Khalid Samad |
Posted: 21 Mar 2013 08:30 PM PDT KEMATIAN PI BALA Setelah membuat pendedahan beliau dan mengatakan kenyataanbersumpah pertama (SD1) adalah yang sebenarnya dan yang kedua (SD2) dipaksa ke atasnya, PI Bala meninggal dunia. Ada yang mendakwa ianya hasil tindakan khianat BN. Samada benar atau sebaliknya saya tidak mahu komen. Tetapi yang tidak boleh dinafikan adalah kenyataan bahawa PI Bala telah mengambil risiko untuk kembali ke Malaysia dan matlamat beliau, sehingga sanggup menghadapi risiko itu, adalah untuk menyatakan kenyataan bersumpah yang pertama (SD1) adalah benar! Kematian beliau tidak menafikan bahawa beliau telah menyatakan beberapa kali secara terbuka bahawa SD1 adalah yang sebenar-benarnya. Dan terdedah pula bagaimana Najib sendiri yang terlibat menyediakan SD2 yang menafikan kebenaran SD1 untuk ditandatangani PI Bala! Cecil Abrahams dilaporkan berkata bahawa beliau telah menyediakan SD2 untuk Bala tandatangani di atas arahan Najib. Bagi saya PI Bala telah menunaikan tanggung-jawabnya terhadap Altantuya dan rakyat Malaysia, walaupun beliau mati secara tiba-tiba. Beliau telah sempat menyatakan kebenaran dan kematiannya tidak membantu Najib sama sekali, malah mungkin lebih memudaratkan kerana sekarang ini tidak mampu sesiapa memaksanya menarik balik kenyataan terbarunya ini! Dengan segala pendedahan baru ini, Peguam Negara sepatutnya membuka balik kes pembunuhan Altantuya. Namun dia tidak akan buat apa. Dan bagi yang ingin melihat kes pembunuhan Altantuya ini diselesaikan dengan muktamad, tiada pilihan melainkan dengan menentukan Negara kita ini dibebaskan dari cengkaman UMNO/BN dalam PRU akan datang. Dan dengan itu minda rakyat akan dibebaskan dari penipuan UMNO/BN. BAPA SAIFUL BUKHARI Timbul pula satu malapetaka bagi Najib apabila bapa Saiful menarik balik pertuduhan beliau terhadap DSAI dan menyatakan bahawa anaknya digunakan oleh Najib untuk menjatuhkan DSAI! Beliau siap sebut nama pegawai khas upahan Najib yang bertindak membimbing Saiful dalam tindakan terkutuk beliau sehingga setiap kenyataan disiapkan oleh pegawai ini untuk dibaca dan ditandatangani Saiful! Betapa jahat sungguh pentadbiran Najib ini sehingga sanggup melakukan apa sahaja untuk terus berkuasa. Soal rasuah sudah menjadi kebiasaan dan fitnah sebagai hidangan pencuci mulut ataupun 'desert' sahaja. VIDEO TERBARU 'ANWAR' Sudah tidak ada modal maka guna balik modal lama! Begini sahajalah. Sekiranya video itu benar, maka dakwa sahaja Anwar. Tetapi mungkin susah untuk dakwa kerana bila dakwa perlu nyatakan bila ianya berlaku, tarikh dan waktunya dan juga di mana. Kita semua tahu Anwar sibuk dengan berbagai program. Silap-silap tarikh, waktu dan tempat tidak sama dengan jadual Anwar! Maka adalah lebih mudah disebarkan sahaja gambar dan video tersebut! Silap haribulan jadi macam kes Liwat 1 di mana Anwar dituduh melakukannya di Tivoli Villa pada suatu tarikh yang mana pada tarikh tersebut, Tivoli Villa masih dalam proses pembinaan! Audahai, kelakar, kelakar. Cara ianya dilakukan sudah cukup untuk kita memahami, ianya usaha nak jatuhkan Anwar, bukan untuk membuktikan kebenaran sesuatu tuduhan! PR TIDAK MENEPATI JANJINYA DALAM MANIFESTO 2008 Dalam kes tuduhan ini serta tindakan menyaman kerajaan Selangor berhubung 'janji-janji yang tidak ditepati' kononnya, sikap saya mudah sahaja. Kalau benarlah tuduhan itu, maka jemput sahaja Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor, berwawancara di TV3 secara 'live' atau siaran langsung. Dalam wawancara itu serang dia atas kegagalan kerajaan di bawah pimpinannya memenuhi semua janji-janji yang dibuat. Biar dia jawab dan beri rakyat nilai. Itu kalau UMNO/BN sendiri yakin dengan tuduhannya lah. Kalau tidak yakin dan takut TS Khalid boleh buktikan sebaliknya maka lebih baik jangan. Maka itulah sebabnya ianya tidak dibuat dengan cara begitu! Sebaliknya UMNO/BN lebih selesa cakap sendiri seorang diri dan percaya sendiri. Cukuplah dengan sandiwara mu wahai UMNO/BN. Booo baaa laaaa... WaLlahu 'Alam KHALID SAMAD |
Parlimen Tidak dibubar Hingga ke Hari Ini! Posted: 21 Mar 2013 07:38 PM PDT Tajuk pembubaran Parlimen sudah menjadi bahan lawak jenaka di kalangan masyarakat. Bila jumpa sahaja, mesti ada yang bertanya, "bila PRU ni YB?" Akhirnya sendiri tanya sendiri jawab, "Najib tidak berani…" Ada juga yang tweet dengan menyatakan "boooo baaaa, boooo baaaa laaa.." seolah mengejek Najib agar janganlan takut untuk bubarkan Parlimen. Kesian. Pernahkah seorang PM Malaysia diejek sedemikian rupa? Semalam, mungkin sebagai satu lawak sinis, ada seorang hamba Allah yang tidak dikenali memulakan khabar angin dengan meletakkan gambar keratan akhbar Utusan Malaysia dengan tajuk "Parlimen dibubarkan hari ini". Maka kecohlah semua yang membacanya dan diforwardkan kepada semua kenalan. Akhirnya bila dibaca dengan teliti, ianya merupakan tajuk berita pada 13 Februari 2008 dengan gambar Pak Lah di muka depan utusan! Lawak sinis ini sebenarnya bertujuan untuk memerli pentadbiran Najib yang bagaikan menikus dalam soal pembubaran Parlimen. Nampak gaya ketidakberanian Najib sudah menjadi pengetahuan umum. Tindakkan melengah-lengahkan pembubaran tidak mendatangkan untung padanya. Sebaliknya menjadikan beliau bahan ketawa sepertimana dengan peristiwa sambutan tahun baru Cina dengan penyanyi Korea Psy! Maka Najib semakin dikenali sebagai seorang yang kurang berani. Walaupun telah mengacah beberapa kali kononnya mahu adakan PRU, tetapi akhirnya tidak jadi setiap kali. Ketidakberanian Najib menyebabkan pilihan raya ditangguh bulan demi bulan, minggu demi minggu, hari demi hari. Najib pula melancarkan berbagai usaha termasuk BR1M untuk mendapatkan sokongan rakyat. Malang untuk Najib, lagi lama ditunda, semakin teruk keadaan sokongan terhadap BN. SUDAHLAH PENAKUT, TIDAK TAHU MALU! Najib adalah seorang Perdana Menteri yang tidak tahu rasa malu. Beliau telah menjadi PM melalui pintu belakang, iaitu melalui perletakan jawatan oleh Tun Abdullah Badawi apabila tidak lagi menjadi Presiden UMNO. Dia tidak menjadi PM melalui pilihan raya! Pada 2008 Tun Abdullah yang memimpin BN dan memenangi Pilihan Raya tersebut, walaupun dengan majoriti yang menguncup. Dalam keadaan sebegini, mana-mana pemimpin yang bermaruah, sekiranya menjadi PM melalui pintu belakang seperti Najib, akan membubar Parlimen secepat mungkin untuk mendapat mandat baru dari rakyat. Ini adalah penting untuk membuktikan rakyat terima dan bersama kepimpinan beliau. Sepertimana beliau mampu membuat de' aje dalam kes Psy, begitu jugalah dalam persoalan ini. Dia buat tidak tahu, macam tidak ada benda. Tapi, Alhamdulillah rakyat tahu dan tidak ada yang buat tidak tahu macam yand dia buat insyaAllah. ISU RASUAH TERUS MENGHANTUI NAJIB Lagi lama ditangguh PRU, maka semakin banyak salah laku UMNO/BN yang timbul. Isu penyelewengan UMNO Selangor berhubung 25 keping tanah yang difaraidkan kepada UMNO Selangor didedahkan dalam DUN oleh YB Ng Suee Lim As-Sekinchanii. Isu tanah yang diberi kepada Raja Roopiah pula didedahkan oleh Deepak. Penglibatan Najib dalam pembunuhan Altantuya turut ditimbulkan kembali semasa Deepak membuat pendedahannya! Persoalan rasuah yang terus bermaharaja lela terbukti sekali lagi melalui video berhubung amalan pemimpin BN Sarawak yang mengagih-agihkan tanah sesama mereka. Ianya lebih memalukan apabila disediakan oleh sebuah badan luar Negara dan sekarang tersebar luas seluruh dunia. Penganiayaan yang terhasil terhadap rakyat miskin khususnya dalam kes Sarawak tidak diambil peduli. Rakyat yang tidak bertanah akhirnya diusir dari tempat tinggal mereka dan kedaifan dan ketidak-mampuan mereka untuk melawan balik digelakkan bersama oleh pimpinan BN. Mereka dan kroni menjadi kaya raya atas harta rakyat dan rakyat dipaksa merempat. Ini kali lah! WaLlahu 'Alam KHALID SAMAD |
You are subscribed to email updates from Khalid Samad To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan