Khamis, 21 Mac 2013

Nurul Izzah Anwar

Nurul Izzah Anwar


Saya tetap bersama anggota-anggota keselamatan negara

Posted: 21 Mar 2013 01:33 AM PDT

KENYATAAN MEDIA
21 Mac 2013
UNTUK SEBARAN SEGERA

SAYA TETAP BERSAMA ANGGOTA-ANGGOTA KESELAMATAN NEGARA

Saya merujuk kepada rencana yang diterbitkan New Straits Times hari ini bertajuk “Nurul Izzah hits out at police”, yang saya anggap berniat jahat dan telah menyeleweng ucapan yang telah saya berikan dalam satu ceramah di Jemapoh, Negeri Sembilan pada 19 Mac 2013.

Ingin saya nyatakan di sini bahawa saya menyokong sepenuhnya pihak keselamatan, khususnya anggota-anggota Polis Di Raja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia yang pada waktu ini sedang berjuang di perbatasan mempertahankan kedaulatan negara di bumi Sabah.

Saya tidak pernah sekali-kali memperlekeh usaha anggota-anggota keselamatan yang berkorban dan memenuhi ikrar taat setia yang telah dilafazkan. Saya menegaskan bahawa isu yang diketengahkan adalah tindakan ahli-ahli politik di Putrajaya dalam menangani masalah keselamatan di Lahad Datu. Saya bersependapat dengan kenyataan Lt Gen (B) Datuk Abd Ghafir dalam sidang media 13 Mac 2013 di mana beliau telah menyatakan kegagalan risikan - khususnya berkenaan insiden Lahad Datu – yang telah berlaku akibat aktiviti risikan yang difokuskan ke arah pengintipan perkembangan politik negara sejak tahun 2000.

Integriti kewartawanan yang bertanggungjawab adalah mercu tanda demokrasi di negara kita dan sedang kita melalui krisis yang mengancam keselamatan negara, saya berpendapat bahawa laporan yang tidak tepat dan menyeleweng itu harus ditarik balik dan saya menuntut New Straits Times memohon maaf dalam masa 24 jam melalui media digital dan cetak sebagaimana rencana berbaur fitnah itu telah disebarkan.

Saya telah mengarahkan peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas akhbar New Straits Times – alat sebaran propaganda UMNO-Barisan Nasional terbitan New Straits Times Press (Malaysia) Berhad – dengan serta-merta.

Saya sekali lagi menegaskan pendirian konsisten Pakatan Rakyat menggesa Perdana Menteri Dato Seri Najib Razak mengadakan sidang Parlimen tergempar di samping kertas putih untuk mendalami krisis di Lahad Datu, demi keselamatan tanah air tercinta.

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden KEADILAN

Tiada ulasan:

Nuffnang