N50 Dun Sri Muda |
Uthaya Sankar SB: Mengenali DUN dan ADUN Sri Muda Posted: 17 Feb 2013 10:17 PM PST Sambil minum di restoran, perunding media ini cuba mengenali wakil rakyat kawasannya. Sehingga November 1991, saya tinggal di Aulong Lama, Taiping, Perak. Kemudian, sehingga Mac 2000, saya tinggal di Batu 3, Jalan Kapar, Klang, Selangor sebelum berpindah ke Taman Sri Muda, Shah Alam. Walaupun sudah agak lama di Taman Sri Muda – serta terlibat secara langsung dalam proses Pilihan Raya Umum (PRU) 2004 dan 2008 – ternyata saya kurang mengetahui pelbagai realiti berhubung Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Muda. Pada lazimnya, saya sepertimana ramai penduduk di taman ini dan kawasan sekitar hanya menggunakan "Sri Muda" apabila merujuk kepada "Taman Sri Muda". Rupa-rupanya tanggapan itu salah; khususnya dari segi pentadbiran dan kerajaan tempatan. Perkara ini saya sedari apabila berpeluang bertemu dan berbual-bual secara amat santai bersama ADUN Sri Muda, Shuhaimi Shafiei di Kota Kemuning pada 15 Februari 2013. Perlu saya akui bahawa baru kini saya sedar DUN Sri Muda terbahagi kepada dua daerah dan tiga kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT). Daerah berkenaan adalah Petaling dan Klang. Sebahagian daripada DUN Sri Muda berada dalam pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), sebahagian dalam kawasan Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan sebahagian lagi dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ). Demikian ADUN berusia 45 tahun itu menceritakan kepada saya. "Bilangan pengundi terkini sekitar 48 ribu orang. Dari segi demografi kaum, 25 peratus pengundi kaum Cina, India 22 peratus dan Melayu 52 peratus. Sekitar satu per tiga daripada jumlah penduduk (bukan hanya pengundi berdaftar) adalah golongan elit yang berada antara lain di sekitar kawasan Seksyen 27, 28, 31, 32, 33, Bukit Rimau, Kota Kemuning, Subang Alam dan Putra Heights. "Satu per tiga adalah golongan berpendapatan sederhana. Baki satu per tiga penduduk adalah mereka yang duduk di kawasan rural dan pangsapuri seperti di Bandar Putra dan Taman Sri Muda," katanya sambil kami minum di sebuah restoran pada petang itu. Memandangkan saya tinggal di Taman Sri Muda sejak tahun 2000, tentulah saya berpeluang melihat sendiri perubahan/perbezaan di bawah ADUN dari dua latar politik (parti) yang berbeza. Pendirian saya tidak menyokong mana-mana parti politik memudahkan usaha melihat pencapaian Shuhaimi secara objektif. Semasa berbual-bual lebih sejam dengannya, saya dapati bahawa politikus yang berasal dari Bagan Serai, Perak ini boleh duduk bersembang dengan sesiapa sahaja tanpa terlalu formal atau mengikut protokol. Hal yang sama juga saya perhatikan apabila bertemu ADUN Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad di Taman Subang Indah pada 12 Disember 2012. Memandangkan sejak awal tahun ini ada sambutan pelbagai perayaan oleh Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) – khususnya di negeri Selangor yang menjadi "rebutan" menjelang PRU-13 – saya cuba mencungkil pandangan dan pendirian Shuhaimi. Katanya, perayaan setiap agama dan kaum di DUN Sri Muda diraikan dengan kerjasama Ahli Majlis, pejabat ketua kampung, Ahli Parlimen Kota Raja dan penduduk setempat sejak dahulu. Acara besar-besaran dan kecil-kecilan "Untuk Aidil Fitri, sambutan sudah diadakan sebanyak lima kali sejak PRU-12. Oleh kerana kawasan saya hampir dua per tiga berada dalam kawasan MBSA, maka sambutan diadakan di Dewan MBSA sebanyak tiga kali iaitu pada 2008, 2009 dan 2011. Sekali di kawasan pentadbiran MPK (2010) dan sekali di di kawasan MPSJ (2012)," katanya tanpa perlu merujuk apa-apa nota. Malah, sepanjang kami berbual-bual secara santai, ADUN ini mampu mengemukakan angka, statistik, maklumat dan fakta secara spontan tanpa merujuk kepada sesiapa. Beliau juga hadir secara bersendirian walaupun saya membayangkan bahawa beberapa "rakan" beliau akan hadir dan duduk bersama-sama kami semasa perbualan berlangsung. Untuk Deepavali, Shuhaimi mengakui bahawa ada sambutan secara besar-besaran dan ada juga yang dibuat secara kecil-kecilan tetapi banyak. Hal ini memang pernah saya dengar daripada beberapa penduduk di Taman Sri Muda, walaupun saya tidak berminat menghadiri majlis-majlis seperti ini yang dianjurkan oleh mana-mana parti politik. "Ada pandangan rakan-rakan dan penduduk sendiri yang meminta supaya diadakan secara kecil-kecilan di beberapa tempat kerana masyarakat India-Hindu tinggal secara berselerak di beberapa tempat. Jadi, pada tahun 2012, saya adakan sambutan Deepavali di empat kawasan iaitu di Bukit Kemuning, Taman Sri Muda, Bandar Putra dan Seksyen 28. Sambutan di Batu 8, Bukit Kemuning dibuat secara besar-besaran; selebihnya secara kecil-kecilan," katanya. Untuk Tahun Baru Cina, sambutan diadakan setahun sekali. Bagi tahun ini, sambutan akan diadakan pada 21 Februari 2013 (Khamis) di kawasan letak kereta, Pasar Raya Giant, Kemuning Utama. Para peminat tegar Psy mungkin sangat kecewa kerana penyanyi popular Korea itu tidak termasuk dalam senarai tetamu kehormat. Sebaliknya, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan hadir. Untuk rekod, saya tidak bercadang untuk menghadiri majlis berkenaan. "Sambutan ini adalah kali keenam sejak PRU-12. Sebelum ini, sambutan diadakan dua kali berhampiran tasik di Kota Kemuning, sekali di Batu 8 Bukit Kemuning, sekali di Taman Sri Muda dan sekali di Putra Heights. Memandangkan acara khas bagi Tahun Baru Cina hanya diadakan sekali setahun, maka disambut secara besar-besaran dengan peruntukan yang tinggi bagi meraikan masyarakat kaum Cina," Shuhaimi menghuraikan sambil saya mencatat nota ringkas sebagai panduan. Berdasarkan maklumat yang saya terima, sambutan khas sempena perayaan Vaisakhi oleh penganut agama Sikh pernah diadakan sekali di Taman Sri Muda. Sambutan Tahun Baru Cina juga pernah diadakan di Putra Heights dengan kerjasama Persatuan Penganut Agama Buddha. Untuk perayaan-perayaan seperti ponggal dan Maulidur Rasul, berdasarkan sepanduk-sepanduk yang dipasang di beberapa tempat, nampaknya program dijalankan secara kecil-kecilan tetapi di banyak tempat. Bagi tahun ini, misalnya, acara sempena Maulidur Rasul diadakan di empat tempat dan ponggal pula di tiga tempat. "Memang benar," politikus yang menyertai Keadilan (nama asal bagi PKR) pada 1999 itu mengakui. "Maknanya, kita tidak meminggirkan mana-mana kaum dan agama dalam meraikan sambutan dan perayaan masing-masing. Saya sebagai ADUN cuba membantu mengikut kemampuan yang ada bagi memastikan semua pihak merasakan dan sedar mereka terlibat sama." Bagi menguji sama ada beliau memang benar-benar "turun padang" atau bergantung kepada para pembantu untuk menyelesaikan masalah penduduk, saya bertanya apakah keunikan penduduk DUN Sri Muda yang menarik perhatiannya. Segera Shuhaimi menceritakan mengenai pengalaman berkunjung ke rumah penduduk kaum India di Batu 8, Bukit Kemuning sempena Deepavali pada tahun lalu. Penduduk jadi tumpuan, bukan diri sendiri "Salah seorang penduduk yang dikunjungi menceritakan bahawa beliau sudah lama menyokong parti politik lain tetapi tidak pernah ada Wakil Rakyat (ADUN) sebelum ini pergi ke rumahnya untuk sama-sama meraikan hari yang sangat bermakna itu. "Saya terharu kerana kata-kata itu sebenarnya mewakili suara sekelompok kecil masyarakat yang menyedari perubahan yang dibawakan oleh Kerajaan Negeri Selangor di bawah PR berikutan PRU-12," katanya dengan suara ikhlas. Pengalaman kedua yang muncul dalam fikiran Shuhaimi – dan diceritakan dengan gembira kepada saya – adalah bilamana beliau masuk ke kawasan penduduk keturunan Jawa di sekitar Jalan Kebun. "Hampir 95 peratus penduduk di situ orang Jawa tetapi saya tidak boleh berbahasa Jawa. Tetapi mereka bercakap dengan saya menggunakan Bahasa Jawa seolah-olah saya faham. Nasib baik saya ada rakan-rakan yang mampu menterjemah dan menceritakan balik suara hati penduduk terbabit," katanya sambil tersenyum. Tentu sahaja sebelum bertemu Shuhaimi, saya sudah "melawat kawasan" dan mengumpulkan sedikit maklumat daripada penduduk setempat. Daripada maklumat yang saya terima daripada penduduk di sekitar Jalan Kebun, mereka meluahkan isi hati bahawa mereka kini merasakan "berada sangat dekat dengan kerajaan negeri". Reaksi itu adalah kerana mereka melihat sendiri betapa Wakil Rakyat PR sangat santai, merendah diri, tidak ada protokal dan sebagainya apabila bertemu penduduk. Misalnya, mereka duduk bersila bersama-sama tuan rumah tanpa mengharapkan layanan istimewa. Bagi masyarakat, amalan "kecil" seperti itu adalah sesuatu yang luar biasa berbanding keadaan sebelum 2008. Shuhaimi mengakui bahawa dua contoh itu antara peristiwa yang membuatkan beliau juga sedar bahawa ada anggota masyarakat yang selama sekitar 50 tahun sejak negara merdeka (1957) telah merasakan mereka (penduduk) begitu jauh atau dijauhkan daripada kerajaan (pemerintah). Bercakap lebih lanjut mengenai keunikan di DUN Sri Muda, bapa kepada empat anak itu berkata, keunikan paling ketara adalah dari segi masyarakat pelbagai kaum dan agama. "Orang Jawa yang banyak di Jalan Kebun, Kampung Bukit Naga, Kampung Johan Setia dan Kampung Bukit Lancung ada yang memang Jawa tulen. Bahasa, masakan dan cara mereka makan secara berkumpulan, misalnya, amat unik. "Begitu juga dengan setiap kaum dan etnik lain di DUN Sri Muda. Sejak 2008, kerajaan negeri berjaya merapatkan apa-apa perbezaan yang wujud sehingga para penduduk sudah menjadi akrab. Pelbagai kelompok ini boleh berbincang dan bermesyuarat dalam satu kumpulan demi mencapai kata sepakat. Hal ini mungkin berbeza di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu di mana setiap parti mewakili satu kaum," katanya tanpa menyebut nama parti-parti politik yang dimaksudkan. Agak menarik untuk diperhatikan bahawa di bawah pentadbiran PR sejak 2008, tok lebai, tok haji, ketua kampung, pengerusi kuil, pengerusi surau/masjid, pengerusi tokong dan sebagainya boleh duduk bersama untuk bermesyuarat. "Inilah antara keunikan yang saya rasa mungkin ada juga di tempat lain tetapi memang luar biasa di DUN Sri Muda. Saya katakan begitu kerana bukan semua daripada mereka mempunyai fahaman politik yang sama atau sealiran. Namun, mereka semua kini boleh duduk semeja bersama-sama saya untuk berbincang, berdialog dan bermesyuarat demi kebaikan bersama," katanya. Dengan rekod bersih dan cemerlang seperti ini, tidak mustahil bahawa penduduk/pengundi di DUN Sri Muda akan memberikan mandat kepada Shuhaimi pada pilihan raya akan datang untuk terus berkhidmat kepada mereka dan mewakili mereka. Uthaya Sankar SB adalah penulis bebas, penceramah dan perunding media. Beliau memblog di www.uthayasb.blogspot.com Petikan FMT |
You are subscribed to email updates from N50 Dun Sri Muda To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan