana kita mengamalkan sikap saling bertolak-ansur, mengambil berat dan menghormati.

NUJM mengingatkan pengusaha industri media agar menghargai semangat perpaduan dan keharmonian yang disanjungi. 

Media bertanggungjawab untuk mengukuhkan perpaduan rakyat, dan bukannya menggunakan taktik kotor untuk mencapai agenda bersembunyi.

Harakahdaily/-

BN ditolak melalui ‘Tsunami internet dan anak muda’

Posted: 07 May 2013 12:36 AM PDT

26 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

BANDAR JENGKA: PAS hari ini menyeru agar rakyat terus berusaha untuk membina gelombang yang lebih besar untuk menumbangkan Umno-BN pada PRU-14 nanti.

Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata, ini kerana rakyat secara umumnya telah menolak BN mengikut data yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam.

Mengikut data yang dikeluarkan SPR, daripada 11,257,147 pengundi berdaftar, sejumlah 5,623,984 (49.96%) pengundi memilih Pakatan Rakyat di peringkat persekutuan berbanding 5,237,699 undi (46.53%) yang diperolehi BN.

Di peringkat DUN yang mempunyai keseluruhan 505 kerusi yang dipertandingkan, PR menerima undi yang lebih tinggi berbanding BN, iaitu 4,879,699 undi  berbanding 4,513,997 undi kepada BN.

"Gelombang menolak BN melalui 'Tsunami Internet dan Anak Muda' ini akan berterusan. Dalam lima tahun akan datang, lebih ramai rakyat, dan terutamanya anak muda akan menjadi celik politik kerana terdedah dengan maklumat yang ada di internet," tegas Tuan Ibrahim.

Pesuruhjaya PAS Pahang itu turut menasihatkan agar PR perlu mengambil masa ini untuk melatih polling agent – supaya mereka lebih cekap untuk menangkap dan menghidu helah yang dimainkan pihak-pihak tertentu di hari mengundi.

"Gerakan mendesak agar sistem pilihanraya dirombak dan dibersihkan perlu terus digerakkan. Satu referendum rakyat perlu diadakan terhadap kepimpinan SPR hari ini, samada mereka patut diberikan mandat menerajui SPR," Tuan Ibrahim menambah.

PAS, kata Tuan Ibrahim, juga memberi jaminan akan terus berusaha menjadi pelindung kepada semua lapisan rakyat daripada sebaran cubaan untuk mencetuskan konfrontasi kaum.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyalahkan keputusan BN yang semakin merosot sebagai fenomena 'Tsunami Cina.'

Dalam kenyataan hari ini, Setiausaha Agong PAS Datuk Mustafa Ali berkata hanya pihak yang tidak bertanggungjawab sahaja yang ingin melihat fenomena menolak BN ini dari sudut perkauman.

"Apa yang berlaku di PRU13 ialah penolakan secara umum daripada semua golongan terhadap BN. Disebabkan itu, BN tewas undi popular buat kali pertamanya dalam sejarah," tegasnya.


Berikut adalah kenyataan penuh Tuan Ibrahim.


KENYATAAN MEDIA

Secara umum, BN telah ditolak oleh rakyat.

Mengikut data yang dikeluarkan SPR, daripada 11,257,147 pengundi berdaftar, sejumlah 5,623,984 (49.96%) pengundi memilih PR di peringkat persekutuan berbanding 5,237,699 undi (46.53%) yang diperolehi BN.

Di peringkat DUN yang mempunyai keseluruhan 505 kerusi yang dipertandingkan, PR menerima undi yang lebih tinggi berbanding BN, iaitu 4,879,699 undi  berbanding 4,513,997 undi kepada BN.

Gelombang menolak BN melalui "Tsunami Internet dan Anak Muda" ini akan berterusan. Dalam lima tahun akan datang, lebih ramai rakyat, dan terutamanya anak muda akan menjadi celik politik kerana terdedah dengan maklumat yang ada di internet.

Di samping itu, Pakatan Rakyat perlu mengambil masa ini untuk melatih polling agent – supaya mereka lebih cekap untuk menangkap dan menghidu helah yang dimainkan pihak-pihak tertentu di hari mengundi.

Gerakan mendesak agar sistem pilihanraya dirombak dan dibersihkan perlu terus digerakkan. Satu referendum rakyat perlu diadakan terhadap kepimpinan SPR hari ini, samada mereka patut diberikan mandat menerajui SPR.

Rakyat, teruskan usaha untuk membina gelombang lebih besar menumbangkan Umno-BN pada PRU14 nanti.

Di samping itu, PAS juga memberi jaminan akan terus berusaha menjadi pelindung kepada semua lapisan rakyat daripada sebaran cubaan untuk mencetuskan konfrontasi kaum.

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat
7 Mei 2013

Lim Guan Eng angkat sumpah sebagai Ketua Menteri

Posted: 07 May 2013 12:16 AM PDT

26 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


GEORGETOWN: Pagi ini, Lim Guan Eng yang memenangi Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih, Balik Pulau mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk penggal kedua.

Majlis angkat sumpah itu diadakan di kediaman rasmi Tuan Yang Terutama (TYT), Datuk Seri Utama Tun Dr Haji Abdul Rahman Haji Abbas, Jalan Utama, Pulau Pinang.

Sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang kali ke dua berturut-turut beliau bertekad akan melaksanakan lebih banyak program kebajikan pada rakyat.  Program yang sedia ada akan digerakkan dengan lebih aktif lagi ekoran sambutan dan sokongan yang begitu padu.

Keadaan ini katanya, akan menyedarkan masyarakat terutamanya di luar bandar betapa prihatin Kerajaan Pakatan Rakyat.

"Apa yang Kerajaan Pakatan Rakyat sudah lakukan penggal lalu akan diteruskan seperti biasa.  Ini semua untuk kepentingan rakyat, " jelasnya.

Menyentuh mengenai tuduhan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa berlakunya tsunami kaum Cina pada Pilihanraya Umum ke 13 beliau berkata, sebenarnya bukan tsunami kaum cina sebaliknya semua kaum terutamanya pengundi muda.

Ujar beliau, jika berlaku tsunami kaum Cina kenapa di kawasan Melayu bandar Pakatan Rakyat boleh menang cuma Pakatan Rakyat kehilangan sokongan Melayu di kawasan luar bandar.

Bersaranya Tok Guru Nik Aziz menyentap hati manusia

Posted: 07 May 2013 12:12 AM PDT

26 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Bersaranya Tok Guru Nik Aziz amat menyentap hati-hati manusia yang mempunyai iman. Hujan sejak pagi renyai umpama menangis. Terima kasih Tok Guru Nik Abdul Aziz. Perjuangan mu menjadi benchmark bidang ilmu dan ketamadunan Islam.

1. Fakta, TGNA adalah insan pertama sebagai pemimpin yang mengadakan urustadbir kewangan Islamik.


2. Fakta, pemimpin pertama bebas segala aktiviti salah laku dan urustadbir paling walaupun dana disekat.



3. Fakta, pemimpin yang pertama tidak duduk di rumah Menteri Besar sebaliknya tinggal di rumah sendiri yang tiangnya bersambung dengan Masjid Nikmatilah Pulau Melaka.



4. Sanggup tidak ambil elaun gaji untuk bayar hutang rakyat Kelantan yang dibuat oleh pemimpin parti 'Timbang Kilo'.



5. Dialah ulama, pemimpin, murrabi, guru, pentadbir, pemikir mantik paling halus dalam dunia, sahabat dan pendoa di tengah malam di kala bumi Malaysia panas dengan maksiat dan rejaman fitnah media. Halalkan ilmu yang pernah saya dengar, terima sama ada sengaja atau tidak sengaja.



4. Sifat daya juang anak Kelantan terdidik dengan ilmu dan tawaduknya.



5. Sepanjang memimpin Kelantan kami tidak pernah kebulur tapi ilmu dan semangat beliau menyebabkan anak cukup unik dan pandai berniaga.



6. Sistem pentadbiran kerajaan Kelantan patut dicontohi.



7. Sistem wang sunnah pertama di dunia dengan Kelantan Trade Gold dengan wujudnya dinar dan dirham.



8. Wibawa yang sentiasa mendapat rating tinggi dalam urus kewangan. Boleh rujuk Audit Negara (tidak pernah disiarkan).



9. Satu-satunya pemimpin paling banyak keluarkan buku dan mutiara kata antara yang terbaik dalam dunia. Seni mantik, timbang tara lengkap semua ijtihad kesufian Islam dengan kiasan penuh moral yang bertauhid Allah Taala.



Kami merindui perjuangan ulama ini yang disayangi dan disegani semua pihak. Bintang ini tiada tolok gantinya. Semoga Allah swt merahmati beliau dan sentiasa dalam rahmat kasih sayang-Nya. Dialah Tok Guru kami.


harakahdaily/-

Tersembam dihempap balak reput

Posted: 07 May 2013 12:08 AM PDT


26 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Hasrat seorang warga Indonesia mencari rezeki menyara anak dan isterinya di Jawa Tengah, terbantut apabila ditimpa balak reput di Hutan Kampung Gawi, Hulu Terengganu.
Masrur Nasmin, 26, berkata dalam kejadian jam 10 pagi Jumaat lau, dia bersama dua rakan keluar bekerja di hutan menebang pokok balak.

Menurutnya, sebaik selesai menebang beberapa pokok balak, dia berehat dan berjalan untuk melihat keadaan sekeliling hutan berkenaan.

"Saya terdengar bunyi kayu patah di atas pokok balak dan terkejut melihat sebatang dahan reput sebesar paha setinggi 20 meter menjunam ke bawah.
metro/-

Najib bertanggungjawab dengan 'Apa lagi Cina mahu'

Posted: 07 May 2013 12:04 AM PDT

26 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

(Muka depan akhbar Umno, Utusan Malaysia hari ini)

KUALA LUMPUR: Muka depan Utusan Malaysia hari ini, 'Apa lagi Cina mahu' benar-benar menimbulkan kemarahan di kalangan rakyat Malaysia yang mahukan keharmonian kaum dan keamanan.

Bagi mereka Utusan yang dimiliki oleh Umno sudah melampau dan cuba menanamkan sentimen perkauman di negara ini.

Ia bertentangan sama sekali dengan slogan yang dipamerkan BN semasa kempen pilihan raya lalu.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan Datuk Seri Najib sebagai pihak yang bertanggungjwab dengan laporan ini.

"Mereka mengikut arahan Najib. Pertama kerana ia akhbar Umno.

"Kedua, saya tahu kerana semasa saya timbalan presiden Umno, presiden Umno memberikan arahan harian kepada Utusan," kata Anwar semasa sidang media hari ini.

Laman sosial facebook hari ini penuh dengan keratan muka depan Utusan yang diedarkan dengan makian dan kemarahan dilontarkan kepadanya.

Semalam, Najib menyifatkan 'tsunami Cina' berlaku dalam pilihan raya ini yang juga memarahkan pelbagai pihak.

Profesor Dr Agus Yusof antara yang menolak andaian Najib ini.

Turut tidak senang adalah bekas Ketua Pengarang kumpulan NST, Datuk Kadir Jasin.

harakahdaily/-

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat...

Posted: 07 May 2013 12:02 AM PDT

26 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Beliau berumur 82 tahun...

Dilahirkan pada tahun 1931 di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu. Beliau merupakan anak kedua daripada sembilan orang adik-beradik. Hasil perkongsian hidup dengan isterinya, iaitu Tuan Sabariah Binti Tuan Ishak, beliau dikurniakan 10 orang cahaya mata (5 lelaki dan 5 perempuan).

Sebelum menjadi Menteri Besar, beliau adalah seorang guru agama yang aktif. Beliau pernah mengajar di Sekolah Menengah Agama Tarbiyyah Mardiah, Sekolah Menengah Agama Darul Anwar dan Sekolah Menengah Maahad Muhammadi yang kesemuanya terletak di Kelantan. Maka tidak hairanlah beliau lebih mesra dengan gelaran 'Tuan Guru' di kalangan rakyat Malaysia. 

Malah sehingga kini, beliau masih lagi aktif menyebarkan ilmu-ilmu Islam kepada masyarakat. Pada hampir setiap pagi, beliau akan menjadi imam kepada Solat Subuh dan kemudiannya memberikan kuliah ringkas di sebuah masjid yang terletak hanya beberapa langkah sahaja dari rumahnya.

Beliau sentiasa dikenali sebagai seorang Menteri Besar yang paling zuhud dan warak. Pada hampir setiap masa, beliau sentiasa dilihat dalam keadaan berjubah dan berserban. 

Beliau mengaku bersolat dalam keadaan gelap apabila berada di dalam pejabatnya kerana tidak mahu menggunakan duit kerajaan untuk kepentingan dirinya.

Rumahnya (gambar kanan) pula hanyalah sebuah rumah kampung biasa seperti yang dimiliki oleh rakyat kebanyakan. Rumahnya tidak berpagar sama sekali dan tiada pengawal keselamatan yang diupah untuk menjaganya.

Pada tahun 2008, Gerakan Rakyat Anti Korupsi (GERAK) telah menganugerahkan beliau sebagai Menteri Besar yang memiliki rekod paling bersih di Malaysia. Anugerah itu diberikan sebagai menghargai usaha beliau menentang gejala rasuah sepanjang mentadbir Kelantan selama hampir 18 tahun.

Pada tahun 2009, beliau diletakan diantara 50 tokoh Islam berpengaruh didunia dan disenaraikan dalam buku berjudul "The 500 Most Influential Muslims".

Politik Beliau Yang Menarik yang Perlu Anda Semua Mengetauinya:

Pada pilihan raya umum Malaysia kali ke-12, beliau bersemuka dengan Datuk Dr Nik Mohd Zain Omar yang bertanding di atas tiket Barisan Nasional (BN) di kawasan DUN yang sama. 

Secara peraturannya, Beliau (PAS) sudah boleh menang tanpa bertanding pada hari penamaan calon apabila lawannya itu terlupa untuk menurunkan tandatangannya pada borang penamaan calon. 

Namun beliau tidak mahu menang dengan cara begitu lalu meminta calon BN itu menandatangani semula borang pencalonan tersebut. 

Keputusan pilihan raya kali ini menyaksikan Nik Aziz menang dengan majoriti undi yang lebih besar, iaitu 4,249.

Beliaulah bekas Menteri Besar Kelantan Darul Naim (1990 - 2013) iaitu Tuan Guru Datuk Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat.


harakah/-

Rakyat bersama Pakatan, Umno-BN hanya menang kerusi — Mohd Sayuti Omar

Posted: 06 May 2013 11:23 PM PDT

26 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Hidup ini kerana nyawa dan semangat. Jasad kita bergerak kerana ada nyawa (roh). Jasad pula akan jadi segar sekiranya ada semangat. Bila semangat lemah, maka kita akan sakit-sakitan. Selesai pilihan raya maka saya jadi tidak sihat. Seluruh tubuh jadi sakit-sakit. Kesan berjaga malam dua minggu memberi ketidakselesaan kepada diri. Tanpa makan teratur dan tidur sudah pasti tidak mencukupi itulah menjadikan badan sakit.
Keadaan yang lemah itu ditambah lagi dengan "kekalahan". Saya yakin saya akan sihat, bersemangat dan lancar membuat ulasan demi ulasan kalau menang. Maksudnya jasad akan jadi kuat kerana ia di go head oleh kemenangan. Pasti tubuh tidak akan jadi lemah gemulai.
Bukan saja saya, semua orang yang cintakan damai dan perubahan terkejut dengan keputusan pilihan raya umum ke-13 yang lalu. Saya percaya hari ini ramai yang sakit dan lemah semangat macam saya. Namun kita tidak boleh ikutkan hati sangat, bertawakuslah. Apapun kita hanya mampu merancang, tetapi Allah juga yang Maha Mentadbir.
Semua yang berlaku dalam pilihan raya dua hari lepas di luar jangka kita. Apa yang kita jangkankan tidak menjadi. Dari kalangan penyokong sampai kepada pemimpin atasan tidak menyangka. Bahkan pemerhati dari luar negara juga terperagah menerima keputusan. Masih ada yang termangu panjang di birai jendela memikirkan nasib badan dan keputusan yang telah diumumkan. Jangan begitu, perjuangan masih panjang dan Tuhan tetap memelihara orang yang sabar dan bertaqwa.
Bagi saya apa yang berlaku tidak akan berganjak. Bahawa UBN akan membentuk kerajaan untuk lima tahun lagi dalam keadaan yang lemah kerana tidak memperolehi 2/3 di parlimen. Walaupun banyak kecacatan dan ketidaksempurnaan itulah yang harus diterima kini. Apabila Datuk Seri Najib Razak dalam kenyataan awalnya meminta Pakatan Rakyat menerima keputusan, sudah dapat dibaca apa yang termaktub di dalam hatinya. Apa yang beliau tahu mengenai pilihan raya berkenaan? Bahawa kecacatan dan penipuan berlaku. Ini realiti yang kita kena terima. Betapa kita membencinya tetapi ia hadir dalam hidup demokrasi kita. Penipuan bukan saja dalam PRU13 tetap sejak dari PRU1 lagi.
Selepas ini akan ada beberapa petisyen atau bantahan. Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah membuat kenyataan pihaknya sedang mengkaji untuk membuat bantahan. Ada kawasan yang terdapat bukti jelas berlaku penyelewengan. Misalnya apa yang diterima Lajim Okin di Sabah adalah satu bukti besar. Semua orang tidak mempercaya Lajim akan kalah. Inilah ibu segala kebusukan dalam pilihan raya ini. Anwar menyifatkan kemenangan di pihak pakatan rakyat telah dicuri oleh UBN.
Sehubungan itu beliau juga meminta satu badan suruhanjaya pilihan raya lain perlu dibentuk menggantikan SPR yang ada hari ini yang tidak telus. Badan baru itu harus telus dan terbuka. Bagi Anwar peranana SPR hari ini bukan memberikeadilan dan hak sama rata tetapi membela UBN. Kebimbang ini sudah lama bersarangan, beberapa desakan dan tuntutan dilakukan kepada badan itu namun ia tidak juga memberi apa-apa perubahan.
Saya menarik dengan satu figure dikeluarkan mengenai undi popular di mana Pakatan Rakyat memperolehi 50.3 peratus undi manakala UBN mendapat 46.8 peratus. Jika angka ini tepat dan benar maka jelas dari sudut angka dan undi popular Pakatan Rakyat yang berhak diumum sebagai pemenang. Ertinya kalau amalan demokrasi sama seperti di Indonesia, Pakatan berhak mendapat anggota kabinet yang lebih ramai berbanding dengan UBN.
Sekiranya angka ini sahih rakyat berharap menuntut kemenangan mereka. SPR perlu memberi penjelasan dari semua sudut dengan jelas macam mana mereka boleh mengumumkan UBN menang. Kemunasabahan melampau hak perlu digunakan oleh SPR untuk mempertahankan keputusannya. Oh ya mungkin ia berdasarkan kepada jumlah kerusi diperolehi tetapi bukan peratus undi. Ertinya kalau kemenangan UBN itu berdasarkan kepada jumlah kerusi bukan kepada peratus suara. Ini bermakna kemenangan itu bukan dari atas suara.
Saya sudah lama menyarankan agar sistem pilihan raya kita diubah. Dari mengira kerusi kepada mengira suara. Kemenangan berdasarkan siapa yang mendapat kerusi lebih dan bukan kepada suara rakyat tidak relevan lagi. Ini bermakna parti yang kurang mendapat sokongan menjadi kerajaan. Suara rakyat yang mahukan perubahan terus terabai dan dinafikan oleh jumlah kerusi yang mana kemenangannya boleh direka dan diusahakan?
Berdasarkan hakiat itu tadi, sokongan rakyat, PRU13 memang dimenangi oleh rakyat. Suara yang inginkan kepada Pakatan Rakyat lebih tinggi berbanding dengan suara yang inginkan kepada UBN. Perbezaan sebanyak 3.5 peratus adalah besar. Hakikat ini mungkin jarang diketahui oleh orang ramai. Justeru kalau kita memahami ini tidak perlu merasa sedih atau merasa kalah kerana hakikatnya apa yang diterima oleh UBN itu dari segi kelebihan kerusi bukan sokongan.
Kelebihan kerusi bukan menggambarkan sokongan sepenuhnya, kalau dikira dari setiap individu. Yang perlu diperkiranya ialah jumlah semua individu yang mengundi pada 5 Mei lalu. Makanya Najib dan pemimpin BN tidak boleh merasa "manggak" dengan kemenangan itu kerana ia bukan kemenangan mutlak. Sekiranya Najib dan UBN seorang dan sebuah badan berintegriti beliau kena serahkan kemenangan itu kepada Pakatan Rakyat atau dikongsi bersama.
Jadi kepada penyokong Pakatan jangan bersedih. Saya pun sudah segar dan bersemangat kembali kini. Sebenarnya tidak ada kekalahan mutlak di sebelah kita. Dari segi punggutan kerusi Pakatan Rakyat berjaya menambah kerusi parlimen dari 82 pada tahun 2008 kepada 89 kerusi bertambah sebanyak tujuh kerusi. UBN mengalami kesusutan sebanyak tujuh kerusi. Dulu 140 kini 133 kerusi.
Manakala dari segi kedudukan kerusi negeri pula UBN kehilangan 32 kerusi. Dalam tahun 2008 UBN mendapat 306 kerusi manakala dalam pilihan raya lalu mendapat 274 kerusi. Walaupun parti itu berjaya merampas Kedah namun dari segi hakikatnya parti itu merosot.
Lonjakan besar bagi Pakatan Rakyat ialah di negeri Terengganu. PAS hanya kekurangan dua kerusi sahaja untuk membentuk kerajaan di negeri itu. Begitu juga di Perak. Pakatan Rakyat kekurangan juga dua kerusi saja. Kedudukan menunjukkan sokongan dan kekuatan Pakatan Rakyat masih ada dan diberi kepercayaan oleh rakyat.
Kekalahan mengikut bilangan kerusi harus diterima kerana kita memahami apakah peranan SPR didalam menguruskan pilihan raya ini. Dalam keadaan SPR tidak berlaku adil tetapi Pakatan Rakyat terus mendapat sokongan dan melonjakkan diri, jelas bahawa tuntut massa mahukan kepada Pakatan Rakyat.
Di sini saya tidak mahu menyebut atau membuat post-mortem mengenai kenapa Pakatan Rakyat masih belum boleh membentuk kerajaan. Saya akan mengambil ruang lain. Cuma apa yang hendak ditegaskan ialah agar penyokong Pakatan Rakyat tidak mudah berputus asas. Semua pihak perlu merasakan kita telah melakukan yang terbaik di dalam pilihan raya lalu. Di samping itu dalam menilai kenapa kita "menang kalah" perlu menyenaraikan kelemahan atau sesuatu tindakan yang kita tidak sempat lakukan menyebabkan berlaku apa yang berlaku.
Renung ke dalam diri, di antara kita akan menemui sesuatu kesilapan kecil yang kita lakukan baik sengaja atau tidak. Kalau kita tulus kita akan menemui perkara itu dan itulah yang memungkinkan kita gagal. Apabila menemuinya, kita perbetulkan dan tidak akan mengulangi benda sama di tahun akan datang.
Yang dapat saya simpulkan berhubung keputusan semalam ialah, BN menang dari segi jumlah kerusi tetapi kalah dari segi suara dan kehendak rakyat. UBN kena sedar bahawa sebanyak 3.5 peratus adalah rakyat yang tidak bersetuju dengan UBN. Tanpa memikirkan bahawa matlamat kemenangan itu untuk membentuk kerajaan dan mentadbir negara semata-mata, sesungguhnya Pakatan Rakyat telah memenangi pilihan raya ke-13 lalu. Hakikat ini diketehaui oleh semua dunia. 
— msomelayu.blogspot.com

Kuala Kangsar, Catatan Idham Lim (2)

Posted: 06 May 2013 10:03 PM PDT

"Saya telah tawarkan yang terbaik untuk Kuala Kangsar namun semuanya mesti akur dengan keputusan yang tidak memihak kepada kita"

26 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Di pagi 5 Mei yang bersejarah saya bergerak dengan 3  kernderaan dari Kediamann di Kuala Kangsar ke Pusat pembuangan undi di Kampung Parit Tok Ngah untuk menunaikan amanah sebagai pengundi yang masih berdaftar dalam Parlimen Parit Buntar dan DUN Titi Serong., itulah kampung halaman isteri tercinta. 

Tujuan pertama ialah balik bersarapan di rumah ibu mertua yang letaknya tidak jauh dari SMK Agama Al Falah tempat kami akan mengundi. Di sana saya sempat untuk solat dhuha dan mohon doa restu dari ibu kesayangan supaya diberikan kemenangan yang diharapkan.

Keyakinan di Kuala Kangsar juga berada pada saudara dan rakan seperjuangan di Parit Tok Ngah yang merasakan kemanangan sudah hampir untuk Idham Lim di Kuala Kangsar.

Selepas mengundi kami bergegas kembali ke Kuala Kangsar. Di dalam perjalanan telefon berdering dari seorang penyokong kuat dari Taiping yang sangat berhajat untuk memberi sedikit sumbangan, melihat kepada masa yang ada saya gagahkan bersama rombongan keluar dari tol Changkat Jering dan menuju ke Masjid Daerah Taiping tempat yang dijanji untuk kami bertemu.

Pelukan dari penyokong kuat itu dan anaknya sangat mesra dan erat sekali sambil mereka membisikan kemenangan yang mereka rasakan sudah hampir untuk Idham Lim, demikianlah harapan semua pihak.

Sejak dua hari sebelum mengudi sehinggalah di pagi dan sepanjang hari 5 Mei saya dihujani dengan banyak SMS dan panggilan dari rakan seperjuangan seluruh negara mendoakan kejayaan dan kemenangan yang meraka rasakan akan berpihak kepada saya.

Jam 10.00 Pagi saya sampai di pusat mengundi yang pertama dari keseluruhan 23 pusat mengundi yang ada dalam parlimen Kuala Kangsar yang dijadualakan oleh Bilik Operasi untuk saya lawati semuanya.

Dari pusat mengundi yang pertama hinggalah yang terakhir pada jam 5.30 petang di pusat mengundi SMK Sayong, keseluruhannya memberi jawapan dan harapan yang sama betapa mereka merasakan kemenangan sudah hampir untuk Idham Lim.

Antara yang menarik dalam lawatan ke 23 pusat mengundi itu saya sempat di ambil rakaman oleh rakan medai elektronik yang menunggu lawatan saya di SMK Clifford. Selain itu saya bertembung dan sempat bersalaman 2 kali dengan calon BN di SK Talang dan Di Pusat mengundi Ulu Piul Manong. Sempat kami bergambar bersama dalam suasana akrab dan disaksikan oleh penyokong kedua belah pihak.

Dengan rasa pasrah dan berserah kepada Allah SWT bila pusat mengundi ditutup sejak jam 5 petang saya dan rombongan balik ke kediaman.

Terima kasih kepada segala harapan doa yang kita panjatkan untuk kemenangan Kuala Kangsar. Sesungguhnya ketentuan dari Allah itulah yang sebenarnya dan saya pasrah kepada Nya. Seperti yang saya nukilkan dalam kenyhataan saya semalam,:-


"Saya dengan berbesar hati menerima keputusan tersebut dan juga berharap kepada semua penyokong PAS dan Pakatan Rakyat menerimanya sebagai satu lumrah dalam pertandingan. Sebenarnya perjuangan kita memperjuangkan kebenaran dan agama Allah, itulah kemenangan yang sebenarnya.

Alhamdulillah kita sama-sama bekerja keras untuk P67 Kuala Kangsar, N34 Bukit Chandan dan N35 Manong, namun ketentuan dari Allah wajib kita terima dgn tenang dan sabar, perjuangan mesti kita teruskan, jangan kecewa dan putus asa. "


Selepas berjemaah Maghrib dengan keluarga di kediaman Chandan Puteri saya bergegas ke Bilik Operasi PRU 13 PAS Kuala kangsar yang berada di Bukit Chandan. Walaupun dalam keadaan agak keletihan saya dengan berbaju melayu kuatkan semangat dengan team keselamatan ke sana untuk melihat penjumlahan awal berdasarkan Borang 14 yang dibawa oleh semua petugas UPU PAS.

(bersambung......)

Kuala Kangsar, Catatan Idham Lim (1)

Posted: 06 May 2013 08:54 PM PDT

26 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD]-
Keputusan PRU ke 13 memang mengejutkan banyak pihak, kerana itu pada pagi ini saya gagahkan jasad ini untuk berada dihadapan komputer untuk mencatat sesuatu sebagai tatapan rakan seperjuangan dan pengunjung blog ini.

Paling kurang agar ia menjadi suatu memori kenangan bersama dan peniup kepada semangat yang masih membara untuk terus menyusun strategi bagi menawan Kuala Kangsar dalam PRU akan datang.

Seawalnya saya banyak menerima panggilan dan sms juga ucapan secara langsung dari para penyokong PAS dan Pakatan Rakyat yang melihat peluang terbaik untuk menawan Kula Kangsar bila berlaku pertandingan 3 penjuru. Umumnya mereka melihat itu sesuatu yang sangat manarik dan memberi peluang dan kelebihan. Apalagi peluang itu dianggap berada di urutan yang pertama disesabkan yang menjadi calon bebas di Kuala Kangsar adalah Datuk Kamilia yang dikenali umum dan menganggap beliau punya pengaruh yang kuat untuk memecah undi BN.

Bukan Tsunami Cina tapi gelombang kedua Tsunami 2008

Posted: 06 May 2013 08:05 PM PDT

26 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dakwaan Datuk Seri Najib Razak yang mengaitkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dengan perkauman kononnya sebagi 'Tsunam Cina' disanggah banyak pihak.

Penganalisis politik, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berkata beliau berbeza dengan pandangan tersebut.

Katanya, apa yang berlaku pada PRU13 menunjukkan bukan sahaja kebangkitan masyarakat Cina, tetapi kebangkitan seluruh rakyat Malaysia.

"Yang jelas pada saya ialah PRU 13 merupakan gelombang kedua tsunami rakyat, dari bandar, semi bandar, desa, golongan muda, kelas menengah dan lain-lain, yang bangkit untuk menuntut pembentukan sebuah kerajaan yang bersih, adil dan bertanggungjawab kepada semua rakyat. 

"Ringkasnya, keputusan PRU 13 menunjukkan tsunami rakyat Malaysia dan tiada kaitan dengan perkauman orang Cina atau sikap rasis DAP.

"Sudah sampai masanya kita berhenti meniupkan api perkauman dalam politik kita," kata pensyarah kanan Sain Politik UKM itu dalam entri di Facebook.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan media dan juga kenyataan Najib yang mendakwa kemerosotan pencapaian BN pada PRU13 ini akibat Tsunami orang Cina yang menolak BN.

Pada PRU13 yang diumum kelmarin, dari keseluruhan 222 kerusi parlimen BN menang 133 iaitu kurang tujuh kerusi berbanding 2008.

Pakatan Rakyat pula menang 89 kerusi iaitu meningkat tujuh kerusi dari PRU 2008.


Generasi Y, orang Islam

Sementara itu, pakar motivasi terkenal Dr. Tengku Asmadi T. Mohamad turut memberi pandangan serupa berhubung isu ini.

Katanya, dakwaan bahawa 'Tsunami pengundi Cina' semata-mata bukan sahaja tidak tepat malah dilihat cuba menjuzukkan keputusan ke arah perkauman.

"Tetapi apa yang lebih tepat ialah Tsunami sebahagian besar pengundi tidak kira Cina, Melayu, India dan lain-lain. 

"Ini dapat dilihat daripada keputusan pilihanraya itu sendiri dan ini adalah satu 'wake up call' kepada BN," katanya juga dalam Facebook.

Menurut beliau, PRU13 ini bukan sahaja golongan Cina yang bangkit, malah sebenarnya menyaksikan kebangkitan beberapa golongan lain termasuk golongan pengundi muda, Gen-Y.

Golongan ini kata Asmadi banyak terdedah kepada media sosial untuk mendapat maklumat dan mereka tidak takut untuk membuat sebarang perubahan.

"Minda mereka tidak terpengaruh dengan isu-isu perkauman dan mereka ini lahir dalam zaman lepas merdeka," katanya.

Perubahan juga katanya berlaku di kalangan orang Islam yang menuntut kepimpinan yang amanah, telus, adil, berintegriti dan kredibel serta usaha-usaha yang lebih merakyat.

"Kita tidak boleh melihat semuanya sebagai perkauman (racist). Ramai juga penyokong Cina yang beralih arah itu kerana sudah letih dan sebagai tanda protes terhadap apa yang berlaku. 

"Malah mereka mengangkat pula bendera PAS tanpa segan silu. Bermakna ada sesuatu yang ada dalam fikiran mereka ini melangkaui aspek perkauman," katanya.

Harakahdaily/-

Jika tipu, Najib & BN tumbang tak lama lagi...

Posted: 06 May 2013 07:25 PM PDT

26 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Anwar mahu selesai isu penipuan p'raya dulu 

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau akan menimbangkan mengenai persaraannya daripada politik selepas menyelesaikan isu penipuan dan penyelewengan yang didakwa berlaku dalam pilihan raya umum ke-13. 

Katanya, beliau memutuskan demikian kerana beranggapan bahawa perjalanan pilihan raya kali ini telah "dicuri" daripada rakyat melalui proses penipuan. 

"Pendirian saya sama. Saya ada mendapat tawaran untuk mengajar di beberapa universiti utama. Saya masih fikir. Tapi saya nak selesaikan penipuan ini. (Ia) belum selesai. Saya dah menang. Pilihan raya ini sudah dimenangi oleh Pakatan Rakyat. 

"Saya rasa apa yang perlu diperjelaskan sekarang ini ialah, pilihan raya ini telah dicuri melalui proses penipuan. Kerana mengikut proses yang biasa dan yang adil, kita sudah menang. Hampir mustahil (kalah) kalau dilihat dari sambutan yang ada. 

Beliau yakin bahawa kemenangan pilihan raya kali ini telah dicuri memandangkan momentum yang berlaku dibeberapa kawasan yang beliau kunjungi. 

"Orang yang hadir bertepuk tangan bukan dapat bayaran atau dapat BR1M. Mereka datang dan beri sokongan dengan penuh perasaan," katanya. 

Anwar yang berpakaian serba hitam sebagai tanda 'perkabungan' ke atas demokrasi hari ini berkata beliau dapat merasakan bahawa rakyat kecewa dengan keputusan pilihan raya kali ini. 

"Saya tahu tentang sentimen kerana saya telah berkempen dengan bersungguh-sungguh. 

"Saya rasa sedih (dengan keputusan pilihan raya). Saya boleh gambarkan kekecewaan rakyat berdasarkan ceramah yang saya pergi di seluruh negara," katanya. 

Anwar sebelum ini pernah menyuarakan hasrat untuk meninggalkan dunia politik dan kembali mengajar sekiranya Pakatan gagal menguasai Putrajaya. 

Pada 2006, Anwar pernah menjadi pensyarah jemputan di Universiti Georgetown, Amerika Syarikat. 

mengakui bahawa beliau sangat menghargai masa bersama keluarga semasa beliau mengajar di Amerika Syarikat. 

"Apabila saya mengajar di Amerika Syarikat, mereka (keluarga) adalah masa yang terbaik untuk saya bersama Wan Azizah (Wan Ismail) dan keluarga," katanya. 

Dalam temubual itu lagi, Anwar yang kelihatan letih juga berkata PKR mungkin akan mengemukakan petisyen pilihan raya berdasarkan keputusan yang mencurigakan di beberapa kerusi. 

Katanya, beliau percaya calon PKR di kerusi Beaufort Datuk Lajim Ukin tewas akibat terdapat sogokan terhadap pengundi di kawasan itu. 

"Saya telah tegaskan ada isu kesahihan dalam keputusan pilihan raya. Terdapat bukti penipuan yang jelas. Terdapat kawasan-kawasan yang kita ada bukti. Kita tidak akan menerima keputusan ini. Kita akan berbuat sesuatu. 

"Saya tak percaya Lajim kalah. Tetapi saya faham tentang Wilfred Bumburing (Tuaran) yang terdapat perselisihan isu dalaman. Lajim saya percaya ada sogokan dan kami akan terus mengkaji tentang perkara itu dan akan lihat sama ada ada keperluan untuk memfailkan petisyen. 

"Kita tidak boleh terima proses ini. Penipuan dah begitu berleluasa. Mungkin salah satu pilihan raya yang paling teruk pernah kita jalankan," katanya lagi. -mk


Apa Yang Berlaku Sebenarnya?

Bukan x boleh terima BN menang. Tapi cuba tuan/puan nilai sendiri faktor dibawah :- 

1) Begitu byk kes pengundi hantu yg berjaya dibongkar.
2) Dakwat kekal yg dijanjikan lgsg x KEKAL! Padahal berjuta2 habis utk beli.
3) Keputusan hanya diumum jam 1 pagi iaitu paling lambat dalam sejarah malaysia!
4) Setelah DSAI umum PR menang byk negeri, serta merta byk pusat kiraan tiba2 blackout dan secara tiba2 undi BN naik mendadak.
5) Berjaya dibongkar apabila 3 peti undi disorok di parlimen putrajaya.
6) Pada pukul 11pm masih ada peti undi cuba dibawa masuk ke tempat pengundian padahal pusat mengundi ditutup pada pkul 5pm. Adakah tempoh 3 jam x cukup utk proses kira undi di buat.
7) Negeri perlis, terengganu, perak dan negeri semua BN menang majoriti mudah. Utk pengetahuan, negeri2 tersebut antara diumum DSAI telah dimenangi PR dan negeri2 tersebutlah yg tiba2 mengalami blackout!!
8) Ada pengundi hantu berjaya ditangkap kerana berjaya mengundi 2 kali
9) Kertas undi yg dibawa dari luar oleh petugas SPR!! berjaya di tangkap sedangkan adalah mustahil kertas undi boleh berada diluar dan ia satu kesalahan yg besar!
#Jadi tuan/puan nilai sendiri apa yg terjadi pada PRU kali ni. Kalau faktor2 diatas x berlaku, kita sama sekali xkn bantah keputusan PRU kali ni. Moga sama2 kita dpt pertimbangkan.
-FB


Ulasan GB

Hukum kebenaran dan keadilan akan tetap berjalan. Kemenangan dengan penipuan adalah satu jenayah dan tiada keberkatannya. 

Seperti yang GB katakan sebelum ini, kemenangan melalui penipuan adalah kemenangan yang rapuh ... dan ia akan tumbang dengan sendirinya kerana "dasarnya" lemah.

GB amat yakin jika kerajaan Najib dan UMNO BN memperolehi kemenangan dengan cara penipuan, kerajaannya akan tumbang tidak berapa lama lagi.

Dan semua yang terlibat dengan penipuan akan tetap dihukum walaupun penipuan itu licik dan tidak diketahui orang. Tetapi Allah Maha Mengetahui! Anda tidak boleh lari. 

Kebatilan tidak akan dapat mengalahkan kebenaran. Itu hukum alamiah, itu hukum Allah swt!

Khalid Samad: PR sudah menangi hati rakyat

Posted: 06 May 2013 05:00 PM PDT

26 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Khalid Samad

Khalid menunjukkan lilitan hitam yang dipakai sebagai tanda protes ketidaktelusan SPR semasa PRU13.
SHAH ALAM - Pakatan Rakyat (PR) menyifatkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) sebagai tanda telah diterima rakyat berikutan jumlah undi keseluruhan berjaya mengatasi Barisan Nasional (BN).
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkata, jumlah undi seluruh negara sebanyak 5.6 juta memilih PR manakala BN pula hanya 5.3 juta.

"Tetapi kaedah persempadanan diamalkan, BN mendapat majoriti di Parlimen sedangkan undi rakyat menyebelahi PR.

"Pemimpin Umno-BN seharusnya lihat dan sedar bahawa mereka telah ditolak oleh kebanyakan rakyat di negara ini," katanya ketika sidang media di dewan Kediaman Exco Kerajaan Selangor, Seksyen 7, di sini semalam.

Beliau berkata, kemenangan pasti memihak kepada PR sekiranya media di negara ini bebas melaporkan keadilan kedua-dua belah pihak.

"Saya percaya sekiranya kita bertanding dan semua media melaporkan secara adil umpama bertanding di atas padang yang rata sudah pasti kita percaya rakyat majoriti berkehendakkan PR untuk memerintah.

"Pada hakikatnya PR telah memenangi hati rakyat dan janganlah BN tidak sedar tentang itu dengan bangga menyatakan telah mendapat mandat daripada rakyat," katanya.

Kelmarin, Khalid menewaskan calon BN , Datuk Zulkifli Noordin dengan majoriti undi 10,939 bagi kerusi Parlimen Shah Alam.

Khalid mempolehi 49,009 undi manakala Zulkifli 38,070.
Sinar/-

Misi, visi Tuan Guru Nik Aziz diteruskan - Ahmad

Posted: 06 May 2013 04:57 PM PDT

26 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Sultan Muhammad V bergamabr dengan saf kepimpinan Kerajaan Negeri Kelantan selepas istiadat mengangkat sumpah, petang semalam.

KOTA BHARU: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V mengampuni perkenan perlantikan Datuk Ahmad Yakob sebagai Menteri Besar yang baru menggantikan Datuk Bentara Setia Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Upacara majlis Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Taat Setia Menteri Besar dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Kelantan itu berlangsung di Istana Negeri, Kubang Kerian dekat sini petang semalam, di hadapan Sultan Muhamamd V.

Ahmad berkata beliau dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan yang baru dilantik akan meneruskan misi dan visi Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam memacu pemerintahan dan pembangunan negeri.

Selain mengekalkan beberapa Exco sesis lepas, Exco baru dilantik terdiri dari Datuk Mohd Nassuruddin Daud (mantan Speaker Dewan Negeri Kelantan), manakala muka baru dilantik Hanipa Ahmad (Adun Pengkalan Pasir), Dr Ramli Mamat (Adun Bunut Payong) serta pengamal undang-undang Mumtaz Md Nawi (Adun Demit).

Turut hadir pada majlis itu Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammd Fa-Iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra.

Ahmad Yakob yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan berkata dengan tanggungjawab jawatan sebagai Menteri Besar yang baru itu bermakna beliau bersama saf kepimpinan yang ada akan  meneruskan visi dan misi Tok Guru.

Kepimpinan negeri, kata Ahmad, mewujudkan dasar 'ta'aawun' dan syura dalam hal ehwal pengurusan membuat dasar negeri, berteraskan (dasar) Membangun Bersama Islam.

"Ini termasuklah melaksanakan tawaran pada PRU-13 yang lalu berasaskan kepada (konsep)  Keberkatan; Kemakmuran dan Kebajikan.

"Ya, sememang itulah. Namun dengan keupayaan yang ada pada sahabat-sahabat Exco, mungkin kita buat pembaharuan," ujarnya yang juga Adun Pasir Pekan.

Ditanya sama ada 'pengunduran' Tuan Guru daripada jawatan Menteri Besar itu mungkin mengejutkan ramai orang terutama rakyat Kelantan, Ahmad berkata  ianya bukan saja 'mengejutkan' rakyat Kelantan, bahkan beliau juga terkejut atas permintaan Tuan Guru itu, namun telah pun direstui pimpinan PAS Pusat.

"Bagaimana pun, sebagai Menteri Besar baru diamanahkan, tanggungjawab ini dilihat bukan sebagai  'tasyrif' tetapi adalah 'taklif'," kata Ahmad.

Ahmad berkata beliau dan kepimpinan negeri akan berbincang bagaimana memenuhi kehendak rakyat terutama anak-anak muda khususnya yang memahami Islam itu sebagai  suatu 'ad-din',  dicernakan kepimpinan  Tuan Guru sejak 23 tahun lalu.

Mengenai kesan kepada PAS Kelantan ekoran 'pengunduran'  Tuan Guru itu, Ahmad berkata pada hakikatnya PAS Kelantan menerima perubahan tersebut.

"Kita masih memerlukan Tuan Guru (terus menjadi Meneri Besar), namun   hakikatnya terutama sejak akhir-akhir ini Tuan Guru sentiasa uzur, selain faktor usia," ujar Ahmad.

Pada Pilihan Raya Umum ketiga belas 5 Mei lalu, PAS Kelantan memenangi 33 daripada 45 kerusi dengan mengekalkan majoriti 2/3, justeru membentuk kerajaan negeri.

Harakahdaily/-

PRU 13: Bersih bentuk tribunal, tuntut SPR letak jawatan

Posted: 06 May 2013 07:35 AM PDT

25 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Bersih 2.0 mempersoalkan keabsahan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) berikutan pelbagai pelanggaran sepanjang proses pilihan raya berlangsung.

Pengerusinya, Datuk S. Ambiga, berkata pelanggaran itu bukan sahaja berlaku sebelum tempoh pembubaran parlimen, tetapi turut berlaku ketika hari pengundian.

Bercakap pada satu sidang media hari ini, Ambiga berkata pihaknya menerima pelbagai laporan pelanggaran yang dilakukan sepanjang PRU13 ini.

Sehubungan itu, menurut Ambiga, badan pro demokrasi itu akan membentuk satu tribunal awam untuk memperhalusi segala bukti-bukti pelanggaran yang diterima pihakny.

"Kami mengalu-alukan rakyat yang mempunyai maklumat berkaitan pelanggaran sepanjang PRU ini untuk membuat laporan polis, seterusnya berkongsi dengan kami mengenainya," tegas beliau.

Tribunal itu, katanya akan ditubuhkan dalam minggu ini, dan akan melengkapkan laporan berkaitan dakwaan pelanggaran tersebut dalam tempoh sebulan.

Dalam pada itu, Bersih 2.0 turut mengajak rakyat Malaysia untuk memboikot akhbar utama negara, yang disifatkannya tidak memberikan ruang yang sama rata sepanjang kempen pilihan raya.

Tegas Ambiga, akhbar-akhbar tersebut ialah The New Straits Times, Utusan Malaysia, The Star dan Berita Harian perlu diboikot dalam tempoh sebulan dari sekarang.

Mengulangi pendirian Bersih 2.0 yang menuntut satu pilihan raya yang bersih dan adil, badan itu mendesak anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar meletakkan jawatan secara serta-merta.

"Memandangkan SPR masih gagal memastikan proses pilihan raya berjalan dengan bersih dan adil, maka kita mendesak agar semua yang berada di SPR untuk meletakkan jawatan serta-merta.

"Satu jawatankuasa baru yang memenuhi aspirasi rakyat perlu ditubuhkan bagi menggantikan SPR," tegas beliau lagi.

Sebelum ini, Bersih 2.0 menuntut lapan perkara daripada SPR bagi menjamin ketelusan dan keadilan sepanjang proses pilihan raya berjalan.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan:

Nuffnang